Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Saturday, February 28, 2009

Cikgu dan Muridnya

Ini tahun yang ke-25 aku bertugas sebagai guru. Seperti juga guru-guru yang lain, sudah beribu-ribu generasi pelapis menjadi anak didikku. Ada yang menjadi 'manusia' dan ada yang menjadi 'separuh manusia'. Ada yang telah menjadi VVIP, ada yang jadi cikgu-cikgi, ada yang jadi pemandu lori dan jadi macam-macam lagi. Ada yang hidup di dalam negara, tak kurang pula di luar negara dan ada juga sudah tinggal di alam yang berbeza. Hanya doa sang guru agar murid-muridnya berjaya mengharungi 1001 dalam cabaran kehidupan.


Masih ada bekas anak murid yang masih mahu menegur, malah mencium tangan ketika berjabat salam semasa memperkenalkan diri masing-masing. Sebagai orang yang lebih tua, aku akan menyelitkan beberapa nasihat sebagai panduan untuk mereka.

Baru-baru ini aku bertemu dengan seorang daripada mereka. Aku senaraikan deretan soalannya kepadaku:

  1. still mengajar di SMK Sungkai lagika? Ayo, banyak lama sudah.
  2. Sudah jadi pengetua ka cikgu?
  3. Lama lagi ka cikgu? (lama apa tu? Hidup atau berkhidmat? aku meminta penjelasan, diiringi derai ketawanya)

Cikgu ada kenal satu student Form 5, nama dia si polan si polan? Mengapa?, aku bertanya. Ayo cikgu, anak sayalah itu! hampir menjerit dia. Serentak dengan itu aku berasa aku bertambah tua.

Thursday, February 26, 2009

Saman Had Laju

Isnin 23.02.09, SMK Sungkai bercuti sempena Hari Olahraga Tahunan pada hari Sabtu sebelum itu. Walau bagamaimanapun aku terpaksa ke Klang untuk taklimat pentaksiran kerja kursus PMR di sebuah hotel. Selepas solat zohor aku bertolak ke Klang. Dalam perjalanan banyak kenderaan dari arah Sungkai memberi isyarat yang menandakan ada perangkap had laju di hadapan. Waktu-waktu begitu selalunya ada perangkap had laju di kawasan itu. Setiba di Kampung Bikam, seperti biasa aku memperlahankan kenderaan sehingga serendah 50-60 kmj.
Memang ada polis menunggu di tengah-tengah jalan. Aku yakin bahawa aku akan dibenarkan meneruskan perjalanan tanpa ditahan. Tiba-tiba polis itu mengarahkan aku memandu ke tepi jalan.. Alamak, apa salahku, aku bertanya sendiri.
Rupa-rupanya sasaran radar polis kali ini untuk mencari kenderaan yang dipandu melebihi 90 kmj. Sebelum sampai ke kawasan Kampung Bikam aku memandu selaju sekitar 120kmj sahaja.
Nampaknya tuntutan perjalanan ke Klang bulan ini dikhaskan untuk membayar saman yang dikenakan.
(Sepanjang 2o tahun memiliki kereta, itu merupakan saman yang ke-10 aku terima kerana memandu laju yang tak selaju manapun!)

Wednesday, February 25, 2009

Adegan Yang Tak Lalu Nak Dilihat!


Ya! Allah.. Apa dah jadi tu?? Naik hantuke, jadi hantu?

Berkelah Ke Sg Gading

Mira & Azim

Menunu manuk..


Dato' & Datin, Azman dok menyelit


Junaidi : Menanti timbulnya Sang Duyung

Asim & Along


Ahad 22 Februari 2009 keluargaku bersama keluarga sebelah isteriku berkelah ke Sungai Gading, di Hulu Bernam Selangor. Kawasan ini dulunya adalah sebuah perkampungan, tetapi penduduknya telah dipindahkan ke perkampungan baharu lebih kurang 50 tahun lalu. Indah, nyaman, menyegarkan. Sungai Bernam dan Sungai Gading bertemu di kawasan ini.Di sini ini telah dibangunkan beberapa buah chalet dan kawasan perkhemahan . Silap-silap percaturan, keaslian dan kehijauan kawasan ini akan terpaksa tunduk kepada kerakusan manusia. Moga-moga tidak..

Sunday, February 22, 2009

Laptop Baru

Posting ini kuhasilkan menggunakan laptopku yang baru. Terpaksa juga aku beli yang baru kerana laptop yang lama itu dah separuh nazak. Apabila muzik pengenalan Windows Vista kedengaran yang menandakan laptop ini dihidupkan, telingaku seolah-olah menangkap bunyi yang berbeza, bunyi seperti tang...tang...tang... hutanggggg.

Sekadar untuk menggunakan MS-Word, MS-Excel, MS-Powerpoint, berblog dan mendengar muzik memadailah bagiku hanya membeli laptop "Cap Ayam" sahaja.

Saturday, February 21, 2009

Aku dan Sukan

Sepanjang minggu ini aktiviti berkaitan sukan begitu hebat berlangsung di sekolah. Acara-acara sukan mini berlangsung pada sebelah petang, selepas itu latihan perbarisan diadakan. Mulai pagi semalam, dan bersambung pula pagi ini raptai lintas hormat dilangsungkan. Semuanya berlangsung di tengah terik matahari, tetapi budak-budak tu, kelihatan selamba sahaja samalah macam aku di zaman persekolahan dulu. Kini, semakin meningkat umur, aku semakin mengalah pada terik matahari.

Semasa di zaman persekolahan aku turut aktif dalam bidang sukan. Ketika di sekolah rendah aku mewakili sekolah dalam lari berganti-ganti 4X100 meter, dan pasukan bola sepak. Selalu juga aku menang acara 100 meter, 200 meter dan lompat tinggi .
Pencapaian yang hampir sama juga kuraih di sekolah menengah.

Ketika menuntut di Maktab Perguruan Bahasa, aku menjauhkan diri daripada sukan. Hanya sesekali aku turun ke padang, mencabar larian pelari-pelari maktab dalam acara 4X100 meter; tetapi kekurangan stamina (kerana merokok, mungkin) menghalang aku pergi jauh dalam sukan.

Ketika bertugas di Miri, Sarawak, aku aktif dalam sukan badminton. Aku sering menyertai kejohanan-kejohanan terbuka (tidaklah setaraf Terbuka Malaysia) peringkat Miri. Aku juga pernah bertanding hingga ke Kuching.

Semua itu hanya tinggal kenangan.Dalam usia hampir separuh abad aku sudah tidak berupaya untuk bersukan lagi.Tapi sayang seribu kali sayang, tidak seorangpun daripada anak-anakku yang gemar atau berbakat dalam bidang sukan. Mereka lebih tertumpu untuk ‘bersukan’ di depan komputer atau televisyen.

Hmmm.. cukup dulu, aku hendak membelek piala-piala lama yang aku simpan dalam almari kat depan tu.

Tuesday, February 17, 2009

Lanjutan Ayo! Sakitlah Cikgu..

Ketika Penyelia Petang masih belum pulang dari Makkah menunaikan haji (2002), sekali lagi aku terpaksa menyelesaikan masalah yang melibatkan pergaduhan dua orang pelajar Tingkatan 2 dari Estet Narborough dengan pelajar dari Estet Sungkai, puncanya berebut kekasih yang berada di Tingkatan 1! Dalam kes sebelumnya, enam orang telah bergaduh dan cara penyelesaiannya telah kupaparkan dalam posting terdahulu.

Kali ini aku mendapati pelajar yang bernama Ganesh (bukan nama sebenar) yang telah memulakan pergaduhan, dan sememangnya dia mempunyai banyak masalah disiplin. Yang seorang lagi aku maafkan. Mari ikut saya pergi ke balai polis, kataku. Ayo, cikgu kicik punya halpun mau bawa balai ka? Ganesh membantah. Mesti kataku. Aku menghimpunkan semua pelajar lelaki lalu memberitahu mereka bahawa sesiapa yang dilaporkan bergaduh selepas ini akan di hantar ke balai polis seperti yang akan aku lakukan pada Ganesh sebentar lagi. Memandangkan hanya ada lebih kurang satu jam lagi sebelum sekolah tamat, aku menyuruh Ganesh membawa begnya sekali ke dalam keretaku. (Skrip seterusnya hampir sama dengan skrip posting semalam).

Aku memandu perlahan ke arah pekan Sungkai. Kamu jangan beritahu kawan-kawan kamu yang lain bahawa kamu tidak dihantar ke balai dan kamu mesti berjanji bahawa kamu akan berkelakuan baik selepas ini kataku. Kamu rekalah apa sahaja cerita yang kononnya kamu ditahan di balai jika mereka bertanya, kataku. Nampak lega, Ganesh berjanji tidak akan mengulangi kenakalannya. Aku menghantar Ganesh di satu lorong berhampiran rumahnya.

Esoknya Ganesh tidak hadir ke sekolah. Memang biasa budak tu memonteng, gerutu hatiku. Aku lihat di pejabat ada dua orang perempuan India, seorang agak berumur dan seorang lagi masih muda. Mereka memandang tajam kepadaku. Ketika aku menemui mereka di luar pejabat, mereka memperkenalkan diri sebagai ibu dan kakak kepada Ganesh. Air muka mereka nampak semacam sahaja, marah agaknya. Apa pasal cikgu hantar saya punya anak pigi balai? Lain kali kasi tahu kita orang dulu! Terpinga-pinga aku. Dengan meninggikan suaranya si ibu menerangkan bahawa suaminya telah membelasah Ganesh kerana malu anaknya itu dibawa ke balai polis. Walaupun Ganesh menafikan, tetapi tidak dipercayai oleh bapanya sendiri. Dalam hati aku berkata, hah! padan muka. Aku menerangkan duduk perkara sebenar, dan mereka faham, tetapi kini menyalahkan pula bapa si Ganesh kerana bertindak terburu-buru, sehingga anaknya sendiri dibalun separuh mati.

(Rupa-rupanya selepas pulang dari sekolah, ada pelajar yang memberitahu keluarga mereka Ganesh dibawa ke balai oleh Cikgu Nazeri kerana bergaduh. Seorang daripada bapa pelajar itu menyampaikan hal itu kepada bapa Si Ganesh. Apalagi, tertekan kerana malu akan kelakuan anaknya, dan tanpa usul periksa Ganesh dibelasah, kesian)

Lusanya, ketika menemui Ganesh, aku bertanya, apa sudah jadi? Ayo, sakitlah, cikgu, ... Itulah jangan nakal lagi, kataku.

Monday, February 16, 2009

Ayo! Sakitlah Cikgu..

Sedang para guru dan pelajar terlibat dalam acara sukan mini petang tadi, ada kes pelanggaran disiplin yang boleh dikatakan agak serius melibatkan pelajar petang. Dalam kesibukan guru-guru mengendalikan acara-acara yang dijalankan , tentunya ada sedikit kelonggaran dalam pengendalian pergerakan pelajar . Biasalah pelajar Tingkatan 1 dan 2, mereka sangat aktif, akal mereka tak sepanjang badan mereka yang sedang membesar itu itu. Aku tidak mahu mengulas apa yang berlaku, lebih-lebih lagi kes ini dilaporkan kepada pihak polis.

Pada tahun 2002, aku diminta oleh Tuan Pengetua untuk mengawasi pelajar sesi petang sepanjang kepergian Penyelia Petang menunaikan haji. Pada satu hari terdapat enam orang pelajar India Tingkatan 2 bergaduh sesama sendiri. Tanpa runding-runding, rotan seorang dua kali, itu keputusanku. Kalau tidak tegas, tugas mengawal disiplin pelajar akan bertambah sukar. Akupun membawa mereka ke bilik guru kanan kerana di situ hukuman akan dijalankan.

Aku memangil pelajar yang pertama untuk dirotan. Pelajar yang lain menunggu di luar. Pintu dan tingkap ditutup rapat. Ketika hukuman dijalankan tiada siapapun boleh nampak, kataku. Ketara sekali mereka sedang ketakutan, memikirkan betapa sakitnya punggung mereka menerima dua sebatan.

Sifat kebapaanku mengatasi sifat amarahku tetapi tidak boleh ditunjukkan kepada pelajar. Aku berbisik kepada pelajar pertama yang akan dirotan, untuk mengurangkan kesakitan kamu mesti menjerit ketika sebatan dilakukan kataku. Aku mengarahkan pelajar itu berdiri di tepi sofa. Sedia kataku, dan jangan lupa menjerit! Kalau kamu tak menjerit saya tambah lagi satu rotan kataku. Pelajar itu mengangguk ketakutan. OK, sedia.

PAP! Dan serentak itu satu jeritan terdengar, ayo!!! Bergetar tubuh pelajar itu, sedangkan aku pasti dia tidak sakit sedikit pun. Sebenarnya aku merotan kusyen sofa itu. OK lagi sekali bisikku kepadanya, kali ini kamu mesti menjerit lebih kuat. Ok cikgu, katanya. Ready kataku. Cikgu, jangan hantam butul-butul ha..
PAP! Ayo! Sakitlah cikgu! Amma! Pandai pulak pelajar itu menambah-nambah skrip yang aku tentukan. Kamu pergi ke sudut yang terlindung itu supaya pelajar seterusnya tak nampak kamu kataku. Aku pasti pelajar lain yang menunggu giliran itu berasa sangat menyesal kerana bergaduh tadi.

Giliran pelajar seterusnya. Kasihan sungguh aku melihatnya. Badannya menggigil, berpeluh-peluh sambil merayu-rayu supaya dimaafkan dan berjanji tidak akan bergaduh lagi. Hukuman tetap dijalankan kataku, dan skrip yang sama berulang sehingga selesai keenam-enam pelajar itu menerima “sebatan”.

Seterusnya, aku menasihati mereka supaya menjaga tingkah laku. Jika kesalahan diulangi aku tidak teragak-agak merotan mereka betul-betul. Mereka berjanji tidak akan melanggar disiplin lagi dan mengucapkan terima kasih kepadaku . Dua minggu selepas itu dua orang daripada mereka hampir menggelupur apabila punggung mereka aku rotan sekuat hatiku. Ambik engkau kataku!!Kali ini kerana mereka menanggalkan seluar pelajar lelaki lain secara paksa dengan tujuan untuk memalukan pelajar malang itu.

Saturday, February 14, 2009

Pelepas Sukantara

Pagi Sabtu 14.2.2009 aku ditugas menjadi pelepas bagi acara 100 meter Sukantara. Sejak beberapa tahun itulah tugas yang disediakan untuk aku setiap kali sukantara diadakan. Kali ini aku ingin menyingkap kenangan 25 tahun lampau di SMK Dato’ Permaisuri Miri. Pada hari sukan tahun 1984, aku
ditugaskan sebagai pembantu pelepas. Pelepas yang dilantik ialah seorang tentera, Sarjan Alias. Berbekalkan 2 pucuk pistol Hocker & Koehler (HK), berdentum dentamlah bunyi tembakan setiap kali acara balapan dimulakan. Sarjan Alias hanya dapat menjalankan tugasnya separuh jalan kerana memang beliau tidak sihat sejak mula, apa lagi itulah peluang aku ‘main’ tembak-tembak kerana tugas sebagai pelepas diserahkan kepadaku selepas itu.

Apabila sukan peringkat Bahagian Keempat diadakan, sekali lagi aku digandingkan dengan Sarjan Alias. Sesekali Sarjan Alias membenarkan aku menjadi pelepas. Sempat juga aku menghuru-harakan keadaan apabila dua tiga kali bunyi tembakan kedengaran sedangkan tiada acara balapan yang dijalankan. Sebenarnya aku telah memberi pesanan kepada pengakap yang bertugas bahawa setiapkali tembakan dilepaskan sedangkan tiada acara hendak dimulakan, itu tanda pelepas dan pembantunya hendak minum (free, air kotak!).

(Ketika di Miri, setiap kali sambutan Hari Raya Aidil Fitri, kami guru-guru Semenanjung di SMKDP pasti akan ke rumah Sarjan Alias di kem tentera. Sejak aku bertukar ke Semenanjung pada hujung tahun 1986, aku tidak pernah menemui beliau lagi.)

Thursday, February 12, 2009

Tangkap Lalat

Berbelas tahun dahulu, aku ditetapkan untuk menjadi guru kelas Tingkatan 2H2 (H: Hijau, boleh juga Hantu). Kelas ini kelas yang paling terkebawah dari segi akademiknya tetapi kelas yang teratas dari segi masalah kawalan disiplinnya. 100 % pelajarnya lelaki. Guru perempuan yang mengajar di kelas ini sentiasa akan makan hati. Sebagai langkah kawalan disiplin di kelas ini, ketepikan sama sekali pendekatan psikologi, gantikan dengan tamparologi dan sepakologi. Tetapi jangan harap pendekatan itu akan berkesan untuk tempoh waktu yang melebihi suku jam.

Pada suatu hari kebisingan yang ditimbulkan oleh para pelesit dan jembalang kelas ini tidak dapat aku kawal lagi. Dam! Satu ‘letupan’ terhasil daripada bunyi meja kuhempaskan ke lantai. Satu kelas akhirnya terdiam. Kalau kamu nak tahu saya adalah pakar dalam ilmu persilatan, kataku seolah-olah mengancam pelajar Tingkatan 2 itu yang pada pandanganku semakin kecil. Kalau kamu nak merasai tendangan pendekar cubalah kamu buat bising lagi. Semua diam buat seketika, tetapi sekali-sekali bunyi omelan budak-budak tu masih kedengaran.

Tiba-tiba seekor lalat terbang melintas di depanku. Bunyi dengungan sayapnya dapt di dengar ke seluruh kelas . Spontan sahaja aku cuba menangkap lalat itu. Ditakdirkan lalat itu ( mungkin lalat itu buta agaknya) tersepit di antara jari terlunjuk dan jari hantuku. Hah! Tengok kataku kepada pelajar kelas 2H2. Apa lagi mereka bertepuk tangan sambil menjerit-jerit seperti meraikan kejayaan menangkap lalat buta. Tak jalan juga pendekatanku kali ini.

Kini aku lebih sabar menghadapi kerenah dan keletah anak-anak murid. Pengalaman mengajarku bagaimana untuk menghadapi situasi dan realiti di bilik darjah yang semakin mencabar.

Saturday, February 7, 2009

Aku, Laptop Asus, dan Kemelesetan Ekonomi

Telingaku bagaikan menangkap bunyi letupan bom Yahudi apabila anakku memberitahuku komputer riba Asus buruk yang aku gunakan sejak tiga tahun lalu itu 'no display'. Komputer tu sedang 'hibernate' barang kali bisik hatiku. Berbelas-belas kali aku menekan suisnya tapi skrinnya tetap hitam sehitam rambutku masa dulu-dulu. Jelas sekali komputer ni dah 'aup' (mati / rosak ) kataku.

Isteriku menyarankan supaya aku membeli laptop yang baru. Tapi 'dunia' sedang dilanda kemelesetan kataku. Pakai kad kredit, katanya. Berhutang seronok tapi nak bayar bersedih kataku. Habis tu? Biar aku 'check' kataku... Terburailah segala isi perut laptop tu. Aku tak tahu satu habukpun benda-benda kat dalam. Aku ketuk sini, ketuk sana, buka skru, pasang skru , usik di situ, usik di sini, goncang-gancang. Selepas itu aku pasang semula walaupun banyak skru terlebih. Hah! nampak tu lampu hard disk tu dah berkelip-kelip, kataku kepada isteriku. Yelah, katanya, bukan nak lampu hard disk tu tapi nak kan 'display'nya. Tapi itu bermakna aku dah tahu sakitnya, kataku ( dalam hati : selamat duit aku ). Kita cari ajelah skrin 'sekehen' (terpakai), nanti pandai-pandailah aku 'modify' kataku.

Petang tadi kami sekeluarga ke Ipoh. Setelah membeli skrin terpakai kami segera kembali ke Bidor. Sampai di rumah aku pun menyambung skrin 'sekehen' tu pada komputer Asus kesayanganku itu. Alhamdulillah, ada 'display' dah kataku. Walau pun nampak lonjong macam songkok seorang menteri dari Johor tu, sekurang-kurang aku tak perlu keluar belanja yang besar membeli laptop yang baru... maklumlah ekonomi dunia sedang meleset!

Thursday, February 5, 2009

Satu Pengertian

Sewaktu menghadiri satu kursus haji di hujung tahun 2002, Ustaz yang dah aku tak ingat namanya ada menceritakan satu riwayat. Dia pun terlupa siapa tokoh yang terlibat dalam kisah yang hendak di sampaikannya. Ceritanya lebih kurang...
Suatu malam tokoh itu bermimpi. Satu suara menyuruhnya supaya berjalan dan melakukan perkara berikut mengikut tertib kepada apa yang bakal ditemui esok hari.
· Makan
· Tanam
· Lari
· Tolong
· Beri
Esoknya benda pertama yang ditemuinya ialah gunung. Dia pun makan gunung itu sedikit demi sedikit dan terasa ianya sungguh enak.Selepas itu dia menemui emas lalu ditanamnya. Anehnya semakin ditanam semakin banyak yang muncul. Kemudian dia bertemu longgokan api, dan dia pun lari daripada api itu. Seterusnya seekor burung kecil meminta diselamatkan daripada buruan seekor helang. Disimpanya burung itu di dalam bajunya. Akhirnya helang itu menuntut ‘hak’nya yang disimpan oleh tokoh itu. Timbul rasa serba salahnya. Memang burung kecil adalah makanan sang helang. Tokoh itu mengambil sedikit daripada bahagian tubuh burung kecil itu untuk diberikan kepada helang itu, dan burung kecil itu masih dapat meneruskan kehidupannya.
Malamnya tokoh itu berdoa supaya Allah s.a.w. memberikan petunjuk atas kejadian yang berlaku di sebelah siang tadi. Dalam tidurnya ditunjukkan kepadanya bahawa:
Gunung itu lambang kepada hawa nafsu dan perasaan amarah. Jika perasaan itu dapat diatasi dan dikawal kita akan mendapat kebahagian dalam hidup. Emas yang ditanam adalah lambang kepada ibadah yang dilakukan akan diberikan ganjaran berlipat kali ganda oleh Allah s.a.w. Api pula adalah lambang kepada neraka dan sebagai peringatan kepada kita supaya menjauhi maksiat. Seterusnyajangan memilih bulu dalam memberikan bantuan terutama yang melibatkan insan kerdil yang teraniaya. Dan akhir sekali jangan suka memutuskan harapan orang lain. Penuhi permintaan orang lain jika permintaan itu munasabah dan mendatangkan kebaikan seadanya.

Wednesday, February 4, 2009

Persidangan "DUN" di Medan Selera Bidor.

Orang politik (di Perak terutamanya) yang cari makan dengan berpolitik tengah riuh rendah seminggu dua ini. Gendang dah dipalu, masing-masing sudah menari dan bersilat dengan jurus-jurus maut masing-masing. Pueh (puas) bertimang-timang dengan yang keluar, seronok dan riang dgn yang masuk, dan turut heboh dengan yang keluar masuk. Guruh sudah, kilat sudah, ujan haram (tak) jadi. Begitulah gayanya. Itu keroje deme, bior dilantaknya (meminjam kata Abang Man Ketipung).

Petang tadi para pemerhati dan pengulas senario politik amatur di kampung kami berlonggok di sebuah gerai di Medan Selera. Merah-merah muka mempertahankan pandangan masing-masing, ada pandangan yang pro ke pihak A, ada yang pro ke pihak B dan ada juga yang asyik angguk-angguk dan geleng-geleng saja ( bebas kot? ). Menyembor-nyembor ayor lior Si Jalil menyuarakan pandangannya, Wak Gani yang asyik mengangguk, spontan bertanya, "masa kau ke pekan tadi, ada tak kau nampak orang jual tapai ubi, Lil?" Kesian Wak Gani yang pekak labang kena marah kerana bertanyakan sesuatu yang di luar wacana yang sepatutnya. Terbeliak mata Si Jalil. Cawan-cawan kopi yang dah kosong bergegar-gegar apabila meja di tepuk-tepuk oleh Si Mail Rugged ketika menyanggah pendapat Si Jalil. Memang panas isu-isu yang dibincangkan.

Aku yang hanya memerhatikan gelagat sahabat-sahabat sejak tadi mengingatkan, '' dah tujuh suku, moh kita balik, maghrib dah nak masuk. Esok kita sambung",kataku.

Monday, February 2, 2009

AKU DAN ROKOK

ROKOK? Aku dihulurkan rokok oleh seorang sahabat selepas selesai majlis tahlil petang tadi. Aku menolak dengan senyuman. Dah berhenti kataku. Aku sudah berhenti merokok sejak 17 tahun lalu. Aku akui rokok memang sedap tak terkata, hinggakan tiada perokok yang dapat menerangkan kenikmatan sebenar merokok kepada mereka yang tidak merokok.

Aku bangga sendiri kerana berjaya melakukan sesuatu yang paling berat untuk aku lakukan, berhenti merokok. Aku yang kuat merokok, biasanya menghabiskan dua kotak sehari malah kadang-kadang lebih.

Pada tahun 1992 aku menyewa rumah di Sungkai. Pada waktu itu pekan Sungkai akan kaku dan mati selepas pukul 7.30 malam. Aku keputusan rokok malam itu. Gelisahnya tak tertahan. Aku terpaksa mencari puntung-puntung rokok dalam tempat abu rokok. Menghisap kembali sisa rokok yang sepanjang sekerat jari itu bukanlah sesuatu yang enak tapi kerana bibirku perlu berasap bila tiba masanya, itu terpaksa kulakukan. Akhirnya aku menyedari betapa buruk dan kotornya tindakanku itu. Kutekadkan dihati, aku mesti BERHENTI. FULL STOP.

Esoknya.. Ah..kosong rasa hidup tanpa rokok ketika termenung di bilik air.. Aku hela nafas panjang-panjang.. Tahan Nazeri tahan bisik hatiku. Selepas sarapan, huh.. kosongnya rasa tekak, dadaku merayu-rayu supaya dipamkan asap secukupnya.. Ku hela nafas yang panjang, tenang Nazeri tenang aku memujuk sendiri. Isteriku tidak menyedari satu perubahan yang sedang berlaku kepada suaminya ketika itu. Sengaja aku rahsiakan tekad untuk berhenti merokok kerana takut tak kesampaian atau terhenti sekerat jalan seperti yang sudah-sudah. Kali ini aku tak mahu mengecewakannya kerana dia sendiri sedang mengandungkan anak kami yang kedua.

Waktu memandu untuk ke sekolah, bergetar kaki dan tanganku menekan pedal minyak, kerana semuanya meronta untuk mendapatkan bahan 'penenang' yang tersembunyi dalam asap rokok yang kusedut selama ini. Sabar Nazeri sabar bisik hati baikku. Hati jahatku memujuk alah setakat sebatang takkan tak boleh kot... Sekali lagi nafas kutarik panjang-panjang. Dalam kepala aku terbayang wajah sahabat-sahabat aku yang tidak merokok, seorang demi seorang, mereka sihat, mereka riang, baju mereka tak busuk bau rokok, tak ada rokok kelangsungan hidup mereka terus juga berlaku, aku memujuk diriku sendiri.

Selepas seminggu bertahan, isteriku menyedari bahawa tidak ada lagi kotak rokok kosong dalam tong sampah di rumah sepeti biasa. Juga, tiada lagi bau rokok yang terlekat di pakaianku. Baru aku berani memberitahunya bahawa aku sedang cuba berhenti. Nampak benar dia gembira dan memberikan galakan agar aku akan berjaya dalam misi paling berat ini. Seterusnya aku makan gula-gula untuk mengurangkan keinginan untuk merokok kembali.

Untuk tempoh setahun hatiku tetap tergoda dengan bau dan asap rokok yang dihisap oleh para sahabat. Jalan selamat yang aku pilih ialah beredar dari tempat mereka berada. Alhamdulillah, sepanjang 17 tahun ini aku sudah 'sembuh' sepenuhnya daripada ketagihan rokok. Dan sepanjang 17 tahun ini jugalah isteriku akan menyisihkan RM200.00 daripada gajiku setiap bulan sebagai 'cukai rokok'. Setiap tahun, ketika bershopping untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri isteriku akan menyerahkan kepadaku RM 2400.00 bagi membeli apa sahaja pakaian yang aku ingini.

UNTUK PARA SAHABATKU YANG MEROKOK, BERHENTILAH KERANA DUNIA SEMAKIN SEMPIT BAGI MEREKA YANG MEROKOK.
UNTUK ISTERIKU, TERIMA KASIH, SAYANG.

Makanan 'berangin'

Petang tadi, selepas solat asar, aku hadir di majlis tahlil seorang sahabat yang meninggal tiga hari lalu. Rumah arwah tidaklah begitu jauh dari rumahku. Selepas bertahlil seperti biasa, jamuan yang terhidang tentu akan dijamah. Ada mi rebus, buah melaka, pau dan lepat labu; minumannya pelbagai, teh susu, teh O, kopi susu, kopi O, dan tidak ketinggalan, air O. Aku duduk makan bersama Imam, dan beberapa sahabat yang semuanya sudah pencen. Makan itu angin, makan ini angin kata mereka. Tetapi bagi aku, alhamdulillah semua makanan itu ok je. Mungkin kerana aku belum pencen lagi. Teringat aku kepada arwah bapa saudara aku. Beliau pernah berkata secara bergurau, hanya dua benda berangin yang jangan sekali-kali engkau makan, iaitu minyak angin dan kipas angin!

Sunday, February 1, 2009

Pakat Ramai-ramai Tebang Pokok

Petang tadi hujan, mak oi.. lebat sekali. Sejurus selepas hujan berhenti aku didatangai sahabat sekampung mengajak aku dan sahabat-sahabat yang lain memotong pokok-pokok kecil dan besar di kanan jalan masuk ke kampung kami. Memang pokok-pokok itu menambahkan kegelapan malam di sekitar tempat itu. Seram juga aku kat tempat itu jika pulang bersendirian lewat malam.

Dengan kemudahan komunikasi masa kini, lebih ramai yang dapat dihubungi untuk membantu. Sekejap sahaja bilangan kami sudah menjangkau 30 orang. Macam nak perang sabil, mana tidak masing-masing dengan ‘senjata’ di tangan. Kelihatan tiga orang Mat Bangla yang berjalan-jalan di situ, tergesa-gesa berpatah balik. Mungkin mereka menyangkakan orang Melayu nak mengamuk agaknya. Aku turut membawa gergaji kayu dan sebilah golok. Yang lain turut membawa apa yang patut; parang, tali, gergaji rantai dan sebagainya. Berbekalkan semangat gotong royong yang masih tebal, dan senda gurau menggiat sesama sendiri, satu demi satu pokok tumbang. Gigitan pacat dan kerengga tidak menjadi soal langsung. Masing-masing ingin menyumbangkan tenaga. Tidak sampai setengah jam teras dan dahan-dahan pokok-pokok yang ditumbangkan dibersihkan. Semua berpuas hati.

Tanpa kami sedari tuan rumah yang berhampiran dalam diam menyiapkan minuman dan sedikit juadah seadanya untuk kami. Apa lagi, bagai orang mengantuk disorong bantal, sekejap saja , licin! Setelah mengucapkan terima kasih, kami pun pulang, tinggallah tuan rumah untuk mengemaskan apa yang patut.