Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Saturday, October 29, 2011

Duit lagi tu.... Update


Dalam perjalanan pulang dari Slim River petang semalam, hujan cukup lebat. Masa itu jugalah penghawa dingin keretaku tidak berfungsi langsung. Terpaksalah aku meneruskan perjalanan dengan lebih berhati-hati. Alhamdulillah aku selamat sampai di rumah; tetapi hati sedikit bungkam, penghawa dingin kereta tu hendakkan duitlah tu. Tambahan pula dua minggu lagi cukai jalan dan isnsuran kereta itu akan tamat tempoh hayatnya pula. Duit lagi tu....

Pagi ini aku tiba terlebih dahulu daripada tuan punya kedai membaiki penghawa dingin kereta. Setelah dia memeriksa, " Ai ya encik aaa, motor aircond losak; tapi tak apa, saya ada dia punya spare part.. Pukui satu boleh siap punya.."
" Agak-agak berapa ringgit, tauke?"
" Sudah siap baru tau.."

Hmmmmm.. duit tu....
Update: Pukul satu petang spt yang dijanjikan, memang sudah siap. Aku ditunjukkan barang-barang yang rosak dan sudah diganti. "Ok", kataku.. "Berapa?" "RM 320.00. Itu gas tarak ganti saya kasi tahan lama punya duduk dalam katanya.. Kalau tidak lagi mahai o..." Kelmarin bingkai cermin mataku patah.. Ganti bingkai baru. Ini "aircond" kereta pulak.. Hmmm, lebuh juga bilangan jari sebelah tangan... jadi rezeki orang.

Thursday, October 27, 2011

Korban Percintaan: Permintaan Yang Keterlaluan

(Maaf.. tiada siapa yang terkorban di sini.. sama ada kerana bercinta atau kerana membaca blog picisan ini... apapun terima kasih kerana menjenguk..)

Pagi tadi semasa bersarapan kami laki bini, di corong radio terdengarlah lagu Korban Percintaan dendangan Julie Remie. Sejak lagu itu diterbitkan kalau tak silap dalam tahun 1976, ramai yang merungut kerana ada yang tak kena pada liriknya iaitu pada baris " kira(nya) jasadku meninggalkan badan". Mana mungkin jasad meninggalkan badan kerana badan itu jasad dan jasad itu badan. Yang pergi dari badan atau jasad ialah nyawa atau roh. Sayang lagu yang semerdu itu silap dari segi liriknya. Namun bolehlah dimaafkan kerana lagu ini ada juga menyentuh tentang penyerahan diri kepada Yang Maha Esa dan penerimaan akan takdir tuhan yang menentukan segalanya.

Jika permintaan yang keterlaluan " di atas nisan tolong tuliskan, inilah kubur korban percintaan " dipenuhi, mungkin haru jadinya di tanah perkuburan. Aku rasa setiap orang yang menziarahi perkuburan lalu terlihat ada batu nisan bertulis Korban Percintaan, akan mencebik dan mencemik muka dan bibir.. Poorah...Tiada simpati atau doa untuk itu ..
Catatan: Mungkinkah begini rupanya kubur Korban Percintaan ??.. hmmmmm.

Paparan video di sini (bergantung kepada kelajuan broadband/streamyx anda)

Wednesday, October 26, 2011

Kerantung.. "Alarm" Orang Melayu


Kerantung diiperbuat daripada kayu halban, durian, meranti dan sebagainya yang ditebuk untuk menghasilkan rongga di sepanjang terasnya. Jika teras kayu keras seperti cengal atau kempas digunakan, bunyinya tidak begitu kuat. Sehingga awal tahun 1980-an, kerantung masih digunakan di masjid-masjid dan di surau-surau. Setiap kali masuk waktu sembahyang fardu, kerantung akan diketuk. Ketukan dimulakan dengan laju. Ketukan akhir yang jedanya lebih lambat, mengikut bilangan rakaat sembahyang. Jika subuh dua kali, jika zohor, asar dan isya' empat kali; jika maghrib tentulah tiga kali. Bunyi kerantung dapat di dengar sehingga lima kilometer jauhnya, bergantung kepada saiz teras kayu dan saiz rongganya.

Bunyi kerantung yang kedengaran bukan pada masuknya waktu sembahyang, difahami sebagai pemberitahuan adanya kematian. Cara ketukan untuk mengkhabarkan adanya kematian berbeza dengan ketukan menandakan masuknya waktu sembahyang. Jeda ketukan akhirnya dibuat satu demi satu selang beberapa saat. Aku kurang ingat akan bilangan ketukan akhir yang menandakan yang mati itu lelaki, perempuan atau kanak-kanak.

Di Bidor, kerantung akan diketuk juga dua jam sebelum masuk waktu Jumaat. Mungkin untuk memberitahu yang berkebun, berladang atau penoreh getah untuk bersegera kembali menyiapkan diri untuk ke masjid.

Berikutan perkembangan teknologi semasa, peranan kerantung sudah semakin diperkecilkan sehingga untuk mencari sebuah masjid yang masih menggantung kerantung di serambi pun amat sukar sekali. Bukankah suasana akan menjadi lebih indah jika kerantung diketuk, dan diikuti pula bunyi azan.. Ah.. begitu sentimental sekali!

Catatan: Gambar di atas  dirakamkan di surau INFRA, Bangi.



Tuesday, October 25, 2011

Apabila Pokok Dah Condong


Ada pun pada hari Ahad 23.10.2011 yang lalu, fakir bersama dua ratus orang yang bekerja macam fakir juga dipanggillah ke suatu tempat. Memandanglah fakir akan surat yang mengarahkan fakir itu untuk fakir tahu siapakah gerangan yang empunya kuasa yang menyeru itu. Setelah dua tiga kali fakir sarung dan pasang kembali cermin mata fakir, tahulah fakir surat itu datangnya dari atas kayangan tempat dewa-dewa bersemayam adanya. Rasa-rasanyanya dapat fakir mengagak apakah yang tersurat dan yang tersirat hingga memerlukan fakir dan teman-teman fakir hadir ke tempat yang ditetapkan itu. Adapun, asalnya nama fakir tidaklah berada dalam senarai yang dipanggil, namun betara ratu tempat fakir bekerja mengarahkan fakir hadir bagi menggantikan seorang sahabat fakir yang sedang menyahut panggilan Ilahi, bukan mati tetapi menunaikan haji.

Setelah berada di tempat yang dimaksudkan, sahlah seperti yang fakir fikirkan itu. Tujuan pertemuan itu  hanyalah untuk menyeru fakir dan sahabat-sahabat fakir membantu menegakkan kembali pokok yang dah condong hampir menyembah bumi. Maka oleh yang empunya kuasa, diceritakan jikalah pokok itu tumbang sujud ke bumi, maka terjadilah huru dan hara, gelodak dan gejala, jelaga melanda, bangsa binasa.. begitulah kami dikhabarkan. Diriwayatkan jugalah akan adanya panau di buntut petualang yang itu, adanya kurap di ketiak petualang yang ini. Dikhabarkan juga musuh yang itu perutnya busung, musuh yang ini kakinya pekung.

Adapun fakir yang hina ini tidaklah mudah fakir menelan saja apa yang dikhabarkan itu; hanya kerana fakir yang hina ini tahu jua akan adanya panau, kurap, pekung dan ketuat yang melata di buntut dan kaki yang empunya kuasa itu.

Ternanti-nanti jugalah fakir yang hina ini, yang empunya kuasa mengkhabarkan akan sebab musabab mengapa pokok yang dulunya kukuh padu itu, kini hampir sujud ke bumi?? Namun tiada jua dikhabarkan. Mungkin mahu dipersalahkan tanah tidak subur atau anai-anai yang  merosakkan akar? Atau menyalahkan hujan turun di tempat lain, sedangkan ketika rendangnya pokok itu hanya burung nuri dan merak kayangan sahaja kenyang di dahannya hingga menyebabkan pipit, ular, semut, merpati, rama-rama dan lain-lain serangga mencari pokok lain yang tegak elok dan lebih hijau daunnya untuk dihuni?

Adapun pada pendapat fakir yang hina ini, pokok yang dah hampir tumbang eloklah saja ditebang dan tanam pokok yang baharu untuk hasil yang lebih lumayan pada masa hadapan.

Wednesday, October 19, 2011

Mati lagi?? Waduh.. waduh..

Lagi ikan di kolamku mati.. Kali ini tengas.. hu..hu..
Cerita yang berkaitan di sini.

Hang Tuah Mesti Menang


I Hang Tuah Hero Melayu

Sewaktu aku kecil dahulu, kanak-kanak lelaki sewaktu bermain "lawan-lawan" ingin menjadi seperti Hang Tuah. Pihak kerajaan akan mengurniakan pingat Hang Tuah kepada kanak-kanak yang 'berjasa' menyelamatkan orang yang dalam kecemasan seperti lemas, terbakar dan sebagainya. Tinggi sungguh  penghormatan yang diberikan kepada tokoh epik Melayu itu. (Kata sesetengah orang , buku Hikayat Hang Tuah dilarang pengedarannya di Indonesia kerana kandungannya yang memperkecil-kecilkan pemimpin dan pahlawan silam Jawa, wallahhu'alam).

Ketika kecilku juga jika bermain lawan-lawan dengan abangku di rumah, dialah yang akan menjadi Hang Tuah dan akulah Hang Jebat. Hang Jebat mestilah kalah. Pada satu hari aku menewaskan Hang Tuah, Hang Tuah marah lalu menolakku sampai jatuh 7 anak tangga ke tanah. Parut lukanya kekal di bawah mata kananku sampai hari ini.

II  Silat Tunggu Naik Syeikh
Sewaktu tragedi 13 Mei 1969, gelanggang silat tumbuh macam cendawan di kampung-kampung. Ketika itu aku berusia 9 tahun. Dapatku ingat dengan jelas bagaimana sekumpulan anak muda termasuk bapa saudaraku belajar sejenis silat di halaman rumah opah, tapi aku tak ingat silat apa. Penuntutnya dikehendaki beratib bersyahadah tanpa henti sampai "naik syeikh". Apabila syeikh sudah meresap, maka penuntut akan bangun bersilat sendiri tanpa perlu mempelajari apa-apa jurus terlebih dahulu. Hairan juga jika difikirkan ketika musuh menyerang, kita kena duduk beratib dulu tunggu sampai naik syeikh. Jika syeikh yang diseru lambat tiba kerana terpaksa buang air (sakit perut?),  sementara itu musuh pun sampai terlebih dahulu.. hmmm mampus kena kerat!!

Ketika aku belajar dalam tingkatan satu (1974), gelanggang silat (biarlah kunamakan sebagai silat xyz supaya tak ada yang terasa hati jika aku sedikit negatif) dibuka di kampungku. Ramailah anak muda yang belajar silat xyz itu. Selama mereka belajar mereka disyaratkan supaya tidak meninggalkan sembahyang (baguslah), dan tidak dibenarkan makan makanan yang dijual di kedai orang Cina seperti ais kacang dan rojak. Cendol di kedai orang India boleh pula??? Kalau langgar pantang ilmu jadi tawar dan mudah cedera ketika belajar menggunakan senjata seperti parang atau keris.

Pada suatu hari mahaguru silat xyz datang melihat anak buahnya belajar silat. Biasanya yang mengajar adalah orang-orang bawahannya sahaja. Beliau menunjukkan kehandalannya memotong isi pisang menggunakan ilmu kebatinannya. Memadai dengan tenungan tepat ke arah pisang, apabila dikupas isi pisang terpotong tiga. Semua yang hadir mengakui kehebatan mahaguru itu. Setelah aku dewasa baru aku tahu itu satu pembohongan semata-mata. Aku tahu taktiknya itu setelah membaca sebuah buku silap mata.

Ketika aku berumur 16 tahun, aku menyertai kawan-kawanku belajar silat xyz. Guru silat itu mengajar kami tanpa melibatkan apa-apa yang dianggap berunsur kebatinan. Tak perlu tidur di kubur atau di bukit untuk menghadapi dugaan macam filem Pendekar Bujang Lapok. Kami diajar menggunakan tenaga sendiri, bukan tenaga "syeikh". Tetapi aku tidak menamatkan pelajaran silatku, kerana aku rasa aku tak cukup berani ketika menghadapi ujian seperti mencucuk jari dengan jarum sampai jarum itu terbenam sepenuhnya di dalam jari. Kadang-kadang guru terus sahaja menghayun parang tajam berkilat ke arah kaki kita, kalau tak melompat, putus.. Aku pun berhenti.. Aku tahu aku penakut. Tak jadi Hang Tuah pun tak apa.

III Silat Paling Senang

Susah sebenarnya belajar silat ni. Kena ingat langkah dan jurus-jurus yang diajar. Dalam tahun 1979, di kampungku ada orang memperkenalkan silat Nasrul Haq. Silat ni nampaknya senang dan begitu berkesan untuk menewaskan musuh. Ambil "ijazah" daripada guru, baca ayat tertentu, terus boleh melawan orang dari jauh, pakai angin saja. Jika syeikh dah masuk, tolakkan saja tangan ke hadapan macam Ultraman, musuh yang berada berpuluh-puluh meter di hadapan akan jatuh tergolek. Senang saja. Tetapi awas, silat ini tentu sahaja  menggunakan perantaraan jin secara langsung. Akhirnya silat ini diharamkan oleh Jabatan Agama Islam kerana boleh memesongkan akidah dan membawa unsur-unsur syirik kepada Alah swt. Mujur aku tidak pernah mempelajari silat ini.

IV Pencenkan sahaja 'syeikh"
Pada pendapat aku, gelanggang mempelajari ilmu persilatan Melayu perlu digiatkan kembali kerana kelihatannya kini ia semakin lesu. Anak muda Melayu lebih mengenali karate, judo dan shaolin berbanding silat Melayu. Silat Melayu perlukan pendekatan baru dengan membuang semua unsur karut-marut yang mengiringinya seperti pembakaran kemian, "menjamu",  pantang-larang yang tak masuk akal, menyeru syeikh , dan sebagainya.

Monday, October 17, 2011

Permainan masa kecik-kecik

Bermain-main dengan kawan-kawan sewaktu kecil merupakan pengalaman yang sangat indah untuk dikenang apabila usia semakin meningkat melepasi separuh abad. Galah panjang, polis sentri, tarik upih, congkak, seremban, gasing, kad bergambar, main perang, tengteng, main pedang ala zorro, guli, main layang-layang, menangkap ikan laga, menyelam mencari batu, main menyorok, main sorok daun .. dan entah apa lagi jenis permainan.
 
Ketika bermain ketawa gembira namun tak kurang juga ada yang menangis bermasam muka kerana diejek apabila tewas. Itu belum lagi yang berkelahi tetapi esok berbaik kembali. Sebahagian daripada permainan itu tidak melibatkan budak perempuan dan sebahagian lagi jantina tidak menjadi soal. Apabila bermain polis sentri, tak kira.. budak lelaki peluk budak perempuan dan budak perempuan peluk budak lelaki, yang penting bermain bersama-sama.
 
Apabila bermain congkak, kuku menjadi hitam kerana lubang congkak dibuat di atas tanah. Ketika makan nasi, kuku bersih kembali. Tidak hairanlah budak-budak dahulu dalam perut mereka banyak cacing. Apabila musim main pedang tiba, habis anak pokok getah opah yang sebesar jari telunjuk tu dikerat untuk dibuat pedang. Tempurung pula di sarungkan di hulu pedang itu. Apa lagi, hayun sahaja.

Main seremban tidak memerlukan tenaga yang banyak, cuma cari sahaja anak batu yang sesuai, lambung dan tangkap. Longkang-longkang kecil di kampung habis diranduk untuk menangkap ikan laga. Ikan ini senang dicari. Jika nampak buih, kaup dengan tangan, pasti ada ikan laga jantan yang menjaga telur si betina di bawah buih itu.

Ketika musim bermain layang-layang, langit akan dipenuhi pelbagai bentuk layang-layang yang berwarna-warni. Jika kurang wang, buat sahaja layang pakai surat khabar lama. Di Bidor, istilah "kot" (dibaca "kort") digunakan dalam permainan layang-layang; yang bermaksud dua orang pemain layang-layang akan menerbangkan layang-layang mereka berdekatan antara satu sama lain supaya benang layang-layang itu akan bersentuhan dan bergeseran. Ketika itu pemain akan melepaskan benang selaju mungkin supaya geserannya dapat memotong benang lawan. Sesiapa yang tidak mempunyai benang yang cukup panjang, besar kemungkinan benang mereka akan putus. Apabila satu daripada layang-layang itu putus, dikejarlah ramai-ramai, siapa beroleh dialah yang punya. Untuk tujuan "kot" benang layang-layang akan disapu dengan perekat (gam) yang dicampur serbuk kaca. Kaca yang menjadi pilihan ialah kaca lampu kalimantang yang ditumbuk halus. Kami terpaksa mencari tiub lampu kalimantang di tempat buangan sampah di pekan, maklumlah masa itu di kampung kami belum ada bekalan elektrik. Mungkinkah istilah "kot" itu datangnya dari perkataan "cut" ? Entahlah..

Ada satu lagi permainan sampingan yang tak kurang menyeronokkan. Di tiang-tiang surau, ada banyak lubang berdiameter lebih kurang 1cm; ambil lidi jolok ke dalam lubang itu sampai keluar bunyi rengekan panjang sang kumbang yang bersarang di dalamnya. Satu hiburan pula. Namun semua permainan yang disenaraikan di atas sudah semakin lenyap daripada senario di kampung-kampung. Anak-anak kampung kini lebih selesa bermain di hadapan komputer, tak perlu berjemur untuk bermain seperti generasi terdahulu.

Sunday, October 16, 2011

Kena Kuarantin Dulu...

Dua lampam, tiga koi timbul kaku di kolam ikanku.. Dua ekor koi itu adalah yang terbesar dalam kolam itu, yang kupelihara sejak lebih dua tahun lalu. Dua ekor lampam itu ketika mula-mula kupelihara hanya sebesar dua jari bayi. Ketika ia mengapung , ketebalannya sahaja menjangkau dua jari orang dewasa. Walaupun hanya ikan, tetapi aku tetap sedih. Sebabnya berpunca daripada kelalaianku sendiri. Baru-baru ini aku menambah empat ekor koi yang baru. Aku rasa ia selamat untuk kumasukkan terus ke kolam selepas dibeli di kedai ikan perhiasan. Aku tahu ia perlu dikuarantin dahulu, tetapi yang sebelum-sebelum ini tak ada apa-apa masalah pun; kecuali kali ini. Selepas tiga hari, keluar darah dicelah-celah sisik koi yang sedia ada. Panik aku. Cari ubat sampai ke Ipoh; walaupun serangan virus itu dapat diatasi selepas lebih seminggu tapi aku kehilangan lima ekor ikan yang besar-besar. Apapun, kucing juga yang kenyang. Sampai pagi ini bila nampak sahaja mukaku, kucing-kucing itu seolah-seolah merayu supaya dihidangkan lagi ikan lampam atau koi lagi. Melampau tu...

Itulah, jangan degil.. kuarantin dulu sebelum campur, tapi itu ikan. Bagaimana dengan orang? Perlukan setiap orang yang bertamu ke rumah kita, perlu dikuarantinkan??? Tak ke haru jadinya.. hmmm. Apa perasaan kita jika kita pula dikuarantinkan apabila bertamu ke rumah orang lain?? Dua kali haru jadinya..

Thursday, October 13, 2011

Ahmad Jais..


Satu ketika dulu aku pernah menulis tentang kehairananku terhadap Ahmad Jais. Macam mana beliau boleh masuk ke dalam radio transistor yang kecil sambil mendendangkan lagu di dalamnya. Ceritanya di sini. Namun Ahmad Jais sudah pergi buat selama-lamanya pada 11 Oktober 2011 yang lalu. Beliau meninggal ketika berusia 75 tahun.

Bercakap tentang muzik, aku cuma meninati lagu bukan penyanyi. Walau bagaimanapun tetap ada kekecualiannya. Aku berbohong jika mengatakan aku tidak meminati Ahmad Jais . Selain Ahmad Jais aku turut meminati Rafeah Buang dan M. Nasir. Tiga orang itu sahaja. Hanya M. Nasir sahaja yang masih hidup.

Semasa kecil, aku tinggal dengan opah sebab rumah opah lebih dekat dengan sekolah daripada rumah emak. Bapa saudaraku yang masih bujang peminat setia Ahmad Jais, sering menyanyikan lagu biduan itu di rumah. Sementelahan anak saudara opah yang tinggal di sebelah rumah ada "radiogram", pemutar piring hitam.. tentunya lagu Ahmad Jais dan Rafeah buang yang banyak diputarkan. Selepas demam irama agogo semakin reda,  Ahmad Jais, Rafeah Buang, M. Fadhil, Sanisah Huri, Sharifah Aini dll (sekadar menyebutkan beberapa nama) meneruskan lagu-lagu langgam. Ketika itu Radio Singapura menjadi pilihan utama para pendengar.

Gelisah, Bahtera Merdeka, Kau Pergi Tanpa Relaku, Kucupan Azimat, Di Ambang Sore, Mengharap Sinar Menelan Kabus, Di Ambang Syurga dan puluhan lagu Ahmad Jais masih tetap enak didengar.. evergreen kata orang putih. Lagu duet Ahmad Jais bersama Kartina Dahari, Budi Setahun Segunung Intan, bagiku begitu menarik. Kemudian beliau berduet pula dengan Rafeah Buang, (ketika aku berusia 9 atau 10 tahun). Bagai nak meletup radiogram emak saudara aku di rumah sebelah kerana dipasang kuat-kuat supaya semua orang boleh dengar lagu Ahmad Jais bersama Rafeah Buang. Itulah satu-satunya hiburan yang ada masa itu. Ahmad Jais pernah juga berduet dengan biduan S Effendi dari Indonesia.

Pada penghujung tahun-tahun 1970-an Ahmad Jais beralih mendendangkan lagu-lagu berirama dangdut. Tiada lagu irama dangdut yang dinyanyikan Ahmad Jais yang berada dalam simpananku sebab aku tidak meminati irama itu.

Dengan pemergian Ahmad Jais, kita kehilangan seorang biduan yang sukar dicari ganti. Mungkinkah akan ada "Ahmad Jais" yang baru? Rasa-rasanya payah sekali. Semoga Allah mengampuni dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang soleh.

Tuesday, October 11, 2011

Pengalaman Haji (2002)

 I Penerbangan Haji
Saban hari, pada ketikanya kini, ada saja kapal terbang yang berlepas membawa bakal haji ke Tanah Suci. Mereka yang menaiki penerbangan awal pastinya akan dibawa ke Madinah dahulu, manakala jemaah yang pergi dengan penerbangan yang lewat akan dibawa terus ke Makkah dahulu. Tidak kiralah mana satu penerbangan yang akan dinaiki, sama ada awal atau lewat pastinya jemaah haji akan dibawa ke kedua-dua tanah suci itu. Apapun kita berdoa agar para tetamu Allah itu mendapat kesejahteraan, kesihatan tubuh badan, ketenangan dan keberkatan daripada Allah swt; dan dipermudahkan segala urusan ketika menunaikan rukun Islam kelima itu.

II Usia dan Cabaran
Jika ditanya tentang usia yang sesuai untuk menunaikan fardu haji, ketika muda atau ketika sudah berusia. Jawapanku mudah, waktu bila pun sesuai cuma cabaran dari segi mental dan fizikalnya mungkin berbeza. Pergi ketika muda lain cabarannya, dan pergi ketika dah tua lain cabarannya. Ketika muda, pastinya kita dihantui masalah penjagaan anak kecil; yang ditinggalkan. Pergi ketika tua pula, kita dihantui oleh masalah kesihatan dan keadaan fizikal yang semakin menyusut. Maklumlah ibadat haji melibatkan pergerakan fizikal yang banyak di samping menghadapi  keadaan yang amat sesak; ditambah pula menghadapi kerenah manusia yang pelbagai ragam.

Satu lagi cabaran yang tidak boleh dikesampingkan ialah masalah hubungan suami isteri. Tidak kira tua atau muda, ramai yang tak dapat mengawal perasaan sehingga menimbulkan perbalahan dan pergaduhan antara pasangan; maklumlah orang lelaki, selepas dua tiga hari, mulalah dirinya serba tak keruan. Inikan pula diasingkan dengan isteri selama berada di Makkah dan di Madinah selama 40 hari. Dikhabarkan ada yang menjatuhkan talak hanya semata-mata si isteri tidak dapat menunaikan kehendak suami kerana keadaan waktu dan tempat yang tidak sesuai. Walaupun ada disediakan "bilik rehat" di hotel-hotel tetapi apabila ada pasangan yang ke bilik itu, tentunya ada mata jemaah yang lain yang memandang semacam.. malu lah..

III Batuk
Jika tidak batuk, tidak "sah" haji. Perbezaan iklim sedikit sebanyak akan menjejaskan kesihatan. Biasanya jemaah akan batuk-batuk dan sebahagiannya akan selesema, maklumlah hawa di sana panas kering dan berdebu. Kita mudah kehilangan kelembapan badan. Kulit akan gatal-gatal dan kering. Sesetengah jemaah akan mendapat penyakit kulit. Dalam keadaan ini krim atau losyen pelembap sangat berguna. Jika bertambah serius perlu mendapatkan rawatan doktor. Anggur di Makkah memang sedap tetapi awas.. mengundang batuk. Limau, oren dan epal dari Mediterranean memang manis dan lazat. Makanlah banyak-banyak untuk menambah kelembapan badan

 IV Roti free, kuah bayar
Roti canai? Jangan bimbang, pasti ada yang menjualnya. Ada sebuah kedai milik peniaga India (pastinya kini sudah tiada lagi akibat pembesaran Masjidil Haram) yang pernah disinggahi, hanya menjual kuah kari kambing dan kari ayam. Enam riyal semangkuk. Rotinya? Ambiklah berapa keping yang anda mahu, tetapi hanya boleh dimakan di dalam kedai itu sahaja, tidak dibenarkan dibawa balik. Sebenarnya sekeping pun sudah memadai untuk kita berdua laki bini.

V Fisabilillah
Kadang-kadang ada kontena berhenti, di belakangnya berderetan jemaah tolak menolak untuk mendapatkan makanan percuma. Tidak seperti jemaah Malaysia yang makanan disediakan di hotel-hotel secara dibungkus atau bufftet; jemaah dari negara lain perlu masak sendiri; Oleh itu jika ada yang mengedarkan makanan percuma tentulah diserbu oleh mereka. Yang mengedarkan makanan akan melaung.. fisabilillah.. fisabilillah. Maksudnya ada yang mensedekahkan makanan.

Ada peristiwa lucu berlaku ketika sedang wukuf di Arafah. Seorang dermawan ingin mensedekahkan buah-buahan kepada jemaah. Buah limau, epal dan oren dilemparkan kepada jemaah yang sedang berehat. Sambut menyambutlah jemaah..  ada juga yang buah yang dilemparkan hinggap di batang hidung . Selain itu ramai juga  yang mendermakan mi segera. Orang asyik membaca al-Quran dan berdoa ketika wukuf, yang kitanya asyik merendam mi segera sebungkus demi sebungkus. Satu lagi kelucuan yang agak menggemparkan terjadi apabila orang suruhan dermawan tersilap mengenal pasti hadiah yang hendak didermakan. Bungkusan berisi pisau cukur dan losyen untuk bercukur dilemparkan kepada jemaah wanita, manakala bungkusan berisi tuala wanita dilemparkan kepada jemaah lelaki.. haru jadinya. Akhirnya berlakulah tukar menukar hadiah.. hmmm yang dah menopause pun terpaksalah bertukar-tukar pisau cukur dengan tuala wanita.. Buatlah apa yang patut makcik...

VI Alamak ai.. Seluar Dalam dan Coli Merah
Di Mina, entah macam mana khemah kami diletakkan bersebelahan khemah jemaah Indonesia. Hanya dipisahkan dengan tabir kanvas sahaja. Jemaah lelaki dan jemaah perempuan negara tetangga itu diletakkan bersekali. Masalah juga tu. Lantaklah mereka. Di Mina, jika hendak mandi kena beratur (macam filem P Ramlee, Seniman Bujang Lapok) maklumlah orang ramai dan masalah air pula. Pada satu ketika, aku bernasib baik, ketika sampai ke bilik air itu, ada orang di dalam, entah siapa tak kiralah. Bermakna selepas ini tibalah giliran kita mandi. Berdirilah mengadap pintu bilik air itu, sambil mengharapkan orang di dalam segera membersihkan diri. Tiba-tiba sesuatu disangkutkan di atas pintu yang bertutup .. seluar dalam.. eh lain macam ni.. Belum habis berdetik sendirian, coli merah pula disangkut.. Ya Allah.. dugaan betul ni.. Apa pasal minah Indon ni mandi kat tempat lelaki ni...?? Selepas beberapa ketika pintu pun dibuka, wanita muda agak cantik keluar dan dia berlalu bersahaja.. Allah.. aku beristighfar.. waduh.. berdetup juga dadaku..

Thursday, October 6, 2011

Anak-anaknya Merenyut

 I
Dua hari lalu ketika perhimpunan pagi, seorang pelajar Tingkatan Satu bersikap agak keterlaluan terhadap seorang guru. Dipendekkan cerita setelah disiasat oleh beberapa orang guru yang lain, ternyata pelajar ini sebenarnya datang dari keluarga yang bermasalah. Ibunya merupakan isteri kedua daripada tiga orang isteri ayahnya. Ayahnya jarang-jarang kembali ke rumah. Dan yang pasti ayahnya bukanlah berada dalam ekonomi yang kukuh untuk menyara 3 orang isteri dan anak-anak.

Di bilik guru, sebelum ke kelas, sempat aku melontarkan pandanganku.. barangkali inilah yang dikatakan "anak tak bismillah". Dahulu aku tak sendiri tak faham maksud anak tak bismillah yang dikatakan itu. Rupa-rupanya ia bermaksud anak yang terhasil daripada percantuman benih ibu bapa, tetapi ketika si ibu dan si ayah hendak "bercantum" itu, mereka tidak melafazkan ucapan bismillah (paling minimum ???) pun. Mungkin si ayah balik ke rumah, mandi tidak, sembahyang tidak, terus saja memenuhi kehendak biologinya. Mungkin setengah-setengahnya pulang dari menogok, pulang dari berjudi, malah pulang dari mencuri merompak, terus sahaja memeluk bini..

II
Berbicara tentang orang banyak bini dan tentang orang naik haji, tentunya membuatkan aku teringat satu peristiwa lucu ketika aku menunaikan fardu haji pada awal tahun 2003 dahulu. Kisahnya bermula apabila aku dan empat orang lagi jemaah haji yang sebilik denganku, hendak melakukan umrah sunat. Kami turut membawa isteri masing-masing dengan menaiki teksi (sebuah van sebenarnya) untuk menuju ke Tanaim (sebuah kawasan tanah halal di luar Makkah) untuk berniat umrah. Pemandu van tersebut seorang Arab kelahiran Makkah (katanya) begitu ramah mesra, cuma agak sukar juga untuk  saling memahami bahasa masing-masing. Memandangkan kami membawa pasangan masing-masing, dia bertanya kepada ku yang duduk di sebelahnya, Siti Rahmah.. Siti Rahmah katanya sambil menunjukkan jari tanda satu dan sesekali dua. Seorang rakan sebilikku itu lekas sahaja menangkap maksud pemandu van.. Dia sebenarnya ingin tahu setiap orang daripada kami memiliki berapa orang isteri.

Kawanku menjawab, "Malizie, wahid, lazim". (Di Malaysia satu (isteri) adalah biasa.). Pak Arab tu sambil ketawa berdekah-dekah menujah-nujah lembut jarinya ke dahiku. Hatiku nerengus.. Pak Arab ni lebih nampaknya.. Katanya "Saudi..Saudi arba'a lazim". (Di Arab Saudi empat (isteri) perkara biasa ) ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepala, sambil meneruskan kata-katanya dalam bahasa Arab. Agaknya dia menghina kami sebab hanya mempunyai seorang isteri.

Dia menunjukkan dadanya sambil mengembangkan empat jari dengan  bangga sekali. Fahamlah kami dia mempunyai empat orang  isteri. Aku menunjukkan isyarat seperti orang bergaduh (tak ke bini kamu tu bergaduh?). Huh! katanya sambil menunjukkan satu di sana, satu di sini, satu di situ, satu lagi kat mana entah, maksudnya duduk berasingan antara seorang isteri dengan isteri yang lain. Selepas itu aku menunjukkan isyarat orang mengelek anak. Huh! katanya menujukkan empat jari empat kali.. 16 orang .. huh ramainya kataku.. merenyut.

Setelah tiba di masjid Tanaim, dia menunjukkan isyarat bahawa dia akan menunggu kami di satu kawasan berhampiran. Sempat juga aku bergambar dengan Pak Arab itu tetapi ke mana pula menghilangnya gambar itu..

Wednesday, October 5, 2011

Apabila Anak Sambung Belajar ...

Anakku Khaliq, yang sedang belajar dalam urusan undang-undang di UiTM menelefon ke rumah. Dari nada suaranya, nyata dia sedih kerana tidak berjaya mendapat biasiswa JPA, sedangkan rakan-rakannya yang "pointer" program asasi mereka lebih rendah daripada apa yang diperolehmya, berjaya mendapat biasiswa itu. PTPTN pula seperti melepaskan batuk di tangga sahaja apabila hanya menawarkan  bantuan RM 3000 sepanjang pengajian. Jika sebanyak itu daripada PTPTN, tak payahlah. Kalau RM 3000 satu semester, itu lebih munasabah.

Selain biasiswa JPA, Khaliq juga memohon pinjaman daripada ANGKASA. Keputusan akan diketahui dalam seminggu dua ini. Jika itu pun tak dapat parah juga rasanya. Bayaran yuran pengajian di UiTM tidaklah begitu tinggi sebenarnya, tanpa bantuan pun, insya-Allah aku mampu membiayainya tetapi belanja makan minum, buku, tambang, berat juga rasanya jika hanya bergantung kepada wang gajiku dan ibunya semata-mata. Paling tidak pun RM 700 sebulan perlu disediakan untuknya.

Belum habis memikirkan pembiayaan Khaliq, tup-tup, abangnya Qayyum pula, menyatakan dia juga ingin menyambung pelajaran perakuanan ke peringkat ijazah, dan tawaran sudah pun diterima dari UniKL.. Yuran keseleruhuan pengajiannanya, RM 40000. Itu belum masuk wang poket, buku, tambang dan lain-lain. Menurut pihak UNiKL pinjaman akan disediakan. Aku harap Qayyum akan berjaya mendapat pinjaman itu nanti. Kalau tidak nahaslah aku... Mana nak dicekih (Perak = cari) duit yang mencukupi buat belanja dua beradik itu nanti.

Amira pula akan menduduki peperiksaan SPM 2011 tidak lama lagi. Tahun depan insya-Allah, (jika keputusannya baik) pastilah dia juga akan mengikut jejak langkah abang-abangnya... Baru aku sedar, beginilah kegetiran yang dialami oleh para ibu bapa yang berhempas pulas menyediakan perbelanjaan untuk anak-anak mereka yang sedang belajar di IPTA/IPTS. Seperti juga ibu bapa yang lain, aku dan isteri akan tetap melakukan yang terbaik untuk masa depan anak-anak.







Monday, October 3, 2011

Cerita Hantu....

Boleh dikatakan saban hari dan saban malam ada saja cerita hantu atau cerita seram yang ditayangkan di kaca TV... Mungkin penerbit berpendapat hanya cerita-cerita seperti itu sahaja yang dapat menarik penonton. Suatu ketika dulu, cerita-cerita seperti itu tidak mendapat kelulusan daripada LPF untuk ditayangkan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, setelah LPF menarik balik larangan tayangan cerita sedemikian, tayangan cerita sedemikian yang berleluasa sudah seperti di luar kawalan pula.

Ke mana masyarakat kita hendak dibawa melalui fantasi dunia filem ini? Ke dunia hantu? Ke alam bunian? Ke alam jin? Namun gejala ini jika hendak dibebankan kesalahan di bahu pengeluar dan pengarah filem sahaja rasanya tidak patut juga.. mereka melihat melalui cerita-cerita sedemikian sahaja mereka boleh mendapat keuntungan. Bermakna hanya cerita-cerita-cerita sedikian sahaja yang mencatat jumlah penonton yang ramai; sehingga mendapat pulangan yang lumayan.

Dari Hong Kong ke Bollywood; dari Bollywood ke Hollywood, merentasi, "Indonwood", dan "Siamwood", semuanya turut menerbitkan filem-filem hantu/seram, malah filem-filem mereka lebih menyeramkan dan mendebarkan. Itu belum lagi ditambahkan dengan filem keluaran Jepun atau Korea.

Apapun semua itu jika tidak dikawal akan menyuburkan lagi unsur-unsur khurafat dalam masyarakat kita yang beragama Islam.. Apakah perlu dibuat kajian, berapa ramai sudah rakyat Melaysia yang mati atau tercedera dek dicekik hantu??




Sunday, October 2, 2011

Merenung Kosong ..


Lokasi: Bukit Merah Laketown
Tarikh : 1.10.2011
Aku pun tak tahu apa yang kurenung dan apa yang kufikir ..

1.10.2011, Bukit Merah dan Kuala Sepetang

 I
Semalam Sabtu, 1.10.2011 .. hari yang yang seperti hari-hari yang lain dan hari Sabtu yang sama seperti hari Sabtu yang lain. Cuma dalam hidupku, setiap kali tarikh 1 Oktober tiba, itu menandakan pertambahan usiaku untuk setahun lagi. Hari jadi hanyalah hari jadi bagiku, tiada apa yang istimewa. Semoga pertambahan usia menjadikan aku bersikap dan bertindak lebih positif daripada aku yang ada sebelum 1.10.2011. Apapun kuucapkan terima kasih kepada setiap yang mengucapkan selamat hari jadi (serta doa) kepadaku secara berdepan, menelefon, SMS, mahupun melalui ruangan Facebook. Ingatan kalian kepadaku amat-amat kuhargai dan kusanjung tinggi.


II
Semalam juga aku mengiringi rombongan Kelab Pelancongan SMK Sungkai ke Taman Tema Bukit Merah. Kepergianku hanyalah sebagai pelengkap supaya ada guru lelaki yang mengiringi rombongan itu. Aku kurang mengenali pelajar-pelajar yang ikut serta kerana aku mengajar di Tingkatan 6 sedangkan pelajar-pelajar yang kuiringi ini berada dalam Tingkatan Empat dan Lima. Hendak dikatakan mengiringi pun tak begitu tepat, kerana aku mengiringi mereka menggunakan keretaku sendiri, bermakna aku tidak berada bersama mereka di dalam bas. Aku turut membawa isteriku dan anak-anakku. Sempat juga peserta rombongan meraikan hari jadiku di sebuah gerai mi udang di Kuala Sepetang lewat petang semalam.