Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Sunday, January 22, 2012

Catatan Tengah Hari 22/10/2012


10 hari aku tiada memuatnaikkan apa-apa cerita maupun berita. Kesibukan tugas atau buat-buat sibuk dengan tugas membatasi ruang untuk berblog. Lantaran cuti sekolah seminggu sempena Tahun Baru Cina ini, memberikan aku peluang menulis sesuatu di blog picisan ini.

I
Jika gemar meneliti perjalanan politik negara kita, sedikit-sebanyaknya akan menyesakkan nafas juga. Tertanya-tanya apa kesudahan negara kita ini pada masa depan. Apa nak diharap pada orang politik semata-mata kerana sudah cera mereka mencari makan di lubuk itu. Buruk baiknya perlakuan mereka yang kenyang mereka juga. Untuk menambah rasa curiga, ada menteri yang kata jika mereka dan keluarga mereka mengisytiharkan harta, meraka akan diancam bahaya. Aku bertanya sendiri, bahaya yang bagaimana???

II
Sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan Tingkatan Enam, aku terlibat dalam pengagihan baucar buku RM200 kepada semua pelajar Tingkatan Enam di sekolahku. Aku diberitahu supaya satu majlis pelancaran diadakan.  Majlis dibuat seringkasnya. Tokoh yang melancarkan tidak mahu sebut tentang politik kepartian ketika melancarkan, kerana katanya budak sekolah biarlah tumpukan pada pelajaran sahaja. Aku amat menghargainya.

III
Limau mandarin, berpuluh-puluh biji aku telan, lepas tu dah nak ke tandas sahaja. Maklumlah Tahun Baru Cina, kita yang Melayu ni tumpang sekaki juga. Sebagai guru di sekolah Choong Hua Bidor, isteriku banyak diberi buah limau oleh rakan-rakan sejawatnya di sekolah itu. Ada juga budak-budak kampung turut bakar mercun. Mujur mereka tak buat meriam buluh pula. Kepada semua sahabat dari kaum Tionghua, diucapkan GONG XI FA CHAI..

Wednesday, January 11, 2012

Selamat Jalan Sahabat

Dalam perjalanan pulang kira-kira jam 3.30 petang tadi, anakku menelefon dari rumah mengatakan seorang sahabat di rumah berhampiran telah meninggal akibat serangan stroke. Beliau meninggal di hospital Teluk Intan. Sudah janjinya tiba, tiada siapa dapat menghalang.

Rancangan asalnya hendak dikebumikan selepas maghrib tadi tetapi terhalang kerana hujan turun cukup lebat. Maklumlah hari Rabu, hari kebarangkalian hujan di Bidor cukup tinggi. Akhirnya jenazah beliau dibawa ke tanah perkuburan jam sembilan malam, selepas hujan agak reda. Sebagai sahabat sekampung aku mengucapkan selamat jalan, semoga Allah menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh..

Terasa juga sedikit kesalan di hatiku kerana dua minggu lepas, beliau banyak makan nangka di satu majlis. Aku berkata kepadanya, "nangka itu banyak angin, silap gaya "pindah" nanti..". Ternyata selepas dua minggu beliau benar-benar berpindah, tetapi bukanlah disebabkan oleh nangka itu.

Sunday, January 8, 2012

Kuala Lumpur.. Senyumanmu ..

Pagi tadi bersama isteri, dan anak-anak, aku Kuala Lumpur .. atau lebih tepat ke UniKL Kampus Kota yang terletak di persimpangan masuk ke Kampung Baru untuk menghantar anak sulungku mendaftar masuk. Sudah hampir lima tahun aku tidak ke Kuala Lumpur. Bukan pun jauh sangat dari Bidor. Jika berkereta sekitar mengambil masa satu setengah jam sahaja menggunakan lebuhraya. Aku cukup keberatan untuk mengharungi kesesakan lalu lintas di bandar raya kosmopolitan ini.

Setelah selesai mendaftar diri, terpaksa pula menghantar anakku itu ke asrama yang terletak di Jalan Pantai Baru. Bukan aku tak biasa jalan-jalan di Kuala Lumpur kerana aku menjalani latihan perguruan selama tiga tahun di Maktab Perguruan Bahasa (kini Institut Bahasa Melayu Malaysia) yang juga terletak di Jalan Pantai Baru hampir 30 tahun lalu. Namun perkembangan pembangunan menyebabkan aku banyak kali juga terlepas simpang dan kehilangan tanda arah. Namun berkat pengalaman merayau-rayau di segenap pelosok KL, akhirnya tiba jua ke destinasi.

Hmmm !! aku mengeluh sendirian.. Ini Kamsis C UKM 30 tahun lalu. Lantas aku mencari pemandangan Maktab Perguruan Bahasa..huh.. itupun dia. Alahai Stadium Hoki yang dulunya Stadium Kilat (Lembaga Elektrik Negara) pula di sebelahnya.

Ini tempat ayah merayau-rayau dulu ni.. kataku.
Habis mengapa ayah boleh tersilap jalan?anakku bertanya kembali.
Dulu ayah jalan kaki..sekarang berkereta .. balasku.

Selepas makan tengah hari, yang belajar kenalah tinggal yang lain kenalah balik. Dalam perjalanan pulang aku membawa anak-anak yang tinggal berdua beradik itu ke Masjid Negara untuk solat zohor. Memandangkan petang masih awal aku membawa mereka melawat ke Muzeum Negara pula.

Sebelum meninggalkan Kuala Lumpur, sempat jua aku mengimbau kenangan lagu lama dendangan Alleycat, Senyumlah Kuala Lumpur.

Friday, January 6, 2012

Setelah Tiga Hari ..

I
Rabu, Khamis dan Jumaat. Tiga hari sahaja hari persekolahan untuk minggu ini. Peringkat awal ini nampaknya para pelajar tidak banyak menimbulkan masalah disiplin.  Mungkin masih mencari-cari rentak sambil meninjau-ninjau peluang dan ruang melakukan perlanggaran peraturan yang ditetapkan, tetapi itu melibatkan hanya segelintir pelajar sahaja. Antara masalah disiplin yang sering dilakukan ialah datang lewat, ponteng kelas, dan berpakaian yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Perbuatan itu dilakukan oleh pelajar-pelajar yang sama berkali-kali.

II
Ramai bekas  pelajar yang kini sudah besar panjang menyatakan kekesalan mereka kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar suatu waktu dahulu. Ramai yang mengatakan jika mereka belajar bersungguh-sungguh dahulu, mereka mungkin takkan jadi seperti mereka pada hari ini. Dalam hati aku selalu mengatakan bahawa mana mungkin semua akan jadi doktor, jurutera, guru dan sebagainya. Mesti ada yang terpaksa menjadi pekerja sedikit terkebawah. Jika semua berjaya menjawat jawatan tinggi, siapakah yang akan menggali kuburku nanti, yang akan memanjat petai, kelapa dan sebagainya?? Sepanjang aku menjadi guru ini, pelajar yang kurang berdisiplin, apabila mereka dewasa, mereka inilah yang akan bertegur sapa dengan kita berbanding yang jadi doktor, jurutera dan sebagainya. Itu perkara biasa.


Monday, January 2, 2012

Buatlah, selagi ada kuasa ..

Tak kira siapa, selagi ada kuasa selagi itu nak tunjuk kuasa. Boleh buat apa saja.. yang betul boleh dinafikan, yang tak betul boleh disahkan. Lantaklah, kat dalam kubur tiada siapa pernah kembali untuk menceritakan pengalaman di alam kubur; cuma cerita dari mulut ustaz-ustaz sahaja (mungkin itu yang mereka fikir). Jika hendak dipercayai media-media tertentu, kentut pemimpin yang mereka jilat pun sentiasa dikatakan wangi.

Apa pun nampaknya bilis dan belanak jualah yang terjaring. Yu dan kerapu sentiasa menunggu jong pecah.. begitulah

Sunday, January 1, 2012

Banjir di Siam, Harga naik di Malaysia

I
Harga pemacu cakera keras (hard disk drive/HDD) naik begitu mendadak, terutamanya HDD untuk desktop. Sebabnya pengeluaran HDD di kilang-kilang yang terletak di Thailand terjejas teruk kononnya. Itu kata penjual. Enam bulan dulu aku beli 1TB (1 terabyte) cuma sekitar RM 180 di Ipoh. Kini untuk kapasiti yang sama penjual di Greentownmall, Ipoh minta RM 350.00. Melampau tu. Mahu tak mahu aku beli yang terpakai 320 GB pada harga RM 180.00. Bagiku itu sudah memadai untuk desktop yang keempat di rumah ini. Cukup satu anak satu desktop.

Ketika melayari web TMNet ada tawaran untuk manaiktaraf kelajuan broadband sehingga 4mbs. Aku terus memohon supaya kelajuan broadband di rumahku dipertingkatkan dari 1mbs ke 4mbs. Rupa-rupanya di Bidor kemudahan itu belum dapat disediakan. Habis tu dia iklankan buat apa?

II
Ipoh petang tadi dibasahi hujan lebat. Keadaan itu menjadikan Kompleks Yik Foong sesak dengan orang ramai yang tak dapat ke mana-mana. 80 peratus muka bukan "Made in Malaysia" . Rasa gementar bagaikan kita berada di negara orang pula. Kuredahi hujan dan kubawa kereta betul-betul di depan pintu ke kompleks itu untuk memudahkan anak isteriku masuk ke kereta. Aku cuba ke kompleks Jusco pula tetapi kereta terlalu padat sehinggakan tiada ruang untuk mencelah. Terus sahaja kuhalakan kereta ke lebuh raya .. terus ke Bidor.

Dan malam ini sudah lima enam kali aku terbersin. harap-harap aku tak dijangkiti selesema pula dek ditimpa hujan petang tadi..