Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Sunday, April 7, 2013

Catatan Perjalanan Seminggu ..

8.54 malam.. baru berkesempatan menjenguk kembali blog picisan yang aku sendiri kadang-kadang lupa namanya, Merantai Awan kah atau Merantai Angin... Perjalanan dari Kajang tengah hari tadi aku tidak singgah ke mana-mana, sebaliknya terus ke rumah kerana aku menjangka bahawa zohor masih ada apabila aku sampai di rumah. Tepat jangkaanku, aku sampai pukul 3.00 petang. Selesai sembahyang isteriku meminta izin menghantar anak sulung kami ke Sungkai. Kebiasaannya anak-anakku menaiki keretapi ETS untuk kembali ke Kuala Lumpur atau Syah Alam.

Sepanjang minggu ini aku tak lekat di rumah. Pada 2-4-2013 hingga 4-4-2013 aku diminta menggantikan Penolong Kanan I ke Kursus Peningkatan Profesionalisme Penolong-penolong Kanan Negeri Perak di Teluk Nipah, Pulau Pangkor. Bunyinya agak hebat.. tetapi sebenarnya dikhaskan untuk Penolong Kanan dari sekolah-sekolah berprestasi rendah. Tak apalah itulah namanya cabaran bagi guru-guru di sekolahku dan cabaran untuk aku sendiri. Bila ditanya aku PK1 sekolah mana?? Aku hanya jawab.. saya hanya pengganti.
(Tapi aku geram juga, ada dua tiga orang PK1 yang nampak senior, kurang menghormati majlis; lebih banyak berbual sesama sendiri berbanding mendengar isi kursus yang disampaikan, mengapa?? )

Dari 5-4-2013 hingga 7-4-2013, aku terlibat lagi dalam Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru-Guru (STPM) anjuran Majlis Peperiksaan Malaysia di Residence Hotel, Uniten, Kajang. Melilau aku mencari hotel tersebut.. sedangkan 13 tahun dahulu kawasan ini menjadi laluan biasa bagiku ketika mengikuti pengajian jarak jauh di UPM. Biasa dalam erti kata mencari gerai-gerai sate Kajang yang sedap..

Sebagai penjawat awam.. ikut sajalah. Berfikiran terbuka dalam meningkatkan pengetahuan diri .. bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk anak-anak didik yang dahagakan ilmu di sekolah. Bila dah berjumpa sahabat-sahabat peserta dari seluruh negara, banyak percambahan fikiran, banyak pandangan-pandangan baru dan juga perkongsian pengalaman.

Oh ye... untuk seminggu ini ( 1-4-2013 hingga 7-4-2013 ) aku tiada peluang bercuti di hujung minggu!