Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Wednesday, January 18, 2017

Kenang Daku Dalam Doa Kalian (buat guru-guru KMK Perak)

Tarikh 16-17 Januari 2017 ditetapkan untuk mesyuarat rubrik kerja kursus mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK), satu daripada mata pelajaran yang ditawarkan untuk pelajar-pelajar STPM; untuk tahun 2017 ini mesyuarat ini bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Pendidikan, Ipoh. Ini tahun kelima mesyuarat yang sama diadakan, setahun sekali.Tak banyak sekolah yang menawarkan pilihan mata pelajaran ini. Aku tak mahu mengulas panjang tentang itu kerana di peringkat sekolah mana pun bilangan yang mendaftar untuk mata pelajaran ini semakin menyusut dan terus menyusut lantaran anak Melayu kini tak mahu lagi mengenali hati budi bangsanya sendiri.

Bukan itu yang aku mahu bahaskan di sini, tetapi tentang pertemuan kami guru-guru sastera Tingkatan Enam Perak yang berjumlah 20 orang ini. Itu tidak menggambarkan bilangan sekolah yang menawarkan mata pelajaran ini kerana ada sekolah yang menghantar lebih daripada seorang guru.

Biasalah mesyuarat rubrik, terisi latihan penandaan, perbincangan, dan hu ha hu ha , bersulam gurauan dan gelak ketawa. Ketika ada ruang dan peluang, mengusik guru-guru lain menjadi perkara rutin setiap kali pertemuan.. setahun sekali namun macam telah selalu berjumpa, mesra sentiasa. Namun ilmu yang akan dibawa pulang untuk dicurahkan kepada anak didik tidak terkurang sedikit pun, insya-Allah.

Bagiku kehadiran kali ini mungkin menjadi yang terakhir kerana jika permohonanku diluluskan oleh Kementerian Pendidikan dan JPA, aku akan bersara pilihan pada 1 Julai 2017 nanti. Inilah peluangku untuk bertemu sahabat-sahabat seperjuangan yang menggalas tugas sebagai guru KMK di segenap pelosok negeri Perak tercinta ini; untuk kali terakhir sebagai guru. Untuk bertemu kesemua mereka selepas persaraan hanyalah impian sahaja, aku pasti tentang itu.

Mesyuarat berjalan terus, masa mengengsot pergi, detik demi detik sehinggalah semuanya harus ditangguhkan. Semua bahan yang digunakan kusumbat ke dalam beg galas yang hampir meminta nyawa itu. Hanya menunggu kata-kata penutup daripada jurulatih utama (JU) sahaja lagi. Tiba-tiba, di hujung ucapan penutupnya saudari JU mengatakan majlis akan diteruskan untuk meraikan ... eh , mengapa aku perlu diraikan sebegitu. Tak terdetik pun hatiku bahawa mereka akan adakan majlis untukku yang bakal bersara ini. Jika permohonanku ditolak pihak atasan, aku pasti akan hadir lagi pada tahun depan.

Terharu sungguh aku atas daya usaha mereka untuk meraikan aku dalam majlis ringkas tapi penuh bermakna itu. Sedaya upaya aku berusaha melindungi sebak yang melanda di dada; sambil menyedari bahawa perjalananku di bidang yang kucintai ini semakin menuju penamatnya, jika tidak 2017, 1 Oktober 2018, aku akan berundur jua. Aku tidak sedih langsung untuk bersara, cuma aku sedih kerana peluang untuk bertemu rakan-rakan seperjuangan untuk ber hu ha hu ha mungkin tidak terjadi lagi, hingga ke hujung hayat mungkin.

Di akhir ucapanku di majlis itu tadi aku meminta .. "kenang daku dalam doamu" (baca kalian). Mengapalah aku tidak memohon maaf atas segala keterlanjuran kata, tersalah laku.. satu kebukuan di hatiku. Maafkan aku sahabat-sahabatku. Walau sekejap dan sesekali sahaja pertemuan kita, namun bertahun terasa kemesraan kita.

Dan di kemeja berjalur serta berpetak berwarna biru itu kulabuhkan ingatanku terhadap kalian. Terima kasih untuk itu dan untuk semuanya. Semoga kita bersua lagi, insya-Allah, di lain-lain kesempatan.

[ku dedikasikan coretan yang tak sepertinya ini untuk.. Rafli, Suhaimi, Norlela, Hamdan, Saripah, Azlina, Salmah, Norliza, Meor Jamil, Zulkiflee, Norhayati, Roslie, Suzila, Sarah, Hani, Ros Azmi, Fadzilah, Suriani, Ismahisham, Azura, Hazyani, Aishah, Malik, Zumaliah .. dll)

2 comments:

  1. Terima kasih Tuan Haji
    semoga Tuan Haji terus cemerlang di mana saja berada .

    Doa kan kecemerlangan anak didik KMK STPM

    ReplyDelete
  2. Kita hanya berpisah di meja mesyuarat Tn Hj. Tapi kita masih tetap boleh berhubung di alam maya. Melintas kuale tu...singgahlah di teratak teman.

    ReplyDelete