Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Friday, September 23, 2011

Jumaat di Masjid al-Muhtadin, Bidor

Kecuali ketika berpergian jauh-jauh, aku pasti bersembahyang Jumaat di masjid yang terletak di tepi Sungai Bidor ini.  Masjid ini baru beberapa bulan siap dibina menggantikan masjid lama yang sudah agak usang itu. Ia didirikan di atas tapak yang masjid yang lama dan mengekal bentuk yang sama, cuma kali ini materialnya berbeza. Jika dulu menggunakan kayu kali ini konkrit.

Sebenarnya masjid ini pada rancangan asalnya hanyalah untuk dibaik pulih sahaja, namun tiang kayunya sudah tidak lagi mampu menahan beban bumbung. Banyak tiang yang herot berot menahan beban.Lantas keseluruhan masjid itu terpaksa dibina semula.

Masjid baru ini berlangsirkan kain warna merah samar (pink), dan permaidaninya juga berwarna merah samar juga. Maaf jika kukatakan masjid baru ini agak panas di dalamnya kerana tiada langsung ruang pengudaraan kecuali pintu masuk (jika terbuka). Tingkap pula tidak dibuka, entah mengapa.

Sayangnya masjid baharu ini tidak dibina menghadap arah kiblat yang betul. Mengikut perkiraan moden yang menggunakan perlatan ukur yang tepat dan canggih, masjid ini (dan masjid lama yang berkongsi tapak dan arah yang sama), terpesong daripada arah kiblat kira-kira  20 darjah ke arah barat (jauh tu). Pelarasan terpaksa dibuat kepada garis saf pada permaidani dengan memesongkannya 20 darjah ke arah timur. Dengan itu tidak hairanlah jika titik akhir saf pertama terletak di tempat yang sepatut pada sudut paling kanan masjid, tetapi di sudut kirinya garis itu diselaraskan pada garis akhir saf ketiga disebelah kiri masjid. Jika sebaris saf boleh memuatkan 50 orang makmum, setidak-tidaknya kawasan yang tidak dapat digunakan untuk kegunaan jemaah solat di kawasan hadapan masjid mampu memuatkan kira-kira 100-150 orang makmum. Sekurang-kurangnya mengurangkan kesesakan dalam masijid terutanma ketika sembahyang hari raya. Sayang sekali. Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa di sini. Namun hanya saf pertama dan kedua sahaja yang terisi setiap kali sembahyang fardu yang lima itu dilaksanakan di masjid ini setiap hari. Dan aku pun kadang-kadang pergi dan kadang-kadang tidak...





No comments:

Post a Comment