Pada tahun 1996, Bilik Guru
sekolah ini diubahsuai untuk dijadikan Makmal Komputer Dalam Pendidikan (KDP) atau
di kenali juga sebagai Makmal Literasi Komputer. Aku diarahkan oleh pihak
pentadbir sekolah untuk menguruskan makmal KDP itu. Dengan sedikit pengetahuan
asas perisian komputer dan sedikit pengetahuan penyelenggaraan serta networking
aku menganggap makmal itulah rumah keduaku. Aku selalu berseorangan di makmal
itu untuk menyelenggara komputer-komputer yang mengalami kerosakan. Maklumlah
budak-budak yang meggunakannya. Pengalaman pelik ketika berada di bilik yang
sedikit terasing itu adalah juga tetapi tidaklah menghalang aku untuk terus
berada di situ sehingga aku bersara pada Julai 2017.
Pada tahun-tahun 1990-an aku
mengajar di sebelah petang. Aku jadikan bilik itu sebagai kelas aku mengajar
mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Alangkah seronoknya anak-anak murid
belajar melalui komputer.. seronok belajar sambil ada yang belajar memunahkan
komputer itu. Namun apabila tiada kelas, pintu masuk ke makmal itu di bahagian belakang
selalu terbuka dan tertutup sendiri. Pintu itu boleh tertutup sendiri kerana
ada sendi hidraulik dipasang, namun tidak akan terbuka sendiri jika tidak
ditolak atau ditarik. Pada satu ketika pintu itu terbuka dan tertutup
berulangkali. Lantas aku mengherdik, “kalau nak masuk, masuk sahaja, kalau nak
keluar, keluar sahaja”! Peristiwa itu terhenti di situ sejak itu. Sesekali
apabila aku berasa seram sejuk aku akan keluar dari makmal itu seketika.
Pada suatu hari Ahad aku menukar
tikar getah alas lantai makmal KDP itu. Sudah tengah hari tapi aku meneruskan kerja memasang tikar getah yang
baharu itu. Tiba-tiba gunting yang aku gunakan hilang entah ke mana. Puas aku
mencari, tetapi tak jumpa. Tak dapatlah aku meneruskan kerja memasang tikar
getah itu tanpa gunting.
Aku pun berkata, “pulangkan
semula gunting tu, aku nak pakai ni,”. Tak semena-mena gunting itu muncul di
sisiku.
Berikutan pertambahan
barang-barang yang rosak, aku mendapat persetujuan pengetua untuk membina stor
kecil di hujung kaki lima makmal KDP itu. Aku membuatnya sendiri. Setelah semua
pekerja pulang tinggallah aku seorang mengetuk, menggergaji dan memaku kayu.
Apabila aku menggergaji kayu, di hujung blok bangunan ada juga bunyi orang
menggergaji kayu. Lega hatiku, masih ada kawan untuk menguatkan semangat. Apabila
aku mengetuk, di sana juga mengetuk. Apabila aku memaku bunyi yang sama muncul
di hujung itu. Isyy ini dah lain ni, bisik hatiku. Aku pun mengemaskan
barang-barang beredar pulang. Sampai di hujung blok itu aku berkata, aku nak
balik dah, teruskanlah bertukang.
Empat tahun lalu blok ini
diubahsuai untuk menggantikan atap dan kayu-kayu yang lama. Semua peralatan
dibongkar. Apabila siap, aku menyimpan semua peralatan komputer yang ada di dalam
stor yang kubuat sendiri di dalam makmal itu kerana komputer-komputer itu sudah
jauh ketinggalan zaman dan kebanyakannya sudah rosak. Makmal itu kujadikan
bilik kuliah untuk Tingkatan 6 (sehingga aku pencen pada 1 Julai 2017). Dan
selepas penyelanggaran itu berlaku, tiada lagi kejadian yang pelik-pelik
berlaku.
No comments:
Post a Comment