Petang ini cuaca cerah sekali. Ani, isteriku mengajar sebelah petang. Anak-anakku ke sekolah semula, Khaliq menjaga koperasi dan Amira ke pusat sumber. Azim seperti biasa, pasang TV, pasang dua-dua komputer, sampai tertidur. Qayyum dah balik semula ke Kuala Kangsar hari Ahad lalu. Selalunya aku tidur sekejap sebelah petang tapi hari ini mata tak mahu tidur.
Dengan secawan kopi di tangan, aku duduk di serambi rumahku yang menghadap ke gunung yang membiru. Indah sungguh hari ini, bisik hatiku.
Tiba-tiba seekor gagak hinggap di pokok yang berhampiran. Lantas aku teringat akan seorang rakan seperjuangan semasa di Maktab Perguruan Bahasa (1981-1984) yang berasal dari Kelang. Ketika itu bilangan gagak yang banyak seolah-olah mampu menawan bandar Kelang. Nama sebenarnya Roslan, tetapi lebih dikenali sebagai Lan Gagak. Setiap kali Lan melintas di depan asrama 13 tingkat itu, secara spontan kami akan mengajuk bunyi gagak, ak... ak.. ak. (Maafkan aku Lan jika kautersinggung waktu itu).
Aku tidak pernah menemui Lan lagi selepas kami menamatkan pengajian di MPB pada tahun 1983. Kudengar dia kini bertugas di MCKK dan jadi antara orang penting di sekolah itu.
Seorang lagi teman semaktab yang selalu aku kenang ialah Abdul Rahman Kuchi, berasal dari Sarawak. Kami satu kumpulan dalam band maktab. Rahman bertindak sebagai pemain dram dan vokalis, sedangkan aku bermain gitar utama (tapi tak pandai pun). Ahli-ahli lain ialah Nasir Johan sebagai pemain keyboard, dan Jamal sebagai pemain bass. Seorang lagi vokalis yang tinggi nada suaranya ialah Abdul Mutalib. Aku pernah terserempak dengan Abdul Rahman di Kuching, tetapi yang lain tak pernah kujumpa lagi. Vokalis ketiga kami ialah Azir Ismail, cumanya dia junior setahun daripada kami. Suaranya cukup lunak. Azir ada juga kutemui tetapi kini sudah berhenti daripada menjadi guru, bisnes katanya.
Antara lagu yang sering kami persembahkan ketika itu ialah Bahagia dan Derita (BDB), Penantian (Suara Harmoni), Kelip-kelip Kusangka Api ( Malek Riduan ), Senyumlah Kuala Lumpur ( Alleycats) dan beberapa lagu 60-an serta banyak lagi. Penglibatan kami dalam muzik mendapat cemuhan daripada beberapa pihak terutamanya dari PPI. (Catatan 1: aku, Rahman, Azir, dan seorang lagi vokalis sambilan kami iaitu Tarmizi tidak pernah terlibat dalam apa yang dipanggil ketika itu “gerko malam” atau “gerko tangga” sedangkan ramai ahli PPI sendiri sering berdua-duan ke sana-sini).(Catatan 2: Aku dapat gred D tugasan Pengajian Islam, sedangkan markah aku boleh tahan, hanya kerana aku main muzik!)
Itu tinggal kenangan sahaja. Allah Maha Mengetahui.
Apapun dalam usia yang hampir setengah abad ini peristiwa-peristiwa lama itu masih jelas dalam ingatan. Melalui coretan peribadi ini kuiringkan doa agar aku dan teman-temanku sama ada yang lama atau yang baru sentiasa dipelihara Allah akan kesejahteraan dan dikurniakan-Nya segala perlindungan daripada apa jua musibah yang mendatang.
Tuesday, January 13, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
alo tuan haji sekarang pun main muzik lagi ka?? lagu pak dukun boleh main ka???
ReplyDeletefrom ..The Reds..you'll never walk alone