Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Wednesday, January 14, 2009

Petai Oh Petai

Sebut saja petai, maka terbayanglah pada aku masakan tumis petai ikan bilis, tumis petai udang, masak lemak petai ikan bilis, petai bakar, petai rebus, jeruk petai dan juga ulam petai. Sebut saja Bidor, maka di benak sesetengah orang dapat membayangkan raut wajah-wajah penjual petai di kaki-kaki lima pekan kecil itu. Semasa hayatnya ayah aku juga turut menjual petai tetapi setahu aku ayah lebih banyak rugi daripada untung. Kata orang petai Bidor lebih enak, dan aku mengiyakannya, bukan kerana memang petai Bidor lebih enak tetapi lebih kepada sentimen yang aku ini orang Bidor.
Semasa di MPB, KL sahabat-sahabat lebih gemar memanggil aku sebagai Petai, hanya kerana aku menjawab satu soalan daripada Chauhari Selamat (juruhebah RTM) yang bertanyakan apa yang istimewa di Bidor? Spontan aku jawab petai! Ketika itu aku menyertai rakaman rancangan Berbalas Pantun antara juruhebah RTM dengan MPB, dan aku menjadi salah seorang pemantun MPB. Satu dewan tertawa. Salah seorang pemantun dari RTM ialah Noraini Ibnu, pada masa itu dia belum berkahwin dengan Herman Tino. Ramai orang Bidor marah pada aku setelah rancangan itu disiarkan kerana buat malu nama Bidor. Petai memalukan?
Berbalik kepada petai. Tidak ramai orang mengenali pokok petai yang berdaun kecil tetapi mampu meninggi sehingga 75 meter di hutan. Batangnya terasnya sahaja sebesar sehingga 2 pemeluk orang dewasa. Buah petai biasanya terdapat di hujung-hujung dahan. Seharusnya kita menghargai pengorbanan si pemanjat petai, yang menyabung nyawa untuk membolehkan kita mengecapi kelazatan petai. Ramai juga antara mereka yang kecundang ke tanah. Kalau kita tidak mampu berdepan dengan pokok petai yang hebat itu, memadai kita (lebih mudah) membeli saja atau jika teringin juga menyahut cabaran memetik buah petai, carilah pokok petai belalang, 90% selamat untuk dipetik.
Pokok petai jarang terdapat di perkampungan (kecuali petai belalang). Orang tua-tua dahulu melarang petai di tanam di perkampungan, kerana dikatakan kampung berkenaan akan menjadi kampung tinggal. Betul tidaknya tak dapat dipastikan. Apa yang pasti, ramai generasi muda akan meninggalkan kampung untuk meneruskan kelangsungan hidup di tempat lain terutama di kota.
Apapun selepas makan petai beberapa perkara harus diambil kira:
  • pastikan bilik air atau tandas disiram sebanyak mungkin air selepas membuang air kecil
  • jangan bercakap terlalu hampir dengan orang lain
  • jangan sendawa di hadapan orang lain kecuali orang itu juga baru lepas makan petai
  • makan beras begitu sahaja (dalam jumlah sesudu kecil), nescaya dapat mengurangkan bau petai di mulut

Seperti pakar petai pula aku dalam posting ini.

Tumis petai ikan bilis yang isteri aku masak tengah hari tadi masih ada berbaki, jadi aku hendak makan nasi buat kali kedua malam ini.

2 comments:

  1. wah aji..sedapnya..anything that goes with petai..mesti menjilat jari.

    Hebat aji masa 'muda2' dulu yea..sampai terkenal seantereo tanah semenanjung

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Nazeri dgn info ni. Tahulah saya..... skarang tentang riwayat si Petai.

    ReplyDelete