Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Wednesday, December 14, 2011

Aku Dikejar dan Aku Memecut..

Pagi tadi aku ke kebun lagi.. ada kenduri rupa-rupanya di kebun itu. Cucu-cicit, anak-pinak, ibu, bapak, datuk, nenek pelbagai saiz ada. Bukan orang, bukan bunian, tapi kerbau.. banyaknya.

Pukul 3.00 petang tadi, aku ke kebun lagi dengan harapan haiwan tu berehat dan tidur entah di mana-mana ceruk di belukar-belukar yang meluas di tepi Sungai Bidor dan Sungai Gedung itu.

Adalah lebih kurang lima minit aku tiba, tiba-tiba aku dikejar, dihambat.. Aduh, motosikal jauh pulak tu, namun berjaya juga kucekuh dengan termengah-mengah , sekali tendang hidup enjin;  tanpa menoleh lagi pemulas minyak aku perah habis-habisan. Sampai di persimpangan lampu isyarat.. alamak ai!! lampu kuning. Persetan biarpun apa warna sekalipun lampu itu aku mesti memecut terus. Aku memang amat terancam kali ini. Aku takkan sempat sampai ke rumah. Itu aku pasti. Masjid.. ya masjidlah satu-satunya yang terhampir. Motor kutongkatkan, turun sambil kumatikan enjin, kunci lantaklah tinggal, aku mesti selamatkan diri dahulu.

Pintu nombor tiga kuterjah.. dan selepas beberapa ketika, oh.. betapa leganya, terlepas daripada bala!! Namun ada pula ancaman baru, Cis.. apa pasal air paip tak keluar ni?? Aku membentak. Kenalah ambil air dari bilik sebelah. Mujur tak ada sesiapa di tandas masjid itu. Tak kisahlah aku dah selamat. Mungkin aku banyak sangat tibai rambutan dan manggis selepas makan tengah hari tadi. Itu sebabnya maka aku diburu. Hmm libang-libu dibuatnya.



1 comment:

  1. "Cekuh" = capai, ambil
    "Libang-libu" = Dialek Perak bermaksud, kelam-kabut, tidak tenteram.

    ReplyDelete