Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, December 5, 2011

UFO .. Fenomena Yang Tak Dapat Dijelaskan..

Malam tadi antara pukul 8.00 malam - 10.00 malam tak ada pun UFO di mana-mana ruang angkasa di Bidor ni. Cuma aku menonton di  Astro tentang kupasan mengenai penampakan UFO yang tak dapat dijelaskan secara konkrit oleh mana-mana pihak di Amerika dan di Eropah sekalipun. Mereka mengupas dengan begitu menarik dan mengemukakan bukti-bukti saintifik seperti menggunakan radar, kamera, video dan sebagainya. Itu di barat.

Jangan marah dan jangan berkecil hati kepada UFO yang sangat jarang melawat negara kita; hanya sesekali sahaja dilaporkan. Sebabnya, dalam kalangan orang Melayu sudah banyak "UFO"nya sendiri. Siap dengan namanya sekali.. penanggal, langsuir, tanglung, dan entah apa lagi... Dikatakan sifat makluk itu diketahui cuma rupa sebenarnya tak siapa yang tahu...

Pengalaman aku bertemu "UFO" Tanah Melayu
I
Semasa menemani emak "motong" getah di Jalan Paku Bidor dalam tahun-tahun 70-an dahulu, aku dan emak nampak bebola api sebesar bola sepak di pucuk pokok getah yang berhampiran tempat kami berdiri. Benda itu terawang-awang begitu perlahan lebih 5 minit di antara ranting-ranting pokok getah itu. Aku diam, emak pun diam sambil terus menoreh. Akhirnya benda itu ghaib begitu sahaja.
"Apa tu, mak" ?
"Hmhhh, tanglung kata emak."
"Tanglung Cina tu ye"? Emak diam sahaja.

II
Masih dalam tahun 1970-an.. Pada suatu malam, aku dan Zaini kawanku di Jalan Paku Bidor pergi menonton wayang Jabatan Penerangan (dikenali sebagai wayang propaganda) di kuarters JKR di Kampung Jalan Bruseh atau di kenali sebagai kawasan "water supply". Setelah wayang selesai kami yang masing-masing berusia 11 dan 12 tahun, pulang ke Jalan Paku. Sebaik tiba di persimpangan hendak masuk ke rumah opah, satu cahaya api sebesar bola sepak juga melayang laju di hadapan kami dalam bentuk pusaran. Benda itu hinggap di pohon cempedak dan sebelum sempat melastiknya, benda itu ghaib. Aku cukup gentar tetapi Zaini selamba sahaja.. memang dia dikenali dengan sifat beraninya. Aku tetap membuka langkah seribu.

III
Masih di Jalan Paku. Pada suatu pagi, lebih kurang pukul 4.00 pagi opah hendak buang air lalu mengejutkan aku untuk menemaninya.  Pada masa itu ibu saudaraku sudah pun ke kebun di belakang rumah untuk menyuluh yang bermaksud menoreh pada awal-awal lagi kerana dikatakan getah akan lebih banyak keluar waktu itu. Tiba-tiba ada suara mengilai begitu kuat di atas pokok durian dekat rumah opah.. Dari satu pokok ke satu pokok dia mengilai.
 "Apa tu, opah"?
"Kucing bergaduh", kata opah sambil menarik tanganku masuk ke rumah segera.
Ternyata opah hendak menenteramkan perasaan aku dan perasaanynya sendiri. Mana mungkin kucing bergaduh mengeluarkan bunyi mengilai...??

IV
Pada malam hari raya yang ke-4, kami penduduk-penduduk Lorong 7, Taman Bidor Jaya mengunjungi rumah-rumah jiran. Tahunnya tahun 2000 jika aku tak silap. Hanya lorong itu sahaja yang semua penduduknya beragama Islam. Setelah selesai menziarahi rumah yang terakhir, kami hendak balik. Tetapi ketika itu ada satu bola api sebesar bola tenis melayang-layang dan meliuk-liuk di udara menuju dari selatan ke utara. Cara terbangnya tidak laju lebih kurang selaju Pak Mat bawak motor Honda C70nya sahaja. Semua mata tertumpu ke arah benda itu. Ternyata ia terpaksa berdepan dengan rintangan angin kerana keadaannya yang terbang terhoyong-hayang itu. Helikopter atau kapal terbang ada bunyinya, ini senyap sahaja, dan ia tidak ghaib. Jauh benar hendak perginya agaknya. Menjawab soalan anak sulungku, "Itu orang dari Pahang nak balik ke Kedah naik harimau belaannya". Isteriku hanya mencebik bibirnya sambil tersenyum..

V
Apa bendanya ni??
Ini adalah gambar yang di"snap" oleh oleh anakku Abdul Qayyum pada 8.30pm, 14.3.2004 di pantai Punggai, Johor menggunakan Camera Canon Powershot A100 1.2MP. (Masa tu camera ini dikira dah canggih dah..). Selepas itu  Qayyum pucat tak terkata apa... Kami mengadakan sambutan Hari Keluarga di situ.(Aku bersumpah dengan nama Allah ini adalah gambar sebenar yang diambil oleh anakku.)
Menggunakan perisian ACDSee, aku telah mengubah exposure gambar di atas berkali-kali dan hasilnya kelihatan cahaya berketak-ketak di sebelah kanan sebenarnya berayun-ayun; dan di antara kedua-dua cahaya itu terdapat sebuah jet pejuang.. (Singapura??).
Apapun bendanya, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

1 comment:

  1. apo kobonda eh jang???kes terpencil..sukar diungkap

    ReplyDelete