Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Thursday, December 15, 2011

Tarik Duit..

I
Kalau tak terkait dengan tahyul, bukan Melayu namanya. Sebut sahaja "ilmu" Melayu  terbayanglah berbagai-bagai istilah berkaitan yang digunakan seperti tuju-tuju, guna-guna, susuk, pengasih, pembenci, pengeras, jampi ketegur, penarik, ancak, jamu, dan entah apa lagi; semuanya dengan perantaraan bomoh atau dukun.

Semasa aku remaja aku juga pernah terlibat dengan kegiatan tahyul. Seingat aku ketika itu aku sedang belajar dalam Tingkatan Enam (1980). Aku dan rakan-rakan sebaya amat tertarik dengan idea tarik duit. Maklumlah anak-anak kampungan yang belum terbuka luas akal dan fikiran mudah sahaja terpengaruh dengan idea tarik duit ini yang dikemukakan oleh seorang pesara tentera. Kononnya dengan menyediakan peralatan-peralatan tertentu, melalui perantaraan orang yang pandai (bomoh le tu), duit itu akan datang melayang-layang. Tugas kita kutip sahaja, masukkan ke dalam guni. Guni? Banyak tu... Duit itu dikatakan diambil oleh "hamba" suruhan bomoh itu daripada orang yang tak bayar zakat dan daripada taukeh-taukeh yang kaya raya dengan menipu orang lain. Jadi duit itu jika kita dapat, tak salah, kata pesara tentera itu.

Beriya-iyalah kami yang bangang ni mencari peralatan yang diperlukan. Antaranya talam tembaga yang lama, penumbuk lesung batu yang patah atau batu giling patah, atau antan patah, tebu hitam, dan duit zaman Jepun. Selebihnya akan disediakan sendiri oleh pesara itu. Mudah tetapi susah hendak mendapatkannya. Senang dicari sukar didapati, begitulah, kecuali tebu hitam dan duit zaman Jepun. Benda patah-patah itu pula, bukan boleh dipatahkan dengan sengaja, mesti terpatah akibat digunakan. Namun berjaya juga kami menyediakan antan patah dan talam tembaga lama.

Pada hari yang ditetapkan, atas nasihat pesara itu, kami yang budak-budak ini tak perlulah ikut kerana banyak syarat dan pantang-larang yang perlu dipatuhi. Biar dia dan si bomoh sahaja yang pergi menarik duit itu, di bukit Cangkat Rembian dekat Tapah tengah malamnya nanti. Kami bersetuju dan harapan pun berbunga-bunga. Aku terbayangkan yang aku nanti memiliki Mitsubishi Tredia 1.4, kereta idamanku ketika itu.

Keesokannya dengan dada berdebar-debar kami ke rumah pesara tentera itu. Dia pun sudah bersedia menanti kedatangan kami. Tak boleh, katanya.. tak dapat. Perlu satu syarat lagi untuk dipenuhi jika hendakkan juga duit tarik itu. Apa syaratnya tambahan tu, bang? Aku bertanya dalam kehampaan.

Syaratnya ia perlukan salah seoarang daripada kita kena dikorbankan di bukit tu. 
Kalau begitu, tak dapat duit tu pun tak apalah bang.. kataku. Serentak itu, impian nak memiliki Mitsubishi Tredia hancur berkecai.

II
Kisah tarik duit ini memang hot juga pada awal-awal tahun 1980-an. Seorang teman yang lebih dewasa daripada aku pernah menceritakan pengalamannya menarik duit. Jika dia menipu, maka cerita yang kusampaikan ini juga menipu jugalah. Aku rasa dia bercakap benar. Biarlah kunamakan dia sebagai Z sahaja.

Dengan berbekalkan peralatan seperti keris lama, talam tembaga lama dan entah apa lagi yang lama, Z bersama dua orang lagi rakannya pergi  ke sebuah bukit di Pahang pada waktu tengah malam. Aku dah lupa nama tempat itu. Di sana telah ada seorang bomoh menanti. Setelah bomoh itu menyeru-nyeru sesuatu, tak semena-mena, duit turun macam hujan. Mereka pun memungut duit yang turun mencurah-curah itu sehingga penuh seguni. Gembira memang tak terkata. Selepas tiada lagi duit yang turun, mereka pun hendak pulang. Sebagai ganjaran, beratus-ratus ringgit diserahkan kepada bomoh itu. Dan wang ganjaran itu hendaklah bukan dari wang yang jatuh dari langit itu; kena dari wang kocek sendiri. Tak ada masalah, dah dapat seguni, apalah sangat wang di kocek itu.

Setelah wang disumbatkan ke bonet kereta, bomoh berpesan, isi minyak siap-siap di pekan berhampiran dan selepas itu balik terus, jangan singgah di mana-mana, jangan menoleh ke belakang dan jangan kentut. Dalam perjalanan, memang banyak dugaan kata Z. Biru mukanya menahan kentut yang asyik nak keluar sahaja. Yang seorang dah terkencing dalam kereta begitu sahaja, sebab tak boleh berhenti. Yang jadi driver asyik menguap-nguap. Hanya dia seorang yang tahu memandu. Pahang-Bidor pada waktu itu memang jauh. Lebuhraya pun belum wujud lagi.

Di pendekkan cerita, mereka sampailah ke Bidor dengan selamat pagi itu. Sampai di rumah, guni diturunkan. Bawa masuk ke dalam untuk dibuka, takkan nak diburaikan di tengah halaman wang yang sebegitu banyak.
Setelah ikatan dilurutkan, guni pun ditonggengkan.. berhamburanlah isinya keluar.. dan semuamya hanyalah daun-daun yang dah lunyai. Saling menyalahkanlah mereka, menuduh yang itu ada terkentut, dan yang ini menoleh ke belakang. Yang untung bomoh juga. Nak tuntut kembali duit, bomoh itu pun diperkenalkan oleh kawan atas kawan atas kawan..

III
Semasa aku  tahun 3  di Maktab Perguruan Bahasa, aku didatangi oleh seseorang dari Pahang. Setelah memperkenalkan dirinya, dia merayu-rayu supaya aku memberi sesuatu yang amat diperlukannya untuk menarik duit. Katanya benda itu ada padaku. Dia diberitahu dalam mimpi, aku ada benda itu, katanya. Aneh sekali. Apalah yang ada pada saya, aku bertegas. Tiada apa selain diriku yang ini. Merayu-rayu betul dia. Jika berjaya separuh akan diberikan kepadaku. Isy.. mengarutlah itu semua, bang. Permainan syaitan tu, syirik; kataku. Dia pulang kehampaan. Sebenarnya pada waktu itu aku ada menyimpan wang zaman Jepun yang mempunyai 5 sahaja nombor siri, bermakna antara wang kertas terawal dicetak oleh Jepun ketika menjajah Tanah Melayu (mungkin). Kertas hanyalah kertas, tidak lain daripada itu.

IV
Sebenarnya tiada rezeki yang mudah. Kita disuruh berusaha dan bekerja untuk mencari rezeki yang halal. Tarik duit hanya ilusi yang dilakukan si bomoh sahaja. Zaman sekarang melalui internet juga aktiviti tentang tarik duit ini sentiasa digembar gemburkan cuma kaedahnya sahaja yang berbeza.. Kalau Mamat Afrika, siap dengan black money lagi. Berhati-hatilah.






1 comment:

  1. betul tu admin. tarik duit ni syirik. dan kalau betul boleh kaya. dah ramai kaya terutama melayu. baik kerja atau niaga

    [Jemput ke blog saya untuk tips Kerja Part Time Online]

    ReplyDelete