Tuesday, December 6, 2011
Berhadapan Kerbau Kaki Bengkak
Kalau diikutkan aku malas betul nak kebun memungut durian. Terpaksa menempuh semak-samun dan diguris sekali sekala pula oleh duri durian yang tajam itu. Bukankah mudah saja jika dibeli? Tetapi mengenangkan susah payah ayah menerangkan belukar, menyemai dan menjaga benih durian dan cempedak suapaya anak cucunya dapat makan; sebagai menghargai pengorbanan ayah, maka aku pergi juga.
Lebih kurang pukul 10.00 pagi tadi aku pergi lagi ke kebun. Seperti biasa, golok dan parang panjang menjadi peneman. Mujur kawanan kerbau Ram Singh sudah pun keluar dari kebun itu menuju ke seberang sana Sungai Bidor. Bau durian memang agak kuat, menandakan banyak yang gugur sepanjang malam dan pagi ini. Sebaik melintasi pohon cempedak, aku terkejut kerana ada seekor kerbau di sebaliknya. Alamak.. tenungan matanya tajam sungguh.. aku bergerak ke satu pohon cempedak yang lain.. jika ia meluru datang aku rasa aku boleh panjat pokok cempedak yang rendah itu. Tetapi kerbau itu buat tak kisah dengan kehadiranku dan meneruskan ragutannya. Husy!Husy! aku menghalau dengan mengangkat sebatang kayu panjang sedepa. Usahkan bergerak, memandang pun tidak. Aku mesti menempuh denai di sebelah kerbau itu untuk mengambil durian yang gugur, tapi tanduk yang tajam itu amat menakutkan aku. Tak dapat aku bayangkan bagaimana keadaan ayah dulu ketika diserang oleh kerbau dari kawanan yang sama. Walaupun cedera, ayah dapat diselamatkan. Dup! batu yang kubaling hinggap di belakangnya. Dia berundur setapak. Sebiji lagi, setapak lagi. Eh.. samseng betul dia. Aku menghampiri lagi, baru dia bergerak jauh sedikit dari denai itu, membolehkan aku lalu.. Terima kasih kasih, kataku.
Sedang aku memungut durian, kerbau itu berada lebih kurang 10 meter di hadapanku. Entah mengapa perasaan takutku semakin berkurangan. Tetapi itu tahap ketahanan psikologiku ketika berhadapan dengan haiwan itu , jika dia bergerak ke hadapan sedikit lagi aku akan "cau".. Setelah mengumpul durian, satu hal pula nak mengendongnya ke kereta yang berada jauh di tepi jalan. Kerbau itu terus meragut .. dan aku berjalan berundur sambil mataku mengarah ke kerbau itu. Baru aku perasan, kaki depannya besar sebelah.. oh.. kau cedera ya..patutlah tak mahu bergerak jauh... Tak apalah kataku, tugasku dah selesai.. kau ragut rumput satu kebun ni pun tak apa.. sekurang-kurangnya semak-samun tu taklah menjadi hutan rimba nanti..
Sampai di persimpangan, aku membelok masuk ke kampung lama untuk meninjau-ninjau rumah pusaka yang sudah kurang terurus itu. Rumput baharu sahaja kering, mungkin diracun oleh adik iparku baru-baru ini. Manggis, rambutan dan rambai sudah boleh dipetik. Tapi jika aku ambil banyak-banyak pun siapa yang hendak menghabiskannya. Aku biarkan sahaja sebahagiannya kerana aku pasti ramai budak-budak yang akan mengambilnya dan aku menghalalkannya.. Sedekah buat ayah yang menanamnya..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment