Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Thursday, December 22, 2011

Transformasi Diri: Aku Yang Pelupa

Pagi semalam (21/12/2011), aku ke kebun durian lagi, bermotosikal. Kali ini pada perasaanku ada sesuatu yang ganjil, tetapi aku tak tahu apa. Namun kuteruskan juga perjalanan yang tak lebih lima enam minit itu. Melewati gerai jambu, balai polis, masjid, deretan kedai, pasar, kawasan perumahan, akhirnya aku sampai di pinggir kebun itu. Ketika hendak menanggalkan topi keledar, alamak.. apa pasal kosong sahaja? Rupa-rupanya aku terlupa pakai topi itu.. patutlah ada sesuatu yang tak kena sahaja pada perasaanku. Mujur tak kena tahan dan disaman polis, gerutu hati kecilku.

Setelah durian yang gugur kupungut, aku duduk seketika di tepi Sungai Bidor memikirkan langkah seterusnya. Aku tak berani hendak meneruskan perjalanan balik ikut pekan, nanti habis begitu sahaja duit bonus untuk membayar saman. Rupa-rupanya lesen, telefon pun semuanya tinggal. Apa sudah jadi diri aku ini.. aku menggerutu lagi, memarahi diri sendiri. Lupa dan lupa... Tiada siapa di situ untuk kupinta bantuan. Mahu tak mahu aku terpaksa menyeberangi sungai itu untuk sampai ke rumah pusaka ayah yang jaraknya lebih kurang 500 meter sahaja dari sebelah sini. Tak dalam pun , cuma agak sukar menggendong beg durian di bahu sambil mengharungi air sungai itu. Lebih kurang 15 minit aku sudah pun berada di rumah pusaka itu. Sambil berehat, aku melihat-lihat kalau-kalau ada kenalan atau orang yang bermotosikal yang lalu untukku tumpangi pulang ke rumahku yang jaraknya 1km; dalam kampung yang sama. Malas nak menunggu lama, kuragut sejambak buah rambutan yang rendah dan  lebat meluyut di tepi rumah pusaka itu, lalu berjalan menuju ke arah rumahku dalam keadaan kaki seluar yang basah dari pinggang ke bawah. Orang tengok macam aku sedang berjoging layaknya. Rambutan kukunyah juga sebiji demi sebiji.

Sampai di rumah, isteriku terkejut. Mana motosikal? Mengapa berjalan? Mengapa berbasah-basah? Mengapa tak telefon? Kejar dikerbau ke?

Alahai isteriku yang tercinta, tanyalah satu-satu, aku sedang mencungap-cungap ni, lama benar tak berjalan sebegitu jauhnya. Setelah diterangkan, isteriku menghantarku semula ke kebun, untuk mengambil semula motosikal yang kutinggalkan.Topi keledar kukepit sekali, takkan nak pakai dalam kereta kot..

Sejak akhir-akhir ni Yop (panggilan manja isteriku kepadaku) semakin menjadi pelupa, isteriku mula mengomel. Kunci kereta tinggal dalam kereta, kunci motor tinggal di motor, cermin mata letak di sini cari di sana, telefon tinggal, lesen tinggal. Tempoh hari basuh tangan dengan air kopi,  bla.. bla.. Aku diam sahaja kerana memang betul kata-katanya, aku semakin pelupa akhir-akhir ini. Satu transformasi.. Untuk membuatkan dia diam, aku berkata, demi Allah dengan awak saya tak pernah lupa walau sedetik pun..

3 comments:

  1. Ass-Salam cikgu...
    i like the 'ENDING'...so sweet!

    ReplyDelete
  2. hehee... apo kono eh bang aji? udah tinggalkan ko bolum apo2 posanan yang patut2!!!! manusia mudah lupo ni????
    Kono banyak mengaji Al-Quran ni bnag aji utk bagi kuat daya ingatan... untuk ingatan bersamo!!! huhu...
    Bang aji!!! nak boli bajo taik lombu abang misai 6 guni kek mano yo??? kehkehkeh...

    ReplyDelete
  3. Terima kasih Pn Hazeleyed .. lama dah tak melintas dan berkarya rasanya..

    Mail: Tontang ngaji tu, insya-Allah buek yo tiap-tiap malam, lopeh ngajar anak.. Nak boli taik lombu tu kono lah tanyo Kak Ijat kito eh.... hmmm.

    ReplyDelete