Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Saturday, March 6, 2010

Alahai Temasya Olahraga....

Hari ini sekolah tempatku bertugas mengadakan Kejohanan Olahraga Tahunan. Berikutan saranan oleh TPM / Menteri Pelajaran, tukar kepada Temasya Olahraga Tahunan supaya memberi lebih impak kepada kemenjadian sukan itu sendiri. Bukan aku sentiasa bersikap negatif, tukarlah apa sahaja nama, namun sukan di peringkat sekolah di negara ini semakin layu, layu, dan layu.

Bagi generasi yang sempat menempuh tahun-tahun 50-an, 60-an,70-an, di sekitar Bidor, sukan sekolah benar-benar temasya sukan. Seluruh isi kampung, turun memeriahkan suasana, dan mereka akan dijamu dengan sebotol air "lemonade" buatan sebuah kilang di Jelapang. Aku sudah lupa nama minuman itu. Murid/pelajar begitu kecewa jika tidak terpilih mewakili rumah sukan mereka. Namakan sahaja rumah apa, ikut nama warna, ikut nama tokoh, nama kereta dsbnya. Cukup meriah.

Selepas tahun-tahun 1980-an, temasya sukan sudah jadi Kejohanan selepas itu sukan tahunan dan akhirnya sukan sahaja, semalap sambutan ibu bapa, dan warga sekolah sendiri. Masayarakat sekitar sekolah sudah tidak ambil kisah tentang sukan di sekolah, mereka lebih mengutamakan sukan di kaca TV, kalau tak pun drama.

Kemajuan teknologi menyebabkan sebahagian daripada generasi baru kurang bersukan (termasuk anak-anakku sendiri). Mereka lebih menumpukan kepada sukan dalam bentuk maya.. tak perlu keluar rumah, tak perlu berpanas berhujan, tak perlu berpeluh-peluhan.

Bukan lagi menjadi rahsia, guru-guru juga sudah kurang bersukan atau menggalakkan anak-anak murid bersukan. Bukan tidak mahu tetapi guru-guru sebenarnya sudah terlalu keletihan. TERLALU KELETIHAN. Tanyalah mereka. Bebanan guru pada bahagian akhir alaf lalu dan di alaf 21 ini tidak dapat lagi disamakan dengan bebanan guru pada tahun-tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an. Bebanan ini memberi kesan kepada perkembangan sukan di peringkat sekolah.

Oh.. cuba perhatikan berapa banyakkah banyak gelanggang sepak takraw, badminton, padang bolasepak, dsbnya terbiar tanpa ada pemain...

Thursday, March 4, 2010

Sekadar Catatan

I
Kabel telefon di perkampunganku dipotong penyangak sebelum Tahun Baru Cina lagi. Hanya pada pukul 3.00 ptg semalam kembali disambung pihak Telekom. Selepas 3 jam sambungan pulih, sekali lagi sambungan terputus.. kali ini sebuah lori treler yang mengangkut besi lusuh "melusuhkan" pula tiang telefon sehingga menyembah bumi.. 2 minggu lagikah terpaksa pulak kami menunggu sambungan untuk kembali pulih....?

II
Pencapaian STPM 2010 SMK Sungkai.. spt biasa, ada yang naik dan ada yang turun. Antara yang paling menyerlah ialah pencapaian bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan mata pelajaran Sejarah. Kepada pelajar yang berjaya tahniah dan bersyukurlah. Bagi yang gagal, ia bukan penamat kehidupan..

III
Sekarang ini cuaca begitu panas. Kipas angin kurang membantu. Sebagai guru, aku seharusnya bersyukur kerana tempat aku bertugas berbumbung. Bayangkan mereka yang terpaksa berpanas.. petani, nelayan, buruh binaan, dll. Oh aku teringat akan arwah ayah yang berkayuh basikal 15km sehala ke tempat kerja (sebagai kuli) dan kemudian petangnya berkayuh kembali ke rumah. Al-Fatihah buat ayah.