Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, November 27, 2017

Santai Pagi

Hari ini 27 November 2017. Pagi-pagi lagi aku menjenguk pokok-pokok orkid dan ros. Orkid seperti biasa.. ada yang menunjukkan tanda-tanda akan berbunga dan ada yang hidup segan mati tak mau. Ros pun begitu juga.

Kakiku sudah boleh melangkah dengan agak lancar walaupun sengal masih terasa di tumit kiri. Dua hari aku tidak menjenguk pokok-pokok durian di belakang rumah pusaka di kampung. Aku pun pergi sekejap. Buahpun sudah hujung-hujung.

Kembali semula ke rumah, aku tak tahu nak buat apa lagi. Baring. Mata tak mahu pulak tidur. Hidupkan komputer, layan lagu-lagu biduan Ahmad Jais.

Sunday, November 26, 2017

Lagi-lagi Cerita Kaki

Pada subuh Jumaat 24 November 2017, aku tidak dapat mengangkat kaki kiriku. Sakit amat sangat di tulang belakang tumit. Gout pulak ke? Gerutu hatil kecilku.. sedangkan aku tak pernah mengalami gout selama ini. Sudahlah kulit tapak kakiku pecah-pecah, kena pulak sakit di belakang tumit. Aku hanya boleh bergerak dengan kaki kanan melangkah dan kaki kiri diseret. Sepanjang pagi itu, begitulah cara aku bergerak. Masalah utamanya, aku harus ke Johor selepas Jumaat menghadiri majlis perkahwinan anak saudaraku di Ayer Hitam. Atas pujukan isteriku, aku ke Klinik Wong di Bidor. Doktor menjelaskan itu bukan gout, gout tidak menyerang di bahagian belakang tumit, katanya. Angin, katanya. Memandangkan aku aku memandu ke Johor, doktor memberiku satu suntikan membuang angin. Tidak lama selepas itu ubat dari suntikan tadi membuatkan aku boleh melangkah seperti biasa.

Selepas solat Jumaat aku dan Ani bertolak ke Ayer Hitam. Kami tiba di Hotel Ayer Hitam lebih kurang pukul lapan malam. Barangkali ubat daripada suntikan siang tadi sudah tidak berkesan lagi, kakiku sakit semula tetapi aku boleh juga melangkah terdengkot-dengkot.

Sabtu 25 November 2017, selepas menghadiri majlis perkahwinan anak saudaraku Aishah, kami bermohon pulang ke Bidor lebih awal. Takut 'jem". Memangpun sepanjang perjalanan banyak tempat aku terpaksa menempuh "jem".  Kami sampai di Bidor jam 9.00 malam.

Hari ini 26 November 2017, kakiku masih sakit di tumit kiri, dan luka-luka akibat eczema tidak juga berkurangan.. Ujian tuhan buatku.


Tuesday, November 21, 2017

Lagi-lagi kisah komputer (1997)..

CIKGU A: Komputer yang cikgu belikan semalam anak panah mousenya tak bergerak pulak ..
AKU: Petang nanti saya check. Cikgu ada di rumah ke petang ni?

(PETANG)

Aku: Ha ah .. jegang jer anak panah ni.. Apa Silap gamaknya ? (Aku pun periksa mouse tu).. Laaaaaaaa cikgu.. mana bola mouse ni?? Dah terbukak tempat bolanya cikgu oi..
CIKGU A: Entahle cikgu; ada bola ke dalamnya? Yang saya tahu anak bongsu saya ada le main-main mouse tu semalam....

Dunia Komputer..

KAWAN: Cer kamu tengok komputer aku ni. Kena virus Z.
AKU: Virus Z? Virus baru ni.
KAWAN: Bila aku bukak je word, keluor le huruf ZZZZZZ memanjang tak berenti.
AKU: Oooo. (Menepuk kuat keyboard kat huruf Z). Cer kamu on laptop ni. Bukak Word.
KAWAN: .... hah dah hilang dah Virus Z tu.
AKU: Bukan virus. Huruf Z kat keyboard kamu tu tersangkut. Tenggelam. Kuat benor gamaknya kamu hentak.
KAWAN : Hmmm ... Mati-mati aku ingat virus Z..

Sunday, November 19, 2017

Rangkuman seminggu

19 November 2017
 I
Agak lama juga aku tak menulis apa-apa. Masalah tapak kaki menghalang jari jemari tanganku daripada meneyentuh keyboard komputer. Pergerakanku agak terbatas.Entah bila penyelesaian masalah eczema tahap serius tapak kakiku akan kunjung tiba agaknya; mungkin kubawa hingga ke hujung nyawaku. Namun aku tetap mencuba pelbagai cara. Aku tak mahu duduk diam begitu sahaja, aku tetap juga bergerak ke sana sini walaupun hanya dengan menyeret kaki sahaja. Mengaduh sekejap, dan selepas itu menyambung pergerakan. Jumpa seorang, seorang aan bertanya gout ke?.. Jumpa seorang lagi akan bertanya gout ke?.. Paling senang, jawab ya sahaja walaupun tidak hakikatnya.

II
Semalam 18 November 2017 aku menemani Ani ke Majlis Jamuan Akhir Tahun SMJK Choong Hua, Bidor di Symphony Suites Hotel, Ipoh. Majlis bermula jam 3.30 petang. Walaupun sudah bersara, Ani dijemput juga kerana semasa majlis persaraanya di sekolah tersebut, masih dalam bulan Ramadan, jadi tiada diserikan dengan majlis jamuan. Majlis dilangsungkan dengan meriah dan mesra.

III
Pagi tadi aku bersama Ani ke pasar membeli ikan, ayam dan sayur-sayuran. Pada mulanya Ani mengatakan biar dia seorang sahaja yang ke pasar memandangkan pergerakanku yang sedikit terbatas. Tapi aku tak sampai hati melihat dia menjinjing barang-barang itu semua, aku ikut juga ke pasar. Siapa tak sayang bini oi...
Pulang dari pasar kami melihat pokok-pokok bunga mawar dan orkid di sebelah kiri halaman rumah kami. Ada yang berbunga dan ada yang tidak.. biasalah sesekali sahaja dibaja. Ada bau bangkai pula.. anak kucing yang kami namakan Legam, mati dalam longkang yang membelah rumah orkid itu. Memang dah tiga empat hari termenung tak mahu makan dan minum. Terpaksalah ditanam.

Monday, November 13, 2017

Majlis Budi DiTabur, Bakti DiSanjung Daerah Batang Padang / Muallim

Hari ini 13 November 2017.
Jam 10.00 pagi tadi aku dan Ani ke Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang di Tapah. Bagi meraikan cikgu-cikgu dan staf yang bersara, PPD menganjurkan majlis Budi Ditabur, Bakti Disanjung yg dirasmikan oleh YB Dato' Shamsudin Adun Ayer Kuning.
Sebelum majlis bermula sempatlah berbual mesra dengan rakan-rakan seangkatan yang bersara sejak Januari 2017 dan yang akan bersara selepas ini sehingga 31Disember 2017. Heboh dan cerialah seketika sebelum majlis bermula.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti ucapan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Batang Padang, dan ucapan oleh YB Dato' Shamsudin. Selepas itu upacara penyampaian cenderamata kepada pesara-pesara oleh YB Shamsudin. Sebagai penutup, majlis bergambar beramai-ramai dilangsungkan. Selepas itu sumua yang hadir dijemput untuk makan tengah hari.



Saturday, November 11, 2017

Perkataan Yang Semakin Jarang di Gunakan

Dalam facebook kelmarin sengaja aku menghantar pantun dengan menyisipkan beberapa perkataan dari dialek Perak yang semakin jarang didengar oleh generasi muda. Kenalanku Emmet Faizal juga membalas pantunku dengan menyelitkan juga perkataan-perkatan yang jarang digunakan lagi oleh penutur dialek Perak.
Antaranya jelebor (labi-labi), beroyang (beriang,biawak), bador/berocat (haruan), terjerombab (tersungkur), tobek (luka berlubang), terkerolap (terkehel), gila sepera (tak tentu hala), tertojon, terojon (terjun), dan libang libu (perasaan berdebar-debar).


Wednesday, November 8, 2017

Candung Timah.

Simpulan bahasa = orang yang mudah merajuk atau mudah menangis.

Candung bermakna parang. Timah sejenis logam yang lembut.. Kepanasan api di dapur rumah pun boleh mencairkannya.

Tidak pernah diajarkan di sekolah-sekolah simpulan bahasa ini.

Catatan Pagi

8 November 2017
Seawal 7.30 pagi aku ke kampung lama. Cari durian (Perak : deghoyan). Ada 4 biji. Kubawa pulang dan kubasuh kulitnya. Banyak kesan tanah dan daun-daun kering. Hanya aku dan Amira yang suka makan durian dalam keluargaku anak beranak.

Hujan renyai pula turun kira-kira jam 9.30 pagi. Tak ada apa nak buat aku melihat gambar-gambar yang tersimpan dalam memori telefon. Mengenangkan gelagat kawan-kawan dan anak2 murid sewaktu aku masih bertugas dahulu.

Malas nak bergerak hujan-hujan ni, sedangkan Ani pesan suruh membeli beras dan mengisi minyak kereta..

Sunday, November 5, 2017

Langit Menangis

Hari ini 5 November 2017. Sejak pagi semalam hujan turun awal pagi membawa ke petang. Banyak kawasan di utara tanah air air naik. Pulau Pinang antara yang terkesan teruk. Hujan (dan di setengah-setengah tempat, angin juga) dikatakan kesan daripada taufan apa entah yang sedang membadai Vietnam.

Pagi tadi aku dan isteri ke pasar, membeli apa yang patut. Tidak ramai pelanggan kerana hujan. Tempat meletakkan kenderaan yang berhampiran pasar pun berlambak2 kosong. Senang nak memilih ikan dan sayur-sayuran. Ada di antara pemilik gerai sempatlah termenung menantikan pelanggan.

Di dapur tadi, sambil minum bersama anak perempuan kami Amira,  isteriku menyingkap akan kehidupannya dulu-dulu, zaman susah. Hujan-hujan tidak dapat menoreh, sumber kewangan terhad. Kutip biji cempedak, tak pun biji nangka, rebus, makan. Aku pun mengiyakan kerana emak pun dulu buat perkara yang sama. Kataku, kalau ada ubi rebus hujan-hujan ni tentu sedap. Kena pulak dengan kopi. Amira hanya mendengar, di luar pengalamannya. Kami anak kuli, anak penoreh, Amira anak cikgu.

Ketika catatan ini ditulis, air mata langit masih menitis.

Thursday, November 2, 2017

Ke Majlis Konvokesyen Amira _ USM

Pada petang 30.10.2017 kami sekeluarga kecuali Qayyum bertolak ke USM Pulau Pinang menghadiri Majlis Konvokesyen Amira yang dijadualkan pada pagi 31.10.2017. Sepanjang perjalanan dari Bidor ke Pulau Pinang hujan renyai dan lebat berselang seli. Kami menginap di U Hotel berhampiran dengan USM.

Pada pagi 31.10.2017 aku, Ani dan Amira dihantar oleh Khaliq ke kawasan berhampiran Dewan Syed Putra tempat berlangsungnya majlis konvo itu. Sesak dan padat dengan manusia dan kenderaan bertali arus.. satu pemandangan biasa di majlis konvokesyen. Jam 11.00 pagi majlis penyampaian ijazah sesi pagi itu selesai. Selepas membeli bunga, bergambar pula.. tunggu giliranlah. Selesai bergambar, dengan perut berkeroncong bertolak ke Padang Kota cari apa yang patut untuk mengisi perut. Azim berkeras hendak makan di situ, ikutkanlah saja. Nasi goreng, sotong kangkung, kerang bakar dipesan di kedai mamak itu.

Selepas itu ke USM semula untuk membolehkan Amira memulangkan jubah dan mengambil ijazah dan transkripsi keputusan. Jam 5.30 baru selesai. Kami bergerak pulang ke Bidor. Khaliq yang memandu dari USM hingga ke Bidor.