Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Friday, October 5, 2012

Fakta Baru??

Lama sangat dah aku tak menulis apa-apa di sini. Untuk itu hari ini aku cuba jugalah menulis sesuatu.. supaya blog ini kelihatan masih "berpenghuni".

Aku baru lepas menanda (memeriksa) skrip jawapan kertas Kesusasteraan Melayu 1 , peperiksaan percubaan STPM 2012 SMK Sungkai. Nampak gayanya aku sangat tidak berpuas hati dengan prestasi pelajar dalam peperiksaan itu kali ini. Ini hanyalah peperiksaan percubaan tetapi ia boleh dijadikan petunjuk awal akan pencapaian mereka dalam peperiksaan sebenar. Biasanya pencapaian dalam peperiksaan percubaan lebih rendah daripada peperiksaan sebenar. Sekurang-kurangnya itu dapat memujuk hatiku sedikit.

Berbagai-bagai jawapan yang melucukan terhasil. Hendak marah pun tak jadi. Entah dari mana mereka dapat "fakta" itu aku pun tak tahu.  Antaranya :
1. Tun Seri Lanang lahir di Pekan Nanas, Johor pada tahun 1913.
2. Tun Seri Lanang belajar di Syria, Mesir dan Palestin.
3. Tun Seri Lanang dianugerahkan  gelaran Sasterawan Negara.
4. Imam Shafii dimarahi oleh Imam Malik kerana tidak sembahyang selama 40 hari.
5. Kehandalan Badang terserlah dengan kemampuannya mencabut pokok ubi dengan mudah.

Teringat aku pada dialog Pendekar Mustar dalam filem Seniman Bujang Lapok :  "Apa yang aku ajar, apa yang engkau baca"?


Saturday, July 14, 2012

Kawalan Kampung...

 I
14 Julai 2012 .. sejak Mei, ini baru menulis (baca menaip) semula. Kali ini aku berblog dari pondok kawalan kampung Kampung Cegar Tambahan, Bidor.. Tukar profesion sementara; jadi jaga kampung mulai 12.00 tengah malam hingga 4.00 pagi. Sudah jadi persetujuan (bagi yang hendak sahaja), penduduk kampung bergilir-gilir menjaga kampung. Sudah banyak kejadian pecah rumah berlaku, hampir-hampir juga melibatkan rumahku sendiri. Pagar sudah dipotong, cuma ketika jeruji besi diumpil, anakku terjaga.
Apapun ada rahmat di sebalik peristiwa pecah rumah ini; hubungan penduduk kampung bertambah erat... tak kira bangsa, tak kira agama. Pondok kawalan ini pun terdiri dengan sumbangan setiap penduduk kampung ini sendiri. Sejak adanya tugas-tugas mengawal kampung secara bergilir-gilir ini, alhamdulillah tiada lagi kejadian pecah rumah berlaku.

II
Untuk memudahkan perhubungan dan penyebaran maklumat, ramai daripada penduduk kampung memiliki set walkie-talkie sendiri. Bila sudah ada.. macam-macam gelagat timbul, hanya untuk menceriakan suasana ..


Friday, May 11, 2012

Baru Nak Menyesal

Ramai juga pelajar Tingkatan Lima 2011 datang untuk merayu masuk belajar dalam Tingkatan Enam 2012 ini. Ada di antara muka-muka itu, menampakkan kekesalan kerana keputusan SPM yang mereka yang tidak memungkinkan mereka pergi ke mana-mana .. untuk meneruskan pelajaran tidak boleh, untuk memohon kerja pun rasanya, amat gayat. Kebanyakannya merupakan wajah-wajah 'hard core" - kaki ponteng, kaki tidur, kaki memperolokkan guru, dsbnya. Usahkan untuk merayu, nak dapat borang untuk merayu pun tak dapat dilayan. Bila sudah "ketinggalan keretapi" dan tersisih baru nak menyesal.

Apapun dunia masih terbentang luas. Peluang lain ada di mana-mana jika diri sanggup berubah.

Wednesday, May 9, 2012

40 orang mendoakan, kabul ????

Jalan dari Kampung Cegar ke kawasan industri ringan dan sederhana yang berhampiran agak besar dan lurus. Laluan itu menjadi kegemaran sekumpulan merempit di situ. Petang kelmarin mereka menerima satu pengajaran yang amat tragis apabila seorang kawan mereka terlibat dengan kemalangan di situ. Pencari nahas itu mati dalam perjalanan ke Hospital Ipoh.

Setiap kali mereka berlumba dan merempit di situ, akan ada yang mendoakan agar remaja-remaja berkenaan  akan mendapat pengajaran, supaya mereka serik.

Apabila kisah kemalangan kelmarin disampaikan kepada jiran-jiran, perkataan yang keluar, "padan muka", kerana sudah berpuluh kali dinasihatkan tetapi tidak mendatangkan kesan. Aku pula menambah, eloklah, kurang dah seorang !

Apapun kesalahan harus juga diletakkan kepada ibu-bapa yang tidak mengawasi kegiatan anak-anak.


Sunday, May 6, 2012

Memori Lama ..

Hari Ini Tak Seindah Semalam
(sila klik)

Aku dibawa ke destinasi kenangan..

Saturday, May 5, 2012

Saja nak berpolemik di sini

Baru balik dr rumah sahabat yg buat kenduri. Imam cakap kita sedekahkan pahala bacaan Fatihah ini kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Fatihah yg ini utk ibu bapa.. Fatihah yang ini utk tuan rumah, fatihah yg ini utk arwah si polan-si polan.. Habis, banyak sungguhkah pahala kita sampai sedekah-sedekah kat orang?

Siap disebutkan sedekahkan pahala kepada org itu org ini sama ada yang masih hidup atau yg sudah meninggal dunia.. Org yg masih hidup pandai-pandailah berusaha dapatkan pahala sendiri, kerana masih ada ruang dan peluang...

Kot ada yang kata aku ni Wahabi pulak!!!

Monday, April 30, 2012

Cerita Daripada Orang Yang Bahagia

29.4.2012: Pukul 2.00 petang tadi aku, isteri dan anak-anak ke Shah Alam. Selain menghantar anak keduaku kembali ke UITM selepas bercuti seminggu, kami turut  menziarahi anak saudara isteriku yang baru lepas bersalin anak keduanya.

Lebih kurang pukul 7.00 malam kami bertolak pulang. Kami singgah di R&R Rawang untuk solat maghrib. Suraunya terlalu kecil, tidak dapat menampung orang ramai yang hendak menunaikan rukun Islam kedua itu. Selepas solat aku duduk sebentar di tempat duduk yang disediakan di luar surau itu, menunggu isteri dan anak-anakku selesai solat.

Ada seorang hamba Allah berusia lingkungan awal 40-an, berpakaian agak kemas, sekejap dia duduk berhampiran dengan tempat aku duduk, sekejap dia duduk di atas lantai, menyandarkan tubuhnya ke tiang. Mulutnya tak berhenti mengomel sendirian. Entah apa yang diomelkan tidak dapat disusun dalam satu wacana karangan yang lengkap; melompat-lompat dari satu tajuk ke satu tajuk, sebelum kembali semula ke tajuk asal, berulang-ulang. Setiap orang yang lalu tersenyum sendirian.

Aku cuba menangkap apa yang diperkatakannya, hanya ini yang aku dapat tangkap dan catat :.. " Sembahyang ni wajib, jamak.. zohor dengan asar, maghrib dengan isya'. Kat Chow Kit ramai pelacur bang.. India mari. Bayar 40, 50, Cina(China?) pun ada... Binawe betul, hutang tak mahu bayar, 10 ribu tu. Beribu-ribu ribu, ribu, ribu, ribu, ribu tak ndak bayar.....

Ambik air sembahyang, basuh muka dulu, lepas tu tangan, kat Melaka ada Masjid al-Azim.... Tu orang kaya tu dia bayar 40 ribu kat artis mana ntah. Satu malam je, satu malam, bukan dapat apa pun.....Bapak dia orang kaya bolehlah.....Hutang kat aku, entah bila binawe tu nak bayar, Dia sapu habis.

Burung tiung boleh bercakap, bang. Dia cakap macam-macam, tentang betina pun dia cakap.....

Bila malam perut lapar, bang.. aku pun nak tengok apa yang aku boleh makan kat sana (sambil beredar ke arah gerai makanan)."

Ketika aku hendak menuju ke kereta, aku cuba meninjau-ninjau di gerai mana dia singgah makan, tapi gagal menemuinya. Mungkin dia dibawa keluarganya ke mana-mana. Aku mengagak, besar kemungkinan dia orang Melaka berdasarkan perkataan "binawe" dan "Masjid al-Azim" yang disebutnya itu. Mungkin dia menjadi orang "bahagia" kerana ditipu, sehingga kerugian beribu-ribu ringgit.

Wednesday, April 25, 2012

Hari Ini Hari Senyum Bagi Kaki Tangan Kerajaan

25 April 2012, Rabu.. Hari ini penjawat awam tersenyum lebar. Gaji baru boleh dituai mulai hari ini. Ada ''arrears" atau tunggakan kenaikan gaji 13 % sejak Januari lalu. Bukan dapat percuma macam BR1M, Baucar Buku, Netbook 1M.. tetapi sebagai upah kerja. Jika aku tukang sapu sekali pun, tugas yang kulakukan perlu dibayar.

Ada suara nakal.. gaji yang kerajaan bagi ambil tapi tak mahu sokong kerajaan.. Sebagai jawapan, setiap kerja perlu ganjaran, setiap ganjaran upah, mesti ada produktiviti.. Jadi adillah .. aku kerja kau bayar, kau bayar aku kerja.. Kakitangan awam wajib melaksanakan dasar kerajaan sama ada suka atau tidak. Ingat tu DASAR KERAJAAN , bukan DASAR PARTI POLITIK.. Orang politik boleh datang dan pergi, paling tidak lima tahun sekali; tetapi kakitangan awam kekal sbg penjawat awam sampai dia pencen; atau bila-bila masa dia boleh berhenti. Hmmm sensitif juga bab ni.. Lantaklah.

Petang ni... nak uruskan bayar kereta 2 biji, astro, bil elektrik, bil air, kad kredit, broadband MAXIS, bil telefon rumah/Streamyx, bil Celcom (dua .. laki bini), duit belanja anak kat UITM, duit belanja anak kat UniKL. Senang saja, duduk depan komputer bayar.. perbankan internet katakan.. akhir sekali.. akan timbul suara hati sendiri... alahai.. banyak ni saja yang tinggal!!!??? Mujurlah isteriku tak pernah mengasingkan pendapatannya dengan pendapatanku.. Terima kasih le, kalau tidak, kata orang Perak, tumporr aku !!!


Tuesday, April 24, 2012

Menjenguk Seketika

Berdebu dan berkulat. Jika blog ini umpama lantai tempat berpijak, demikianlah keadaannya kini. Perasaan malas sering menguasai diri, meskipun banyak yang hendak dituliskan. Namun aku agak terkesima jua kerana apabila aku membuka sesekali blog ini dan melihat stats pembaca hariannya sentiasa ada. Aku tak percaya dalam masa dua bulan ini hampir 500 kali blog aku disinggahi pembaca. Bagi itu sudah cukup banyak. Terima kasih kuucapkan kepada pihak yang membaca dan yang meminta  aku meng"update" blog picisan ini..

I  KAWAN TERIMA MENANTU

11 Mac 2012, aku ke Melaka bersama isteri dan dua orang anak. Tujuannya ke Serkam Darat kerana kawan semaktab Isa dan Naimah (suami isteri)  menerima menantu pada hari itu. Sebelum pergi aku dan beberapa orang kawan semaktab yang lain berpakat nak buat reunion kecil-kecilan di rumah Isa. Selesai di rumah Isa kami berpakat ke rumah Sdr Yusof Sipan di Muar, juga semaktab. Dengan kehadiranku suami isteri anak beranak, Halim dari Pulau Pinang sekeluarga, Shahidin dari Melaka, Salleh Harun sekeluarga juga dari Melaka, Muhammad Osman sekeluarga dari Batu Gajah di rumah Yusop, rasa-rasanya hampir runtuh bumbung rumah Yusop dek gelak ketawa kami bercerita kisah-kisah lama. Sayang sekali pertemuan itu tak berlangsung lama kerana masing-masing perlu pulang, esoknya hari persekolahan.

II  STPM BAHARU
Dalam kalangan guru-guru yang mengajar Tingkatan 6, kisah perbicaraan mereka kini berkisar kepada sukatan pelajaran dan pentaksiran STPM Baharu yang akan dilaksanakan apabila Tingkatan 6 Bawah melaporkan diri mulai 7 Mei 2012 nanti. (Sebenarnya panggilan Enam Bawah pun boleh dikira sebagai tidak sesuai lagi dengan terlaksananya STPM baharu ini).

Entah apa pertimbangan Majlis Peperiksaan Malaysia melantikku sebagai Jurulatih Utama (JU) STPM Baharu bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif (dulunya Kesusasteraan Melayu), aku tak tahu. Dan baru-baru ini aku menyampaikan apa yang aku tahu setakat yang terdaya kepada guru-guru KMK (Kesusasteraan Melayu Komunikatif) seluruh Perak di Hotel Heritage, Ipoh. Hmmm; bunyinya begitu gah - seluruh Perak Hakikatnya hanya beberapa buah sekolah sahaja yang menawarkan mata pelajaran ini di negeri Perak ini. Turut disampaikan ialah taklimat untuk mata pelajaran B. Melayu dan Sejarah yang melibatkan JU yang lain dan kumpulan guru yang lain.  Hujung minggu ini beberapa kumpulan guru lagi akan terlibat dalam taklimat bagi mata pelajaran yang lain pula.

III  JUMPA KAWAN
Bercakap tentang STPM Baharu, pastinya para JU ditaklimatkan terlebih dahulu. Maka pada pertengahan April, ketika guru-guru lain bercuti pertengahan penggal, aku menghadiri taklimat STPM Baharu di Hotel Pearl International, Kuala Lumpur. Bukan apa isi taklimat itu yang hendak aku kemukakan di sini tetapi, untuk menceritakan betapa bahagianya aku bertemu seorang sahabat lama yang sama sekelas dan sekursus ketika menjalani latihan guru di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur 28 tahun lalu. Saudara Nordin Ismail yang kutemui kini sudah terang rambutnya, namun ketawa riangnya tak pernah pudar, masih seperti dahulu. Sayang gambar yang kutangkap, tak menjadi pulak... mungkin terlalu terang dek cahaya kepalanya.. Beliau kini bertugas di Jabatan Pelajaran Perlis.

Selain itu kutemui juga rakan sekelas ketika berada di Tingkatan Enam 1979-1980 di SMK Buyung Adil, Tapah, iaitu Puan Rosnah Hj Salleh. Beliau kini guru cemerlang DG52 di Pahang. Petang itu kami minum cendol sambil bercerita tentang kawan-kawan ketika sekelas. Turut serta ketika itu isteri kepada seorang kawan sekelas ketika di Tingkatan Enam tersebut.

Pada 20 April 2012 lalu, sedang aku berehat di bilik Hotel Heritage, lebih kurang pukul 10.30 malam telefonku berdering. Seseorang ingin bertemu denganku di lobi. Siapa? Turun sahajalah, katanya.
Zainuddin Zakariar (pegawai perubatan Pasukan Bolasepak Perak) tersenyum sahaja memandangku ketika aku menuju ke arahnya di lobi. Lama sungguh tak bertemu. Isterinya telah kukenali semasa taklimat di Hotel Pearl International sebelum ini. Selain Din (panggilan mesra), ada seorang perempuan lagi di atas sofa berhampiran. Jika Din tak memberitahu siapa, aku memang tak cam.. Bila nama Zaidah di sebut... baru aku teringat, juga seorang rakan sekelas yang kini mengajar di Ipoh. Selepas 30 tahun tak bertemu banyak yang berubah, banyak yang hendak dicerita..






Sunday, February 5, 2012

Catatan Sabtu 05022012

Untuk kesekian kalinya aku membiarkan blog ini tidak dikemaskini. Kesibukan tugas dan tanggungjawab lain menjadi kekangan untuk aku mencatat sesuatu di ruangan ini. Selepas bercuti Tahun baru Cina, kini bercuti lagi untuk sambutan Maulidur Rasul dan cuti hari Thaipusam pula.

Pada hari Jumaat 3 Februari aku, isteri dan dua orang anak kami mengikuti konvoi 4 buah kenderaan mengiringi pengantin ke Temerloh. Perjalanan petang itu tersekat agak lama di Batang Kali. Maklumlah ramai yang mengambil peluang bergerak ke sana ke mari berikutan cuti empat hari itu. Perjalanan melalui Genting terus ke Genting Sempah agak perlahan kerana hujan turun agak lebat. Pemandangan berkabus juga memperlahankan pergerakan kenderaan. Entah di mana terpisahnya lain-lain kenderaan yang mengikuiti konvoi
tidaklah aku ketahui. Apapun selepas tunggu menunggu di "exit" Temerloh, semuanya sampai selamat.

Malam itu kami dijamu makan di rumah pengantin lelaki. Mungkin perut pun lapar, apa yang terhidang di makan secukup kenyang. Malam itu, bapa pengantin lelaki menaja persembahan kugiran orang lama yang mendendangkan lagu-lagu 60-an. Terangkat habis hadirin yang tua-tua.Kemudian kami ditempatkan di sebuah homestay. Bila sudah beramai, badan letih pun hilang, bercerita sampai dua tiga pagi, baru tidur.

Besoknya, dari rumah pengantin, aku berpecah dari konvoi kerana aku hendak pusing-pusing pekan Temerloh. Maklumlah ini kali pertama aku ke bandar itu. Seterusnya aku meneruskan perjalanan kembali ke Perak mengikut laluan Karak-KL.

Hari ini pula aku ke rumah seorang kenalan di Lahat, Ipoh kerana beliau mengahwinkan anak lelakinya. Selesai di situ aku ke Tesco yang berhampiran.. tidak membeli apa-apa pun kerana aku harus segera ke masjid, bukan sahaja untuk solat zohor, tetapi juga untuk memenuhi "hajat yang mendesak". Barangkali dua mangkuk cendol yang kulahap tadi mempercepatkan proses penghadaman makanan yang kutelan dimajlis itu tadi.

Petang besok aku akan ke Ipoh semula. Kali ini untuk merisik anak dara orang untuk anak saudaraku.

Sunday, January 22, 2012

Catatan Tengah Hari 22/10/2012


10 hari aku tiada memuatnaikkan apa-apa cerita maupun berita. Kesibukan tugas atau buat-buat sibuk dengan tugas membatasi ruang untuk berblog. Lantaran cuti sekolah seminggu sempena Tahun Baru Cina ini, memberikan aku peluang menulis sesuatu di blog picisan ini.

I
Jika gemar meneliti perjalanan politik negara kita, sedikit-sebanyaknya akan menyesakkan nafas juga. Tertanya-tanya apa kesudahan negara kita ini pada masa depan. Apa nak diharap pada orang politik semata-mata kerana sudah cera mereka mencari makan di lubuk itu. Buruk baiknya perlakuan mereka yang kenyang mereka juga. Untuk menambah rasa curiga, ada menteri yang kata jika mereka dan keluarga mereka mengisytiharkan harta, meraka akan diancam bahaya. Aku bertanya sendiri, bahaya yang bagaimana???

II
Sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan Tingkatan Enam, aku terlibat dalam pengagihan baucar buku RM200 kepada semua pelajar Tingkatan Enam di sekolahku. Aku diberitahu supaya satu majlis pelancaran diadakan.  Majlis dibuat seringkasnya. Tokoh yang melancarkan tidak mahu sebut tentang politik kepartian ketika melancarkan, kerana katanya budak sekolah biarlah tumpukan pada pelajaran sahaja. Aku amat menghargainya.

III
Limau mandarin, berpuluh-puluh biji aku telan, lepas tu dah nak ke tandas sahaja. Maklumlah Tahun Baru Cina, kita yang Melayu ni tumpang sekaki juga. Sebagai guru di sekolah Choong Hua Bidor, isteriku banyak diberi buah limau oleh rakan-rakan sejawatnya di sekolah itu. Ada juga budak-budak kampung turut bakar mercun. Mujur mereka tak buat meriam buluh pula. Kepada semua sahabat dari kaum Tionghua, diucapkan GONG XI FA CHAI..

Wednesday, January 11, 2012

Selamat Jalan Sahabat

Dalam perjalanan pulang kira-kira jam 3.30 petang tadi, anakku menelefon dari rumah mengatakan seorang sahabat di rumah berhampiran telah meninggal akibat serangan stroke. Beliau meninggal di hospital Teluk Intan. Sudah janjinya tiba, tiada siapa dapat menghalang.

Rancangan asalnya hendak dikebumikan selepas maghrib tadi tetapi terhalang kerana hujan turun cukup lebat. Maklumlah hari Rabu, hari kebarangkalian hujan di Bidor cukup tinggi. Akhirnya jenazah beliau dibawa ke tanah perkuburan jam sembilan malam, selepas hujan agak reda. Sebagai sahabat sekampung aku mengucapkan selamat jalan, semoga Allah menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh..

Terasa juga sedikit kesalan di hatiku kerana dua minggu lepas, beliau banyak makan nangka di satu majlis. Aku berkata kepadanya, "nangka itu banyak angin, silap gaya "pindah" nanti..". Ternyata selepas dua minggu beliau benar-benar berpindah, tetapi bukanlah disebabkan oleh nangka itu.

Sunday, January 8, 2012

Kuala Lumpur.. Senyumanmu ..

Pagi tadi bersama isteri, dan anak-anak, aku Kuala Lumpur .. atau lebih tepat ke UniKL Kampus Kota yang terletak di persimpangan masuk ke Kampung Baru untuk menghantar anak sulungku mendaftar masuk. Sudah hampir lima tahun aku tidak ke Kuala Lumpur. Bukan pun jauh sangat dari Bidor. Jika berkereta sekitar mengambil masa satu setengah jam sahaja menggunakan lebuhraya. Aku cukup keberatan untuk mengharungi kesesakan lalu lintas di bandar raya kosmopolitan ini.

Setelah selesai mendaftar diri, terpaksa pula menghantar anakku itu ke asrama yang terletak di Jalan Pantai Baru. Bukan aku tak biasa jalan-jalan di Kuala Lumpur kerana aku menjalani latihan perguruan selama tiga tahun di Maktab Perguruan Bahasa (kini Institut Bahasa Melayu Malaysia) yang juga terletak di Jalan Pantai Baru hampir 30 tahun lalu. Namun perkembangan pembangunan menyebabkan aku banyak kali juga terlepas simpang dan kehilangan tanda arah. Namun berkat pengalaman merayau-rayau di segenap pelosok KL, akhirnya tiba jua ke destinasi.

Hmmm !! aku mengeluh sendirian.. Ini Kamsis C UKM 30 tahun lalu. Lantas aku mencari pemandangan Maktab Perguruan Bahasa..huh.. itupun dia. Alahai Stadium Hoki yang dulunya Stadium Kilat (Lembaga Elektrik Negara) pula di sebelahnya.

Ini tempat ayah merayau-rayau dulu ni.. kataku.
Habis mengapa ayah boleh tersilap jalan?anakku bertanya kembali.
Dulu ayah jalan kaki..sekarang berkereta .. balasku.

Selepas makan tengah hari, yang belajar kenalah tinggal yang lain kenalah balik. Dalam perjalanan pulang aku membawa anak-anak yang tinggal berdua beradik itu ke Masjid Negara untuk solat zohor. Memandangkan petang masih awal aku membawa mereka melawat ke Muzeum Negara pula.

Sebelum meninggalkan Kuala Lumpur, sempat jua aku mengimbau kenangan lagu lama dendangan Alleycat, Senyumlah Kuala Lumpur.

Friday, January 6, 2012

Setelah Tiga Hari ..

I
Rabu, Khamis dan Jumaat. Tiga hari sahaja hari persekolahan untuk minggu ini. Peringkat awal ini nampaknya para pelajar tidak banyak menimbulkan masalah disiplin.  Mungkin masih mencari-cari rentak sambil meninjau-ninjau peluang dan ruang melakukan perlanggaran peraturan yang ditetapkan, tetapi itu melibatkan hanya segelintir pelajar sahaja. Antara masalah disiplin yang sering dilakukan ialah datang lewat, ponteng kelas, dan berpakaian yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Perbuatan itu dilakukan oleh pelajar-pelajar yang sama berkali-kali.

II
Ramai bekas  pelajar yang kini sudah besar panjang menyatakan kekesalan mereka kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar suatu waktu dahulu. Ramai yang mengatakan jika mereka belajar bersungguh-sungguh dahulu, mereka mungkin takkan jadi seperti mereka pada hari ini. Dalam hati aku selalu mengatakan bahawa mana mungkin semua akan jadi doktor, jurutera, guru dan sebagainya. Mesti ada yang terpaksa menjadi pekerja sedikit terkebawah. Jika semua berjaya menjawat jawatan tinggi, siapakah yang akan menggali kuburku nanti, yang akan memanjat petai, kelapa dan sebagainya?? Sepanjang aku menjadi guru ini, pelajar yang kurang berdisiplin, apabila mereka dewasa, mereka inilah yang akan bertegur sapa dengan kita berbanding yang jadi doktor, jurutera dan sebagainya. Itu perkara biasa.


Monday, January 2, 2012

Buatlah, selagi ada kuasa ..

Tak kira siapa, selagi ada kuasa selagi itu nak tunjuk kuasa. Boleh buat apa saja.. yang betul boleh dinafikan, yang tak betul boleh disahkan. Lantaklah, kat dalam kubur tiada siapa pernah kembali untuk menceritakan pengalaman di alam kubur; cuma cerita dari mulut ustaz-ustaz sahaja (mungkin itu yang mereka fikir). Jika hendak dipercayai media-media tertentu, kentut pemimpin yang mereka jilat pun sentiasa dikatakan wangi.

Apa pun nampaknya bilis dan belanak jualah yang terjaring. Yu dan kerapu sentiasa menunggu jong pecah.. begitulah

Sunday, January 1, 2012

Banjir di Siam, Harga naik di Malaysia

I
Harga pemacu cakera keras (hard disk drive/HDD) naik begitu mendadak, terutamanya HDD untuk desktop. Sebabnya pengeluaran HDD di kilang-kilang yang terletak di Thailand terjejas teruk kononnya. Itu kata penjual. Enam bulan dulu aku beli 1TB (1 terabyte) cuma sekitar RM 180 di Ipoh. Kini untuk kapasiti yang sama penjual di Greentownmall, Ipoh minta RM 350.00. Melampau tu. Mahu tak mahu aku beli yang terpakai 320 GB pada harga RM 180.00. Bagiku itu sudah memadai untuk desktop yang keempat di rumah ini. Cukup satu anak satu desktop.

Ketika melayari web TMNet ada tawaran untuk manaiktaraf kelajuan broadband sehingga 4mbs. Aku terus memohon supaya kelajuan broadband di rumahku dipertingkatkan dari 1mbs ke 4mbs. Rupa-rupanya di Bidor kemudahan itu belum dapat disediakan. Habis tu dia iklankan buat apa?

II
Ipoh petang tadi dibasahi hujan lebat. Keadaan itu menjadikan Kompleks Yik Foong sesak dengan orang ramai yang tak dapat ke mana-mana. 80 peratus muka bukan "Made in Malaysia" . Rasa gementar bagaikan kita berada di negara orang pula. Kuredahi hujan dan kubawa kereta betul-betul di depan pintu ke kompleks itu untuk memudahkan anak isteriku masuk ke kereta. Aku cuba ke kompleks Jusco pula tetapi kereta terlalu padat sehinggakan tiada ruang untuk mencelah. Terus sahaja kuhalakan kereta ke lebuh raya .. terus ke Bidor.

Dan malam ini sudah lima enam kali aku terbersin. harap-harap aku tak dijangkiti selesema pula dek ditimpa hujan petang tadi..