Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, March 30, 2009

Rao / Rawo / Rawa

Dalom sehari dua ko blog cabuok aku ko dijonguok duo tigo urang blogger Rawo. Terimo kasihlah, ondak juo kilen membaco apo-apo yang patut kek siko. Aku bukan rawo tulen, ayah aku urang Kodah, yang rawo omak aku. Tapi di rumah tarak surang pun adik beradikku bercakop Kodah, sado-sadonyo Rawo. Pendek kato dalam badan ku menggelogak, kato kilan darah Rawoku. Arwah aku pun kadang-kadang terikut-ikut bercakop Rawo.

Omak aku walaupun tarak bersekolah tapi selalu menoguor kalau kami buek silop menggunokan peribahaso rawo. Kadang-kadang berpantun urang tuo tu. Kalau kami terlalu mengharok (mengharap) sesuatu yang payah nak didapek, selalu omak berpantun:

Olun tontu pulang ke Longguong
urang rawo menjua (menjual) sangkak
Olun tontu cerodiek ko binguong
Ontah-ontahke pokak

(Usah diharok, ontah-otahke tak dapek langsung. Longgung: satu tompek di Rao, bukan Lenggung, Perak)

Maso aku kocik-kocik dolu, selalu opah aku ( generasi rawo sebayo aku di Bidor tarak pakai panggilan uci) menyanyi kocik. Opah akan mengubah-ubah suaro, suaro urang tuo dan suaro budak.

Suaro budak (sambil menangieh): Ulek buto di ujuong bonduor (bendul)
Suaro urg tuo: Ambik ulek tu..
Suaro budak (sambil menangieh): Ulek dimaken ayom tuo
Suaro urg tuo : Ambik ayom tu..
Suaro budak (sambil menangieh): Ayom mati dihimpok alu
Suaro urg tuo: Ambik alu tu..
Suaro budak (sambil menangieh): Alu patah dilanggar kudo
Suaro urg tuo: Ambik kudo tu
Suaro budak (sambil menangieh): Kuda mati ditimpo macang
Suaro urg tuo: Ambik macang tu..
Suaro budak (sambil menangieh): Macang diambik tuan petori
Suaro urg tuo: Ambik tuan petori tu..
Suaro budak tertawa.. ( Yolah, siapo yg tak ndak tuan puteri!)

(Pengajaran: Urang yang maleh membuek macom-macom alasan; tapi ondakke ganjaran yang lobeh)

Sunday, March 29, 2009

Mesyuarat Agung PIBG SMK Sungkai

Semalam 28.03.09 Meyuarat Agung PIBG SMK Sungkai diadakan. Tak sampaipun 50 orang ibu bapa kepada 780 orang murid yang datang. Itulah hakikat dan keadaan di kebanyakan sekolah setiap kali Mesyuarat Agung PIBG diadakan. Aku tertarik kepada teknik penyampaian perasmi semalam. Memandangkan ibu bapa yang hadir kelesuan dek mendengar ucapan demi ucapan beliau meminta ibu bapa bangun dan melakukan sedikit senaman untuk menyegarkan semula badan; senaman ala Ultraman (aku yang kata).
Fire bang jangan tak fire!
Biasalah isu utama tentang bayaran tambahan (penjenamaan semula untuk yuran), disiplin anak-anak, punca kewangan dsbnya. Mesyuarat habis pukul 1.30 petang.
Pukul 2.30 guru-guru pula terpaksa mengikuti Hari Profesionalisme sampai pukul 4.00 petang. Dah nak masuk usia setengah abad letih rasanya duduk lama-lama. Sampai di rumah aku tertidur, dan bersembahyang asar pada pukul 6.40 petang.
Dan selepas posting ini aku terpaksa menyemak kertas ujian rasmi Sastera Melayu 1 pelajar-pelajar 6 Atas Al-Khawarizmi pula. Nampak macam panjang-panjang budak-budak tu menjawab. Mhhh!! lambatlah tidur malam ni. Besok hari akhir menyerahkan markah...

Friday, March 27, 2009

Surau Kampung Cegar

Untuk minggu keduanya aku bersembahyang Jumaat di surau Kampung Cegar berikutan Masjid Bidor dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid baru. Masjid itu sudah agak uzur, maklumlah, kali akhir dibaiki pada awal tahun 1970-an. Sehingga masjid itu itu disiapkan (berapa lama, entahlah), ahli kariah terpaksa bersolat di surau-surau yang terdapat di kampung-kampung tertentu. Lama juga aku tak berjemaah maghrib atau isya di surau itu, kerana jarak masjid dan surau Kampung Cegar yang berdekatan, aku lebih selesa ke masjid sahaja.

Ketika menunggu masuknya waktu Jumaat tadi, sempat juga aku mengimbas kenangan sewaktu remaja di surau itu. (Sepatutnya waktu itu kuhabiskan dengan berzikir atau membaca al-Quran!) Walaupun surau itu sudah dua kali diubah suai tetapi suasana di tahun-tahun 1970-annya masih dapat dirasakan.

Aku dan beberapa orang sahabat yang berusia belasan tahun ketika itu bukan sahaja menjadikan surau itu sebagai tempat bersembahyang malahan sebagai tempat mengulangkaji pelajaran, bermain dam, bermain catur, tempat melepak, bermain muzik (di kaki lima surau), mencucuk kumbang yang bersarang di lubang-lubang di tiang dan mencuri-curi pandang anak-anak gadis Pak Khalid yang tinggal bersetentangan dengan surau itu. Ada orang tua yang melarang dan ada pula yang membiarkan kami. Anak muda sepatutnya didekati bukan dibenci.
Tapi kini, hanya aku yang kembali tinggal di kampung ini, sementara sahabat-sahabat yang lain memilih untuk tinggal di tempat lain.

Orang tua-tua yang dulunya menjadi imam, bilal, siak dan makmum semuanya telah tiada. Generasi selepas mereka mengambil giliran mengimarahkan surau itu pula. Malangnya tidak pula kelihatan remaja hari ini yang menggantikan tempat kami melepak di situ.

Ketika bangunan asal surau itu siap dibina sekitar akhir 1960-an, aku pernah mengalami satu peristiwa ganjil. Ketika itu aku berusia sekita 7 atau 8 tahun. Sedang orang yang lebih dewasa bersolat maghrib aku bermain-main di belakang berseorangan. Aku mengintai ke luar melalui satu lubang sebesar ibu jari di dinding yang diperbuat daripada papan. Ada sebiji mata yang turut memandangku melalui lubang dinding itu. Pendek kata, mata bertemu mata. Mata itu akan muncul setiap kali aku memandang melalui lubang itu. Mujur aku tidak takut kerana aku berpendapat ini mesti kerja kawan-kawan sepermainan yang hendak bermain intai-intai.

Setelah selesai ayah bersembahyang, aku menceritakan hal tersebut. Tak ada apa pun, kata ayah sambil mengintai di sebalik lubang dinding itu. "Kawan" hang tu tengok hang pasai dia marah hang tak sembahyang! Ayah menambah. Sejak itu aku tak mahu ikut ayah ke surau itu lagi. Aku hanya ke situ selepas bangunan asal itu dirobohkan dan bangunan surau baru siap dibina bertahun-tahun selepas peristiwa itu berlaku.

Apabila bilal yang bertugas melaungkan azan, aku kembali ke zaman ini semula.

Thursday, March 26, 2009

Direbus Tak Empuk

Empat lima hari aku tak menulis sesuatu yang baru di blog picisan ini. Aku rasakan perjalanan waktu pada minggu ini amat laju, dan aku rasa sedikit kepenatan. Di sekolah, minggu ini dipenuhi dengan mesyuarat-mesyuarat yang pelbagai terutama berkaitan prestasi SPM 2008 yang merudum. Bila keputusan SPM jatuh, para dewa murka, tetapi dalam masa yang sama keputusan STPM agak memberansangkan, para dewa mengezip mulut pula.

Kadang-kadang aku berasa aku sebagai ubi yang sudah menjadi kayu, direbus tak empuk-empuk, walau kering air di periuk. Sukarnya nak berubah!

Sunday, March 22, 2009

Hari Akhir Cuti.

Hari ini merupakan hari terakhir cuti pertengahan penggal. Tidak banyak yang aku lakukan selama sembilan hari yang berlalu. Hanya berlingkar di rumah. Skrip jawapan ujian rasmi satu pun tak berusik, hanya tersimpan dalam beg. Payahnya nak memulakan hari esok. Mhhhh.

Wednesday, March 18, 2009

17.03.2009

Pagi 17.3.2009 aku dan isteri pergi ke Tapah untuk menyelesaikan tiga urusan. Pada pukul 10.30 pagi kami sampai ke pejabat Jabatan Bekalan Air Perak Cawangan Tapah untuk menyelesaikan urusan pertukaran meter sementara (kadar perniagaan) kepada kadar meter tetap (kadar domestik). Pada 16.3.09 seorang pegawai dari JBA Cawangan Tapah telah datang ke rumah kami untuk mencatat bacaan meter terakhir berdasarkan kadar perniagaan. Beliau meminta kami ke JBA Tapah esoknya untuk memuktamadkan proses tersebut. Di JBA kami dirujuk kepada seorang pegawai. Beliau agak berkeras kerana katanya kami tidak ikut prosedur yang sepatutnya. Sedangkan pegawai atasannya sendiri sudah pun datang ke rumah kami berikutan surat permohonan kami sebelum ini. Kami memberitahu bahawa kami bertindak ikut saluran yang betul dan segala surat menyurat telah dibuat sejak bulan Disember lagi beserta segala dokumen yang diperlukan. Kemudian beliau merujuk kami ke bahagian kaunter pula kerana katanya perlu isi borang lagi, OK, ikut saja. Sampai di kaunter ,betul-betul di depan kerani kaunter borang yang telah kami isi melalui plumber memang sedia ada di situ. Aku bertanya kepada kerani itu (seorang India), lagi mau isika?? Mungkin malu, dia pun bawa borang itu masuk ke bilik ini, lepas itu ke bilik sana, lepas itu ke depan, ke belakang. Pegawai itu tak adalah, pegawai ini tak adalah. Nanti saya telefon encik, encik mari sini, ha.. itu macam. Mmm.. malas nak cakap, perkhidmatan kaunter begitulah, tujuh jong masuk anjing tetap bercawat ekornya. Tak selesai juga. Bil air bulan ni tetap akan tinggi jugalah nampaknya.

Selepas itu kami ke pejabat tanah dan majlis daerah, orang tidak ramai, urusan bayar cukai tanah dan cukai pintu selesai dengan lancar. Kemudian kami ke Cawangan Trafik di depan Balai Polis Tapah, untuk membayar saman memandu melebihi had laju. Seorang polis wanita melayan kami dengan senyuman, sejuk sedikit hati. Aku menghulurkan kad kredit untuk membayar denda RM 150 yang dikenakan. Tengah bulan, kekurangan aliran tunai di tangan (hu...hu..hu..).
Polis wanita yang manis menyambut kad kredit dengan menambah sedikit gula kepada senyumannya sambil memasukkan kad kredit ke alat pengimbas, tekan tarik, ketuk-ketuk, gosok-gosok, dilap-lapnya kad kredit tu, masuk lagi, ketuk lagi. Mmmmm, dalam hati, aku menggerutu, bukan kad tu yang rosak mesin pengimbas tu yang dah aup (bahasa Perak bermaksud mati). Seorang anggota polis lelaki datang untuk membetulkan keadaan agaknya. Proses yang sama dilakukan, akhirnya dia berkata, Encik mesin ni rosak pulak dah. Terpaksalah aku mengeluarkan RM 150 yang terbaki dalam poket ketika itu. Ni ha duit RM150, saya bayar cash, kataku. Tak elok pun berhutang, aku menyambung. Polis wanita itu mengembalikan kad kredit aku dan mengambil RM 150 itu daripadaku. Saat itu senyum manisnya tidak lagi manis bagiku sebab poket aku tengah kering.. hu.. hu..hu..

Monday, March 16, 2009

Apa Kurang Pada Belida?

Sekali lagi aku tertarik dengan peribahasa-peribahasa lama, apatah lagi peribahasa yang sangat jarang didengari masa kini. Kali ini aku memilih peribahasa apa kurang pada belida, sisik ada tulang pun ada. Belida ialah sejenis ikan air tawar mempunyai banyak sisik kecil dan juga banyak tulang. Peribahasa ini membawa pengerterian, orang yang kaya berupaya memiliki segala-galanya (termasuk kuasa?). Itulah makna yang diberikan kepada peribahasa ini dalam Kamus Dewan.

Walau bagaimanapun ada versi lain bagi peribahasa ini iaitu apa kurang pada belida, sisik banyak tulang berlapis, bongkok ada kedik pun ada. Pengertiannya juga sedikit berbeza iaitu seseorang yang memiliki apa yang dimiliki oleh orang lain, tetapi apa yang dimilikinya itu tidak setanding dengan apa yang dimiliki oleh orang lain.

Aku percaya majoriti kita berada dalam kelas belida versi kedua. Sepatutnyalah kita bersyukur kepada Allah s.w.t. atas apa yang kita miliki sekarang ini. Alhamdulillah.

Thursday, March 12, 2009

Jong Pecah Yu Kenyang

Betapa tingginya keintelektualan dan hati budi orang Melayu (tradisional) yang menanggapi sesuatu keadaan dengan penuh teliti, tepat, halus dan jitu. Dalam Kamus Dewan, jong diertikan sebagai kapal layar Cina dan yu merupakan nama lain bagi ikan jerung.

Tentu ada sebabnya mengapa orang Melayu tradisional yang mencipta peribahasa ini tidak mengambil 'ikan' secara umum sebagai pihak yang mendapat keuntungan, tetapi hanya sejenis ikan sahaja, yakni yu.

Fikir punya fikir, akhirnya aku mendapat sedikit petunjuk. Apabila jong pecah, semua bahan yang boleh dimakan termasuk orang akan dimakan oleh ikan, tidak kira ikan yu, ikan kembung, ikan gelama, atau sebut apa sahaja nama ikan. Bangkai jong yang tenggelam, akan menjadi tukun tempat ikan-ikan itu berumahtangga dan beranak pinak pula.

Ikan yu yang terkenal pelahap itu akan membaham apa sahaja termasuk ikan-ikan lain yang ada di sekitar kawasan jong yang pecah. Ikan-ikan kecil seperti belanak, bilis dan yang sebaya dengannya, memadailah hanya mencagut-cagut serpihan daripada sekeping roti yang terlepas dari mulut kelasi jong yang jatuh ke laut, kemudian dimakan oleh ikan yang lebih besar, hanya untuk nantinya dibaham pula oleh yu-yu yang kelaparan.

Dan sehari dua yang lepas, telah diumumkan ada jong yang dah pecah!

Tuesday, March 10, 2009

Pentaksiran Berasaskan Sekolah: Sejarah: Bangunan Bersejarah

Pagi tadi aku sebagai Ketua Pentaksir PBS Sejarah PMR bagi Daerah Batang Padang beserta Ketua Pentaksir Sejarah dari daerah-daerah lain di Perak bertemu pentaksir-pentaksir kawasan untuk aktiviti penataran di SMK Sultan Yussuf Batu Gajah. Semuanya berjalan lancar cuma bila tiba waktu rehat, pihak kantin SMKSY memaklumkan bahawa mereka tidak dimaklumkan oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri Perak untuk menyediakan makanan dan minuman. Jadi terpaksalah kami menggunakan wang poket sendiri untuk belanja minum yang sepatutnya percuma kerana dibiayai oleh JPN, (zaman meleset ni, RM 3.oo pun berharga oiii). Bermakna makan tengah haripun kena bayar sendiri. Tak apalah mungkin pihak JPN terlepas pandang dan guru-guru pula tidak ada yang bersikap bagai harimau lepas kandang.. Kita kan cikgu.. buatlah apapun, kita ni kan cikgu...? Cikgu kena bersikap profesional.. ye lah tu.. Tahun 2009 ini, kerja kursus sejarah yang perlu disiapkan oleh pelajar PMR ialah Bangunan Bersejarah.
Segera aku teringatkan bangunan-bangunan di Bidor yang pernah berdiri tapi kini sudah tidak lagi wujud. Antaranya bangunan kayu di tapak asal Sekolah Kebangsaan Bidor. Dua kali berpindah lokasi, akhirnya tapaknya di lokasi kedua kini didirikan kompleks kediaman guru. Begitu juga dengan Balai Polis Bidor. Tapak asal di tepi Sungai Bidor sudah tidak lagi wujud. Tapak keduanya pula sudah dijadikan pusat membaiki kereta. Pernah terdapat dua buah panggung wayang di Bidor (tempat aku menonton filem-filem Hidustan, koboi, Bruce Lee, James Bond dan filem Melayu seperti Pendekar, Langit Tidak Selalu Cerah, Hapuslah Air Matamu dan pelbagai filem lagi). Tapi kedua-duanya sudah lenyap. Di tapak yang sama sudah berdiri megah kompleks perniagaan. Di tengah-tengah pekan Bidor pernah terdapat SRJK Chong Hua II. Aku difahamkan tapaknya dibenarkan oleh pemilik generasi pertama untuk pembinaan sekolah. Apabila generasi ketiga pula mewarisi, kata dua diberikan supaya sekolah tersebut dipindahkan kerana tapak itu ditawarkan dengan nilai jutaan ringgit oleh pemaju hartanah. Wang punya pasal kaum Cina pun boleh hilang patriotismenya. Lenyap sudah sekolah tersebut dari pandangan kini.
Demi pembangunan, bangunan-bangunan yang tidak lagi memberikan pulangan nilai ekonomi yang baik terpaksa dikorbankan. Pekan Bidor memang pesat membangun. Walau bagaimanapun orang kita hanya berniaga di gerai-gerai kecil di tepi-tepi jalan; kalau tidak pun di atas basikal roda tiga sahaja untuk menjual pisang goreng, karipap, apam balik dan air tebu.
MOH KE BIDOR YOP!!!!

Lubuk Degung

Pagi tadi aku ke Lubuk Degung dan membawa sekali Azim anak bongsuku. Lubuk Degung merupakan kawasan air terjun yang terletak di kaki gunung kira-kira 6 km dari Pekan Bidor. Dalam tahun-tahun 1960-an hingga pertengahan 1970-an Lubuk Degung menjadi kawasan perkelahan yang cukup popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong luar . Setiap minggu kawasan perkelahan ini sesak dan padat. Kawasan perkelahan yang sangat indah ini dihiasi air terjun serta jeram-jeram berair deras dan lubuk-lubuk tertentu yang tenang tapi mempunyai kedalaman yang luar biasa. Awas, nampak seperti airnya separas lutut tetapi mungkin sebenarnya separas dada.
Lubuk Nombor Dua (gambar 2004)
(- kat atas jeram tu, galah pun hapus oii.. Lubuk Nombor Satu aku takut nak pergi, licin, aku tak tahu berenang)
Ketika meniti zaman remaja, boleh dikatakan aku serta rakan-rakan sebaya saban minggu berbasikal ke sini, sementelahan kawasan ini terletak lebih kurang tiga kilometer dari rumah opah (nenek) aku. Pada tahun 1978, Lubuk Degung menempuh zaman kemalapan kerana kawasan perkelahan ini termasuk ke dalam ‘kawasan hitam’ iaitu kawasan yang terdapat ancaman pengganas komunis. Sebagai kawasan larangan, Lubuk Degung tidak lagi dikunjungi pelancong yang ingin menikmati kedinginan air gunung. Mereka beralih ke kawasan-kawasan perkelahan yang lain seperti Kuala Woh, Lata Iskandar, Lata Pongsu, dan Lata Kinjang.
Pada sekitar tahun 1990, atau lebih awal sedikit, setelah ancaman komunis tidak lagi wujud, kawasan ini dibuka semula, namun ia terpaksa bergelut untuk mengembalikan kegemilangannya. Pada hari ini sekiranya terdapat tiga puluh orang yang mandi-manda di sini, sudah dikira amat meriah. Agak menyedihkan kerana tidak sampai satu kilometer dari sini terdapat dua buah ladang ternakan babi. Menghairankan juga, di kawasan hulu sungai ladang ini dibenarkan beroperasi. Tidak sampai 100 meter dari situ terdapat perkampungan Orang Asli. Bayangkan pencemaran bau yang terpaksa mereka hadapi.

Lubuk Nombor Tiga (gambar 2004).. ada orang ternampak makhluk sekerat orang sekerat ular kat atas batu tu.. iye ke?
Dari atas jambatan tu, ramai yang terjun ke Lubuk Nombor Tiga, tapi masih tak jejak ke tanah. Kat lubuk ini pun ada dua tiga orang mati lemas. Budak Asli tu relaks je memancing. (Gambar 2004)

Lubuk Degung ‘keras’? Jawapanku, ya, kerana dari segi fizikalnya yang berbatu-batu tentunya kawasan ini keras. Dari sudut pandangan orang tua-tua (termasuk masyarakat Orang Asli) kawasan ini mempunyai kehidupan yang tersendiri, misteri dan tersembunyi. Ia perlukan satu nyawa manusia setahun. Secara kebetulan setiap tahun ada sahaja yang mati lemas di Lubuk Degung. Dan pagi tadi pasukan bomba, polis dan orang ramai sedang mencari mayat seorang pemuda India yang dipercayai lemas di satu lubuk yang agak dalam di atas sana. Pada kiraanku tidak kurang 20 orang telah menemui ajal di Lubuk Degung, tetapi tidak seorangpun mereka yang mati lemas itu berasal dari Bidor. Kata seorang Orang Asli yang kutemui berkata, “benda tu tak mahu orang Bidor”. Aku hanya diam, tidak mengiyakan dan tidak menidakkan.

Wednesday, March 4, 2009

Cemerkap

Ramai sahabat yang bertanya, termasuk pelajar yang terbaca blog picisan ini, maksud cemerkap. Apakah cemerkap itu cekap atau separas dengan cemerlang? Huh! Jauh sekali. Cemerkap kalau aku tak silap membawa maksud sering melakukan kesalahan, atau/dan kasar. Maafkan aku sahabat jika aku sering saja menjadi cemerkap.

Sunday, March 1, 2009

Sebuah Rumah Tua

Sebuah rumah tua
semakin sepi dan menyendiri
dedaunan kering berkaparan
di tengah laman
Sebuah rumah tua
tinggalan ayah
kukunjungi
sekali-sekali
Sebuah rumah tua
kucari-cari keringat ayah yang pernah titik di lantai
Menguak kembali lembut kasih ibu
Dan di sebuah rumah tua
air mataku membasahi pipi