Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Friday, April 23, 2010

Mak ai.. Lebatnye hujan...

Hari ini Jumaat. Selepas solat, aku ke pejabat pos untuk membayar bil-bil untuk bulan ini. Habis juga lima jari.. Sudah kita inginkan keselesaan, kemudahan, keseronokan dan sebagainya, maka semua itu perlu dibayar. Setakat ini hanya udara untuk bernafas sahaja yang percuma, manakala hampir semua yang lainnya perlu dibayar.

Nasib aku hari ini memang baik, hanya aku seorang sahaja pelanggan yang berurusan, tak perlu mengambil nombor giliran pun, unjuk sahaja bil-bil yang perlu dibayar, tak sampai lima minit, selesai semua urusan.

Belum sempat melangkah keluar untuk ke kereta, hujan turun mencurah-curah, cukup lebat. Maka terkurunglah aku di pejabat pos itu, sambil berdiri di pintu cermin memandang keluar. Sesekali aku menoleh ke arah gadis-gadis kerani yang duduk tercatuk di tempat masing-masing.
"Pakcik nak payung? Boleh gunakan payung saya", penuh sopan seorang daripada kerani itu bertanya. "Tak apalah, pakcik tunggu sekejap lagi, terima kasih".

Sambil berdiri,melalui pintu kaca itu terlihat aku seekor biawak kecil muncul dari parit di hadapan pejabat pos itu. Longkang itu dipenuhi air, mungkin biawak itu tidak dapat bertahan dengan aliran air yang deras.

Kemudian mataku terpaku ke arah sebuah deretan bangunan rumah kedai tiga tingkat yang baharu sahaja dibuka. Ada restoran yang cantik, ada pasar raya, ada kedai telefon, dan kedai aksesori kereta. Tetapi semuanya bukan milik bangsa kita. Ketika aku masih kanak-kanak, tapak itu merupakan kawasan longgokan tong-tong najis. Ketika itu, setiap tandas di pekan, terdapat tong di bawahnya. Tong itu bersama isinya akan diangkut oleh pekerja majlis daerah dan digantikan dengan dengan tong lain yang kosong. Semua kerja itu dilakukan pada waktu jauh malam atau dinihari. Tapi semua itu sudah tidak ada lagi, semuanya berubah mengikut kemajuan dan perkembangan semasa.

Apabila hujan agak reda, aku mengambil kesempatan meninggalkan pejabat pos dengan senyum sendiri. Mana tidaknya, dalam begitu banyak peristiwa lama yang indah untuk dikenang, bagaimana aku boleh memilih untuk mengenang tentang tong t**k. Ceh!!

Sebaik sampai di simpang setesen bas, hujan lebat kembali. Air longkang mula menyenak ke jalan raya seolah-olah banjir kilat layaknya. Apabila manusia hanya mengambil jalan yang mudah , segala sampah sarap dibuang ke longkang sahaja. Aku membelok ke kanan untuk megambil jalan pintas ke jalan besar dan seterusnya meninggalkan pekan untuk pulang. Hujan tidak juga berhenti.

Di rumah, aku hanya menyedari bahawa hujan sudah berhenti apabila aku terjaga untuk menunaikan fardu asar lebih kurang pukul 5.45 petang.

Tuesday, April 13, 2010

Kenduri Kahwin Dulu Dan Sekarang...

Siang tadi seorang jiran sekampung mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya. Dalam keriuhan suasana itu sempat juga aku membandingkan suasana majlis perkahwinan generasi sekarang berbanding suasana majlis perkahwinan generasi-generasi terdahulu, terutama di tahun-tahun 1960-an hingga hujung tahun-tahun 1970-an iaitu zaman ketika aku melewati zaman kanak-kanak dan remaja.

Di zaman aku masih kanak-kanak, khemah seperti yang terdapat pada hari ini belum ada.Yang ada hanya bangsal iaitu struktur berbumbung yang dibuat daripada buluh. Tiga empat hari sebelum majlis perkahwinan itu diadakan, penduduk kampung secara bergotong-royong akan mendirikan bangsal. Buluh amat mudah diperoleh di kampung-kampung. Biasanya kanvas lori pula digunakan sebagai atapnya. Ada juga struktur bangsal yang berbentuk pisang sesikat. Biasanya tiga keping papan disusun melebar separas pinggang untuk dijadikan meja. Tempat duduknya juga dibuat daripada papan. Tetamu wanita mengalami sedikit kesukaran untuk melangkahi papan yang panjang sebelum duduk. Jika tiada papan, para pemuda terpaksalah beramai-ramai mengambil set kerusi dan meja makan dari setiap rumah di kampung. Tidak ada istilah tidak boleh, tak larat dan sebagainya. Semuanya dilakukan dengan bergotong-royong.

Setelah bangsal siap didirikan, tugas seterusnya ialah melilitkan kertas bunga berwarna-warni bersaiz dua jari ke struktur buluh yang menjadi tiang bangsal itu. Selain untuk hiasan, ianya berfungsi untuk mengelakkan tetamu daripada terkena miang buluh berkenaan. Biasanya apabila majlis selesai, kertas tersebut menjadi rebutan kanak-kanak, ditanggalkan, diikatkan anak batu di hujungnya lalu dibaling ke udara, menghasilkan satu gerakan yang menarik, seperti ular melayang.

Sehari sebelum majlis berlangsung, kaum ibu akan datang beramai-ramai mericis bawang, lada, daging, ayam, dan sebagainya untuk dimasak. Cukup meriah, penuh dengan semangat kerjasama. Mana-mana yang latah sentiasa jadi mangsa dan bahan ketawa. Bagi anak bujang pada masa inilah mata mencuri-curi pandang kok-kok ada gadis manis yang menyelit.

Pada sebelah malamnya, lauk, gulai, rendang tok dan lain-lain akan dimasak. Begitu juga merebus telur. Biasanya nasi minyak atau nasi putih akan ditanak di sebelah pagi keesokannya. Anak-anak muda akan berjaga sampai ke pagi. Ada juga yang nakal memasukkan air akar pinang dara ke dalam air panas yang digunakan untuk membuat kopi atau teh. Air akar pinang dara dikatakan menjadi bahan penggalak, mata tak mengantuk dan sentiasa ketawa gembira. (Akar pinang dara yang digunakan ialah akar berwarna merah yang terdapat pada pokok pinang yang belum pernah berbuah). Dengan adanya anak muda yang berjaga sampai pagi, tuan rumah tidak risau akan keselamatan saudara mara yang tiba dari jauh disamping barang-barang seperti pinggan mangkuk, dan lain-lain terjaga.

Pada hari berlangsungnya majlis perkahwinan itu, anak muda tanpa mengira penat lelah akan membantu mengangkat hidangan, dan membersihkan pinggan mangkuk. Tidak ada upah, hanya sekeping tuala muka nipis dan rokok. Bagi tuan rumah yang berada, majlis diserikan dengan menjemput kugiran. Ada permintaan lagu untuk ditujukan kepada sesiapa yang diingini. Kadang-kadang tuan rumah pun turut menyumbangkan lagu. Yang lebih berada lagi, sebelah malamnya diadakan pula joget lambak.

Kini, di abad ke-21 ini, kebanyakan suasana majlis perkahwinan yang dipaparkan di atas sudah tidak lagi berlaku. Sekarang sudah ada khidmat pihak yang menyewakan khemah berserta kerusi meja dan set pelamin. Untuk jamuan makan, pilih saja caterer yang diingini. Untuk hiburan pilih saja dj-dj yang berbakat di serata kampung. Paling tidak letakkan sahaja set karaoke di satu sudut, nanti akan ada yang berbesar hati menyumbangkan suara yang kadang-kadang memang sumbang. Hidangan pula secara buffet. Nampaknya cara zaman ini lebih mudah, namun ia sedikit sebanyak melonggarkan ikatan masyarakat sekampung. Oh ya.. semakin ramai tuan rumah yang mengetepikan budaya memberi bunga telur, sebaliknya digantikan dengan beg kecil... di dalamnya gula-gula dan sehelai sapu tangan kecil.

Friday, April 9, 2010

Minda Kelas Tiga Atau Warga Kelas Tiga

I
Ketika memandu sepanjang sebuah lorong, tiba-tiba kereta di hadapan berhenti. Dalam masa yang sama sebuah kereta dari arah bertentangan juga berhenti. Pemandu kedua-dua buah kereta membuka cermin tingkap, berbual begitu selamba tanpa menghiraukan bahawa mereka telah menyekat perjalanan kenderan di kedua-dua arah. Setelah puas berbual mereka berlalu tanpa rasa bersalah.

II
Pada ketika yang lain, sebuah kereta berhenti di tengah-tengah lorong yang agak sempit. Pemandunya turun ke kedai berhampiran meninggalkan keretanya mengganggu perjalanan kenderaan lain.

III
Sekumpulan pemuda berkumpul di tengah-tengah jalan untuk berbual-bual, sedikit pun tidak mahu berganjak apabila ada kereta yang lalu. Mungkin mereka merasakan mereka begitu berkuasa ketika itu kerana ramai.

IV
Di satu persimpangan terdapat dua buah sekolah, Sekolah Kebangsaan dan sebuah lagi Sekolah jenis Kebangsaan. Persimpangan itu sudah dilebarkan sehingga mampu memuatkan tiga lorong; satu lorong untuk belok ke kiri, satu lorong lagi untuk ke kanan dan satu lorong lagi untuk kenderaan yang hendak masuk. Ketika sebuah kenderaan hendak masuk ke lorong itu, ketiga-tiga lorong itu sedia ada tiga buah kenderaan, semuanya hendak membelok ke kanan!

V
Perlakuan-perlakuan yang menampakkan kekurangan kesedaran sivik di atas menjurus kepada satu kesimpulan, iaitu masih ramai anggota masyarakat yang memiliki minda kelas tiga. Adakah aku mengamalkan sikap racist jika mengatakan perlakuan-perlakuan tadi selalunya dilakukan oleh satu kaum tertentu.. iaitu... ????

Tuesday, April 6, 2010

Apa sudah jadi???

I
Apa sudah jadi kepada blog aku ini??? Ya Allah genap sebulan tak dijenguk langsung.. Basi sudah posting-posting terdahulu. Adakah Allah sudah menarik balik nikmat masa yang dikurniakannya kepadaku selama ini sehingga aku kekurangan kesempatan menulis di blogku sendiri. Ampunkan aku ya Allah jika itu yang terjadi.

II
Sudah suku tahun pertama 2010 sudah berlalu. Begitu cepatnya masa bergerak meninggalkan kita. Anak-anak yang dulunya ditimang dan didakap kini sudah besar panjang. Azim yang bongsu sudah 10 tahun usianya pada 1 April lalu, Amira anak yang ketiga dan satu-satunya anak perempuanku, ketinggiannya sudah mengatasi ketinggian ibunya. Khaliq anak keduaku baru-baru ini mendapat keputusan yang baik dalam SPM, tentunya sedang membilang hari demi masa depannya... mungkin ke matrikulasi; atau mengikuti kursus asasi atau diploma di mana-mana universiti tempatan. Anak sulungku Qayyum juga baru menamatkan kursus diplomanya; juga berkira-kira untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

III
Pada 15 Mac yang lalu aku terlibat dalam kemalangan jalan raya. Persoalannya ialah apabila ada orang yang tidak berhati-hati di jalan raya, jika berlaku kemalangan, bukan dia sahaja yang mendapat susah tetapi juga orang lain. Pendek kata ia akan menyusahkan orang lain dalam banyak perkara. Ketiadaan kenderaan yang sangat-sangat diperlukan dalam mengharungi kehidupan seharian amat mengesankan. Mujurlah ada ipar duai yang sanggup meminjamkan kereta anak mereka.