Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, April 27, 2009

Kisah di LHDN dan Berlumba dengan VVIP

I
Pukul 2.30 petang tadi aku ke LHDN Teluk Intan. E-filing?, terus ke tingkat dua, kata seorang petugas dengan senyuman. Wau!!! sebaik aku menguak pintu Tkt 2, berpuluh-puluh orang sedang mengadap komputer-komputer yang disediakan. Kebanyakannya sebaya dengan aku, ramai juga yang terangkak-rangkak menggunakan komputer. Suasana sama seperti ketika aku menjadi fasilitator mengajar guru-guru berkomputer 10 tahun dahulu, hiruk-pikuk dengan pertanyaan itu ini. Kasihan aku melihat dua orang petugas wanita yang melayani semua dengan tabah. Aku merapati seorang petugas, saya dan isteri terlupa password, kataku. Tanpa berlengah beliau membereskan urusan itu. Tak sampai pun lima minit urusan aku selesai di situ kerana aku akan menyelesaikan urusan itu melalui komputer di rumah.

II

Aku memandu dalam keadaan santai ketika pulang. Setiba di Cangkat Jong aku terpandang sebuah Brabus hendak memotong kereta Toyotaku yang paling ayam, Avanza. Aku memberinya peluang memotong. Huh! Melayu rupanya. Baguslah kata hatiku. Belumpun sempat Brabus tadi hilang dari pandangan, melalui cermin pandang belakang, ada kereta polis yang memasang lampu meminta aku memberinya laluan untuk memotong. Silakan. Rupa-rupanya di belakang kereta polis itu terdapat empat buah kereta 'berbintang tiga' bercermin gelap. Berdesup meluru ke depan. Kereta Pak Menteri persekutuan rupanya. Balik dari Lumutlah tu, nak ke lebuh raya melalui Bidor, aku meneka dalam kesamaran.

Di kawasan had laju 60km para VVIP boleh lari 3 kali ganda daripada itu. Siap diiringi lagi. Marhaenis-marhaenis seperti aku tak layak dapat pengecualian itu. Tak apalah, itu keistimewaan dia. Akupun sebenarnya boleh buat begitu jika aku mahu dan jika aku mampu untuk membayar saman.

Sampai di Batu 12, terlalu banyak lori yang perlu dipotong. Banyak pula kederaan di kedua-dua arah. Bila ada peluang, dengan kelajuan 90km/j aku memotong empat buah lori sekali gus. Maklumlah lori-lori itu hanya berkelajuan 50km/j sahaja, sarat dengan kelapa sawit. Tup-tup aku berada betul-betul di belakang kereta Pak Menteri itu. Padan muka engkau, kataku. Lori-lori itu tak dapat memberi laluan kepada mana-mana VVIP sekalipun kerana jalan di laluan itu sempit dan bahu jalan yang lembut. Jika ke tepi, tayar lori itu akan terperosok ke dalam tanah gambut. Hanya apabila tiba di laluan yang lebih besar, barulah kereta-kereta VVIP dan pengiringnya berjaya melepaskan diri dan terus "hilang" selepas melalui sebuah selekoh, hanya untuk membontoti deretan-deretan lori yang lain pula.

Sampai di persimpangan lampu isyarat Kampung Simpang Tiga Bidor, keretaku kembali berada di belakang kereta VVIP itu lagi. Kali ini tersekat dek lampu isyarat berwarna merah. Jika ketika lampu itu merah dia jalan juga, akupun akan ikut jalan sama. Mujur tidak.

Melepasi lampu isyarat, seperti yang aku duga, mereka menghala terus ke lebuh raya, sementara aku pula menghala ke laluan yang membawa aku pulang ke rumah.

Wednesday, April 22, 2009

6AAK, Sulaltus Salatin dan Burung Birit-birit

I
Pengajaranku di kelas 6 Atas Al-Khawarizmi hari ini berkisar pada tajuk unsur-unsur sindiran dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Aku membantu pelajar-pelajar itu menyenaraikan dan mengulas beberapa peristiwa dalam SSSM diselitkan oleh pengarang teks sastera sejarah itu untuk menyindir secara halus golongan atasan khususnya golongan istana.
Untuk mengelakkan diriku daripada dianggap oleh para pelajar menghina pihak istana, berkali-kali aku tegaskan setiap ulasan dan pandanganku tentang unsur-unsur sindiran ini tidak berkaitan dengan mana-mana institusi istana yang wujud hari ini di negara kita, sebaliknya ditujukan kepada Raja-raja/Sultan di Melaka pada zaman berkenaan sahaja, walaupun titisan darah diraja Melaka masih mengalir pada tubuh Sultan tertentu sehingga hari ini.

II
Sebelum memulakan sesi P&P di 6AAK tadi terpandanglah aku seekor burung birit-birit hinggap di talian telefon yang merintangi jalan berhampiran bilik kelas tersebut. Spontan aku bertanya kepada pelajar, sama ada mereka kenal akan burung birit-birit. Tiada seorang pun yang kenal. Sebelum sempat aku menunjukkan kepada mereka, burung birit-birit tadi sudahpun terbang entah ke mana. Tak apalah, aku faham generasi zaman sekarang bukan lagi generasi yang bergelumang dengan hutan belukar, sungai, hutan, unggas, serangga dan sebaginya. Akupun tidak kehairanan kerana ada di antara pelajar itu tidak kenal akan pokok pinang sekalipun!


Ketika aku masih kecil, apabila kumpulan burung birit-birit berterbangan pada waktu tengah malam, ibu bapaku akan segera mengarahkan kami yang sedang tidur terlentang supaya tidur mengiring. Perlakuan ini turut diamalkan oleh semua warga kampung. Ibu bapa amat mengenali bunyi burung ini. Bila ditanya mengapa? Jawapannya, ada "sesuatu" yang berpaut pada hujung ekor burung tersebut. Sebenarnya ada kisah di sebalik kepercayaan dan perlakuan itu. Aku pulangkan kepada pengunjung jika ada yang dapat memberi penjelasan.

Monday, April 20, 2009

Siap Jua Akhirnya

Setiap hari, cahaya matahari petang akan menyapa terus ke ruang keluarga rumahku. Ruangan itu tempat anak-anakku bermain perang-perang melalui komputer dan selalu juga mereka berperang sesama sendiri di situ. Menonton TV juga di situ. Mereka membuat kerja sekolah juga di situ. Sudah tentu bahang cahaya matahari yang menerjah masuk melalui kaca pintu gelongsor mengganggu penumpuan mereka.
Sebulan yang lalu aku mengambil keputusan membina sendiri (seorang diri) kawasan beratap di bahagian luar ruang keluarga itu. Setiap waktu terluang aku akan bertukang, secara beransur-ansur. Apabila kawasan itu ditimpa cahaya matahari aku akan berhenti. Aku takut kulit aku yang gelap ni bertambah gelap. Setiap hari aku hanya ada masa lebih kurang 1 jam, pukul enam petang sampai pukul tujuh. Jika hari cuti aku punyai masa yang lebih panjang.

Aku memasang atap pada sebelah malam. Memasang atap genting tidak banyak mengeluarkan bunyi. Oleh itu jiran-jiran tidak akan terganggu dan tentunya suhu pula lebih sejuk.
Dan hari ini semuanya telah siap 100 peratus. Matlamat untuk mengurangkan terjahan cahaya matahari ke ruang keluarga tercapai. Memanglah tidak kemas kerana aku bukan tukang profesional. Lagipun aku tak mahu memotong rezeki sahabat berblog aku, Kontraktor Wibawa tu. Mana tidaknya, nanti orang suruh aku bina rumah mereka, kesianlah En Nor Azuan Mustafar tu tak dapat projek pulak.
(Buat projek inilah urat lutut aku pecah, turun naik tangga. Tahun lepas ketika membuat atap di sebelah kanan rumah aku untuk menahan terjahan cahaya matahari pagi, aku terjatuh setelah atap yang aku pijak pecah dan patah, terjunlah aku ke tanah. Sakit beb..)


Thursday, April 16, 2009

Rombongan Che Kiah

Hari 16.04.2009. Aku bersama Cikgu Razali, Puan Hazyani, dan Puan Norida menjadi guru pengiring "Rombongan Cik Kiah" ke Menara Condong Teluk Intan, Kompleks Sejarah Pasir Salak, dan ke kawasan hutan bakau di Matang. Lawatan ini disertai 80 0rang pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 6.

Ini merupakan peluang bagi sebahagian pelajar SMK Sungkai melihat dunia luar, kerana ada di antara mereka tidak pernahpun sampai ke Teluk Intan! Teluk Intan dan Pasir Salak sudah tidak asing lagi bagiku, tetapi ini merupakan kali pertama aku melawat kawasan hutan bakau di Matang. Tentunya tidak sama dengan hutan getah tempat aku bermain sewaktu kecil dahulu.

Untuk tidak menghampakan para pelajar, mereka dibawa ke Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar untuk solat zuhur. Kami juga membenarkan mereka bersiar-siar di bandar Taiping selama dua jam sebelum bertolak pulang ke Sungkai.

Gambar atas: Pegawai Hutan yang mengiringi kami

merentasi hutan bakau.

Terima kasih atas kerjasama dan kemesraan



Gambar atas: Jaga-jaga, pucuk rotan bakau, bahaya



Gambar atas:

Sempat juga membeli jambu potong, cucuk-cucuk, suap


Gambar atas:Di tepi Sungai Perak, berhampiran kawasan Birch kena bunuh

Monday, April 13, 2009

Cuti Sakit 2 Hari

Sejak seminggu lalu lutut kananku memang terasa sengal, tidak dapat dibengkokkan sepenuhnya. Aku terpaksa mengubahsuai cara aku berjalan, sedikit tempang. Aku bukan pengidap gout. Tulang lututku seperti berlaga apabila aku cuba berjalan seperti biasa.Petang Ahad semalam aku tak dapat menggerakkan langsung kaki kananku. Sakitnya bukan kepalang dan kelihatan lututku membengkak dan panas. Hendak bersembahyang terpaksalah duduk di kerusi.

Pukul 8.00 malam tadi Ani membawaku ke sebuah klinik. Mujur masih belum tutup. You buat apa petang tadi sampai jadi macam ini? tanya doktor. You punya urat lutut sudah pecah sedikit, itu darah sudah campur sama air, you punya lutut pun dia punya gris sudah sikit kurang. Nanti kita bikin satu lubang, sedut itu darah keluar, lagi kita masuk sikit ubat bawah itu kepala lutut. Tarak sakit. Perasaan ngeri dan takut menyelinap di dalam hatiku. Lubang? Huh! besor mana pulak tu?

Aku malas nak memandang apa yang dilakukan oleh doktor tu ke atas kepala lututku. Terasa sengal, sakit, dan geli. Hampir aku tertawa dek geli kat tulang. Doktor pun menunjukkan darah yang disedut keluar, agaknya habis darah yang dihasilkan melalui nasi sepinggan yang aku makan sebelum datang tadi.

Dua hari cuti, kata doktor itu. You patut pigi hospital untuk pemeriksaan lanjut dan dia orang mesti kasi you cuti kurang-kurang 1 minggu katanya. Malas nak cerita banyak, ok doktor,esok saya pergi kataku. Sebenarnya aku memang tak mahu ke hospital. Sebelum tidur aku makan ubat yang diberikan doktor.

Bangun pagi ini aku lihat bengkak sudah berkurangan, aku sudah boleh membengkokkan sedikit kaki kanan tetapi sengalnya masih terasa.

Duduk sahaja di rumahpun membosankan. Anak-anak ke sekolah. Ani pun sudah bergerak ke sekolah sebentar tadi. Huh... tidurlah jawabnya sepanjang petang ini.

Thursday, April 9, 2009

10 April 1987

Sesudah disiapkan, diperiksa, diteliti, dikira cukup seadanya, maka dimasukkan ke dalam kereta pengiring-pengiring yang tertentu, entah berapa buah tak dapat dipastikan. Itu baru barang-barang. Pengiring pula ada yang mulanya hendak mengikut, tidak jadi pula, ada yang mulanya tidak hendak ikut, nak ikut pula. Kena tunggu lagi. Yang tuan punya diri dah kepanasan, dek kepanasan matahari dan dek kepanasan dalam hati terhadap sikap beberapa orang pengiring yang berada dalam keadaan nak tak nak ikut serta; yang pangkat pakcik-pakcik, adik, kakak, abang, ok semua, tetapi yang makcik-makcik tu, huh... Sesudah lewat lebih dari satu jam maka bergeraklah semuanya ke destinasi.

Sepanjang perjalanan tuan punya diri dalam keadaan diam menyepi, menghafal apa yang patut diujarkan nanti. Untuk mengelakkan rasa menggelabah yang ketara, sirih berjampi beserta seulas pinang, secalit kapur, dan sedikit gambir dikunyah walaupun rasa kurang yakin cara itu berkesan menghilangkan degup degap di jantung yang dirasakan kurang normal.

Akhirnya tiba jua ke rumah di tepi selekoh itu. Di sambutlah oleh tuan rumah yang terlalu lama menanti. Tuan punya diri tahu dirinya kini menjadi tumpuan mata orang ramai yang ada di dalam dan di luar rumah. Barangan yang dibawa bertukar tangan. Tuan rumah berpuas hati kerana yang diterima semuanya seperti yang dijanjikan.

Upacara seterusnya dijalankan. Setelah lafaz yang sepatutnya diujarkan dan disahkan, maka secara rasminya tuan punya diri dan gadis tunangannya kini menjadi suami isteri yang sah. Dan mulai dari detik itulah merupakan titik tolak keduanya berkongsi susah senang dalam melayari kehidupan ini.

[ Huh.. sewajarnyalah pada waktu-waktu begini aku mengimbau kembali detik-detik aku dan isteriku, Rohani diijabkabulkan pada 10.4.1987, 22 tahun dahulu. ]

Buat isteriku tersayang, kusanjung setingi-tingginya wangi kasihmu. Selamat Hari Ulang Tahun Perkahwinan Kita.

Wednesday, April 8, 2009

One, Two, Choose.. (tiada kaitan dengan mana-mana PRK!!!)

Lewat petang 7.4.2009 aku menjemput Ani dari sekolah kerana keretanya dibawa oleh Qayyum ke Ipoh. Ani meminta aku menghala ke sebuah kedai yang menjalankan perkhidmatan fotostat. Aku meletakkan kereta di hadapan deretan kedai bersetentangan kedai fotostat tersebut. Sementara Ani pergi ke kedai itu aku asyik melihat tiga orang kanak-kanak Cina yang berusia lebih kurang 9 atau 10 tahun yang sedang bermain one-two-choose. Setiap kali perkataan choose disebut, jari mereka akan membuat bentuk tertentu. Jika telapak tangan terbuka menghala ke langit membawa maksud air, jika terbuka menghala ke bawah membawa maksud matahari, jika digenggam bermaksud batu. Aku tak pasti apa maksud dua lagi bentuk yang mereka buat.Pada anggapanku mungkin lambang awan dan lambang angin.

Lambang matahari dapat menewaskan air, matahari kalah kepada awan (?), awan kalah kepada angin(?), batu pula kalah kepada air. Aku tidak tahu peraturan permainan itu sepenuhnya, terutama untuk menentukan pemenangnya. Yang pasti, jika kalah terpaksa menahan jari untuk dijentik oleh pihak yang menang. Seronok betul mereka bermain dan aku juga terhibur. Saya boleh joint ka? Sengaja aku mengusik. Bolehhh!!! jerit mereka serentak sambil ketawa. Mungkin di dalam hati mereka mengatakan, orang tua ni buang tebiat agaknya.. dah tua pun nak berrmain dengan budak-budak.

Semasa kecil dulu pun aku dan rakan-rakan sebaya memainkan permainan yang hampir sama. One, two, choose (kami dulu menyebutnya sebagai one-two-som - mengapa som tak siapa di antara kami yang tahu?) hanya melibatkan dua orang pemain. Jika bertiga kami main lai-lai-li-tamplum. Lai-lai-li-tamplum hanya melibatkan telapak tangan dihalakan ke atas atau ke bawah. Jika seorang pemain menghalakan telapak tangannya ke atas, manakala dua yang lain menghalakan tapak tangan ke bawah bermakna yang menghalakan telapak tangan ke atas dikira menang. Begitu juga sebaliknya. Permainan-permainan itu dijalankan hanya sebagai cara untuk menentukan siapakah di antara kami yang akan memulakan giliran sesuatu permainan lain seperti gasing (siapa yang pangkah dahulu), polis sentri (kumpulan mana yang lari dahulu) dan sebagainya.

Selain one-two-choose dan lai-lai-li-tamplum, kami juga bermain pantun, tik-tik lang patah paku, angin nak hilang mencari aku. Permainan ini dimainkan dengan melukis lapan garisan seoalah-olah garisan arah mata angin di tanah. Setiap pemain akan duduk berhadapan garisan yang mereka pilih. Ketua akan membaca pantun tersebut, sambil menyentuh garisan itu satu demi satu secara rawak atau mengikut pusingan jam, setiap satu suku kata, satu sentuhan. Pemenang akan ditentukan berdasarkan di garisan mana suku kata terakhir ('ku') dibunyikan. Ketua tidak akan memulakan permainan di garisan yang sama pada pusingan seterusnya.

(Kini zaman dan manusia sudah terlalu banyak berubah. Anak-anakku tidak bermain apa yang aku mainkan ketika aku masih dipanggil budak-budak. Jika aku bermain perang-perang di kebun-kebun getah atau di belukar-belukar, bermain bola di mana saja kawasan lapang, bermain pedang ala-Zorro, bertempur silat di gelangang-gelanggang, dan bermain perang tanah liat di tebing-tebing sungai, anak-anakku hanya bermain perang dan bermain bola menggunakan jari - sekadar permainan komputer. Secara tidak langsung menjadikan generasi hari ini kebanyakannya lembik!)

Friday, April 3, 2009

Mesyuarat di Pangkalan Hulu

Hari ini 3 April 2009, aku berada di Pangkalan Hulu, menghadiri Mesyuarat Gemilang Sejarah Negeri Perak yang diadakan Chalet Air Panas. Malangnya aku terlupa membawa kasut kulit. Yang terlebih malang ialah, aku terlupa membawa 'charger' telefon buruk aku. Awal malam tadi langsung tak dapat dihidupkan.

Seronok juga dapat bertemu sahabat-sahabat dalam kalangan guru-guru Sejarah ni. Petang tadi ramai-ramai menjamu selera ke Baling, makan capati. Aku tak berminat ke sempadan Thailand, hanya memesan seorang sahabat untuk membeli mangga sekadarnya sebagai pembasuh mulut untuk anak-anak di rumah.

Tengah malam ini kami ramai-ramai ke cybercafe di Pangkalan Hulu ini untuk melayari blog-blog politik dan blog-blog persendirian. Inilah pertama kali aku mengunjungi kafe siber. Panas, rimas, bising.

Mesyuarat akan berakhir tengah hari esok. Letih juga memandu 251 km bersendirian tanpa henti untuk pulang.

Wednesday, April 1, 2009

Selamat Hari Jadi Ke-9 Buat Azim








Hari ini 1.4.2009 hari jadi Abdul Azim yang ke-9. Ayah tak memberi dan menjanjikan apa-apa buatmu. Yang ada pada ayah buatmu hanyalah sepenuhnya kasih sayang dan doa agar kau menjadi anak yang berjasa kepada agama, bangsa, negara dan keluarga kita di hari muka.
Untuk tidak menghampakan hati kecilmu, ibumu telah menempah sebuah kek kecil sebagai tanda meraikan hari jadimu yang ke-9 ini. Memadailah anakku, untuk kita agihkan potongan-potongan kecil kek itu sesama kita.

Hari jadi hanyalah hari jadi, anakku, sebagai tanda bertambahnya bilangan tahun usia kita. Namun ayah merasakan hanya baru semalam kau dilahirkan, didukung, ditimang dan ditatih. Anakku, begitulah, terlalu cepatnya waktu berlalu .