Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Friday, September 30, 2011

Proton 0h Proton

Aku pernah memiliki Proton Saga Aeroback 1.3 keluaran 1988; yang merupakan sebuah kereta terpakai ketika aku membelinya pada tahun 1990. Selama 10 tahun aku memperkudakan dan menghambakan kereta ini. Memang aku puas hati, cukup tahan, tak banyak ragam, tak pernah menimbulkan masalah besar. Apabila ekonomi semakin kukuh dan kereta itu pula semakin tua, aku menjual kereta itu dan aku membeli beli kereta Proton Wira 1.5 yang baru.

Dua tiga bulan dipakai, Wira sudah mula membuatkan aku berasa amat malang kerana membeli kereta keluaran Proton. " Power window"nya rosak selepas tiga bulan kereta itu dibeli. Belum reda kekesalan yang itu, "drive shaft" nya pula berbunyi ketuk-ketak apabila melalui selekoh atau membuat pusingan..  Seterusnya unit penghawa dinginnya rosak satu-satu, bermula dengan kerosakan "compressor", "valve", "distributor" dan entah apa lagi. Namun aku tetap bersabar.

Aku bertahan dengan Wira itu  untuk enam tahun. Sepanjang tempoh itu ribuan ringgit dihabiskan membaiki penghawa dinginnya sahaja, dari semasa ke semasa. Akhirnya aku mengambil keputusan menjual kereta Wira itu. Kali ini aku membeli kereta Toyota Avanza pula pada penghujung tahun 2006. Ketika itu Avanza 1.5 baharu sahaja diperkenalkan.

Baru dua tiga bulan dipakai Avanza pula buat ragam.  Hmmm..Toyota pun nak ikut sama macam Proton, gerutu hatiku ketika itu. Kereta Avanza itu seperti "melompat" apabila hendak memulakan pergerakan ke hadapan. Akhirnya pihak Toyota membawa pergi kereta itu selama dua minggu untuk mengatasi masalah gear yang dihadapi. Selesai masalah gear, kereta Avanza tidak meragam lagi. Tetapi malang, seorang  Mat Rempit melanggar kereta itu secara berdepan, menyebabkan kereta itu terpaksa masuk bengkel lagi untuk kali kedua pula.

Kereta isteriku, hanyalah seuah kereta Kancil. Setelah 9 tahun "berkhidmat" untuk isteriku, Kancil itu digunakan pula oleh anak-anakku. Untuk isteriku, kubelikan sebuah Proton Saga SE berwarna merah. Setelah bertahun-tahun bergiat dalam industri ini, aku percaya Proton mungkin sudah boleh meningkatkan mutu pengeluaran mereka. Sekurang-kurangnya itulah yang aku percaya. Nampaknya setelah setahun digunakan dan perbatuannya pun  sudah mencapai 20,000 km, kereta ini bolehlah dikatakan memuaskan juga. Semalam, kereta itu dihantar servis. Namun, pagi tadi terdapat banyak kesan lelehan minyak enjin di atas lantai  garaj rumahku, menandakan ada yang tak kena.

Petang tadi aku membuat bantahan di pusat servis itu dan setelah diperiksa, mereka mengakui bahawa pekerja mereka telah membuat kesilapan ketika mengetatkan skru menyebab bebenang skru pada mangkuk minyak enjin itu rosak. Terpaksalah aku tercatuk lebih dua jam di pusat servis itu sementara menantikan pekerja siap menggantikan mangkuk minyak hitam yang baru.. dan tentunya secara percuma.






Thursday, September 29, 2011

Kisah main badminton dulu-dulu

Lepas maghrib tadi kami empat beranak ke rumah seorang kenalan yang mengadakan majlis bacaan Yassin kerana beliau dijadualkan akan berlepas ke Makkah pada 3 Oktober nanti. Selepas Yassin dan doa dibaca, makanlah apa yang ada sekadarnya. Selesai makan, seorang tetamu yang masih muda minta diri untuk pulang, hendak bermain badminton di Dewan Cina katanya.

Lantas kami, veteran-veteran  yang tinggal menceritakan kembali pengalaman bermain badminton dulu-dulu.. dengan raket yang dibuat daripada kayu, raket separuh kayu separuh logam ringan, bulu tangkis buatan sendiri dan gelanggang bergariskan garisan buluh yang di belah. Semua yang muda mengakui tidak pernah melihat raket yang digunakan pada tahun-tahun 1960-an, 1970-an atau yang lebih awal daripada itu. Seperkara lagi, raket kayu selepas digunakan bahagian kepalanya perlu dipasangkan dengan pengepit untuk mengelakkannya daripada meleding.



Pendek kata setiap kampung ada pasukan masing-masing, malah mungkin dalam satu kampung ada dua tiga pasukannya yang tersendiri. Setiap pasukan ada gelanggang masing-masing. Sering kali diadakan pertandingan persahabatan antara satu team dengan team yang lain, atau satu kampung dengan kampung yang lain. Janganlah dibayangkan gelanggang itu gelanggang yang sempurna. Jika kawasan berpasir, bermainlah di atas pasir, jika tanah, bermainlah di atas tanah..Debu tak jadi masalah, jatuh berdarah perkara biasa. Luka tersadung sembilu buluh yang di belah yang menjadi garisan, tak menjadi soal. Jaring? Bisa saja daripada jaring ikan ayah. Kadang-kadang itulah jaring badminton, dan itulah jaring sepak raga.


Tapi kini semua itu sudah lenyap daripada senario di kampung-kampung pada hari ini. Raket  keluaran masa kini dibuat daripada karbon graphite bermutu tinggi dan harganya pun mahal. Namun jika untuk sekadar main "tepuk-tepuk" bulu ayam di halaman, raket yang berharga antara RM 15 - 40 pun memadailah..


Monday, September 26, 2011

Semuanya dah tidur...

 I
 26 September 2011.. Sesampai sahaja aku di rumah pukul 3.40 petang tadi, Azim dah menunggu di pintu, minta dihantarkan ke Sekolah Agama Rakyat, kerana hari hujan. Aku merengus juga.. huh.. ayah dulu, kataku, usahkan hujan, banjir pun ayah harungi sendirian untuk ke sekolah, berpayungkan daun pisang saja. (Bila masa pulak aku mengharungi banjir ke sekolah??.. hanya untuk beri semangat kat anak je...). Kembali saja dari menghantar Azim, Amira pula minta dihantarkan ke  SMK Syeikh Abdul Ghani, dia AJK majalah sekolah.. Hmmm hantar jugalah.. walaupun perutku berkeriut kelaparan kerana aku belum makan tengah hari. Memandangkan asar dah nak masuk, lantas terus saja ke masjid. Hari masih hujan. Elok saja sujud rakaat pertama, angin tiba-tiba keluar.. hmm batal.. ambil wuduk lagi dan masbuk. Tak tunggu berdoa aku pulang.. Nasi dah kuisi ke pinggan, masuk mesej pula di telefon, hendak dibaca, Allah!!, cermin mata tinggal di masjid. Sambar kunci kereta terus memecut.. Bilal masjid duduk di pintu masjid, nak balik, hujan. "Nak ambik ceromin mate yer"??? katanya. Huh uh!! kataku.

 II
10.20 malam, .. aku hanya bertemankan TV dan komputer. Mataku mengadap komputer dan telingaku diasak dengan suara dari TV .. entah apa yang ditayangkan entah. Sejak Qayyum bekerja di KL, Khaliq sambung belajar ke UiTM, rumah ini, malam cepat sunyinya. Amira dan Azim tidur lebih awal sekarang. Isteriku pun biasanya akan tidur selepas isya,  mungkin dia keletihan,  mengajar di sesi petang. Mengajar anak jin, katanya. Dia akan bangun kembali kira-kira pukul 11.30 untuk membuat persediaan mengajar keesokan hari dan juga  menseterika pakaianku dan pakaiannya. Jika keempat-empat budak-budak itu berkumpul, pukul dua pagi pun masih riuh lagi rumah ini.

III
Beberapa orang teman lamaku,  guru-guru dari Semenanjung yang pernah berkhidmat di SMK Dato' Permaisuri Miri, Sarawak berpakat-pakat untuk melawat ke Miri pada pertengahan Disember nanti. Mereka mengajakku untuk bersekali dengan mereka ke Miri, tetapi terpaksa kutolak kerana ketika itu Amira masih  menghadapi peperiksaan SPMnya. Lagipun aku telahpun mengunjungi Miri pada bulan Mac yang lalu bersama Ani, Amira dan Azim. Malahan kami menjadi tetamu kehormat Majlis Reunion pelajar-pelajar tahun 1984-1986 yang menuntut di SMKDP Miri.

IV
Untuk sesi persekolahan 2011 yang masih bersisa dua bulan ini, terdapat lima atau enam orang guru wanita yang telah bersalin dan akan bersalin dalam masa yang terdekat ini. Boleh dikatakan satu rekod juga tu. Dah rezeki mereka, orang muda-muda pula. Cuma, aku teringat masa tinggal dengan opah ketika aku masih kecil dahulu.Opahku bukan bidan, tetapi jika ada orang Kampung Jalan Paku Bidor yang hendak bersalin di tengah malam atau dinihari, opahku akan dipanggil. Nak panggil bidan sebenar di kampung lain, tentulah sukar masa itu.. takkan nak bawa bidan naik basikal tengah-tengah malam??? Kadang-kadang jika ada ada perempuan yang sarat mengandung di kampung itu, opah boleh menduga, si fulanah tu anaknya nanti lelaki, si fulanah tu perempuan. Jika perut perempuan itu bulat, lelaki katanya, jika membujur , perempuan. Ketepatan??  90 %.



Saturday, September 24, 2011

Kasih Si Ibu Ruak-ruak


Lewat petang tadi aku dan isteriku pergi ke pekan untuk menggantikan bateri jam tangan isteriku. Maklumlah, dah sampai di pekan, banyaklah pula yang hendak dibeli. Hampir jam tujuh barulah kami sampai ke rumah. Keluar sahaja dari kereta, anak bongsuku, Azim mengkhabarkan bahawa Bani, iaitu salah seekor kucingnya menangkap katak. Aku terus mendapatkan Si Bani yang sedang bermain-main dengan sesuatu; bukan katak tetapi anak burung ruak-ruak. Anak burung itu tidak cedera, lalu kuselamatkan. Dalam belukar kecil di sebelah rumahku memang menjadi tempat burung ruak-ruak bersarang,  dan tentunya Bani menangkap anak burung yang malang itu di situ fikirku.

Anak burung itu mencicip-cicip dalam peganganku.. mahu kuapakan anak burung yang tak berdaya ini, aku menyoal diriku sendiri. Tiba-tiba seekor ruak-ruak dewasa ku lihat berlegar-legar tidak jauh dari tempat isteriku berdiri. Fahamlah aku yang ditanganku adalah anaknya. Burung itu kemudian bergerak ke arah longkang di sisi rumahku. Oh.. kasihan, aku mengikutinya .. dan di dalam longkang itu ada tiga ekor lagi anaknya yang terperangkap. Aku meminta Azim menghalau jauh-jauh kucing-kucingnya supaya tidak membahayakan anak-anak burung itu. Fahamlah aku bahawa ibu burung itu mengajar anak-anaknya nya mencari makanan tetapi semuanya terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir setengah meter itu dan tak berupaya untuk keluar sendiri.

Ketika aku mengeluarkan anak-anaknya, ibu burung itu menunggu berdekatanku. Demi anaknya ia rela jika tertangkap sekalipun. Mungkin ia menyedari manusia ini ingin membantu anak-anaknya. Aku meletakkan anak-anaknya betul-betul di hadapannya. Ruak-ruak itu terpaksa menjadi jinak demi anak-anaknya. Tentunya ia gembira agaknya. Anak-anak burung yang kebasahan dek air longkang itu terkial-kial mengikuti ibu mereka ke arah belukar itu.

Ketika anak-anak dan isteriku beredar ke dalam rumah, azan maghrib kedengaran. Tetapi aku masih di tempat ruak-ruak itu. Bimbang kucing-kucing si Azim akan mengganggu anak-anak burung itu, kuambil keempat-empat anak burung itu. Aku menyusup-nyusup ke belukar itu dan meletakkan di tempat yang sesuai. Ibu burung itu hanya mengekori saja aku dari belakang. Sebelum beredar , aku sempat melihat dalam samar-samar senja itu, ruak-ruak itu memerap anak-anaknya itu di bawah badannya. Binatang pun tahu sayangkan anak...kata hati kecilku. Selebihnya kuserahkan pada takdir Allah akan nasib lima beranak itu.

Dalam laungan isteriku mengingatkan aku untuk solat maghrib, aku sempat mencapai  sekeping papan sebesar tapak tangan lalu meletakkannya merentangi longkang itu, dengan harapan akan menjadi titi untuk anak-anak burung itu menyeberangi longkang itu esok hari.



Friday, September 23, 2011

Jumaat di Masjid al-Muhtadin, Bidor

Kecuali ketika berpergian jauh-jauh, aku pasti bersembahyang Jumaat di masjid yang terletak di tepi Sungai Bidor ini.  Masjid ini baru beberapa bulan siap dibina menggantikan masjid lama yang sudah agak usang itu. Ia didirikan di atas tapak yang masjid yang lama dan mengekal bentuk yang sama, cuma kali ini materialnya berbeza. Jika dulu menggunakan kayu kali ini konkrit.

Sebenarnya masjid ini pada rancangan asalnya hanyalah untuk dibaik pulih sahaja, namun tiang kayunya sudah tidak lagi mampu menahan beban bumbung. Banyak tiang yang herot berot menahan beban.Lantas keseluruhan masjid itu terpaksa dibina semula.

Masjid baru ini berlangsirkan kain warna merah samar (pink), dan permaidaninya juga berwarna merah samar juga. Maaf jika kukatakan masjid baru ini agak panas di dalamnya kerana tiada langsung ruang pengudaraan kecuali pintu masuk (jika terbuka). Tingkap pula tidak dibuka, entah mengapa.

Sayangnya masjid baharu ini tidak dibina menghadap arah kiblat yang betul. Mengikut perkiraan moden yang menggunakan perlatan ukur yang tepat dan canggih, masjid ini (dan masjid lama yang berkongsi tapak dan arah yang sama), terpesong daripada arah kiblat kira-kira  20 darjah ke arah barat (jauh tu). Pelarasan terpaksa dibuat kepada garis saf pada permaidani dengan memesongkannya 20 darjah ke arah timur. Dengan itu tidak hairanlah jika titik akhir saf pertama terletak di tempat yang sepatut pada sudut paling kanan masjid, tetapi di sudut kirinya garis itu diselaraskan pada garis akhir saf ketiga disebelah kiri masjid. Jika sebaris saf boleh memuatkan 50 orang makmum, setidak-tidaknya kawasan yang tidak dapat digunakan untuk kegunaan jemaah solat di kawasan hadapan masjid mampu memuatkan kira-kira 100-150 orang makmum. Sekurang-kurangnya mengurangkan kesesakan dalam masijid terutanma ketika sembahyang hari raya. Sayang sekali. Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa di sini. Namun hanya saf pertama dan kedua sahaja yang terisi setiap kali sembahyang fardu yang lima itu dilaksanakan di masjid ini setiap hari. Dan aku pun kadang-kadang pergi dan kadang-kadang tidak...





Berjiwa Tuan

Alahai.. sepanjang hidup berjiran, kadang-kadang seronok juga mengandaikan jiran ini begini, jiran itu begitu. Tetapi ada satu sikap jiran yang sering menjadi perhatianku, namun sikap mereka itu tidaklah ada kena mengena dengan kehidupan seharianku. Ada beberapa orang daripada mereka yang berkongsi fiil yang sama, fiil bos-bos yang berjiwa tuan agaknya.

Setiap kali hon kereta kedengaran berkali-kali, gelagat jiran yang menjadi perhatianku itu dapat dilihat. Si pemandu akan menunggu berminit-minit di pintu pagar rumahnya sendiri (tak berkunci pun, cuma dirapatkan, mengharapkan akan ada anak, isteri, atau orang gaji yang akan membukakan pintu pagar itu untuk mereka memandu masuk ke rumah.

Selalu aku merengus sendirian, baiklah engkau turun buka pintu pagar tu sendiri, lagi lebih cepat, lagi senang.. Tapi itu kutegaskan lagi, perkara tidak kena mengena dengan perjalanan hidup seharianku anak beranak.. Lantak dialah...

E Tanda / E Pepet

Cubalah sebut perkataan-perkataan yang di bawah ini: peka, bela, sepak, selak, perang, sentak, seremban, tekat, tekad, pelak, pelat, telor, telur, perak ... (sekadar menurunkan beberapa contoh perkataan).

Kita boleh sahaja menyebut perkataan-perkataan itu mengikut ejaan yang tertera, tetapi dalam masa yang sama kita terpaksa memilih hendak membunyikan huruf "e" ikut "e taling" atau "e pepet". Setiap bunyi "e taling" atau "e pepet" pada perkatan-perkataan tersebut , akan membezakan makna. ( Agak lucu juga bila membicarakan "e taling" itu bagaimana hendak dibunyikan dan bagaimana pula bunyi "e pepet" itu. Lantas "pepet" sendiri itu hendak dibunyikan apa.? Mungkin saja, lain macam saja bunyinya)!

Makna perkataan-perkataan itu hanya dapat dibezakan melalui konteks ayat. Walaupun begitu sesetengah perkataan yang ada huruf 'e' dapat diketahui bunyi dan maknanya dengan hanya melihat variasi huruf vokalnya, misalnya 'telur' (telur ayam) dan 'telor' (loghat); atau pun variasi huruf konsonan akhir sesuatu pekataan itu, misalnya 'tekat' dan 'tekad'. Namun begitu disebabkan ejaan bahasa Melayu diujarkan berdasarkan bunyi fon sesuatu huruf konsonan dan huruf vokal, maka tidak didapat dinafikan ejaan "telur" dan "telor" dibunyikan tanpa apa-apa perbezaan.

Ketika Sistem Ejaan Baharu (baru) Malaysia dan Indonesia dilancarkan pada tahun 1972, banyak keselarasan ejaan telah dibuat antara kedua--dua negara. Antaranya membuang tanda huruf "è" (ketika itu dikenali sebagai e tanda) menjadi "e" sahaja dengan alasan mesin taip yang digunakan di kedua-dua negara tidak terdapat huruf "è". Dari situlah bermulanya masalah penyebutan bunyi yang betul bagi perkataan-perkataan yang mengandung huruf "e".


Dalam satu sesi di kelas, hal ini dikemukakan kepada pelajar-pelajar. Dan aku mengharapkan jika suatu hari nanti mereka menjadi orang yang mempunyai kuasa dalam bidang pemerintahan negara ini, kembalikanlah semula penggunaan huruf " è " ini, supaya bahasa yang kita cintai ini bertambah mantap dari segi sebutan dan penggunaannya. Tambahan pula zaman ini tugas mesin taip telah diambil alih oleh komputer.. dan apa yang tak ada dalam komputer????

Thursday, September 22, 2011

Kokok Berderai-derai ..


Semalam, 21.9.2011, jam 7.40 pagi; aku memulakan tugasku dengan masuk mengajar mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Tradisional di Tingkatan Enam Bawah al-Khawarizmi. Dengan genre sastera hikayat berunsur Islam menjadi tajuk utama , isi penyampaianku tertumpu kepada cerita-cerita dalam Hikayat 1001 Malam.Salah satu isi ceritanya ialah perbualan antara anjing dan bapa ayam.

Bapa ayam ditegur oleh anjing kerana berkokok riang sedangkan pada masa yang sama tuan mereka berkemungkinan akan menemui ajal ketika itu. Aku memberhentikan penceritaan itu seketika dan terus meminta kepada mana-mana pelajar untuk menghabiskan peribahasa kokok berderai-derai.... Seluruh kelas senyap. Hatiku berbisik sendiri, takkanlah pelajar Tingkatan Enam tak dapat melengkapkan peribahasa mudah itu. Aku menawarkan RM10 bagi sesiapa yang dapat melengkapkan peribahasa itu.

Tiada seorang pun yang dapat menjawab. Aku membebel sendirian.. inilah akibatnya jika pelajar hanya menanti disuap dan tidak menanam tabiat suka membaca..

Saturday, September 17, 2011

Ke Melaka

17.9.2011: Tepat 8.30 pagi tadi aku, isteriku, dua orang anakku (Amira dan Azim) serta kakak isteriku bertolak ke Tanjong Bidara, Melaka untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu isteriku. Perjalan agak lancar walaupun kenderaan memang banyak. Walaupun jauh, jemputan itu aku penuhi kerana ikatan kekeluargaan dan juga untuk anak-anak mengenali sepupu sepapat mereka.

Sejurus sebelum pergi tadi baru aku menyedari aku terlupa membawa tali pinggang. Kesan ibadat puasa Ramadan mengecilkan pinggangku hampir dua inci. Aku tak tergamak memakai seluar separuh terlondeh ke rumah orang kahwin. Sampai di Alor Gajah aku memasuki sebuah kedai pakaian; tapi yang ada tali pinggang kanak-kanak. Aku berharap mungkin akan ada kedai yang menjual tali pinggang orang dewasa di Masjid Tanah. Dugaanku tepat.. Aku singgah di Kedai Sakan di Masjid Tanah. RM6.50. Lantaklah, murah pun murahlah, bukan orang tahu jika aku tak beritahu.. Berapa tu? tanya isteriku.. RM65 kataku selamba. He.. he.. isteriku percaya..

Pulang dari Tanjong Bidara kami singgah di sebuah gerai yang menjual kraftangan dan makanan seperti dodol, kerepek, belacan dan sebagainya.. Biasalah, anak-anak, itu hendak , ini hendak.. mana-mana yang sesuai kita penuhi.

Sampai ke Shah Alam kami terus ke UITM, menjenguk seorang lagi anakku yg sedang belajar di situ; lalu membawanya ke sebuah restoran mamak, pekena roti telur. Menempuhi jalan yang menghala ke I-City sesak.. maklumlah ada majlis sambutan hari raya dengan PM.. Orang Melayu, biasalah, hari rayanya sebulan.

Dari Shah Alam kami terus ke Tg Malim menghantar kakak isteriku. Hanya pukul 11.30 malam barulah kami sampai ke rumah di Bidor.