Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, September 26, 2011

Semuanya dah tidur...

 I
 26 September 2011.. Sesampai sahaja aku di rumah pukul 3.40 petang tadi, Azim dah menunggu di pintu, minta dihantarkan ke Sekolah Agama Rakyat, kerana hari hujan. Aku merengus juga.. huh.. ayah dulu, kataku, usahkan hujan, banjir pun ayah harungi sendirian untuk ke sekolah, berpayungkan daun pisang saja. (Bila masa pulak aku mengharungi banjir ke sekolah??.. hanya untuk beri semangat kat anak je...). Kembali saja dari menghantar Azim, Amira pula minta dihantarkan ke  SMK Syeikh Abdul Ghani, dia AJK majalah sekolah.. Hmmm hantar jugalah.. walaupun perutku berkeriut kelaparan kerana aku belum makan tengah hari. Memandangkan asar dah nak masuk, lantas terus saja ke masjid. Hari masih hujan. Elok saja sujud rakaat pertama, angin tiba-tiba keluar.. hmm batal.. ambil wuduk lagi dan masbuk. Tak tunggu berdoa aku pulang.. Nasi dah kuisi ke pinggan, masuk mesej pula di telefon, hendak dibaca, Allah!!, cermin mata tinggal di masjid. Sambar kunci kereta terus memecut.. Bilal masjid duduk di pintu masjid, nak balik, hujan. "Nak ambik ceromin mate yer"??? katanya. Huh uh!! kataku.

 II
10.20 malam, .. aku hanya bertemankan TV dan komputer. Mataku mengadap komputer dan telingaku diasak dengan suara dari TV .. entah apa yang ditayangkan entah. Sejak Qayyum bekerja di KL, Khaliq sambung belajar ke UiTM, rumah ini, malam cepat sunyinya. Amira dan Azim tidur lebih awal sekarang. Isteriku pun biasanya akan tidur selepas isya,  mungkin dia keletihan,  mengajar di sesi petang. Mengajar anak jin, katanya. Dia akan bangun kembali kira-kira pukul 11.30 untuk membuat persediaan mengajar keesokan hari dan juga  menseterika pakaianku dan pakaiannya. Jika keempat-empat budak-budak itu berkumpul, pukul dua pagi pun masih riuh lagi rumah ini.

III
Beberapa orang teman lamaku,  guru-guru dari Semenanjung yang pernah berkhidmat di SMK Dato' Permaisuri Miri, Sarawak berpakat-pakat untuk melawat ke Miri pada pertengahan Disember nanti. Mereka mengajakku untuk bersekali dengan mereka ke Miri, tetapi terpaksa kutolak kerana ketika itu Amira masih  menghadapi peperiksaan SPMnya. Lagipun aku telahpun mengunjungi Miri pada bulan Mac yang lalu bersama Ani, Amira dan Azim. Malahan kami menjadi tetamu kehormat Majlis Reunion pelajar-pelajar tahun 1984-1986 yang menuntut di SMKDP Miri.

IV
Untuk sesi persekolahan 2011 yang masih bersisa dua bulan ini, terdapat lima atau enam orang guru wanita yang telah bersalin dan akan bersalin dalam masa yang terdekat ini. Boleh dikatakan satu rekod juga tu. Dah rezeki mereka, orang muda-muda pula. Cuma, aku teringat masa tinggal dengan opah ketika aku masih kecil dahulu.Opahku bukan bidan, tetapi jika ada orang Kampung Jalan Paku Bidor yang hendak bersalin di tengah malam atau dinihari, opahku akan dipanggil. Nak panggil bidan sebenar di kampung lain, tentulah sukar masa itu.. takkan nak bawa bidan naik basikal tengah-tengah malam??? Kadang-kadang jika ada ada perempuan yang sarat mengandung di kampung itu, opah boleh menduga, si fulanah tu anaknya nanti lelaki, si fulanah tu perempuan. Jika perut perempuan itu bulat, lelaki katanya, jika membujur , perempuan. Ketepatan??  90 %.



No comments:

Post a Comment