Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Saturday, December 30, 2017

Tak Ada Yang Luar Daripada Biasa

Hari ini 30 Disember 2017. Sudah santak ke hujung tahun 2017. Namun dalam seminggu yang berlalu tidak ada apa-apa perkembangan yang luar biasa yang perlu aku catatkan di blog picisan ini.

I
Tiga hari lalu, sewaktu pulang dari pekan Bidor, aku menyedari indikator suhu keretaku mengeluarkan lampu merah dan jarumnya sampai ke tahap maksimum.. Dalam hatiku berkata.. duit lagi tu.. Setelah dihantar ke kedai pomen, didapati wayar kipas tercabut.. Kereta tua, semuanya dah longgar. taklah banyak yang perlu dibayar.. hanya masukkan semula wayar yang tercabut dan ketatkan. Sebagai langkah berhati-hati sensor suhu aku tukarkan dengan yang baru.Taklah mahal pun.

II
Semalam..
"Ada nampak telefon saya"? tanya Ani. Aku menggelengkan kepala. Puaslah dicarinya telefonnya.
Anakku mendial nombor telefon emaknya menggunakan telefon rumah. Berbunyilah telefon milik Ani yang terletak di sebalik skrin komputer yang aku gunakan ini. Aku tak perasan pun.
"Eh.. nombor siapa pulak ni"? Ani bertanya. Baru kami sekeluarga menyedari telefon talian tetap kami nombornya sudah bertukar. Pelik.. semua orang dalam rumah kata pelik.
Apabila kami mendial nombor asal, hanya senyap saja tiada apa-apa bunyi. Aku pun bergegas ke pejabat telekom di Tapah. Buat aduan tentang cross line.
Hari ini masalah itu sudah diatasi oleh pihak telekom.

III
Kami 5 beranak ke Teluk Intan hari ini atas satu urusan keluarga. Dalam perjalanan, aku dapati lori kontena sederhana saiznya bergerak laju dan sedikit terhoyong hayang. Aku membiarkannya .. aku tak mahu memotong.. (tiba-tiba baik cara aku memandu). Tiba-tiba lori itu membelok ke arah Langkap sewaktu tiba di simpang Ayer Hitam-Langkap. Signal pun tak bagi, gerutu hatiku.
Malam ini anakku menunjukkan gambar dari facebook lori yang nampaknya sama dengan lori itu telah menghentam seorang penunggang motosikal. Penunggang itu maut.

IV
Balik dari Teluk Intan, kami terus ke Sungkai melalui jalan Teluk Intan - Kg Coldstream - Sungkai. Kami mngehadiri majlis perkahwinan anak sahabatku Tn Hj Mat Rahim dan Pn Hjh Normah yang diadakan di Dewan Rajawali Felda Residen, Trolak. Anak cikgu yang kahwin maka, jemputannya kebanyakannya pun cikgulah. Aku berpeluang menemui kawan-kawan lama sewaktu aku mengajar di SMK Sungkai sehingga aku pencen 1 Julai 2017 yg lalu.

Friday, December 22, 2017

Catatan Sepuluh Hari

Hari ini 22 Disember 2017. Sudah sepuluh hari aku tidak mengupdate blog picisan ini kerana sedikit sibuk, (mengalahkan menteri pula). Dan hari ini aku tak ke mana-mana. Hanya berada di rumah dan keluar untuk mengambil sebiji dua rambutan di kampung lama dan ke masjid.. (bila rajin).

Ke Kuantan
Pada 15 Disember lalu aku, Ani, Amira dan Azim bergerak ke Kuantan, Pahang. Kami bertolak dari Bidor sekitar jam 8.00 pagi kerana aku menjangkakan akan tiba di Kuantan sekitar jam 1.00 petang untuk solat Jumaat. Tepat seperti yang aku rancang, kami berada di kawasan Masjid Sultan Ahmad Shah pada jam 1.00 petang. Selesai solat Jumaat kami bergerak pula ke Hotel Classic, yang berlatarkan Sungai Kuantan.

Ani mengajakku ke rumah sepupunya, Mariam di Pekan. Sebelum ke Pekan kami ke Teluk Cempedak dahulu, makan apa yang patut. Sekitar jam 4.00 petang kami bertolak ke Pekan. Hairi suami Mariam mengiringi kami ke rumah mereka. Lewat senja kami bertolak kembali ke hotel di Kuantan.

Selepas maghrib, sekali lagi kami ke Teluk Cempedak untuk makan malam. Banyak pilihan makanan di situ. Selesai makan kami kembali ke hotel, tidur.

Pagi esoknya (16 Disember 2017) selepas bersarapan di hotel, kami pusing-pusing bandar Kuantan, dan sekali lagi ke Teluk Cempedak. Seketika sahaja di situ kami kembali hotel. Selepas meninggalkan hotel sekitar 11.45 pagi kami menuju ke rumah sahabat lama ketika aku di Sarawak dahulu, saudara Roslan Mansor. Lan mengadakan majlis perkahwinan anaknya hari itu. Di situ aku disapa oleh seseorang, Pn. Zaimah, rakan sekelasku ketika di Maktab dahulu. Di rumah Lan itu juga aku bertemu Saidon, juga rakan sekerja ketika mengajar di SMK Dato Permaisuri Miri, Sarawak.

Selesai makan, aku tidak terus pulang kerana aku menunggu kedatangan Pn Norhayati Rasul. Yati merupakan rakan sekelasku di SM Buyong Adil pada tahun 1979-1980. Dia menetap di Kuantan sekarang. Setelah Yati tiba kami berbual pendek seketika kerana aku terpaksa bergegas Tanjong Malim pula, memandangkan seorang lagi sepupu Ani mengadakan kenduri kesyukuran cucunya pada sebelah malam nanti. Sebelum maghrib hari itu kami selamat tiba di rumah Tanjong Malim. Selesai menghadiri kenduri, tepat tengah malam, kami selamat tiba di Bidor. Aku terus terbungkang.

Ke Bukit Mertajam
Pada hari Ahad 17 Disember 2017, aku dan Ani ke Dewan Institut Perguruan Tuanku Bainun di Bukit Mertajam untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sahabat semaktabku dulu Sdr Mohamad Chat.
Selain aku, ada ramai lagi rakan-rakan semaktab yang hadir. Dapatlah kami berbual-bual tak berpenghujung tentang kisah-kisah dulu dan semasa. Antara lain yang hadir ialah Halim, Mad Osman, Abu Hasan, Hairizan, Noraini, Roslan Muhamad, dan Shahrudin.

Ke Rawang
Pagi semalam (21 Disember 2017), aku dan Ani ke Rawang untuk mengambil Uwo, kakak iparku yang pulang ke Rawang setelah mengikuti pelayaran bersama seorang lagi iparku. Menjelang tengah hari kami telah pun sampai dari Rawang ke rumah Uwo di Tanjong Malim. Dari situ aku bergegas pulang ke Bidor kerana sahabatku bersama anak dan isterinya yang pulang bercuti dari Sarawak hendak bertandang ke rumahku.

Monday, December 11, 2017

Memperbaharui pasport..

Hari ini Isnin 11 Disember 2017.

Aku dan isteri bercadang hendak membawa semua anak-anak kami yang 4 orang tu menunaikan umrah pada suatu tarikh yang belum ditetapkan tahun depan. Pasport untuk Azim dan Amirah telah kami siapkan pada Khamis 7 Disember lalu di Teluk Intan. Pasport aku dan Ani memang sudah ada tapi lupa pula dibawa pada 7 Disember itu itu untuk diperbaharui.

Memandangkan hari ini hari cuti am di Selangor, Khaliq yang bekerja di Shah Alam, membawa kami ke pejabat imegresen Teluk Intan. Entah macam mana kami lambat sampai, 11.45 pagi. Pegawai imegresen itu meminta kami datang jam dua nanti, tapi tidak dapat memastikan boleh dapat nombor untuk berurusan atau tidak kerana katanya hari ini pelanggan cukup ramai. Aku sendiri mengakuinya.

2 jam lagi, kena melangut di Teluk Intan, nak cekih apa kataku. Walaupun Ani keberatan aku mengajak mereka ke Ipoh sahaja, kerana pejabat UTC di Ipoh tutup jam 10.00 malam kataku. Dalam pukul 1.45 petang kami sudah pun berada di pejabat imegresen di UTC Ipoh. Orang agak ramai juga, tetapi ada 8 kaunter yang berurusan. Jam 2.45 petang urusan awal sudah siap. Kami diminta datang jam 3.45 untuk mengambil pasport. Makan dulu, barulah kami ke Masjid Negeri solat zohor.

Jam 4.00 petang pasport kami sudah berada di tangan. Setelah itu kami bertolak pulang ke Bidor. Kesesakan di lebuhraya menyebabkan kami sampai di rumah jam 6.30 petang. Jika perjalanan lancar 50 minit sahaja perjalanan antara Ipoh ke Bidor. Sampai di rumah bergegaslah kami untuk solat asar.

Sunday, December 10, 2017

Ke Kuala Kangsar...

Hari ini 10 Disember 2017.

Ada dua jemputan kenduri perkahwinan anak kepada rakan. Satu di Bidor satu Kuala Kangsar. Seawal 11.00 pagi aku dan isteri telah pun berada di rumah rakan di Kampung Cegar (lama). Berada di situ lebih kurangnya aku bertolak ke Kuala Kangsar. Saudara Roslan Muhammad rakan semaktabku dulu mengadakan sambutan perkahwinan anak lelakinya. Lebuh raya agak padat dengan kenderaan. Alhamdulillah pukul 1.00 petang aku tiba di rumahnya di Bukit Kerajaan. Kawan-kawan semaktabku yang lain telah tiba lebih awal. Seronok .. sambil meraikan pengantin, dapat bertemu sahabat-sahabat semaktab yang hanya sesekali ditemui. Menjelang 2.30 petang kami bertolak ke destinasi masing-masing. Kami berjanji akan bertemu lagi minggu hadapan di majlis kawan yang lain pula.

Selepas itu aku dan Ani ke masjid al-Ridzwan, solat zohor. Sebelum bertolak pulang ke Bidor, kami ke "lembah", iaitu kawasan perniagaan makanan, minuman, cenderamata dll. Setelah pekena cendol, kami laki bini pun bertolak ke Bidor. Kenderaan sangat banyak, tambahan pula hujan turun agak lebat selepas memasuki kawasan Gopeng. Kami sampai di rumah di Bidor jam 5.30 petang.


Saturday, December 9, 2017

Rutin Orang Pencen..

Hari ini 9 Disember 2017... makin ke hujung tahun...

Tak banyak perubahan aktiviti seharianku.. berlegar antara rumah, rumah tua di kampung lama, orkid, ros, kereta dllnya. Bangun tidur, makan, lepas makan tidur. Jika rajin jenguk2 jugalah masjid, malas ke masjid solat saja di rumah. Orang pencen katakan.

Hari ini ada tiga jemputan .. kenduri akikah dan dua lagi majlis perkahwinan. Walaupun cuba makan sedikit di rumah pertama, namun yang dikatakan sedikit itu pun sudah cukup mengenyangkan. Di rumah kedua tambah lagi sedikit, rumah yang ketiga tambah lagi sedikit.. lama-lama penuh dan sendat perut. Makanlah selagi belum mati. Di tempat-tempat tertentu di luar negara, belum jumpa makan dah mati.


Monday, December 4, 2017

Cerita Hari Ini..

Hari ini 4 Disember 2017. Pagi-pagi lagi aku menunggang motosikal ke pekan. Kubeli nasi lemak, dan kueteau sebagai sarapan. Selepas bersarapan aku mengisahkan pokok-pokok orkid. Adalah lima enam jenis yang menampakkan bibit-bibit hendak bunga. Dalam dua minggu lalu aku "suapkan" baja tahi ayam. Tapak kakiku sakit berdenyut-denyut, tidak aku ambil pusing sangat.

Kemudian aku memandu kereta BMW buruk aku ke kedai aksesori, minta tengokkan masalah signal kanan tidak berfungsi, dan bunyi hon yangg tak mahu berhenti. Untuk menghalang hon terus berbunyi, fiusnya aku cabut. Selepas bergelut mencari punca masalah, akhirnya pemilik kedai aksesori itu berjaya mengatasinya. Lampu signal dan hon berfungsi dengan baik selepas itu. Dia meminta upah RM 30.00 sahaja. Murah sungguh tu.

Kembali ke rumah, waktu kira-kira jam 11.00 pagi, aku terus tarik bantal.  Aku hanya terjaga apabila Ani mengingatkan waktu zohor hampir masuk.

Selepas zohor aku mengisahkan getah pintu-pintu kereta tua itu yang tertanggal dari tempatnya, Maklumlah pada usia 20 tahun banyak getah yang sudah keras dan pecah-pecah. Mana yang pecah-pecah aku ganti, menggunakan getah pintu van Nissan Vanette dengan sedikit pengubahsuaian. Kalau nak pakai getah pintu yang ori, demamlah aku.

Ke Rawang..

Pada petang Sabtu 2 Disember 2017, lebih kurang jam 2.30 aku bersama isteri dan anak-anak ke Rawang kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saudara isteriku yang akan diadakan sebelah malamnya. Jarang dibuat kenduri kahwin malam-malam.

Tapi ketika majlis berlangsung aku lebih banyak duduk di ruang yang kurang orang lalu lalang kerana kakiku "meragam" pula.

Abang iparku telah pun menempah sebuah homestay untuk kami sekeluarga. Punyalah besar bangunannya, dua tingkat pula. Tapi yang hendak menginapnya hanya kami lima beranak. Anak-anakku semuanya takut hendak tidur di mana-mana bilik. Akhirnya semua tidur bersekali dengan emak dan ayah di satu bilik sahaja.

"Orang penakut dunianya sempit...", begitu kataku.. yang sebenarnya cuak juga...