Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Thursday, September 9, 2010

dari sudut hatiku...

Kepada semua yang pernah melintas dalam hidup ini, dari alam persekolahan hingga ke Maktab Perguruan Bahasa, dari SMK Dato Permaisuri Miri ke SMK Sungkai, Dari Ipoh ke UPM, dari Perlis ke Sabah.... dari kecil ke tua, dipohonkan kemaafan seadanya atas silap dan khilaf, kasar dan buruknya bahasa, tersasarnya perlakuan yang pernah saya lakukan... untuk anda semua SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI.. MAAF ZAHIR DAN BATIN..

Friday, September 3, 2010

AHLUS SUNAH VS WAHABI / SYIAH

Berikut merupakan sebuah komen drp saudara Fakeh dalam blog saya dua minggu lepas.. Sebenarnya komen beliau tiada kena mengena dengan tulisan saya yang berkenaan.. Apa pun beliau menulis....

Cubalah google tajuk BANGSA MELAYU MENGIKUT ULAMA AHLU SUNNAH WAL JAMAAH, maka akan fahamlah kita tentang hakikat bangsa ini. Dan cubalah google pula tajuk-tajuk berikut agar kita kenal musuh dalam selimut yang mencari peluang dan ruang untuk mengkhianati bangsa ini, iaitu:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah


FAKEH KHALIFAH SAKA
August 30, 2010 10:59 PM

Komen saya..
1. Saya tidak punya apa-apa kepakaran dalam bidang agama untuk mengupas isu-isu yang dikemukakan.Dan saya tak berupaya mengukur sejauh mana tajuk-tajuk a sampai g di atas mengganggu gugat bangsa Melayu.. ( Fakeh bimbang ttg Melayu atau Islam saya tak pasti, kerana Melayu dan Islam merupakan dua konsep yang berbeza).

2. Kita sering menyatakan salah kepada Wahabi dan Syiah, tapi betul sangatkah amalan kita orang Melayu yang mendakwa mengikut Ahlus Sunnah bermazhab Syafie? (Saya tegaskan: amalan kita orang Melayu/orang Malaysia). Banyak juga amalan kita yang perlukan kajian semula untuk memisahkan yang mana ibadah dan yang mana adat..(rasanyalah).

3. Sebaiknya kita bincangi dan atasi dahulu permasalahan nanah dan kudis dalam masyarakat kita, Melayu.. khususnya dadah,zina, rasuah, judi, arak, tidak tahu solat dan 1001 masalah lagi daripada membicarakan engkau wahabi aku sunni...engkau syiiti aku shafie.. Oh ya lupa pula.. semua masalah Melayu tadi tentu bukan dicetuskan oleh fahaman/pergerakan Wahabi atau Syiah dalam kalangan Melayu itu sendiri.

4. Saya harus bercermin diri saya dahulu supaya tidak mudah menyalahkan orang lain .. dan saya tidak tahu sama ada kedai judi 4 nombor ekor "halal" (dan yang sejenis dengannya)wujud di Iran yang mengamalkan fahaman syiah, atau di Arab Saudi yang dikatakan Wahabi sedangkan melambak-lambak orang Melayu yang mendakwa pengikut ahlussunah "beramal" di tempat-tempat berkenaan di negara kita..?

Wallahualam...

Monday, August 16, 2010

Antara Blog dan Facebook

Sejak pertengahan Mei blog Menggapai Awan Merantai Angin ini sudah benar-benar tinggal angin sahaja. Tidak pernah dikemaskini. Penggunaan Facebook nampaknya sudah mengatasi penggunaan blog untuk menyampaikan maklumat kerana sifat Facebook yang lebih interaktif, ringkas dan mudah dan cepat. Walau bagaimanapun untuk kupasan isu-isu yang lebih luas dan mendalam, Facebook bukanlan ruangan yang sesuai untuk tujuan itu.

Apapun sesekali aku akan tetap ke sini untuk mengemaskini apa yang patut....

Sunday, May 16, 2010

Hari Guru.. Lebih kurang hari raya untuk cikgu-cikgu. Anak murid dan bekas anak murid berlumba-lumba mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru mereka. Tak kurang juga yang memberikan hadiah.. Saat begitu bukan harga hadiah yang menjadi ukuran, tetapi saat itulah seseorang guru itu rasa dirinya dihargai.

Berapa beratkah beban seorang guru? Ramai dewa atasan yang berjanji hendak mengkaji beban guru (sekadar berjanji).. tetapi saban hari saban minggu ada sahaja tugas-tugas bukan mengajar yang dilambakkan kepada insan yang bernama guru. Sesetengahnya tugas itu tidak pun membantu dalam kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Namun guru tetap guru. Mata redup anak didiknya yang mengharapkan ilmu menyejukkan hatinya, walaupun hatinya kadang-kadang terguris, terluka dan terbeban.. Apapun ..

SELAMAT HARI GURU...

Friday, April 23, 2010

Mak ai.. Lebatnye hujan...

Hari ini Jumaat. Selepas solat, aku ke pejabat pos untuk membayar bil-bil untuk bulan ini. Habis juga lima jari.. Sudah kita inginkan keselesaan, kemudahan, keseronokan dan sebagainya, maka semua itu perlu dibayar. Setakat ini hanya udara untuk bernafas sahaja yang percuma, manakala hampir semua yang lainnya perlu dibayar.

Nasib aku hari ini memang baik, hanya aku seorang sahaja pelanggan yang berurusan, tak perlu mengambil nombor giliran pun, unjuk sahaja bil-bil yang perlu dibayar, tak sampai lima minit, selesai semua urusan.

Belum sempat melangkah keluar untuk ke kereta, hujan turun mencurah-curah, cukup lebat. Maka terkurunglah aku di pejabat pos itu, sambil berdiri di pintu cermin memandang keluar. Sesekali aku menoleh ke arah gadis-gadis kerani yang duduk tercatuk di tempat masing-masing.
"Pakcik nak payung? Boleh gunakan payung saya", penuh sopan seorang daripada kerani itu bertanya. "Tak apalah, pakcik tunggu sekejap lagi, terima kasih".

Sambil berdiri,melalui pintu kaca itu terlihat aku seekor biawak kecil muncul dari parit di hadapan pejabat pos itu. Longkang itu dipenuhi air, mungkin biawak itu tidak dapat bertahan dengan aliran air yang deras.

Kemudian mataku terpaku ke arah sebuah deretan bangunan rumah kedai tiga tingkat yang baharu sahaja dibuka. Ada restoran yang cantik, ada pasar raya, ada kedai telefon, dan kedai aksesori kereta. Tetapi semuanya bukan milik bangsa kita. Ketika aku masih kanak-kanak, tapak itu merupakan kawasan longgokan tong-tong najis. Ketika itu, setiap tandas di pekan, terdapat tong di bawahnya. Tong itu bersama isinya akan diangkut oleh pekerja majlis daerah dan digantikan dengan dengan tong lain yang kosong. Semua kerja itu dilakukan pada waktu jauh malam atau dinihari. Tapi semua itu sudah tidak ada lagi, semuanya berubah mengikut kemajuan dan perkembangan semasa.

Apabila hujan agak reda, aku mengambil kesempatan meninggalkan pejabat pos dengan senyum sendiri. Mana tidaknya, dalam begitu banyak peristiwa lama yang indah untuk dikenang, bagaimana aku boleh memilih untuk mengenang tentang tong t**k. Ceh!!

Sebaik sampai di simpang setesen bas, hujan lebat kembali. Air longkang mula menyenak ke jalan raya seolah-olah banjir kilat layaknya. Apabila manusia hanya mengambil jalan yang mudah , segala sampah sarap dibuang ke longkang sahaja. Aku membelok ke kanan untuk megambil jalan pintas ke jalan besar dan seterusnya meninggalkan pekan untuk pulang. Hujan tidak juga berhenti.

Di rumah, aku hanya menyedari bahawa hujan sudah berhenti apabila aku terjaga untuk menunaikan fardu asar lebih kurang pukul 5.45 petang.

Tuesday, April 13, 2010

Kenduri Kahwin Dulu Dan Sekarang...

Siang tadi seorang jiran sekampung mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya. Dalam keriuhan suasana itu sempat juga aku membandingkan suasana majlis perkahwinan generasi sekarang berbanding suasana majlis perkahwinan generasi-generasi terdahulu, terutama di tahun-tahun 1960-an hingga hujung tahun-tahun 1970-an iaitu zaman ketika aku melewati zaman kanak-kanak dan remaja.

Di zaman aku masih kanak-kanak, khemah seperti yang terdapat pada hari ini belum ada.Yang ada hanya bangsal iaitu struktur berbumbung yang dibuat daripada buluh. Tiga empat hari sebelum majlis perkahwinan itu diadakan, penduduk kampung secara bergotong-royong akan mendirikan bangsal. Buluh amat mudah diperoleh di kampung-kampung. Biasanya kanvas lori pula digunakan sebagai atapnya. Ada juga struktur bangsal yang berbentuk pisang sesikat. Biasanya tiga keping papan disusun melebar separas pinggang untuk dijadikan meja. Tempat duduknya juga dibuat daripada papan. Tetamu wanita mengalami sedikit kesukaran untuk melangkahi papan yang panjang sebelum duduk. Jika tiada papan, para pemuda terpaksalah beramai-ramai mengambil set kerusi dan meja makan dari setiap rumah di kampung. Tidak ada istilah tidak boleh, tak larat dan sebagainya. Semuanya dilakukan dengan bergotong-royong.

Setelah bangsal siap didirikan, tugas seterusnya ialah melilitkan kertas bunga berwarna-warni bersaiz dua jari ke struktur buluh yang menjadi tiang bangsal itu. Selain untuk hiasan, ianya berfungsi untuk mengelakkan tetamu daripada terkena miang buluh berkenaan. Biasanya apabila majlis selesai, kertas tersebut menjadi rebutan kanak-kanak, ditanggalkan, diikatkan anak batu di hujungnya lalu dibaling ke udara, menghasilkan satu gerakan yang menarik, seperti ular melayang.

Sehari sebelum majlis berlangsung, kaum ibu akan datang beramai-ramai mericis bawang, lada, daging, ayam, dan sebagainya untuk dimasak. Cukup meriah, penuh dengan semangat kerjasama. Mana-mana yang latah sentiasa jadi mangsa dan bahan ketawa. Bagi anak bujang pada masa inilah mata mencuri-curi pandang kok-kok ada gadis manis yang menyelit.

Pada sebelah malamnya, lauk, gulai, rendang tok dan lain-lain akan dimasak. Begitu juga merebus telur. Biasanya nasi minyak atau nasi putih akan ditanak di sebelah pagi keesokannya. Anak-anak muda akan berjaga sampai ke pagi. Ada juga yang nakal memasukkan air akar pinang dara ke dalam air panas yang digunakan untuk membuat kopi atau teh. Air akar pinang dara dikatakan menjadi bahan penggalak, mata tak mengantuk dan sentiasa ketawa gembira. (Akar pinang dara yang digunakan ialah akar berwarna merah yang terdapat pada pokok pinang yang belum pernah berbuah). Dengan adanya anak muda yang berjaga sampai pagi, tuan rumah tidak risau akan keselamatan saudara mara yang tiba dari jauh disamping barang-barang seperti pinggan mangkuk, dan lain-lain terjaga.

Pada hari berlangsungnya majlis perkahwinan itu, anak muda tanpa mengira penat lelah akan membantu mengangkat hidangan, dan membersihkan pinggan mangkuk. Tidak ada upah, hanya sekeping tuala muka nipis dan rokok. Bagi tuan rumah yang berada, majlis diserikan dengan menjemput kugiran. Ada permintaan lagu untuk ditujukan kepada sesiapa yang diingini. Kadang-kadang tuan rumah pun turut menyumbangkan lagu. Yang lebih berada lagi, sebelah malamnya diadakan pula joget lambak.

Kini, di abad ke-21 ini, kebanyakan suasana majlis perkahwinan yang dipaparkan di atas sudah tidak lagi berlaku. Sekarang sudah ada khidmat pihak yang menyewakan khemah berserta kerusi meja dan set pelamin. Untuk jamuan makan, pilih saja caterer yang diingini. Untuk hiburan pilih saja dj-dj yang berbakat di serata kampung. Paling tidak letakkan sahaja set karaoke di satu sudut, nanti akan ada yang berbesar hati menyumbangkan suara yang kadang-kadang memang sumbang. Hidangan pula secara buffet. Nampaknya cara zaman ini lebih mudah, namun ia sedikit sebanyak melonggarkan ikatan masyarakat sekampung. Oh ya.. semakin ramai tuan rumah yang mengetepikan budaya memberi bunga telur, sebaliknya digantikan dengan beg kecil... di dalamnya gula-gula dan sehelai sapu tangan kecil.

Friday, April 9, 2010

Minda Kelas Tiga Atau Warga Kelas Tiga

I
Ketika memandu sepanjang sebuah lorong, tiba-tiba kereta di hadapan berhenti. Dalam masa yang sama sebuah kereta dari arah bertentangan juga berhenti. Pemandu kedua-dua buah kereta membuka cermin tingkap, berbual begitu selamba tanpa menghiraukan bahawa mereka telah menyekat perjalanan kenderan di kedua-dua arah. Setelah puas berbual mereka berlalu tanpa rasa bersalah.

II
Pada ketika yang lain, sebuah kereta berhenti di tengah-tengah lorong yang agak sempit. Pemandunya turun ke kedai berhampiran meninggalkan keretanya mengganggu perjalanan kenderaan lain.

III
Sekumpulan pemuda berkumpul di tengah-tengah jalan untuk berbual-bual, sedikit pun tidak mahu berganjak apabila ada kereta yang lalu. Mungkin mereka merasakan mereka begitu berkuasa ketika itu kerana ramai.

IV
Di satu persimpangan terdapat dua buah sekolah, Sekolah Kebangsaan dan sebuah lagi Sekolah jenis Kebangsaan. Persimpangan itu sudah dilebarkan sehingga mampu memuatkan tiga lorong; satu lorong untuk belok ke kiri, satu lorong lagi untuk ke kanan dan satu lorong lagi untuk kenderaan yang hendak masuk. Ketika sebuah kenderaan hendak masuk ke lorong itu, ketiga-tiga lorong itu sedia ada tiga buah kenderaan, semuanya hendak membelok ke kanan!

V
Perlakuan-perlakuan yang menampakkan kekurangan kesedaran sivik di atas menjurus kepada satu kesimpulan, iaitu masih ramai anggota masyarakat yang memiliki minda kelas tiga. Adakah aku mengamalkan sikap racist jika mengatakan perlakuan-perlakuan tadi selalunya dilakukan oleh satu kaum tertentu.. iaitu... ????

Tuesday, April 6, 2010

Apa sudah jadi???

I
Apa sudah jadi kepada blog aku ini??? Ya Allah genap sebulan tak dijenguk langsung.. Basi sudah posting-posting terdahulu. Adakah Allah sudah menarik balik nikmat masa yang dikurniakannya kepadaku selama ini sehingga aku kekurangan kesempatan menulis di blogku sendiri. Ampunkan aku ya Allah jika itu yang terjadi.

II
Sudah suku tahun pertama 2010 sudah berlalu. Begitu cepatnya masa bergerak meninggalkan kita. Anak-anak yang dulunya ditimang dan didakap kini sudah besar panjang. Azim yang bongsu sudah 10 tahun usianya pada 1 April lalu, Amira anak yang ketiga dan satu-satunya anak perempuanku, ketinggiannya sudah mengatasi ketinggian ibunya. Khaliq anak keduaku baru-baru ini mendapat keputusan yang baik dalam SPM, tentunya sedang membilang hari demi masa depannya... mungkin ke matrikulasi; atau mengikuti kursus asasi atau diploma di mana-mana universiti tempatan. Anak sulungku Qayyum juga baru menamatkan kursus diplomanya; juga berkira-kira untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

III
Pada 15 Mac yang lalu aku terlibat dalam kemalangan jalan raya. Persoalannya ialah apabila ada orang yang tidak berhati-hati di jalan raya, jika berlaku kemalangan, bukan dia sahaja yang mendapat susah tetapi juga orang lain. Pendek kata ia akan menyusahkan orang lain dalam banyak perkara. Ketiadaan kenderaan yang sangat-sangat diperlukan dalam mengharungi kehidupan seharian amat mengesankan. Mujurlah ada ipar duai yang sanggup meminjamkan kereta anak mereka.

Saturday, March 6, 2010

Alahai Temasya Olahraga....

Hari ini sekolah tempatku bertugas mengadakan Kejohanan Olahraga Tahunan. Berikutan saranan oleh TPM / Menteri Pelajaran, tukar kepada Temasya Olahraga Tahunan supaya memberi lebih impak kepada kemenjadian sukan itu sendiri. Bukan aku sentiasa bersikap negatif, tukarlah apa sahaja nama, namun sukan di peringkat sekolah di negara ini semakin layu, layu, dan layu.

Bagi generasi yang sempat menempuh tahun-tahun 50-an, 60-an,70-an, di sekitar Bidor, sukan sekolah benar-benar temasya sukan. Seluruh isi kampung, turun memeriahkan suasana, dan mereka akan dijamu dengan sebotol air "lemonade" buatan sebuah kilang di Jelapang. Aku sudah lupa nama minuman itu. Murid/pelajar begitu kecewa jika tidak terpilih mewakili rumah sukan mereka. Namakan sahaja rumah apa, ikut nama warna, ikut nama tokoh, nama kereta dsbnya. Cukup meriah.

Selepas tahun-tahun 1980-an, temasya sukan sudah jadi Kejohanan selepas itu sukan tahunan dan akhirnya sukan sahaja, semalap sambutan ibu bapa, dan warga sekolah sendiri. Masayarakat sekitar sekolah sudah tidak ambil kisah tentang sukan di sekolah, mereka lebih mengutamakan sukan di kaca TV, kalau tak pun drama.

Kemajuan teknologi menyebabkan sebahagian daripada generasi baru kurang bersukan (termasuk anak-anakku sendiri). Mereka lebih menumpukan kepada sukan dalam bentuk maya.. tak perlu keluar rumah, tak perlu berpanas berhujan, tak perlu berpeluh-peluhan.

Bukan lagi menjadi rahsia, guru-guru juga sudah kurang bersukan atau menggalakkan anak-anak murid bersukan. Bukan tidak mahu tetapi guru-guru sebenarnya sudah terlalu keletihan. TERLALU KELETIHAN. Tanyalah mereka. Bebanan guru pada bahagian akhir alaf lalu dan di alaf 21 ini tidak dapat lagi disamakan dengan bebanan guru pada tahun-tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an. Bebanan ini memberi kesan kepada perkembangan sukan di peringkat sekolah.

Oh.. cuba perhatikan berapa banyakkah banyak gelanggang sepak takraw, badminton, padang bolasepak, dsbnya terbiar tanpa ada pemain...

Thursday, March 4, 2010

Sekadar Catatan

I
Kabel telefon di perkampunganku dipotong penyangak sebelum Tahun Baru Cina lagi. Hanya pada pukul 3.00 ptg semalam kembali disambung pihak Telekom. Selepas 3 jam sambungan pulih, sekali lagi sambungan terputus.. kali ini sebuah lori treler yang mengangkut besi lusuh "melusuhkan" pula tiang telefon sehingga menyembah bumi.. 2 minggu lagikah terpaksa pulak kami menunggu sambungan untuk kembali pulih....?

II
Pencapaian STPM 2010 SMK Sungkai.. spt biasa, ada yang naik dan ada yang turun. Antara yang paling menyerlah ialah pencapaian bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan mata pelajaran Sejarah. Kepada pelajar yang berjaya tahniah dan bersyukurlah. Bagi yang gagal, ia bukan penamat kehidupan..

III
Sekarang ini cuaca begitu panas. Kipas angin kurang membantu. Sebagai guru, aku seharusnya bersyukur kerana tempat aku bertugas berbumbung. Bayangkan mereka yang terpaksa berpanas.. petani, nelayan, buruh binaan, dll. Oh aku teringat akan arwah ayah yang berkayuh basikal 15km sehala ke tempat kerja (sebagai kuli) dan kemudian petangnya berkayuh kembali ke rumah. Al-Fatihah buat ayah.

Tuesday, January 26, 2010

Macam-macam hal...

I
Sudah berbulan-bulan masalah kejadian potong kabel telefon oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan kejirananku dapat diatasi oleh pihak Telekom Malaysia, tiba-tiba ia terjadi semua pada jam 11.00 malam 24.1.2010. Menurut telefonis, termasuk aku sudah 4 orang yang mengadu kepada pihak Telekom mengenai hal ini. Hanya akan diperbaiki pada 27.1.2010. Awat lambat sangat?? Mati kutu tanpa internet..

II
Jabatan Pelajaran Perak mahukan salinan jadual Tingkatan 6 sebelum pukul 10.00 pagi 25.1.2010. Surat ttg perkara tersebut hanya diserahkan kepadaku pada pukul 9.50 pagi.. 10 minit boleh siapka??? Lepas tu mesin fax pulak tak jalan.. siapa yang harus dibalun? FAX? Pengetua?, PAR/PRA?

III
Latihan Sukan, Kurikulum, Ko-Kurikulum, Research, Kolokium, Jadual, P&P, Tkt-6, itu dan ini, begitu dan begini..
Oh... mengapa hari ni aku rasa tahap kebengapanku meningkat ke tahap maksimum...
Oh... aku terlupa, aku hanya insan kerdil.
Oh... aku tak ingat bahawa aku hanya seorang Nazeri.

Saturday, January 9, 2010

Untuk renungan

Dalam sebuah (papan) kenyataan, tak ramai orang ambil kisah tentang paku tekan atau pin yang digunakan untuk melekatkam sebarang penyataan.

Friday, January 1, 2010

2010 Sudah Berusia Hampir Sehari...

Ia datang dan pergi seperti tahun-tahun yang sudah berlalu. Langit tetap biru, awan tetap putih kelabu, gunung tetap biru, laut tetap tenang dan bergelora bersilih ganti, manusia dilahirkan dan akan ada yang mati ..... dan itu dan ini seperti selalu. Cuma kita perlu berjuang untuk mencapai kehidupan yang lebih baik drp tahun lalu. Susah senang rezeki kita bukan kerana tahun baru atau tahun lama, bergantung kepada usaha, doa dan ketentuan Ilahi. Bertambah usia kita, bermakna selangkah menghampiri kematian ... Apapun aku tak mahu mengucapkan Selamat Tahun Baru, hanya aku ingin mengucapkan Selamat Berjuang... kerana hidup adalah perjuangan.