Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Tuesday, August 13, 2013

Ilmu Mengambil Madu Lebah

Madu lebah banyak khasiatnya. Antara madu lebah yang dipelihara dengan madu lebah liar, madu lebah liar lebih diminati dan mempnyai harga yang lebih tinggi. Kita tak dapat pastikan madu yang dijual itu 100 peratus madu asli. Ramai mendakwa madu yang dijual adalah madu lebah tualang yang asli. Tak perlu aku mendabik dada, tapi aku tahu benar mana yang asli mana yang bukan berdasar rasa dan bau; kerana ayahku sudah bergelumang dengan kerja mencari madu lebah ini sejak zaman mudanya.

Pernah aku mengikut ayah mengambil madu lebah dari sarang lebah di pokok-pokok di pinggir kampung, tetapi aku terpaksa membawa kelambu. Ketika ayah mengambil madu lebah, aku berada dalam kelambu, supaya terselamat daripada serangan lebah yang pasti akan mengamuk jika sarangnya diusik.

Biasanya ayah akan membuat jamung daripada ranting-ranting dan daun-daun kering untuk mengasap sarang lebah, sebelum madunya diambil. Kadang-kadang jamung itu terpadam, dan ini akan membahayakan ayah. Akhirnya ayah menggunakan colok-colok kecil yang digunakan oleh orang Cina ketika bersembahyang sebagai perasap, lebih meyakinkan kerana colok apabila terbakar, sukar terpadam dan mengeluar lebih banyak asap. Ayah sangat marah jika ada orang yang mengambil madu lebah dengan kaedah membakar, kerana cara itu akan membunuh seluruh generasi lebah itu.

Memegang perasap dan timba untuk mengambil madu sambil memanjat agak menyukarkan juga, kerana mudah terlepas, atau kita juga mungkin terjatuh dari pokok yang dipanjat itu. Akhirnya ayah mendapat idea yang lebih praktikal. Pakai pakaian tebal-tebal, pakai but getah paras lutut, pakai sarung tangan kulit, pakai teropong yang digunakan untuk menyelam, pakai serkup muka; kemuadian panjat pokok, tak perlu bawa perasap, hanya bawa timba sahaja untuk mengisi madu. Pedulikan lebah yang mengamuk, sengatannya tak akan sampai ke kulit ayah.


Sampai di rumah, lebah yang mengekori pun dah tak mengikut lagi. Sarang berisi madu akan ditapis dua tiga kali dan dimasukkan ke dalam botol. Hampas sarang lebah itu akan dimasak untuk dijadikan lilin, dikatakan amat mujarab untuk penyakit resdung. Biasanya ayah menjual antara RM25-RM40 sebotol mengikut warna madu itu. Jika warnanya lebih pekat, harganya lebih tinggi. Setakat yang aku ketahui tak ada yang meminta harga itu dikurangkan, kerana memang 100 peratus asli. Lilin lebah juga mempunya permintaan yang tinggi. Sebesar tiga jari pun sudah boleh mencapai RM10-15.



Ayah tak akan mengambil madu lebah jika bulan Islam melebihi 15 haribulan, kata ayah, madu akan semakin berkurangan. Jika 10 haribulan ke 15 haribulan itu masa yang sangat sesuai. Sayang sekali aku tak mewarisi kebolehan ayah dalam mengambil madu lebah. Setahu aku ayah tak ada apa-apa ilmu luar biasa selain bergantung kepada Allah semata-mata; mulakan dengan bismillah dan selawat atas nabi, itu sahaja. Ayah banyak kali bengkak-bengkil disengat lebah, dan pernah pula ditanduk kerbau ketika mencari sarang lebah. Pernah sekali ayah terjatuh dari atas sebatang pokok di tepi Sungai Bidor ketika mengambil madu lebah waktu tengah hari. Kata ayah ketika dia menyentuh sarang lebah itu, dia terasa ada satu tolakan yang kuat dari arah belakang. Ayah jatuh dan pengsan, mujur ditemui oleh seorang jiran yang kebetulan pulang memancing.

Monday, August 12, 2013

Kelentong dan Aismitai

I
Kelentong

Teng!Teng!Teng!Teng! ..
Jika itu yang didengar ketika kecilku dulu, pastinya kami tahu seorang pemuda India sedang menjaja roti dan permainan kanak-kanak sedang masuk ke kampung kami. Dia akan mengayuh basikal roda tiga yang di hadapannya ada peti kaca yang berhias cantik pada bingkainya. Peti itu berisi roti dalam bentuk roti paun, roti kelapa, roti kaya, dan ada "rock bun" iaitu roti yang menggerutu itu. Mengapa di tempat aku berniaga cara sedemikian dipanggil "kelentong" aku tak tahu. Adakah "kelentong" ini sama dengan kelentong yang bermaksud cakap kosong (menipu) itu?  Jika ya, di manakah persamaannya?
Contoh kelentong (tetapi kurang hiasan)
II
Aismitai

Aismitai? Pernah makan? Puas aku cari nama sebenar adakah ianya ice methyl, methyl ice? atau apa.. Cari dalam internet, ada terjumpa tapi tapi tak sama dengan aismitai (?) yang aku ingin ceritakan.
Sejak kecil, kami berjiran dengan seorang India yang capek kakinya. Pekerjaannya menjual aismitai.
Sebuah besen aluminium, diletakkan dibelakang basikalnya. Setelah "dimodified", besen itu boleh berpusing laju, dan sesudu atau dua sudu gula berwarna merah dimasukkan ke dalam besen itu. Pusingan besen itu menyebab gula itu menjadi seperti jalinan kapas yang halus. Dengan menggunakan lidi, "kapas" gula itu "ditangkap", maksudnya gula itu akan melekat pada lidi itu sehingga menjadi gumpalan sebesar buah kelapa. 10 sen sahaja harganya tetapi manis dan enak. Oleh sebab nampak seperti kapas, dalam bahasa Inggeris ia dipanggil cotton candy dan nama-nama lain yang sewaktu dengannya.

Sunday, August 11, 2013

Penilik Nasib, Panama dan Ah Pok: Satu Catatan "Sejarah" Yang Hilang

I
Puluhan tahun dahulu, jika kita ke pekan Bidor (juga pekan-pekan yang lain) dapat kita temui  orang India yang menjalankan kegiatan menilik nasib. Mereka mendakwa mahir dalam meramalkan masa depan seseorang berdasarkan retak-retak di tapak tangan. Kadang-kadang dia akan menceritakan kisah-kisah lampau orang yang ingin mengetahui nasib masa depannya. Betul tidaknya tidaklah aku dapat pastikan.

 Aku lebih tertarik dengan peramal nasib yang menggunakan burung. Dia akan membawa sebuah sangkar kecil yang terdapat seekor burung di dalamnya. Biasanya burung dari spesis bayan. Buku-buku kecil yang siap tertulis nasib seseorang yang begini begitu, akan dibariskan di hadapan burung itu. Apabila dikeluarkan dari sangkarnya, burung itu akan mengambil mana-mana satu dari buku-buku itu. Maka tuan punya burung pun akan membacakan nasib orang yang ingin mengetahui untung nasibnya  itu. Mungkin dua puluh sen sekali menilik nasib agak mahal, tidaklah orang yang sama ingin nasibnya ditilik dua tiga kali oleh burung bayan itu. Jika tidak tentulah dia akan menerima perkhabaran nasib dirinya yang berbeza-beza dua tiga kali. Apapun perbuatan ini merupakan satu dosa besar di sisi agama Islam!
Bayan sedang menentukan apakah nasib anda di masa depan.
II
Ketika kecil dahulu aku mengenali seorang India yang bermuka agak bengis yang mendiami rumah di tepi Sungai Bidor di kampungku. Walaupun bermuka bengis dia tidak pernah mengganggu sesiapa. Kami memanggilnya sebagai Panama, bininya pun kami panggil Panama, siapa Panama yang sebenar, entahlah. Panama memelihara tiga empat ekor lembu. Tetapi pekerjaan utamanya ialah sebagai pemanjat kelapa, sama ada untuk memetik buah kelapa atau menyadap nira kelapa untuk dibuat todi (tuak). Dengan hanya berselampit (bercawat) kain pelikat lusuhnya, Panama mempunyai kemahiran yang tinggi dalam melaksanakan tugasnya memetik kelapa atau menyadap nira kelapa. Di akhir-akhir hayatnya Panama tewas jua oleh ketinggian sebatang pokok kelapa berhampiran Sekolah Kebangsaan Bidor (kini Kompleks Perumahan Guru). Dia terjatuh tetapi tidak mati serta merta. Lama juga dia sakit sebelum mati dan dibakar di perkuburan Hindu, Bidor.
Gambar hiasan ( Ini di Kerala, India )

III (15SX)
"Sudah masak ka, Ah Pok??"
"Mulum", jawabnya.
Itu adalah diolog kanak-kanak sebaya denganku bersama dengan seorang Cina tua pembeli botol di kampungku di tahun-tahun 1960-an. Ah Pok mengalami penyakit hernia, buah zakarnya yang sebesar tin susu bayi 1kg itu. Hernia dikenali juga sebagai burut. Ah Pok akan mengayuh basikal roda tiganya dengan berseluar pendek. Kami selalu mengejarnya dengan gembira.. hanya hendak melihat buah si Ah Pok yang "mulum masak" itu. Ah Pok tak kisah pun, dia akan ketawa mengekeh-ngekeh. Tiga biji botol nilainya sekupang (10 sen). Kalau kurang daripada tiga, Ah Pok akan membayar dengan gula-gula bulat yang manis sahaja, satu atau dua biji mengikut bilangan botol yang ada.
Hernia (bukanlah Si Ah Pok)

Masih Kuingat II

4 Syawal 1434 / 11 Ogos 2013: Bangun pagi ini hari berangin, mendung dan sedikit dingin. Isteriku ke pasar, mencari apa-apa yang patut. Anak-anakku, biasalah, selepas sahaja solat subuh, dum.. membuta semula (nak marah pun tak boleh, aku dulu pun macam itu..).

Arwah ayah dulu, bangun pagi-pagi, selepas solat, dia akan mencapai apa yang patut, cangkul, dia pun menyangkul, kalau parang, dia menebas.. ada sahaja dibuatnya. Itu semasa dia sudah berhenti kerja. Semasa masih bekerja, ayah akan mengayuh basikal besar jenama Raleigh (beli drp Benggali jual roti) sejauh 7-8 batu ke Jeram Mengkuang, Bidor. Di sana ayah bekerja sebagai buruh kapal korek Syarikat Bidor Malaya Tin atau BMT (yang kini sudah dibubarkan). Ada tujuh kapal kesemuanya, dan ayah bekerja di kapal nombor 4. Ayah pernah terjatuh dari tingkat dua kapal korek itu ketika membersihkan "bucket" yang terlerai daripada rantainya. Setiap kali "bucket" yang mengaut tanah dari perut bumi ke permukaan itu terlerai dari tempatnya, setiap kali itu jugalah ayah akan lambat pulang, untuk memasangnya semula mengambil masa yang lama. Dan setiap kali itu juga ayah akan membawa lembaran-lembaran kecil sebesar kertas A4 getah berwarna merah setebal 3 atau 4 mm. Getah itulah yag kami potong kecil-kecil buat getah lastik atau getah peregang besi yang menjadi peluru menembak ikan.

(90 peratus serupa dengan jambatan keretapi Sungai Bidor)

(Imej kapal korek yang masih tinggal di Perak)
 Untuk ke tempat kerja, selain melalui jalan utama Bidor-Telok Anson (kini Teluk Intan), ayah akan melalui jalan pintas menyusur Sungai Bidor, tetapi perlu melalui jambatan kereta api yang sempit. Orang kampungku memanggil jambatan itu sebagai gerotak (ge-gho-tak - loghat Perak). Sedikit berisiko kerana kita tak tahu bila keretapi akan tiba kerana di hadapan jambatan itu adalah landasan yang berselekoh. Sesekali aku bersama rakan-rakan akan ke jambatan itu untuk memancing atau menembak ikan. (Dan di bawah jambatan itu juga aku tertembak jari kakiku sendiri. Aku hanya dapat melepaskan besi yang tajam itu dari jari kakiku setelah menghiris dengan pisau cukur separuh daripada jari keempat kaki kananku itu. Tak apa aku harus menjadi hero kepada kawan-kawanku).

(Contoh pistol menembak ikan)
Untuk ke jambatan itu, kita perlulah merentasi kandang kerbau milik Ghulam Haidir, dan kandang lembu milik Raja Muda Singh. Mengapa dia dinamakan Raja Muda tak siapa yang tahu; kerana sebelum ayah membuat rumah di Kampung Padang (kemudian dinamakan Kampung Jalan Sungkai, dan kini di kenali pula sebagai kampung Chegar), "Raja Muda" sudah pun bertakhta di hujung kampung ini memerintah lembu-lembunya.

Keistimewaan Raja Muda ialah amat mesra dengan penduduk kampung dan suka bergurau. Kereta lembu miliknya sentiasa terbuka (memang tak beratap pun), kepada kanak-kanak yang ingin menumpang untuk ke sekolah atau balik dari sekolah; cuma kena tahan bau najis lembu. Raja Muda menjual najis lembu dari kandangnya kepada orang Cina, pekebun-pekebun sayur. Apa sahaja boleh diangkut oleh kereta lembu Raja Muda dengan upah yang sekadarnya. Anehnya lembu-lembu penarik itu amat mengerti "bahasa" yang dituturkan oleh Raja Muda. Antaranya "terk..tekk..terk ,  ho terey ..ho terey ( entah apa maksudnya). Untuk pengetahuan pembaca (kalau ada?), lembu penarik kereta, terpaksa melalui sesuatu yang amat tragis. Buah zakarnya akan dipecahkan, supaya ia tiada keinginan mengawan serta badannya akan menjadi besar dan gemuk (dikasi). Dengan itu, ia akan kuat bekerja.
Kereta lembu (bukan kereta lembu Raja Muda)
Kecuali jambatan keretapi yang masih utuh menongkah zaman; kapal korek BMT, dan kereta lembu Raja Muda bersekali dengan Raja Mudanya. semua sudah tiada lagi. Rangka basikal Raleigh ayah pun dah tak mandang (loghat Perak= tak ada lagi); habis dijual pencuri/pencari besi.Maklumlah rumah dah ditinggalkan kosong agak lama..

Hujan pagi begitu lebat.. dan mataku semakin berat .. ahh.. aku  harus berhenti di sini. Semoga bau najis lembu Raja Muda tidak mencucuk hidungku dalam mimpiku nanti.. Opppppsss teringat pula aku akan NFC?? Apa cerita dan apa sudahnya??


Masih Kuingat Lagi..

Hari Raya Aidil Fitri 1434H/2013M sudah masuk hari keempat. Seperti biasa, hari raya, orang Melayu menyambutnya lebih daripada sehari, malah menjangkau sebulan. Entah apa nasib tahun ini, aku tak nampak muka sahabat-sahabat lama sekampung. Mungkin mereka menyambut hari raya  di kampung isteri masing-masing agaknya.

Rumah tua di kampung sudah tidak berpenghuni selepas kematian emak tiga tahun lalu, namun pada pagi hari raya selepas sembahyang sunat Aidil Fitri tetap aku, isteri dan anak-anak ke situ; kerana kebiasaannya adikku masih sanggup meninggalkan rumahnya sendiri untuk berhari raya di rumah tua itu. Rumah tua itulah pengikat yang masih utuh dalam mengeratkan hubungan kami lima beradik ini.

Petang Rabu semalam aku ke Jalan Paku, Bidor, ke rumah emak saudaraku yang sudah sangat uzur, (kedua-duanya uzur, rumah dan emak saudaraku itu). Setelah agak penat duduk, aku keluar merayau-rayau sekitar halaman rumah yang sudah tidak terurus. Empat puluh tahun dulu aku bermandi peluh berlari di halaman ini bersama kawan-kawan, tersadung akar, jatuh, tersadung kayu jatuh lagi. Namun semuanya suda tak ada. Pokok getah, durian, rambai, manggis, duku sebatang pun tak ada lagi, semuanya habis ditebang oleh sepupuku. Aku malas berbalah walaupun habis segala nilai sentimental aku bersama pokok-pokok itu hilang sekelip mata. Jika opah masih hidup tentu dia akan meraung..!! Apapun, harta dunia, bagaimana sayang sekalipun, apabila kita mati, semuanya akan ditinggalkan.

Kemudian aku memanggil anak bongsuku. Aku menunjukkan satu "permainan" yang menyeronokkan kepadanya, yang aku dan kawan-kawan gemar melakukannya semasa kecil dahulu. Ambil batang bunga rumput, masukkan ke dalam lubang kecil sarang semut api di tanah. Bila rumput itu bergoyang hujungnya, tarik keluar batang rumput itu, pasti ada semut api akan di tarik keluar. Selepas itu aku membiarkan anakku "memancing" sendiri semut api itu.

Aku memandang ke satu sudut di halaman yang sedikit bersemak itu, di mana puluhan tahun lalu ada sebatang pokok jambu mawar di situ. Buah jambu mawar bentuknya sedikit bulat, berwarna hijau ketika muda dan berwarna kuning jika masak, baunya harum, rasanya manis. Itulah satu-satunya pokok jambu mawar di kampung itu, kini habis pupus. Berhampiran pokok jambu mawar, ada sebatang pokok rokam. Pokok rokam berduri tajam, buahnya bulat sebesar ibu jari, apabila masak ranum berwarna merah hitam. Rasanya kelat-kelat manis. Pun sudah tiada lagi.

Yang tetap ada, tak berubah, hanyalah perkuburan Cina yang terletak betul-betul di seberang jalan; yang  pernah menjadi "medan pertempuran" aku dan kawan-kawan dalam adegan main perang-perang ala British lawan German. Di kawasan perkuburan itu juga melastik burung, main layang-layang dan kadang-kadang menjadi tempat berkelah... Bagi kami ketika itu, perkuburan Cina bukanlah tempat yang menakutkan. Seperkara yang sudah tiada lagi di perkuburan Cina itu ialah kelip-kelip. Ke mana serangga itu ghaib, entahlah. Ketika aku kecil ada dereran pokok balik angin di pinggir perkuburan Cina itu yang menjadi tempat ribuan kelip-kelip berkumpul. Apabila ada kelip-kelip tersesat masuk ke rumah, opah akan melarang kami mengganggunya dengan menakut-nakutkan kami;  "Kelip-kelip berasal daripada kuku orang-orang Cina yang ditanam di perkuburan itu", kata opah.

Sesi aku mengenang kembali sesuatu yang pernah aku lalui di Kampung Jalan Paku, Bidor terpaksa aku tamatkan, apabila isteriku mengajakku pulang kerana waktu asar sudah lama masuk.

Friday, June 7, 2013

Pemenggal Kepala

Pada petang 06/06/2013 terjadi runtuhan di sebahagian jambatan kedua yang sedang dibina yang menghubungkan tanah besar dengan Pulau Pinang, entah apa sebabnya tentulah akan dikaji dan disiasat oleh pihak-pihak yang berkenaan. Yang runtuh tentu boleh dibina kembali, namun nyawa yang terbang, tentunya akan ditangisi oleh kaum keluarga yang terlibat. Tragis sekali cara kematian yang menimpa.

Teringat ketika usia aku dalam lingkungan 9 atau 10 tahun, jambatan kayu yang merintangi Sungai Bidor sedang diganti dengan jambatan konkrit. Selama pembinaanya berbulan-bulan itu, aku dan rakan-rakan sebaya tidak berani keluar ke mana-mana sembarangan kerana dimomokkan bahawa si pemenggal kepala sedang merayau-rayau mencari seberapa banyak kepala manusia untuk diletakkan di bawah tiang yang mendokong binaan jambatan supaya binaan jambatan itu kukuh teguh tanpa sebarang kecacatan. Macam-macam cerita tentang si pemenggal kepala disampaikan kepada kami.. aduh takutnya ketika itu. Senang sungguh orang tua-tua mencari jalan untuk mengawal pergerakan kanak-kanak yang tengah "membuas" dengan menambah-nambah cerita tentang si pemenggal kepala.

Asal nampak sahaja orang Sikh atau India membawa sabit dan guni, nescaya senyap-sunyilah kanak-kanak berlindung di dalam rumah. Sedangkan orang Sikh atau India itu hanyalah hendak memotong rumput untuk makanan lembu atau kambing peliharaan mereka.

Ketika itu ada juga orang India yang menjalankan perkhidmatan "tajam batu", iaitu mengambil upah menajam batu giling atau lesung batu. Sebenarnya batu giling atau lesung batu itu akan dipahat perlahan-lahan untuk menimbulkan kesan kasar pada permukaannya. Kesan kasar itu akan memudahkan cili atau bawang hancur apabila digiling atau ditumbuk. Apabila kelihatan sahaja orang India penajam batu itu, apa lagi, halaman yang tadinya penuh dengan kanak-kanak menjadi senyap sunyi..

Terpaksalah seketika kami melupakan kegiatan mandi sungai, main layang-layang, memancing, sebaliknya hanya berlegar di halaman-halaman rumah sahaja. Namun untuk ke sekolah tiada pulak di pesan tentang pemenggal kepala itu..

Masa terus berputar, zaman pun berganti, kisah si pemenggal kepala untuk pembinaan jambatan pun sudah tidak lagi dimomokkan kepada anak-anak generasi baru. Mungkin jika ditakutkan dengan si pemenggal kepala, mereka akan tertawa berguling-guling... malulah kita!

Tuesday, May 7, 2013


LAWAK 38SX... (edisi santai pilihanraya...) Budak2 pegi main jauh-jauh!!

Kecewa tidak tercalon oleh partinya, Din Panau mengisytiharkan dirinya bertanding sebagai calon bebas berlambangkan kepala kura-kura. "Jika kau dpt tusukkan lambang kau tu disarang tebuan di pokok bacang kat simpang masuk kpg tu, nescaya hati pengundi semua akan tertarik utk menyokong engkau", kata Bomoh Pian yg ditemuinya. Maka Din Panau terbayangkan si Maniam yg dikatakan kebal dan handal bermain ular.. setakat bisa tedung selar macam digigit nyamuk saja baginya. Apalah sangat bisa tebuan.. Org itulah yg akan diupah memasang lambang kepala kura-kura itu.
Esoknya dengan upah yang agak lumayan, Maniam bergegas2 memanjat pokok bacang yg dimaksudkan, dan seelok sampai dia pun menujah batang buluh yg terikat lambang kepala kura2 di sarang tebuan sebesar pemeluk itu. Tiadalah apa2 baginya dgn serangan dan sengatan tebuan yg menggila itu. Namun, sebaik hendak turun, cutttttt!!!! satu sengatan yg amat menyakitkan hinggap di batang zakarnya.. Bagai gelaplah dunia baginya, namun sempatlah dia turun ke pangkal pokok bacang itu. Setelah agak lama maka dengan terkengkang-kengkang menuju ke rumah Bomoh Pian.
Bomoh Pian:Kau kata kau kebal Maniam? 
Maniam: Datuk bomoh..., itu tempat juga tarak kebal.. itu saya punya rahsia, jgn kasi tau lain worang. 
Bomoh Pian: Kau nak suruh aku buat apa ni?
Maniam: Datuk... saya mau itu sakit juga kasi hilang, tapi itu bengkak kasi tinggal..
Bomoh Pian: Hampeh kau Maniam.. aku potong habis baru kau tau!!!!

Sunday, April 7, 2013

Catatan Perjalanan Seminggu ..

8.54 malam.. baru berkesempatan menjenguk kembali blog picisan yang aku sendiri kadang-kadang lupa namanya, Merantai Awan kah atau Merantai Angin... Perjalanan dari Kajang tengah hari tadi aku tidak singgah ke mana-mana, sebaliknya terus ke rumah kerana aku menjangka bahawa zohor masih ada apabila aku sampai di rumah. Tepat jangkaanku, aku sampai pukul 3.00 petang. Selesai sembahyang isteriku meminta izin menghantar anak sulung kami ke Sungkai. Kebiasaannya anak-anakku menaiki keretapi ETS untuk kembali ke Kuala Lumpur atau Syah Alam.

Sepanjang minggu ini aku tak lekat di rumah. Pada 2-4-2013 hingga 4-4-2013 aku diminta menggantikan Penolong Kanan I ke Kursus Peningkatan Profesionalisme Penolong-penolong Kanan Negeri Perak di Teluk Nipah, Pulau Pangkor. Bunyinya agak hebat.. tetapi sebenarnya dikhaskan untuk Penolong Kanan dari sekolah-sekolah berprestasi rendah. Tak apalah itulah namanya cabaran bagi guru-guru di sekolahku dan cabaran untuk aku sendiri. Bila ditanya aku PK1 sekolah mana?? Aku hanya jawab.. saya hanya pengganti.
(Tapi aku geram juga, ada dua tiga orang PK1 yang nampak senior, kurang menghormati majlis; lebih banyak berbual sesama sendiri berbanding mendengar isi kursus yang disampaikan, mengapa?? )

Dari 5-4-2013 hingga 7-4-2013, aku terlibat lagi dalam Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru-Guru (STPM) anjuran Majlis Peperiksaan Malaysia di Residence Hotel, Uniten, Kajang. Melilau aku mencari hotel tersebut.. sedangkan 13 tahun dahulu kawasan ini menjadi laluan biasa bagiku ketika mengikuti pengajian jarak jauh di UPM. Biasa dalam erti kata mencari gerai-gerai sate Kajang yang sedap..

Sebagai penjawat awam.. ikut sajalah. Berfikiran terbuka dalam meningkatkan pengetahuan diri .. bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk anak-anak didik yang dahagakan ilmu di sekolah. Bila dah berjumpa sahabat-sahabat peserta dari seluruh negara, banyak percambahan fikiran, banyak pandangan-pandangan baru dan juga perkongsian pengalaman.

Oh ye... untuk seminggu ini ( 1-4-2013 hingga 7-4-2013 ) aku tiada peluang bercuti di hujung minggu!


Thursday, March 7, 2013

Mengibas Sawang dan Debu

Hari ini 7 Mac 2013.. lama sungguh aku tak menjenguk blog Menggapai Awan Merantai Angin ini, benar-benar "berangin" rupanya; ada tapi tak nampak.  Macam blog ini jugalah, ada tapi seperti tak bertuan. Hari ini aku terpanggil menjenguk sekejap.. alahai, bersawang dan berdebu rupanya. Tak apalah, hari ini aku berkesempatan mengibas-ngibas sawang dan debu yang bertapuk-tapuk itu ..

Isu-isu di bahagian suku pertama tahun 2013 ini tentulah berkisar pada pilihanraya (yg entah bila?). Tengah sedap bercakap-cakap tentang pilihanraya, tup-tup berlaku pula pencerobohan orang-orang Kesultanan Sulu ke Lahad Datu, Sabah. Dulu masa nak pilihanraya 2004, terjadi kes Jenalik. Hmmmm kebetulan? Entahlah.

Apapun kita mengharapkan kesejahteraan untuk semua rakyat kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja..