Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Sunday, August 11, 2013

Masih Kuingat Lagi..

Hari Raya Aidil Fitri 1434H/2013M sudah masuk hari keempat. Seperti biasa, hari raya, orang Melayu menyambutnya lebih daripada sehari, malah menjangkau sebulan. Entah apa nasib tahun ini, aku tak nampak muka sahabat-sahabat lama sekampung. Mungkin mereka menyambut hari raya  di kampung isteri masing-masing agaknya.

Rumah tua di kampung sudah tidak berpenghuni selepas kematian emak tiga tahun lalu, namun pada pagi hari raya selepas sembahyang sunat Aidil Fitri tetap aku, isteri dan anak-anak ke situ; kerana kebiasaannya adikku masih sanggup meninggalkan rumahnya sendiri untuk berhari raya di rumah tua itu. Rumah tua itulah pengikat yang masih utuh dalam mengeratkan hubungan kami lima beradik ini.

Petang Rabu semalam aku ke Jalan Paku, Bidor, ke rumah emak saudaraku yang sudah sangat uzur, (kedua-duanya uzur, rumah dan emak saudaraku itu). Setelah agak penat duduk, aku keluar merayau-rayau sekitar halaman rumah yang sudah tidak terurus. Empat puluh tahun dulu aku bermandi peluh berlari di halaman ini bersama kawan-kawan, tersadung akar, jatuh, tersadung kayu jatuh lagi. Namun semuanya suda tak ada. Pokok getah, durian, rambai, manggis, duku sebatang pun tak ada lagi, semuanya habis ditebang oleh sepupuku. Aku malas berbalah walaupun habis segala nilai sentimental aku bersama pokok-pokok itu hilang sekelip mata. Jika opah masih hidup tentu dia akan meraung..!! Apapun, harta dunia, bagaimana sayang sekalipun, apabila kita mati, semuanya akan ditinggalkan.

Kemudian aku memanggil anak bongsuku. Aku menunjukkan satu "permainan" yang menyeronokkan kepadanya, yang aku dan kawan-kawan gemar melakukannya semasa kecil dahulu. Ambil batang bunga rumput, masukkan ke dalam lubang kecil sarang semut api di tanah. Bila rumput itu bergoyang hujungnya, tarik keluar batang rumput itu, pasti ada semut api akan di tarik keluar. Selepas itu aku membiarkan anakku "memancing" sendiri semut api itu.

Aku memandang ke satu sudut di halaman yang sedikit bersemak itu, di mana puluhan tahun lalu ada sebatang pokok jambu mawar di situ. Buah jambu mawar bentuknya sedikit bulat, berwarna hijau ketika muda dan berwarna kuning jika masak, baunya harum, rasanya manis. Itulah satu-satunya pokok jambu mawar di kampung itu, kini habis pupus. Berhampiran pokok jambu mawar, ada sebatang pokok rokam. Pokok rokam berduri tajam, buahnya bulat sebesar ibu jari, apabila masak ranum berwarna merah hitam. Rasanya kelat-kelat manis. Pun sudah tiada lagi.

Yang tetap ada, tak berubah, hanyalah perkuburan Cina yang terletak betul-betul di seberang jalan; yang  pernah menjadi "medan pertempuran" aku dan kawan-kawan dalam adegan main perang-perang ala British lawan German. Di kawasan perkuburan itu juga melastik burung, main layang-layang dan kadang-kadang menjadi tempat berkelah... Bagi kami ketika itu, perkuburan Cina bukanlah tempat yang menakutkan. Seperkara yang sudah tiada lagi di perkuburan Cina itu ialah kelip-kelip. Ke mana serangga itu ghaib, entahlah. Ketika aku kecil ada dereran pokok balik angin di pinggir perkuburan Cina itu yang menjadi tempat ribuan kelip-kelip berkumpul. Apabila ada kelip-kelip tersesat masuk ke rumah, opah akan melarang kami mengganggunya dengan menakut-nakutkan kami;  "Kelip-kelip berasal daripada kuku orang-orang Cina yang ditanam di perkuburan itu", kata opah.

Sesi aku mengenang kembali sesuatu yang pernah aku lalui di Kampung Jalan Paku, Bidor terpaksa aku tamatkan, apabila isteriku mengajakku pulang kerana waktu asar sudah lama masuk.

2 comments:

  1. pokok pulasan kat dopan beranda tu..pokok sentul/larah kat belakang rumah hehehe..mesin gotah kat belakang tompek parking vespa pakcik lan

    ReplyDelete