Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Sunday, August 11, 2013

Penilik Nasib, Panama dan Ah Pok: Satu Catatan "Sejarah" Yang Hilang

I
Puluhan tahun dahulu, jika kita ke pekan Bidor (juga pekan-pekan yang lain) dapat kita temui  orang India yang menjalankan kegiatan menilik nasib. Mereka mendakwa mahir dalam meramalkan masa depan seseorang berdasarkan retak-retak di tapak tangan. Kadang-kadang dia akan menceritakan kisah-kisah lampau orang yang ingin mengetahui nasib masa depannya. Betul tidaknya tidaklah aku dapat pastikan.

 Aku lebih tertarik dengan peramal nasib yang menggunakan burung. Dia akan membawa sebuah sangkar kecil yang terdapat seekor burung di dalamnya. Biasanya burung dari spesis bayan. Buku-buku kecil yang siap tertulis nasib seseorang yang begini begitu, akan dibariskan di hadapan burung itu. Apabila dikeluarkan dari sangkarnya, burung itu akan mengambil mana-mana satu dari buku-buku itu. Maka tuan punya burung pun akan membacakan nasib orang yang ingin mengetahui untung nasibnya  itu. Mungkin dua puluh sen sekali menilik nasib agak mahal, tidaklah orang yang sama ingin nasibnya ditilik dua tiga kali oleh burung bayan itu. Jika tidak tentulah dia akan menerima perkhabaran nasib dirinya yang berbeza-beza dua tiga kali. Apapun perbuatan ini merupakan satu dosa besar di sisi agama Islam!
Bayan sedang menentukan apakah nasib anda di masa depan.
II
Ketika kecil dahulu aku mengenali seorang India yang bermuka agak bengis yang mendiami rumah di tepi Sungai Bidor di kampungku. Walaupun bermuka bengis dia tidak pernah mengganggu sesiapa. Kami memanggilnya sebagai Panama, bininya pun kami panggil Panama, siapa Panama yang sebenar, entahlah. Panama memelihara tiga empat ekor lembu. Tetapi pekerjaan utamanya ialah sebagai pemanjat kelapa, sama ada untuk memetik buah kelapa atau menyadap nira kelapa untuk dibuat todi (tuak). Dengan hanya berselampit (bercawat) kain pelikat lusuhnya, Panama mempunyai kemahiran yang tinggi dalam melaksanakan tugasnya memetik kelapa atau menyadap nira kelapa. Di akhir-akhir hayatnya Panama tewas jua oleh ketinggian sebatang pokok kelapa berhampiran Sekolah Kebangsaan Bidor (kini Kompleks Perumahan Guru). Dia terjatuh tetapi tidak mati serta merta. Lama juga dia sakit sebelum mati dan dibakar di perkuburan Hindu, Bidor.
Gambar hiasan ( Ini di Kerala, India )

III (15SX)
"Sudah masak ka, Ah Pok??"
"Mulum", jawabnya.
Itu adalah diolog kanak-kanak sebaya denganku bersama dengan seorang Cina tua pembeli botol di kampungku di tahun-tahun 1960-an. Ah Pok mengalami penyakit hernia, buah zakarnya yang sebesar tin susu bayi 1kg itu. Hernia dikenali juga sebagai burut. Ah Pok akan mengayuh basikal roda tiganya dengan berseluar pendek. Kami selalu mengejarnya dengan gembira.. hanya hendak melihat buah si Ah Pok yang "mulum masak" itu. Ah Pok tak kisah pun, dia akan ketawa mengekeh-ngekeh. Tiga biji botol nilainya sekupang (10 sen). Kalau kurang daripada tiga, Ah Pok akan membayar dengan gula-gula bulat yang manis sahaja, satu atau dua biji mengikut bilangan botol yang ada.
Hernia (bukanlah Si Ah Pok)

No comments:

Post a Comment