Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Friday, June 7, 2013

Pemenggal Kepala

Pada petang 06/06/2013 terjadi runtuhan di sebahagian jambatan kedua yang sedang dibina yang menghubungkan tanah besar dengan Pulau Pinang, entah apa sebabnya tentulah akan dikaji dan disiasat oleh pihak-pihak yang berkenaan. Yang runtuh tentu boleh dibina kembali, namun nyawa yang terbang, tentunya akan ditangisi oleh kaum keluarga yang terlibat. Tragis sekali cara kematian yang menimpa.

Teringat ketika usia aku dalam lingkungan 9 atau 10 tahun, jambatan kayu yang merintangi Sungai Bidor sedang diganti dengan jambatan konkrit. Selama pembinaanya berbulan-bulan itu, aku dan rakan-rakan sebaya tidak berani keluar ke mana-mana sembarangan kerana dimomokkan bahawa si pemenggal kepala sedang merayau-rayau mencari seberapa banyak kepala manusia untuk diletakkan di bawah tiang yang mendokong binaan jambatan supaya binaan jambatan itu kukuh teguh tanpa sebarang kecacatan. Macam-macam cerita tentang si pemenggal kepala disampaikan kepada kami.. aduh takutnya ketika itu. Senang sungguh orang tua-tua mencari jalan untuk mengawal pergerakan kanak-kanak yang tengah "membuas" dengan menambah-nambah cerita tentang si pemenggal kepala.

Asal nampak sahaja orang Sikh atau India membawa sabit dan guni, nescaya senyap-sunyilah kanak-kanak berlindung di dalam rumah. Sedangkan orang Sikh atau India itu hanyalah hendak memotong rumput untuk makanan lembu atau kambing peliharaan mereka.

Ketika itu ada juga orang India yang menjalankan perkhidmatan "tajam batu", iaitu mengambil upah menajam batu giling atau lesung batu. Sebenarnya batu giling atau lesung batu itu akan dipahat perlahan-lahan untuk menimbulkan kesan kasar pada permukaannya. Kesan kasar itu akan memudahkan cili atau bawang hancur apabila digiling atau ditumbuk. Apabila kelihatan sahaja orang India penajam batu itu, apa lagi, halaman yang tadinya penuh dengan kanak-kanak menjadi senyap sunyi..

Terpaksalah seketika kami melupakan kegiatan mandi sungai, main layang-layang, memancing, sebaliknya hanya berlegar di halaman-halaman rumah sahaja. Namun untuk ke sekolah tiada pulak di pesan tentang pemenggal kepala itu..

Masa terus berputar, zaman pun berganti, kisah si pemenggal kepala untuk pembinaan jambatan pun sudah tidak lagi dimomokkan kepada anak-anak generasi baru. Mungkin jika ditakutkan dengan si pemenggal kepala, mereka akan tertawa berguling-guling... malulah kita!