Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, February 14, 2011

Siapa menebas, siapa menuai, siapa mengaut???

Sekolah yang dapat mencatatkan kelulusan cemerlang, pihak kerajaan akan memberi imbuhan kepada guru besar/pengetua sekian banyak, kepada guru sekian banyak.

Bunyinya sedap didengar, baunya sedap dihidu, awas jika dimakan belum tentu enak rasanya. Boleh jadi muntah, boleh jadi pening, boleh jadi loya, boleh jadi macam-macam.

Saya cikgu yang bodoh bingai ini, tidaklah faham sebenarnya apakah kriteria penerimaan imbuhan/intensif yang dimaksudkan. Seorang guru besar pencen, mengatakan kepada saya, perkara di atas jika tidak diperhalusi, akan menimbulkan rasa tidak puas hati yang amat sangat di pihak guru.

Katakan Sekolah Menengah ABC mencatakan keputusan cemerlang dalam PMR. Pengetua tersenyum lebar kerana dialah yang akan menerima imbuhan terbesar (dari segi sumbangan P&P secara langsung mungkin tiada), diikuti oleh guru. Persoalannya guru yang mana? Jika guru Tingkatan Tiga sahaja yang menerima imbuhan, apakah guru Tingkatan Satu dan Dua tidak menyumbang kepada kejayaan pelajar dalam peperiksaan PMR tersebut? Jika dalam Peperiksaan SPM pula, jika imbuhan diberi kepad guru Tingkatan Lima, apa kata guru Tingkatan Empat?

Jadi jika hanya gula-gula yang ditaburkan baik tak usah berjanji..

Santai..

Pada suatu hari sebuah lori yang membawa seekor kuda lumba terbalik menyebabkan pemandu dan kuda lumba itu masing-masing patah kaki. Orang ramai telah membantu meletakkan pemandu dan kuda itu ke tepi jalan sementara menunggu pihak berkuasa tiba.

Tidak berapa lama selepas itu seorang anggota polis tiba di tempat kejadian. Beliau memeriksa kuda itu dan setelah mendapati kaki kuda itu patah, beliau tanpa berlengah, mengeluarkan pistolnya menembak mati kuda itu. Tindakan anggota polis itu amat mengejutkan pemandu itu.

Ketika pegawai polis itu menghampiri untuk memeriksa keadaan pemandu itu, terus sahaja pemandu itu memberitahu bahawa dirinya selamat tanpa apa-apa kecederaan. Dia takut sekiranya anggota polis itu mendapati kakinya patah, dia akan menerima nasib yang sama seperti kuda yang malang itu.

( Pada kebiasaannya kuda lumba yang patah kaki akan ditembak kerana sudah tidak lagi dapat digunakan untuk berlumba _ kejamnya)

Thursday, February 10, 2011

Ucapan Menteri Pelajaran Malaysia

Tarikh : Isnin, 10.2.2010
Masa : 9.00 pagi
Tempat:(Lokasi yang sesuai di SMK Sungkai, di kantin)
Keperluan : TV (paling besar yang ada kat sekolah 21 inci)
Prasyarat : Wajib tonton
Audien : 83 Guru / 700 Murid ..

Suasana sebenar : Sedang ucapan secara langsung bapak Menteri, pelajar yang berkumpul di kantin pun "berucaplah" di depan dan di belakang. Bapak Menteri yang sedang berucap di TV, buat tak tahu sahaja, meneruskan ucapannya yang bersemangat itu (dari jauh nampak begitulah). Sudah pun di kantin, sebahagian guru pun turut "berucap" sambil minum kopi, Milo, air suam dsbnya. Sebahagian lagi di tempat letak kereta berhampiran kantin.. pun "berucap" juga .. kereta itu begini, kereta ini begitu. Lalu habislah 40 minit begitu.

Penilaian:
Arahan supaya "tengok" TV, pukul 9.00 pagi dilaksanakan dengan jayanya.
Objektif "tengok" TV tercapai 95.5555 %.
Kesan serta merta daripada ucapan: NIL
Kesan jangka panjang daripada ucapan : NIL
Itu : NIL
Ini: NIL
Begini: NIL
Begitu: NIL
FAEDAH langsung: NIL
NIL, NIL, NIl..
hmmmmmmm

Kata-kata hikmat hari ini (tiada kena mengena dengan peristiwa di atas):
BODOH ORANG CERDIK LEBIH TERUK DARIPADA BODOH ORANG YANG BODOH..

demikianlah aku berperi....

Tuesday, February 8, 2011

Mengapa Dada Harus Berdebar?

Alkisah, balik-balik hal tempat kerja.. balik-balik hal tempat kerja.. Adapun kerana 1/3 hari di habiskan di situ setiap hari kecuali hari cuti adanya. Pun begitu sebagai guru/cikgu, tatkala di rumah 1/3 masanya, fikiran melayang ke tempat kerja - sekolah, kelas, padang, murid, teman sejawatan, pentadbir... Begitulah keadaannya setiap hari.

Sebermula seminggu sebelum sekolah bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina, dikhabarkan orang akan kehadiran Betara Pengarah Pelajaran Negeri bersama 80 pengiringnya yang terdiri daripada indera dan dewa akan turun ke Batang Padang pada 7 Februari 2011 untuk pelbagai tujuan termasuklah pemantauan. Kehadiran mereka ke SMK Sungkai sudahlah barang tentunya kerana mereka akan dihidangkan makan tengah hari di dewan makan asrama. Begitulah cerita yang disampaikan oleh yang empunya berita.

Arakian seperti cacing kepanasanlah layaknya segala yang ada di sekolah ini. Maka, selagi ada yang boleh dicat, dicat, selagi ada yang boleh disapu, di"jilat" biar licin, biar bersih, dulu yang tak ada tiba-tiba ada, dulu yang tak cantik tiba-tiba cantik, Dulu yang tak wangi, sudah wangi. Dulu dikhabarkan tiadalah wang untuk semua itu, tetapi sebaik mendengar berita itu, ada pula wang itu. Demikianlah adanya.

Hatta, tarikh 7.2.2011 pun tibalah. Maka Betara Pengetua amatlah gusarnya menanti ketibaan Betara Pengarah bersama para indera dan dewanya. Adapun para guru turut berasa gerun. Kadangkala Betara Pengetua turut mengejari mereka supaya segera masuk ke kelas sebelum waktunya tiba.

Setelah matahari sudah terik memancar ke lubang telinga, kelihatanlah kenderaan milik indera dan dewa masuk berpusu-pusu ke kawasan sekolah. Tiadalah mereka itu berhenti kecuali setelah mereka itu sampai ke dewan makan asrama itu. Maka habis segala guru menjenguk-jenguk melalui tingkap kaca yang berdebu-debu di bilik guru untuk melihat-lihat gerangan para dewa dan indera berserta kelengkapan mereka itu.

Adapun ada seorang dewa dan seorang indera biasa itu datanglah kepada seorang guru melihat-lihat guru itu mengajar pelajarnya mengira dan menghitung. Yang seorang lagi itu pergilah membelek-belek fail-fail. Mencari salah, maka dapatlah yang salah..yang betulpun tiadalah dipuji, tetapi yang salah ditegur.. Hanya itulah kerja yang berdua itu... Itupun tiadalah lama mereka itu membuat kerja itu, kerana terlalu laparnya perut mereka itu. Tambahan pula angin haruman durian yang sedang dikupas tidalah dapat mereka menahan-nahannya lagi. Seketika itu keluarlah mereka itu ke dewan makan.

Adapun Betara Pengarah dan para indera serta dewa itu pun makanlah hidangan. Setelah tembolok mereka itu diisi maka berhamburanlah mereka keluar meninggalkan dewan makan pergi ke tempat tujuan mereka yang lain..

Tiadalah Betara Pengarah itu menjenguk-jenguk lagi mukanya setelah kenyang. Betara Pengetua dan para guru pun legalah daripada teruknya "tekanan" akibat berita "Betara Pengarah" yang dikenali amat tegas itu hendak datang melihat-lihat itu..

Fakir yang mencoret ini pula seperti selalunyalah ia itu, tiadalah ia gusar kerana tiadalah ia yakin Betara Pengarah itu punya banyak masa hendak melihat-lihat itu dan ini di sekolah ini. Begitulah adanya.

Thursday, February 3, 2011

Bulan Penuh Air Pasang, Bulan Sabit Air Surut...Yang Tersirat..

Seorang ibu memasak beberapa keping lempeng (anak-anak zaman sekarang tidak kenal apa itu lempeng)untuk dimakan bersama kuah (bubur) durian. Dua tiga keping daripadanya hendak disedekahkan kepada jiran yang berhampiran. Setelah diletakkan di pinggan, ibu itu mencedok pula kuah durian ke dalam sebuah mangkuk. Kemudian, anak lelakinya disuruh menghantarkan makanan itu ke rumah jiran yang berkenaan. Bukan itu sahaja, anak itu diminta menyampaikan pesanan kepada jiran tersebut, yang berbunyi "bulan penuh, air pasang".

Pergilah si anak menghantar lempeng dan kuah durian itu ke rumah jiran yang dimaksudkan dan disampaikannya pesanan ibunya. Setelah menerima makanan itu, jiran itu meminta pula si anak menyampaikan pesanannya untuk di sampaikan kepada ibu si anak itu. Pesanan itu berbunyi, "bulan sabit, air surut".

Di rumah, si anak itu pun menyampaikan pesanan jirannya itu. Sebaik sahaja menerima pesanan si jiran, si ibu itu pun memarahi anaknya kerana dia tahu anaknya itu tidak amanah dalam melaksanakan tugas yang diberikan.

("Bulan penuh, air pasang" : si ibu ingin memberitahu bahawa ketika di hantar, lempeng berada dalam keadaan baik, dan tidak terluak, manakala kuahnya diisi penuh mangkuk.

"Bulan sabit, air surut" : bermaksud lempeng sudah pun terluak dan kuahnya sudah berkurangan).