Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Saturday, December 31, 2011

Selamat Datang Tahun 2012 Masihi ..

Hari-hari yang kita tempuhi akan berlalu tak kembali. Hari-hari muka akan mendekat, tiba, dan jua berlalu. Hari hanyalah hari, sebagai tanda perjalanan waktu. Kita yang memberi makna kepadanya dengan pengisian-pengisian kehidupan masing-masing yang tersendiri.

Azam? Janganlah bercakap tentang azam kerana azam 30 tahun lalu pun masih tergantung-gantung tak kesampaian. Apa yang penting perjalanan hidup harus terisi dengan perkara-perkara yang memanfaatkan diri dan keluarga. Masa akan terus datang dan berlalu, dan diri akan semakin meniti ke satu tahap usia yang menambah. Semakin berlaku penambahan usia semakin mendekatkan kita ke ruangan 4 x 6 x 6.

Apapun selamat jalan jua kepada tahun 2011..

Wednesday, December 28, 2011

Takkan nak kata Yahudi lebih baik kot..?

Aku petik berita:
Ridzuan, seorang amil di Kulaijaya ditahan kerana melarikan wang kutipan zakat bulan Ogos lalu. Redzuan yang kemudiannya memulangkan wang tersebut telah dihukum empat tahun penjara dan tiga sebatan.
Satu ulasan lain: 
The Audit Department had confirmed that the RM63,650 in funds were used to pay lawyers in June 2010 to represent the trio over a case brought by Anwar Ibrahim at the Syariah Court.

However, the department states that MAIWP was reimbursed after the council obtained a RM700,000 grant the same month, as its general resources allocation from the government.

In view of the sentence on the former imam from Kulaijaya,  there should be no double standards in law enforcement.

Is there a difference between a normal person and a minister?
.
For us, the issue on whether the money was eventually returned does not arise.
The crux of the matter that needs to be answered is whether the funds can be used for personal use by government officials?

Satu pandangan berkaitan:
“There are no two states of Israel, just one state, there are no two kinds of citizens here. . . . All are equal in the eyes of the law.’’ Simon Peres

Pesananku:
Anak-anakku.. jika nanti kalian memegang kuasa, pikullah dengan penuh tanggungjawab .. letakkan segala sesuatu di tempat ia patut diletakkan. Jangan nanti kalian dilaknati.. semoga kalian menjadi manusia yang baik-baik..

Sunday, December 25, 2011

Kedai 1 Malaysia, Bidor, Perak

Lokasi: Arked Mara, Bidor, Perak
Tarikh buka : dah buka pun baru-baru ini.
Sambutan: Dari luar nampak ramai kat dalam (aku belum masuk lagi..)

Demi nak mewujudkan Kedai 1 Malaysia di Arked Mara, banyak kedai terpaksalah dikorbankan. Aku tak tahu di mana mereka berniaga kini. Dengar khabarnya, jika nak berniaga juga kena pindah tingkat atas yang terbiar, tersorok, muram, suram dan tak siapa nak panjat tangga curam tu. Aku pasti tiada siapa yang berani melaburkan modal mereka untuk berniaga di tingkat atas itu kerana sudah puluhan peniaga yang gulung tikar kat atas tu.

Aku menyokong penubuhan kedai 1 Malaysia itu, jika ia benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang berpendapatan rendah. Sayangnya, mereka yang merancang pembukaannya tidak mengkaji situasi dan kondisi arked Mara itu. Barangkali yang merancang susun aturnya bukan orang tempatan yang tentunya tidak menyedari suasana sekeliling. Kedudukan pintu kedai itu yang menghala ke jalan besar disangka akan menarik pembeli tetapi itulah satu hari nanti akan memalapkannya. Tidakkan mereka sedar bahawa semua kedai barang runcit di kawasan itu memindahkan pintu masuk mereka ke bahagian belakang kerana di bahagian hadapan tiada ruang untuk meletakkan kenderaan. Sementelahan pula pintu di bahagian belakang hampir sangat dengan pasar, bermaksud pelanggan tidak perlu berjalan jauh untuk membeli ikan, udang, sayur dan barang-barang runcit sepeti beras, gula dan lain-lain. Semuanya berhampiran. Tempat letak kenderaan pun banyak, merata-rata.

Dari pasar, jika seseorang hendak ke Kedai 1 Malaysia itu, dia terpaksa membuat pusingan yang agak jauh juga, jika berkereta atau bermotosikal bolehlah (tapi nak letak kenderaan kat mana?). Bagaimana pula dengan yang berbasikal atau yang berjalan? Jika purata harga barang kurang 10 sen sahaja lebih baik sahaja beli di kedai runcit yang berhampiran pasar. Sayang kedai 1 Malaysia yang bahagian belakangnya hanya 5 meter dari pasar tetapi untuk ke pintu masuknya kena bergerak lebih 200 M dari situ. Tiada pula dibina pintu masuk dari belakang.

Aku turut membilang.. ada 5 buah alat pendingin hawa yang besar-besar dan 5 buah juga penyedut haba .. boleh tahan juga bil elektriknya nanti. Tak apalah demi keselesaan pelanggan agaknya. Kedai Maniam tu tak ada kipas pun tetapi tak menang tangan "ane" tu melayan pelanggannya.

Sesuatu harus dilakukan untuk membetulkan keadaan sebelum terlambat..

Thursday, December 22, 2011

Transformasi Diri: Aku Yang Pelupa

Pagi semalam (21/12/2011), aku ke kebun durian lagi, bermotosikal. Kali ini pada perasaanku ada sesuatu yang ganjil, tetapi aku tak tahu apa. Namun kuteruskan juga perjalanan yang tak lebih lima enam minit itu. Melewati gerai jambu, balai polis, masjid, deretan kedai, pasar, kawasan perumahan, akhirnya aku sampai di pinggir kebun itu. Ketika hendak menanggalkan topi keledar, alamak.. apa pasal kosong sahaja? Rupa-rupanya aku terlupa pakai topi itu.. patutlah ada sesuatu yang tak kena sahaja pada perasaanku. Mujur tak kena tahan dan disaman polis, gerutu hati kecilku.

Setelah durian yang gugur kupungut, aku duduk seketika di tepi Sungai Bidor memikirkan langkah seterusnya. Aku tak berani hendak meneruskan perjalanan balik ikut pekan, nanti habis begitu sahaja duit bonus untuk membayar saman. Rupa-rupanya lesen, telefon pun semuanya tinggal. Apa sudah jadi diri aku ini.. aku menggerutu lagi, memarahi diri sendiri. Lupa dan lupa... Tiada siapa di situ untuk kupinta bantuan. Mahu tak mahu aku terpaksa menyeberangi sungai itu untuk sampai ke rumah pusaka ayah yang jaraknya lebih kurang 500 meter sahaja dari sebelah sini. Tak dalam pun , cuma agak sukar menggendong beg durian di bahu sambil mengharungi air sungai itu. Lebih kurang 15 minit aku sudah pun berada di rumah pusaka itu. Sambil berehat, aku melihat-lihat kalau-kalau ada kenalan atau orang yang bermotosikal yang lalu untukku tumpangi pulang ke rumahku yang jaraknya 1km; dalam kampung yang sama. Malas nak menunggu lama, kuragut sejambak buah rambutan yang rendah dan  lebat meluyut di tepi rumah pusaka itu, lalu berjalan menuju ke arah rumahku dalam keadaan kaki seluar yang basah dari pinggang ke bawah. Orang tengok macam aku sedang berjoging layaknya. Rambutan kukunyah juga sebiji demi sebiji.

Sampai di rumah, isteriku terkejut. Mana motosikal? Mengapa berjalan? Mengapa berbasah-basah? Mengapa tak telefon? Kejar dikerbau ke?

Alahai isteriku yang tercinta, tanyalah satu-satu, aku sedang mencungap-cungap ni, lama benar tak berjalan sebegitu jauhnya. Setelah diterangkan, isteriku menghantarku semula ke kebun, untuk mengambil semula motosikal yang kutinggalkan.Topi keledar kukepit sekali, takkan nak pakai dalam kereta kot..

Sejak akhir-akhir ni Yop (panggilan manja isteriku kepadaku) semakin menjadi pelupa, isteriku mula mengomel. Kunci kereta tinggal dalam kereta, kunci motor tinggal di motor, cermin mata letak di sini cari di sana, telefon tinggal, lesen tinggal. Tempoh hari basuh tangan dengan air kopi,  bla.. bla.. Aku diam sahaja kerana memang betul kata-katanya, aku semakin pelupa akhir-akhir ini. Satu transformasi.. Untuk membuatkan dia diam, aku berkata, demi Allah dengan awak saya tak pernah lupa walau sedetik pun..

Tuesday, December 20, 2011

"Menyain" opsyen SBPA

10.00 pagi, 20/12/2012 kebanyakan sekolah di Perak (negeri lain aku tak tahu), mengadakan acara "sain" ramai-ramai opsyen terima tidaknya Sistem Baru Perkhidmatan Awam, dan juga pilihan bersara paksa sehingga usia 60 tahun. Rata-rata guru-guru dan kakitangan sain terima SBPA (atau sudah ada suara negatif membunyikannya sebagai Skim Bodek Pegawai Atasan) tetapi berpilih-pilih untuk bersara 56, 58, atau 60 tahun. Aku pilih untuk kekal bersara di usia 58 tahun,  lantaklah apa pun pro-kontranya. Setelah semua urusan selesai guru-guru yang masih dalam mood bercuti pun bersurai.

Aku terus ke pejabat untuk menyelasaikan urusan berkaitan hal-ehwal Tingkatan Enam dan setelah menemui Pengetua untuk membincangkan beberapa perkara, aku pulang. Di rumah isteriku sedang masak.. acara kami ditunda ke sebelah petang ini.. katanya.. Hmmm .. aku cadang nak ke Ipoh petang ni.. batal.. Duit bonus kan dah masuk...

Thursday, December 15, 2011

Tarik Duit..

I
Kalau tak terkait dengan tahyul, bukan Melayu namanya. Sebut sahaja "ilmu" Melayu  terbayanglah berbagai-bagai istilah berkaitan yang digunakan seperti tuju-tuju, guna-guna, susuk, pengasih, pembenci, pengeras, jampi ketegur, penarik, ancak, jamu, dan entah apa lagi; semuanya dengan perantaraan bomoh atau dukun.

Semasa aku remaja aku juga pernah terlibat dengan kegiatan tahyul. Seingat aku ketika itu aku sedang belajar dalam Tingkatan Enam (1980). Aku dan rakan-rakan sebaya amat tertarik dengan idea tarik duit. Maklumlah anak-anak kampungan yang belum terbuka luas akal dan fikiran mudah sahaja terpengaruh dengan idea tarik duit ini yang dikemukakan oleh seorang pesara tentera. Kononnya dengan menyediakan peralatan-peralatan tertentu, melalui perantaraan orang yang pandai (bomoh le tu), duit itu akan datang melayang-layang. Tugas kita kutip sahaja, masukkan ke dalam guni. Guni? Banyak tu... Duit itu dikatakan diambil oleh "hamba" suruhan bomoh itu daripada orang yang tak bayar zakat dan daripada taukeh-taukeh yang kaya raya dengan menipu orang lain. Jadi duit itu jika kita dapat, tak salah, kata pesara tentera itu.

Beriya-iyalah kami yang bangang ni mencari peralatan yang diperlukan. Antaranya talam tembaga yang lama, penumbuk lesung batu yang patah atau batu giling patah, atau antan patah, tebu hitam, dan duit zaman Jepun. Selebihnya akan disediakan sendiri oleh pesara itu. Mudah tetapi susah hendak mendapatkannya. Senang dicari sukar didapati, begitulah, kecuali tebu hitam dan duit zaman Jepun. Benda patah-patah itu pula, bukan boleh dipatahkan dengan sengaja, mesti terpatah akibat digunakan. Namun berjaya juga kami menyediakan antan patah dan talam tembaga lama.

Pada hari yang ditetapkan, atas nasihat pesara itu, kami yang budak-budak ini tak perlulah ikut kerana banyak syarat dan pantang-larang yang perlu dipatuhi. Biar dia dan si bomoh sahaja yang pergi menarik duit itu, di bukit Cangkat Rembian dekat Tapah tengah malamnya nanti. Kami bersetuju dan harapan pun berbunga-bunga. Aku terbayangkan yang aku nanti memiliki Mitsubishi Tredia 1.4, kereta idamanku ketika itu.

Keesokannya dengan dada berdebar-debar kami ke rumah pesara tentera itu. Dia pun sudah bersedia menanti kedatangan kami. Tak boleh, katanya.. tak dapat. Perlu satu syarat lagi untuk dipenuhi jika hendakkan juga duit tarik itu. Apa syaratnya tambahan tu, bang? Aku bertanya dalam kehampaan.

Syaratnya ia perlukan salah seoarang daripada kita kena dikorbankan di bukit tu. 
Kalau begitu, tak dapat duit tu pun tak apalah bang.. kataku. Serentak itu, impian nak memiliki Mitsubishi Tredia hancur berkecai.

II
Kisah tarik duit ini memang hot juga pada awal-awal tahun 1980-an. Seorang teman yang lebih dewasa daripada aku pernah menceritakan pengalamannya menarik duit. Jika dia menipu, maka cerita yang kusampaikan ini juga menipu jugalah. Aku rasa dia bercakap benar. Biarlah kunamakan dia sebagai Z sahaja.

Dengan berbekalkan peralatan seperti keris lama, talam tembaga lama dan entah apa lagi yang lama, Z bersama dua orang lagi rakannya pergi  ke sebuah bukit di Pahang pada waktu tengah malam. Aku dah lupa nama tempat itu. Di sana telah ada seorang bomoh menanti. Setelah bomoh itu menyeru-nyeru sesuatu, tak semena-mena, duit turun macam hujan. Mereka pun memungut duit yang turun mencurah-curah itu sehingga penuh seguni. Gembira memang tak terkata. Selepas tiada lagi duit yang turun, mereka pun hendak pulang. Sebagai ganjaran, beratus-ratus ringgit diserahkan kepada bomoh itu. Dan wang ganjaran itu hendaklah bukan dari wang yang jatuh dari langit itu; kena dari wang kocek sendiri. Tak ada masalah, dah dapat seguni, apalah sangat wang di kocek itu.

Setelah wang disumbatkan ke bonet kereta, bomoh berpesan, isi minyak siap-siap di pekan berhampiran dan selepas itu balik terus, jangan singgah di mana-mana, jangan menoleh ke belakang dan jangan kentut. Dalam perjalanan, memang banyak dugaan kata Z. Biru mukanya menahan kentut yang asyik nak keluar sahaja. Yang seorang dah terkencing dalam kereta begitu sahaja, sebab tak boleh berhenti. Yang jadi driver asyik menguap-nguap. Hanya dia seorang yang tahu memandu. Pahang-Bidor pada waktu itu memang jauh. Lebuhraya pun belum wujud lagi.

Di pendekkan cerita, mereka sampailah ke Bidor dengan selamat pagi itu. Sampai di rumah, guni diturunkan. Bawa masuk ke dalam untuk dibuka, takkan nak diburaikan di tengah halaman wang yang sebegitu banyak.
Setelah ikatan dilurutkan, guni pun ditonggengkan.. berhamburanlah isinya keluar.. dan semuamya hanyalah daun-daun yang dah lunyai. Saling menyalahkanlah mereka, menuduh yang itu ada terkentut, dan yang ini menoleh ke belakang. Yang untung bomoh juga. Nak tuntut kembali duit, bomoh itu pun diperkenalkan oleh kawan atas kawan atas kawan..

III
Semasa aku  tahun 3  di Maktab Perguruan Bahasa, aku didatangi oleh seseorang dari Pahang. Setelah memperkenalkan dirinya, dia merayu-rayu supaya aku memberi sesuatu yang amat diperlukannya untuk menarik duit. Katanya benda itu ada padaku. Dia diberitahu dalam mimpi, aku ada benda itu, katanya. Aneh sekali. Apalah yang ada pada saya, aku bertegas. Tiada apa selain diriku yang ini. Merayu-rayu betul dia. Jika berjaya separuh akan diberikan kepadaku. Isy.. mengarutlah itu semua, bang. Permainan syaitan tu, syirik; kataku. Dia pulang kehampaan. Sebenarnya pada waktu itu aku ada menyimpan wang zaman Jepun yang mempunyai 5 sahaja nombor siri, bermakna antara wang kertas terawal dicetak oleh Jepun ketika menjajah Tanah Melayu (mungkin). Kertas hanyalah kertas, tidak lain daripada itu.

IV
Sebenarnya tiada rezeki yang mudah. Kita disuruh berusaha dan bekerja untuk mencari rezeki yang halal. Tarik duit hanya ilusi yang dilakukan si bomoh sahaja. Zaman sekarang melalui internet juga aktiviti tentang tarik duit ini sentiasa digembar gemburkan cuma kaedahnya sahaja yang berbeza.. Kalau Mamat Afrika, siap dengan black money lagi. Berhati-hatilah.






Wednesday, December 14, 2011

Aku Dikejar dan Aku Memecut..

Pagi tadi aku ke kebun lagi.. ada kenduri rupa-rupanya di kebun itu. Cucu-cicit, anak-pinak, ibu, bapak, datuk, nenek pelbagai saiz ada. Bukan orang, bukan bunian, tapi kerbau.. banyaknya.

Pukul 3.00 petang tadi, aku ke kebun lagi dengan harapan haiwan tu berehat dan tidur entah di mana-mana ceruk di belukar-belukar yang meluas di tepi Sungai Bidor dan Sungai Gedung itu.

Adalah lebih kurang lima minit aku tiba, tiba-tiba aku dikejar, dihambat.. Aduh, motosikal jauh pulak tu, namun berjaya juga kucekuh dengan termengah-mengah , sekali tendang hidup enjin;  tanpa menoleh lagi pemulas minyak aku perah habis-habisan. Sampai di persimpangan lampu isyarat.. alamak ai!! lampu kuning. Persetan biarpun apa warna sekalipun lampu itu aku mesti memecut terus. Aku memang amat terancam kali ini. Aku takkan sempat sampai ke rumah. Itu aku pasti. Masjid.. ya masjidlah satu-satunya yang terhampir. Motor kutongkatkan, turun sambil kumatikan enjin, kunci lantaklah tinggal, aku mesti selamatkan diri dahulu.

Pintu nombor tiga kuterjah.. dan selepas beberapa ketika, oh.. betapa leganya, terlepas daripada bala!! Namun ada pula ancaman baru, Cis.. apa pasal air paip tak keluar ni?? Aku membentak. Kenalah ambil air dari bilik sebelah. Mujur tak ada sesiapa di tandas masjid itu. Tak kisahlah aku dah selamat. Mungkin aku banyak sangat tibai rambutan dan manggis selepas makan tengah hari tadi. Itu sebabnya maka aku diburu. Hmm libang-libu dibuatnya.



Tuesday, December 13, 2011

Sudah 26 tahun ..


Dari subuh ke subuh, jam dinding ini jugalah yang disuluh setiap kali terjaga. Setiap kali bersiap-siap untuk ke sekolah, ke pasar, ke sana ke mari, mata pasti menjeling ke jam ini untuk mnegetahui waktu. Banyak sudah jasanya dalam membantu kami sekeluarga menguruskan masa dan menentukan waktu.

Sebenarnya jam dinding ini sudahpun berkhidmat untukku selama 26 tahun. Jam ini sebenarnya adalah hadiah daripada anak-anak muridku di Tingkatan 5E, SMK Dato' Permaisuri, Miri, Sarawak pada tahun 1985.Terima kasih kalian.








Meradang Dah Ni.. (Update)

Amd Dual Core 3600Mhz, dengan 2GB Ram, salah sebuah desktop yang anak-anak aku pakai asyik restart.. kejap-kejap restart. Desktop yang satu lagi tu Ok sahaja. Ini yang masing-masing naik angin satu badan. Ramai yang kata dan aku juga mengakuinya AMD sentiasa panas. Ke Ipohlah kami cari motherboard dan CPU baru. Ram pula bubuh 4GB. Aku mempunyai sedikit pengetahuan memasang desktop, jadi banyak dapat dijimat tu.

Kali ini ambil yang setara, pakai Intel Pentium pulak. Tapi masalah yang sama berlaku. Restart dan restart. Apa sudah jadi.. Duit terbang dah dekat RM 500 beli motherboard, CPU dan RAM baru. Aku naik hot betul, mahu rasanya kuhempaskan sahaja biar terbarai. Semua pemasangan OK. Apakah permasalahannya? BIOS, CMOS entah apa lagi semua jalan OK. Hard disk pun Ok juga. Aku tukar power supply baru kelmarin, selepas 1 jam dia buat balik.

Melampau ni. Tercabar betul aku. Habis dah ilmu komputer yang ada padaku kugunakan semuanya, tapi restart, dan restart lagi. Elok kejap tetiba saja restart lagi. Takkan nak bakar kemian kot?

Pukul 12.00 malam ini tadi aku ambil lagi satu langkah.. tukar casing. Mungkin suis pada casing terdahulu ada masalah kot. Casing yang baru dipasang inipun bukan casing baru, tapi dah lama terperuk kat setor tu. Dah berkarat kat belakangnya pun. Alhamdulillah, sejam sudah berlalu sistem nampak macam stabil sahaja, tapi tak berani nak puji lebih-lebih, kot-kot karang dia buat lagi.. Berdolah wahai anak-anakku..

Update :
Sejak 10.00 pagi tadi sampai 2.12 petang ni, sistem Ok sahaja .. stabil. Jadi masalahnya bukan pada CPU, RAM, atau hard disk .. tapi pada casing. Ini ilmu baru yang aku pelajari.

Update 2:
10.00 pagi  hingga 9.48 malam, belum dimatikan lagi, masih OK..


Saturday, December 10, 2011

Gerhana Bulan..

Tunggu punya tunggu, punya tunggu masih tak nampak apa. Hujan.. sudah tentu awan hitam menutupi langit.. Kuasa Allah.. gerhana kuasa Allah, hujan pun kuasa Allah.. sudah itu ketentuan-Nya. Kenalah tunggu gerhana bulan pada lain-lain kesempatan, jika panjang umur.. insya-Allah.

Kisah hari Sobtu ( Dalam Dialek Rawa)

Ari ko ari Sobtu. Macom biasolah cuti sekolah, kono pulak musim deruyen..ke kobunlah aku pagi-pagi ko. Macom biaso juolah ado kerobau garang duo ikuo. Dogil amek, indo dipodahnyo bergorak. Kulogake ompek bijik batu sebosar penumbok. Paden muko kauu, katoku.

Aku indo lamo di kobun, kono copek pulang, pasal ado jiren dokek rumah menikahke anaknyo ari ko. Singgahku ke rumah lamo di kampuong. Ala pak ai.. ado ruponyo kakak kupulang. Nak menengok-nengok kampuong katanyo. Maklumlah dio tingga di Johor. Elok amek lah ado kelien pulang kato ku, buah pun tongah ado. Mano-mano yang dapek ari ko kulotakke di topi pintu tu. Ambiklah kelien. Aku udah pueh katoku.

Mengadu kakakku, malam tadi pintu dopen dongan pintu dapuo rumah pusako diguncang urang. Ondaik, katoku, siapo tang kuak? Ontahlah kato kakakku. Siop menelefon urang tu, ado paip pocah kat dopen rumah, katonya. Aik.. mano urang tu dapek nombuo?
Cikgu Hasnah yo? Ado paip pocah, katonyo.
Terpikierlah kakakku takkan pukul satu pagi nak membolo paip kampuong yang pocah. Bilo dibuko paip dalam rumah elok yo ayer keluar. Mesti taktik suruh bukak pintu ..

Abang? katoku .. Hmmm berdongkuo indo soda dunio, kato kakakku.
Mengapo indo kelien menokan alarm kereto, sekurang-kurangnyo jago juolah urang keliling, katoku. Indo pulakku terpikier, kato kakakku.

Nombuo telefon tu 05-XXXXXXX. Iko mesti telefon publik, katoku. Urang Bidor bukan adik-beradik yang ado nomborku, tukang buek dapuo rumah ko dolu, kato kakak. Nantiku tanyo pulis, urang tu.

Terjumpolah aku pangkat bapak sedaroku dalam pulis di Bidor ko. Kutanyo urang tu.. konal ko? Urang tu tarak rekod, tapi kawen-kawennyo ado banyak rekod, kato bapak sedaroku. Hati-hatilah kelien katanyo layi.

** Aku bukan Rawa tulen. Ibuku Rawa dan ayahku Kedah tetapi kami berbahasa Rawa ketika berhubung sesama ahli keluarga.



Friday, December 9, 2011

Sungai Bidor dan Sungai Gedong

Aku ke kebun lagi menjengah durian. Seawal 7.30 pagi aku telah pun berada di luar kebun itu. Lucu juga melihat ada hamba Allah yang lari lintang pukang apabila ternampak kelibatku di kebun itu. Hmm, aku ingat aku sudah terlebih awal, rupa-rupanya ada orang lain yang lebih awal rupanya. Kerbau memang ada tetapi mungkin kerana aku sudah selalu ada di situ binatang itu buat tak kisah sahaja. Mungkin kerana bau badanku sudah dikenalinya atau sudah sama sahaja bau badanku macam bau mereka?

Bukan tentang durian atau kerbau yang ingin kukisahkan tetapi tentang Sungai Bidor dan Sungai Gedung. Di hujung kebun durian dan cempedak tinggalan ayah ini terletaknya kuala yang menemukan Sungai Gedung dengan Sungai Bidor. Di situlah penamat Sungai Gedung, kerana selepas itu sungai seterusnya di kenali dengan nama Sungai Bidor sahaja. Dan kebun itu terletak di tengah-tengah antara Sungai Bidor dan Sungai Gedung itulah. Orang tempatan lebih mengenali Sungai Gedung sebagai Sungai Gedang. Orang Rawa menyebutnya Sungai Godang (besar).

Air Sungai Gedung lebih jernih daripada air Sungai Bidor. Dari hulun, sungai ini merentasi kampung Petalin, Simpang Tiga, dan Kampung Padang sebelum bertemu dengan Sungai Bidor di pinggir Kampung Cegar. Sungai Bidor pula dari hulunya di gunung; bertemu entah berapa banyak anak sungai lagi, merentasi Kuala Gepai, Jalan Bruseh, pekan Bidor, Kampung Masjid, Kampung Cegar, Jeram Mengkuang dan seterusnya ke kualanya di Teluk Intan yang bertemu dengan Sungai Perak.


Semalam aku berdiri lama di tepi Sungai Bidor, mengenang kembali keseronokan mandi, berendam dan berkubang di dalamnya bersama rakan-rakan sebaya. Meriah sungguh sungai itu dahulu. Kaum ibu membasuh kain, kanak-kanak dan orang muda mandi sambil mengail atau menembak* ikan. Lelaki dewasa menerangkan pinggir sungai itu untuk berkebun jagung dan menanam sayur-sayuran. Dan kebun durian ayah itu asalnya adalah kebun jagung. Lamunanku terhenti apabila terdengar suara kanak-kanak bergelak ketawa di seberang sana Sungai Gedung.

Aku ke pinggir Sungai Gedung pula untuk melihat budak-budak itu mandi, seperti kami juga dulu. Segera aku teringat akan kawan-kawan yang suatu ketika dulu bermain-main di tepi sungai itu. Di sungai inilah aku, Umar, Zainal, Sahak, Komi, Azahari dan ramai lagi main perang tanah liat, menangkap anak ikan, mencari ketam batu, mengejar ular air dan sebagainya. Sesekali menunggu buaya di tempat yang biasa ia terlihat, namun tak pernahpun jumpa.

Sebelum pulang sengaja kubiarkan tiga empat biji durian tidak dipungut kerana aku tahu selepas bermain air perut akan lapar. Pasti ada budak-budak yang merayau ke pokok durian yang berhampiran.. tak apalah jika mereka makan sebiji dua. Macam juga kami dulu, apabila lapar, pucuk pokok jambu di tepi-tepi sungai itupun habis kami sapu. Bagi yang lebih berani, kebun sengkuang Cina yang berhampiran pun dikorek.

* Menembak ikan: Memanah ikan.





Wednesday, December 7, 2011

Bilik 4 Penjuru

Dalam bilik 4 penjuru 20X11 ini, aku menghabiskan masaku di pagi ini. Fail-fail bertingkat-tingkat namun tersusun kemas, bukan aku yang susun, barangkali PAR atau PRA di pejabat ini agaknya. Dua buah printer memenuhi 1/3 mejaku. Almari di belakangku juga kemas dengan deretan fail-fail panitia, dan fail-fail yang berkaitan dengan Tingkatan Enam. Sekali lagi bukan aku yang susun.. barangkali guru-guru Tingkatan Enam yang lain. Di atas mejaku ini ada satu surat daripada Jabatan.. hendakkan laporan Penyebaran Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru-guru Tingkatan 6. Katanya Penolong Kanan Tingkatan Enam telah diminta mengadakannya setelah menghadiri taklimat berkenaan pada bulan Julai yang lalu. Laporan mestilah mengikut format yang telah disediakan. Hairan juga, mengapa setelah lima bulan berlalu mengapa baharu dua tiga hari ini laporan diminta. Nakkan gambar bersekali dengan laporan. Mana aku nak "cekih" gambar-gambarnya. Tiada siapa yang ada menangkap gambar-gambar berkaitan jika pun kursus peringkat sekolah pernah diadakan oleh Unit Tingkatan Enam ini. Sebenarnya aku telah mengadakan taklimat tentangnya cuma laporan bertulisnya entah di mana aku cucukkan. Korek-korek fail, huh.. selamat, memang ada minit dan laporan yang aku pernah menyampaikan kepada guru-guru Tingkatan Enam. Pengetua pun turut ada ketika taklimat itu aku sampaikan. Masalahnya, kehadiran yang bertanda tangan juga perlu dihantar dalam bentuk di"scan". Itupun tiada dalam fail.. Hmmm.. itu senang, aku boleh buat lain... pandai-pandailah nak hidup. Semuanya sudah siap dan sebentar tadi aku dah e-mailkan kepada pegawai yang berkenaan di jabatan. Cuma gambar.. tak ada.. Aku malas hendak mem"photoshop" gambar-gambar yang tak ada jadi ada ... biarkanlah.

Tuesday, December 6, 2011

Berhadapan Kerbau Kaki Bengkak

Kalau diikutkan aku malas betul nak kebun memungut durian. Terpaksa menempuh semak-samun dan diguris sekali sekala pula oleh duri durian yang tajam itu. Bukankah mudah saja jika dibeli? Tetapi mengenangkan susah payah ayah menerangkan belukar, menyemai dan menjaga benih durian dan cempedak suapaya anak cucunya dapat makan; sebagai menghargai pengorbanan ayah, maka aku pergi juga. Lebih kurang pukul 10.00 pagi tadi aku pergi lagi ke kebun. Seperti biasa, golok dan parang panjang menjadi peneman. Mujur kawanan kerbau Ram Singh sudah pun keluar dari kebun itu menuju ke seberang sana Sungai Bidor. Bau durian memang agak kuat, menandakan banyak yang gugur sepanjang malam dan pagi ini. Sebaik melintasi pohon cempedak, aku terkejut kerana ada seekor kerbau di sebaliknya. Alamak.. tenungan matanya tajam sungguh.. aku bergerak ke satu pohon cempedak yang lain.. jika ia meluru datang aku rasa aku boleh panjat pokok cempedak yang rendah itu. Tetapi kerbau itu buat tak kisah dengan kehadiranku dan meneruskan ragutannya. Husy!Husy! aku menghalau dengan mengangkat sebatang kayu panjang sedepa. Usahkan bergerak, memandang pun tidak. Aku mesti menempuh denai di sebelah kerbau itu untuk mengambil durian yang gugur, tapi tanduk yang tajam itu amat menakutkan aku. Tak dapat aku bayangkan bagaimana keadaan ayah dulu ketika diserang oleh kerbau dari kawanan yang sama. Walaupun cedera, ayah dapat diselamatkan. Dup! batu yang kubaling hinggap di belakangnya. Dia berundur setapak. Sebiji lagi, setapak lagi. Eh.. samseng betul dia. Aku menghampiri lagi, baru dia bergerak jauh sedikit dari denai itu, membolehkan aku lalu.. Terima kasih kasih, kataku. Sedang aku memungut durian, kerbau itu berada lebih kurang 10 meter di hadapanku. Entah mengapa perasaan takutku semakin berkurangan. Tetapi itu tahap ketahanan psikologiku ketika berhadapan dengan haiwan itu , jika dia bergerak ke hadapan sedikit lagi aku akan "cau".. Setelah mengumpul durian, satu hal pula nak mengendongnya ke kereta yang berada jauh di tepi jalan. Kerbau itu terus meragut .. dan aku berjalan berundur sambil mataku mengarah ke kerbau itu. Baru aku perasan, kaki depannya besar sebelah.. oh.. kau cedera ya..patutlah tak mahu bergerak jauh... Tak apalah kataku, tugasku dah selesai.. kau ragut rumput satu kebun ni pun tak apa.. sekurang-kurangnya semak-samun tu taklah menjadi hutan rimba nanti.. Sampai di persimpangan, aku membelok masuk ke kampung lama untuk meninjau-ninjau rumah pusaka yang sudah kurang terurus itu. Rumput baharu sahaja kering, mungkin diracun oleh adik iparku baru-baru ini. Manggis, rambutan dan rambai sudah boleh dipetik. Tapi jika aku ambil banyak-banyak pun siapa yang hendak menghabiskannya. Aku biarkan sahaja sebahagiannya kerana aku pasti ramai budak-budak yang akan mengambilnya dan aku menghalalkannya.. Sedekah buat ayah yang menanamnya..

Monday, December 5, 2011

UFO .. Fenomena Yang Tak Dapat Dijelaskan..

Malam tadi antara pukul 8.00 malam - 10.00 malam tak ada pun UFO di mana-mana ruang angkasa di Bidor ni. Cuma aku menonton di  Astro tentang kupasan mengenai penampakan UFO yang tak dapat dijelaskan secara konkrit oleh mana-mana pihak di Amerika dan di Eropah sekalipun. Mereka mengupas dengan begitu menarik dan mengemukakan bukti-bukti saintifik seperti menggunakan radar, kamera, video dan sebagainya. Itu di barat.

Jangan marah dan jangan berkecil hati kepada UFO yang sangat jarang melawat negara kita; hanya sesekali sahaja dilaporkan. Sebabnya, dalam kalangan orang Melayu sudah banyak "UFO"nya sendiri. Siap dengan namanya sekali.. penanggal, langsuir, tanglung, dan entah apa lagi... Dikatakan sifat makluk itu diketahui cuma rupa sebenarnya tak siapa yang tahu...

Pengalaman aku bertemu "UFO" Tanah Melayu
I
Semasa menemani emak "motong" getah di Jalan Paku Bidor dalam tahun-tahun 70-an dahulu, aku dan emak nampak bebola api sebesar bola sepak di pucuk pokok getah yang berhampiran tempat kami berdiri. Benda itu terawang-awang begitu perlahan lebih 5 minit di antara ranting-ranting pokok getah itu. Aku diam, emak pun diam sambil terus menoreh. Akhirnya benda itu ghaib begitu sahaja.
"Apa tu, mak" ?
"Hmhhh, tanglung kata emak."
"Tanglung Cina tu ye"? Emak diam sahaja.

II
Masih dalam tahun 1970-an.. Pada suatu malam, aku dan Zaini kawanku di Jalan Paku Bidor pergi menonton wayang Jabatan Penerangan (dikenali sebagai wayang propaganda) di kuarters JKR di Kampung Jalan Bruseh atau di kenali sebagai kawasan "water supply". Setelah wayang selesai kami yang masing-masing berusia 11 dan 12 tahun, pulang ke Jalan Paku. Sebaik tiba di persimpangan hendak masuk ke rumah opah, satu cahaya api sebesar bola sepak juga melayang laju di hadapan kami dalam bentuk pusaran. Benda itu hinggap di pohon cempedak dan sebelum sempat melastiknya, benda itu ghaib. Aku cukup gentar tetapi Zaini selamba sahaja.. memang dia dikenali dengan sifat beraninya. Aku tetap membuka langkah seribu.

III
Masih di Jalan Paku. Pada suatu pagi, lebih kurang pukul 4.00 pagi opah hendak buang air lalu mengejutkan aku untuk menemaninya.  Pada masa itu ibu saudaraku sudah pun ke kebun di belakang rumah untuk menyuluh yang bermaksud menoreh pada awal-awal lagi kerana dikatakan getah akan lebih banyak keluar waktu itu. Tiba-tiba ada suara mengilai begitu kuat di atas pokok durian dekat rumah opah.. Dari satu pokok ke satu pokok dia mengilai.
 "Apa tu, opah"?
"Kucing bergaduh", kata opah sambil menarik tanganku masuk ke rumah segera.
Ternyata opah hendak menenteramkan perasaan aku dan perasaanynya sendiri. Mana mungkin kucing bergaduh mengeluarkan bunyi mengilai...??

IV
Pada malam hari raya yang ke-4, kami penduduk-penduduk Lorong 7, Taman Bidor Jaya mengunjungi rumah-rumah jiran. Tahunnya tahun 2000 jika aku tak silap. Hanya lorong itu sahaja yang semua penduduknya beragama Islam. Setelah selesai menziarahi rumah yang terakhir, kami hendak balik. Tetapi ketika itu ada satu bola api sebesar bola tenis melayang-layang dan meliuk-liuk di udara menuju dari selatan ke utara. Cara terbangnya tidak laju lebih kurang selaju Pak Mat bawak motor Honda C70nya sahaja. Semua mata tertumpu ke arah benda itu. Ternyata ia terpaksa berdepan dengan rintangan angin kerana keadaannya yang terbang terhoyong-hayang itu. Helikopter atau kapal terbang ada bunyinya, ini senyap sahaja, dan ia tidak ghaib. Jauh benar hendak perginya agaknya. Menjawab soalan anak sulungku, "Itu orang dari Pahang nak balik ke Kedah naik harimau belaannya". Isteriku hanya mencebik bibirnya sambil tersenyum..

V
Apa bendanya ni??
Ini adalah gambar yang di"snap" oleh oleh anakku Abdul Qayyum pada 8.30pm, 14.3.2004 di pantai Punggai, Johor menggunakan Camera Canon Powershot A100 1.2MP. (Masa tu camera ini dikira dah canggih dah..). Selepas itu  Qayyum pucat tak terkata apa... Kami mengadakan sambutan Hari Keluarga di situ.(Aku bersumpah dengan nama Allah ini adalah gambar sebenar yang diambil oleh anakku.)
Menggunakan perisian ACDSee, aku telah mengubah exposure gambar di atas berkali-kali dan hasilnya kelihatan cahaya berketak-ketak di sebelah kanan sebenarnya berayun-ayun; dan di antara kedua-dua cahaya itu terdapat sebuah jet pejuang.. (Singapura??).
Apapun bendanya, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Saturday, December 3, 2011

Wang Bantuan Persekolahan RM100.00

 I
Anak aku pun dapat. Anak menteri pun dapat. Anak nelayan pun dapat. Anak Samy, anak Ah Choong, anak Bah Kipong, anak Wak Sumarno semua dapat. Menteri siap pesan, sekolah jangan cuba potong-potong untuk apa-apa bayaran yang belum dijelaskan oleh pelajar sebelum ini. Duit itu ibu bapa yang ambil bagi pihak anak.
Ibu bapa juga turut diperingatkan bahawa duit tu duit anak-anak.. jangan cuba nak "cilok-cilok".

II
Ada suatu keluarga orang kenamaan diberi bentuan wang lembut "yang amat banyak"; kemudian disuruh jaga lembu supaya bekalan daging negara terjamin, tetapi telah membeli benda-benda lain atas alasan beli benda lain itu lebih untung daripada berniaga lembu. Mereka itu dikira pula sebagai "tidak melakukan pecah amanah"!
(Wang lembut??? Bagi habis dulu, perjanjian buat kemudian.)

III
Mengambil kira situasi ke II , jika Bah Kipong atau Wak Sumarno menggunakan juga wang bantuan persekolahan RM100.00 anak-anak mereka untuk membeli beras, susu atau apa jua keperluan keluarga, adakah mereka akan dikira sebagai pecah amanah ??


Ada kewajaran???


Aku rasa nak bubuh lambang parti apa pun kat
dalam songkok tu lantak kaulah (seperti songkok sebelah kanan). Aku tak kisah.
Tapi bila tambah tulisan Allah diikuti lambang sebuah parti politik, kemudian tulisan Muhammad di baris ketiga rasanya agak keterlaluan. Jika dikatakan apitan, tulisan itu mesti menghala ke sisi kiri atau kanan. Oh aku lupa!!! mereka orang barisan ... Allah dulu, kemudian parti lepas tu baru nabi????



Nak kata apa lagi ..

Setelah yakin aku dah pulih sepenuhnya daripada demam, pagi ini aku ke kebun durian tinggalan ayah. Berbekalkan golok sebilah, parang panjang sebilah. Bukan nak menebas tetapi nak mencantas apa yang patut. Tapi aku perlu berhati-hati kerana kerbau Ram Singh yang garang-garang itu sentiasa berlegar-legar di kebun itu kerana terdapat satu lopak kegemaran kerbau itu untuk berkubang. Antara durian, kerbau dan keselamatan diri, aku pilih keselamatan diri. Jika kerbau itu ada aku akan buka langkah seribu. Nasib baik, "clear", kerbau itu berendam di kuala Sungai Gedong, jauh di hujung kebun. Kasihan juga kerbau itu terpaksa meredah semak samun untuk berkubang, sedangkan ada sepupunya jauh lebih beruntung dapat tinggal di kondo mewah; dan dapat naik Mercedes CLS350 lagi. Hmmmmhh apa nak dikata!