Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, January 15, 2018

Alhamdulillah, Akhirnya Kakiku ..






Antara ubat yang kuguna, sama ada yang diberi doktor atau yang kubeli sendiri berdasarkan pengalaman orang lain atau yang kuselak sendiri  dari laman-laman web.

Akhirnya tapak kakiku tidak lagi pecah-pecah. Aku menggunakan krim untuk tapak kaki pecah-pecah keluaran Guardian (yang paling kanan dalam gambar). Nampanya krim itu berkesan dalam mengurangkan luka-luka, dan seterusnya menyembuhkannya. Selain itu aku juga menggunakan krim keluaran Gahwol khas untuk tapak kaki kering yang ekstrem. Krim itu aku pesan terus daripada pengedarnya di England. Dengan izin Allah taala, Alhamdulillah, kini aku sudah boleh melangkah seperti sediakala. Cuma kesan-kesan seperti bersisik yang tebal masih ada dan akan mengambil masa yang lama juga untuk kembali seperti asal (mudah-mudahan).

Aku juga harus mengawal nafsu makanku. Belacan, telur ayam, daging lembu/kerbau dan makanan laut seperti udang, ketam dan sotong harus aku hindari buat sementara waktu.. walaupun kadang-kadang aku sental selagi mahu...

Tuesday, January 9, 2018

Sebuah Kenangan X-File Di SMK Sungkai



Pada tahun 1996, Bilik Guru sekolah ini diubahsuai untuk dijadikan Makmal Komputer Dalam Pendidikan (KDP) atau di kenali juga sebagai Makmal Literasi Komputer. Aku diarahkan oleh pihak pentadbir sekolah untuk menguruskan makmal KDP itu. Dengan sedikit pengetahuan asas perisian komputer dan sedikit pengetahuan penyelenggaraan serta networking aku menganggap makmal itulah rumah keduaku. Aku selalu berseorangan di makmal itu untuk menyelenggara komputer-komputer yang mengalami kerosakan. Maklumlah budak-budak yang meggunakannya. Pengalaman pelik ketika berada di bilik yang sedikit terasing itu adalah juga tetapi tidaklah menghalang aku untuk terus berada di situ sehingga aku bersara pada Julai 2017.

Pada tahun-tahun 1990-an aku mengajar di sebelah petang. Aku jadikan bilik itu sebagai kelas aku mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Alangkah seronoknya anak-anak murid belajar melalui komputer.. seronok belajar sambil ada yang belajar memunahkan komputer itu. Namun apabila tiada kelas, pintu masuk ke makmal itu di bahagian belakang selalu terbuka dan tertutup sendiri. Pintu itu boleh tertutup sendiri kerana ada sendi hidraulik dipasang, namun tidak akan terbuka sendiri jika tidak ditolak atau ditarik. Pada satu ketika pintu itu terbuka dan tertutup berulangkali. Lantas aku mengherdik, “kalau nak masuk, masuk sahaja, kalau nak keluar, keluar sahaja”! Peristiwa itu terhenti di situ sejak itu. Sesekali apabila aku berasa seram sejuk aku akan keluar dari makmal itu seketika.

Pada suatu hari Ahad aku menukar tikar getah alas lantai makmal KDP itu. Sudah tengah hari tapi  aku meneruskan kerja memasang tikar getah yang baharu itu. Tiba-tiba gunting yang aku gunakan hilang entah ke mana. Puas aku mencari, tetapi tak jumpa. Tak dapatlah aku meneruskan kerja memasang tikar getah itu tanpa gunting.
Aku pun berkata, “pulangkan semula gunting tu, aku nak pakai ni,”. Tak semena-mena gunting itu muncul di sisiku.

Berikutan pertambahan barang-barang yang rosak, aku mendapat persetujuan pengetua untuk membina stor kecil di hujung kaki lima makmal KDP itu. Aku membuatnya sendiri. Setelah semua pekerja pulang tinggallah aku seorang mengetuk, menggergaji dan memaku kayu. Apabila aku menggergaji kayu, di hujung blok bangunan ada juga bunyi orang menggergaji kayu. Lega hatiku, masih ada kawan untuk menguatkan semangat. Apabila aku mengetuk, di sana juga mengetuk. Apabila aku memaku bunyi yang sama muncul di hujung itu. Isyy ini dah lain ni, bisik hatiku. Aku pun mengemaskan barang-barang beredar pulang. Sampai di hujung blok itu aku berkata, aku nak balik dah, teruskanlah bertukang.

Empat tahun lalu blok ini diubahsuai untuk menggantikan atap dan kayu-kayu yang lama. Semua peralatan dibongkar. Apabila siap, aku menyimpan semua peralatan komputer yang ada di dalam stor yang kubuat sendiri di dalam makmal itu kerana komputer-komputer itu sudah jauh ketinggalan zaman dan kebanyakannya sudah rosak. Makmal itu kujadikan bilik kuliah untuk Tingkatan 6 (sehingga aku pencen pada 1 Julai 2017). Dan selepas penyelanggaran itu berlaku, tiada lagi kejadian yang pelik-pelik berlaku.

Friday, January 5, 2018

Selesema..

Kena hujan setitik dua dah selesama...
Badan dah tua..

Wednesday, January 3, 2018

Basikal Baharu..





Pagi tadi aku memandu ke pekan Bidor bersama isteriku Ani dan Amira anak kami. Punyalah susah mencari tempat parkir, akhirnya aku parkir di belakang Arked Mara, berhampiran pasar. Ani dan Amira telah lebih awal turun di satu tempat lain berhampiran Maybank. Aku menyusuri belakang arked Mara dan sampai di sebuah kedai basikal. Akhirnya tertarik dengan sebuah basikal aku terus membelinya. Tidak lama selepas itu, Ani sampai di kedai basikal itu. Aku menyuruh Ani memandu pulang bersama Amira, sementara aku pulla mengayuh basikal itu pulang. Sampai di rumah, Ani masih belum sampai. Kunci rumah ada bersama kunci kereta. Melangutlah aku dulu di luar.

Tidak lama selepas itu Ani pun tiba.
"Jom beli basikal saya pula", katanya.
"Basikal yang boleh lipat-lipat", tambahnya lagi. Aku mengiyakan.

Selepas itu aku mengayuh basikal sekali lagi. Kali ini aku mengayuh basikal yang "boleh lipat-lipat". Untuk melepaskan lelah, aku singgah di rumah tinggalan emak ayah. Adikku dan suaminya ada di situ. Mereka ketawakan aku kerana basikal tu macam basikal P Ramlee dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok.

Selamat Bertugas Di Tempat Baharu Pn Daing..

Hari ini Rabu, 3 Januari 2018. 

Petang tadi, aku dan guru-guru Tingkatan 6 SMK Sungkai meraikan pertukaran Puan Daing Nazatul Shima ke Kedah. Majlis diadakan di Restoran TR Tomyam, Slim River. Apa nama tempat bertugas beliau yang baharu aku kurang periksa pula.

Terima kasih aku ucapkan kepada barisan guru-guru Tingkatan 6 SMK Sungkai yang sudi menjemput aku untuk turut serta. Ini merupakan peluang untuk aku bertemu mereka. Masih terasa kemesraan seperti dulu-dulu juga sebelum aku bersara. Adat berkhidmat, pertukaran tempat kerja (mengajar) itu perkara biasa, berdasarkan keperluan diri dan keperluan perkhidmatan.

Apapun untuk Puan Daing Nazatul Shima Daing Osman, diucapkan Selamat Maju Jaya dalam apa jua tugas yang dipertanggungjawabkan nanti di tempat yang baharu.






Dah 2018 rupanya..!!

Sama ada tak sedar atau buat-buat tak sedar, tahun Masihi sudah pun menjelma untuk hari ke tiga. Dunia semakin tua.. diri sendiri pun bertambah tua.. Putaran masa terus datang dan pergi.. Pergi yang tak mungkin datang lagi. Begitulah adat dunia. Dan masih tak terlewat rasanya mengucapkan selamat tinggal 2017.. Hidup perlu diteruskan berselari dengan perubahan masa detik demi detik, hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun sehinggalah saat kematian. Bila? Wallahu'alam..