Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Wednesday, August 20, 2014

Kawalan Kampung Waktu Dinihari

Awal pagi 19 Ogos 2014.. tibalah giliran aku dan empat orang lagi rakan melaksanakan tugas kawalan kampung secara sukarela. Pusingan tugas tersebut akan tiba setiap 11 hari sekali. Biasalah bila sukarela, ada yang datang bertugas ada yang tidak. Apa yang penting sudah dua tahun tugasan tersebut digilir-gilirkan, Alhamdulillah kampung kami selamat daripada ancaman pecah rumah, rompakan dan sebagainya. Waktu bertugas bermula pukul 1.00 pagi dan berakhir pukul 4.00 pagi. Walaupun begitu, ada juga kumpulan yang memulakan tugas lebih awal dan berakhir selewat pukul 5.00 pagi.

Selain berkawal, dapatlah berbual-bual dan bertukar-tukar fikiran. Kadang-kadang "melencong" juga.. dalam masa meronda kampung, perlahan-lahan ke kedai mamak di jalan utama.. pekena roti canai sekeping dua bersama teh tarik.

Setelah dua tahun berlangsung, rasa mengantuk waktu berkeja siang esoknya tak terasa.. bak kata orang tua-tua, alah bisa tegal biasa.

Giliran aku seterusnya ialah pada malam 31 Ogos 2014 nanti...





Wednesday, August 13, 2014

Sebuah Pertanyaan..

Apakah ubat yang paling mujarab mengubati penyakit malas?
Jika ada, aku ingin menggunakannya.

Friday, January 31, 2014

Mengikis Karat ..

Lebih empat bulan aku tak menulis apa-apa di blog ini. Semakin usia meningkat semakin berat dan semakin tumpul rasanya fikiran untuk menulis tentang apa-apa pun. Malam ini aku mulai dengan mengikis sedikit karat malas yang kian menebal untuk membolehkan aku mencatat sedikit coretan di ruangan ini.

Selamat Tahun Baharu Cina

Dari ruang aku menulis ini jelas kedengaran letupan mercun bertalu diikuti pancaran bunga api yang indah mewarnai kegelapan langit malam; maklumlah hari ini merupakan sambutan Tahun Baharu Cina. Jika di zaman persekolahan dahulu, tentunya aku akan pergi mengunjungi rumah teman-teman dari kaum Cina Cina yang sama-sama belajar di SMJK Choong Hua, Bidor;  sekurang-kurangnya untuk berkongsi kegembiraan bersama mereka mereka. Namun pada hari ini aku tak pernah bersua lagi kecuali seorang daripada mereka. Mungkin mereka sudah merantau mencari rezeki di tempat lain hingga ke luar negara.

Jumpa Sahabat-sahabat Lama
Pada hari Selasa 28 Januari 2014 yang lalu, guru-guru negeri Perak yang akan bersara mulai 2014-2018 dipanggil menghadiri Seminar Persaraan di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar. Tepat jam 6.30 pagi aku dan isteri telah bertolak ke Kuala Kangsar dan tiba sejam kemudian di dewan yang dimaksudkan. Mujurlah masih awal, senang meletak kereta, dan proses pendaftaran pun begitu mudah dan lancar.

Di dalam dewan, aku memilih untuk duduk berhampiran pintu besar; kerana aku mahu melihat jika ada kawan-kawan sebaya yang puluhan tahun tak ditemui turut sama menghadiri seminar itu. Tepat dugaanku, seorang demi seorang masuk dan aku menyapa mereka macam penyambut tetamu pula. Semuanya memilih duduk sebaris; panjanglah cerita. Apabila majlis dimulakan; apa butir bicara penceramah tak dapat ditangkap oleh telingaku kerana sistem bunyi sungguh teruk. Tak apa.. yang penting dapat jumpa kawan-kawan. Ada yang sama-sama sekampung tetapi sudah berpindah jauh; ada yang dulu sama-sama menuntut di Sekolah Kebangsaan Bidor (1967-1972), di SMK Syeikh Abdul Ghani, Bidor dan di SMK Buyong Adil, Tapah. Penceramah dan ceramahnya sudah tak penting lagi dalam keadaan begitu; malah nampak penceramah syok sendiri kerana masalah sistem bunyi yang begitu teruk seperti yang aku katakan tadi. Hasilnya, belum pun majlis berhenti rehat tengah hari, dewan sudah hampir separuh lengang.