Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Tuesday, December 29, 2009

Sekitar Lawatan Ke Kuala Selangor 25 & 26 Dis 2009

Biar gambar sahaja yang bercerita... Sibuk bebenor masa ni.
Menaiki trem ke Bukit Malawati

Pokok berdarah di Bukit Malawati.. Sesiapa kecemasan kurang darah sedut je la dari pokok ni.. boleh??

Pemandu cilik .. Jangan laju-laju cucu oi..

Sahabat terdekat.. jaga diri baik-baik ye...

Mak Ngah menari dabus.. hiburan selepas tengok kelip-kelip Kg Kuantan. Jaga-jaga weh tajam besi tu..

Kg Sungai Sireh.. belasah nasi ambeng.. tak ada kuah..tolak aje la dengan air.

Bertahun berlatih siang malam.. tak letih ke bang?? Tu Azman tu.. karang kot menguit patung tu, kita pakat ajak main dua tiga set.. tunjuk kat dia servis kuda ke sevis zirafah ke..

Friday, December 18, 2009

Salam Maal Hijrah

Selamat Menyambut 1 Muharram 1431H kepada pengikut, pembaca, anak didik dan sahabat handai dan ahli keluarga sekelian. MEMANTAPKAN UKHUWAH DAN MEMPERKASAKAN UMMAH

Wednesday, December 16, 2009

Rambai oh Rambai

Di belakang rumah tua dan usang tinggalan ayah ada 3 batang pokok rambai. Selain itu ada pokok dokong, salak, durian, rambutan, nangka, cempedak dan jering. Sebulan lalu sebiji buah durianpun kami tak merasa, habis dimakan tupai. Tak apalah dah tiada rezeki. Kini durian dah tinggal pokok dan daunnya sahaja. Rambutan pun sudah melewati tempoh ranumnya, itupun dibiarkan sahaja kerana di mana-manapun ada rambutan. Tupai jugalah yang untung. Tak apa rezeki dia. Dokong pun dah tinggal pokok dan daunnya. Yang tinggal hanya rambai.

Petang tadi aku menjenguk seketika pokok-pokok rambai itu. Masih belum masak sepenuhnya. Namun dari sebiji ke setangkai, kemudian bertangkai-tangkai aku baham. Enak juga.

Biji rambai perlu ditelan bersekali dengan isinya. Itu semua orang tahu. Jika makan rambai jangan dikunyah, sedut sahaja ke perut. Orang yang biasa makan rambai tahu itu.

Zaman susah dahulu kanak-kanak melepaskan isi perutnya di tepi-tepi semak. Sebab itu pokok rambai tumbuh merata.. He.. he.. jadinya pokok rambai yang sedang berbuah di belakang rumah ayah tu benihnya dahulu pernah berada dalam perut aku!!!...

Friday, December 11, 2009

Masuk Jawi....

Jawi = Melayu. Masuk jawi bermakna masuk Melayu. Masuk Melayu samalah masuk Islam. Masuk Melayu kena masuk jawi. Nama lain, berkhatan, bersunat. Semua itu semua orang tahu. Musim cuti, selain banyak kenduri kahwin, banyak juga kenduri anak nak berkhatan/masuk jawi/bersunat.

He..he.. esok Azim akan menempuh saat-saat yang bercampur baur antara takut, ngeri, dan entah apa lagi.. Tabahkan hatimu anakku.. untuk menjadi Melayu/Jawi/Islam yang dewasa kenalah masuk jawi dulu..... Potong.. potong.. (apa punya iklan??)

Monday, December 7, 2009

Yakin Boleh !

Banyak ke sikit ke mesti diselesaikan sebelum tempohnya berakhir.. Bukan aku seorang malah ramai lagi yang akan/sedang melakukan perkara yang sama seperti aku. Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, kali ini aku dapat jumlah yang agak besar juga, hampir-hampr menjangkau 300 skrip. Berkemungkinan besar ini tahun terakhir aku terlibat, tahun depan aku nak tarik diri.. Ketahanan mental dan fizikal semakin berkurangan dek mamahan usia. Namun sehingga waktu itu tiba aku yakin aku boleh melakukannya.

Thursday, December 3, 2009

Lampu Gasolin



Sejak bekalan elektrik dibekalkan pada tahun 1973 di Kampung Cegar, lampu gasolin terus dipinggirkan. Peranannya yang begitu besar sebelum itu serta merta dilupakan, dipinggirkan malah lenyap terus dari pandangan. Sedangkan lama sebelum itu lampu gasolin amat-amat diperlukan untuk menerangi rumah, menerangi majlis kenduri dsbnya.

Ayah memiliki 3 buah lampu ini namun yang tinggal hanya satu. Kebetulan tadi aku masuk ke rumah tinggalan ayah yang sudah lama dibiarkan kosong, aku terjumpa lampu ini tersangkut di bucu dinding dapur, kusam, berhabuk, bersawang dan dipenuhi sarang angkut-angkut. Lantas lampu ini kubawa pulang dan kubersihkan. Kuletakkan lampu ini di bahagian atas kolam ikanku.. Sekurang-kurang aku masih dapat mengenangkan bagaimana arwah ayah memasang mentolnya, mengisi minyak tanah, menyelenggara dan mengingati berbagai-bagai lagi peristiwa yang pernah diteranginya...

Monday, November 30, 2009

Minggu Bersantai

Seminggu sudah berlalu. Apakah yang kulakukan seminggu ini? Selain melangut ke pokok rambutan, mengadap renangan ikan di kolam, merayakan Aidil Adha secara yang amat bersahaja,... pendek kata tak banyak. Aku ada seminggu lagi untuk bersantai habis-habisan sebelum tugas memeriksa kertas Sejarah SPM bermula. Selesai memeriksa kertas, tugas membina dan menyusun jadual guru/kelas pula bermula.. Ketika itu kelesuan akan mengisi ruang-ruang yang ada...

Thursday, November 26, 2009

Musim Haji..

Hari ini merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh jemaah haji di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah kerana mereka akan berwukuf di Arafah , yang merupakan salah satu daripada rukun haji. Berbahagia mereka itu kerana menjadi tetamu Allah swt dan semoga mereka memperoleh ibadah haji yang mabrur.

II
Pada tahun 2002 aku dan isteri menerima tawaran untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2003 walaupun mengikut jadual gilirannya kami hanya berpeluang pergi pada tahun 2007. Persoalan utamanya ialah Azim ketika itu masih menyusu badan. Setelah semua pertimbangan dibuat, akhirnya kami menerima tawaran itu kerana jika difikirkan masalah anak-anak, sampai mereka dewasapun tak akan selesai. Keputusan diambil, tinggalkan tiga orang daripada mereka kepada kakak isteriku di Tanjong Malim. Yang sulung ditinggalkan dengan opahnya di Bidor.

Maka dengan diiringi tangisan anak-anak dan saudara mara (aku sendiri pun menangis macam kanak-kanak) berlepaslah kami ke Makkah pada awal Januari 2003. Semua kesedihan meninggalkan orang-orang yang disayangi ditinggalkan di Kelana Jaya, selebihnya serahkan sepenuhnya kepada Allah atas apa pun yang akan berlaku, disamping mendoakan keselamatan mereka dan keselamatan kami suami isteri.
Selepas hampir tujuh jam penerbangan, kami sampai di Jeddah pada waktu zohor. Selepas asar kami di bawa ke Makkah menaiki bas. Perjalan itu mengambil masa lebih kurang 4 jam. Jeddah-Makkah tidaklah begitu jauh tetapi kesesakan lalu lintas menjadikan perjalanan menjadi lama. Di Makkah kami ditempatkan di Maktab 82 di Hotel Sevila Barakah, 800 meter dari Masjidil Haram. Hotel itu ditandakan dengan lambang udang oleh Tabung Haji bagi memudahkan jemaah haji yang sudah tua mengingatinya. Menjelang tengah malam kami diarahkan oleh pihak Tabung Haji dan Muassasah untuk melakukan tawaf umrah bagi yang melakukan haji tamattuk atau tawaf kudum bagi yang melakukan haji ifrad.

Dugaan datang, aku dan Ani terpisah daripada kumpulan jemaah lain yang semaktab ketika melakukan tawaf. Ani risau tetapi aku memintanya menumpukan kepada ibadat tawaf umrah itu sehingga selesai 7 pusingan. Kami tak menemui walau seorangpun jemaah dari Malaysia mahupun dari Indonesia selepas selesai tawaf.

Berbekalkan pengalaman menunaikan umrah pada tahun 1986, aku memandu Ani untuk melakukan ibadat sa'i dan seterusnya bertahalul. Jurupandu yang disediakan oleh pihak Muassasah hanya kami temui lama selepas itu. Sampai di hotel rakan-rakan sebilik semuanya sudah tidur. Cepat betul mereka. Akhirnya keesokan harinya tersebar berita jurupandu hanya membawa mereka melakukan tawaf 4 atau lima pusingan sahaja. Keadaan jadi kelam kabut bagi mereka yang tidak mengira sendiri bilangan pusingan mereka tawaf.

Tidak sukar mencari makanan pagi seperti nasi lemak atau roti canai. Yang membezakan teh tarik di Makkah ialah susunya. Mereka menggunakan susu cair untuk dicampurkan ke dalam minuman.

Alhamdulillah, sehingga maghrib berada di Arafah pada hari wukuf keadaan berjalan seperti biasa. Selepas maghrib kami dijadualkan di bawa ke Muzdalifah seterusnya ke Mina.

Dugaan datang lagi. Bas pertama datang ikut jadual. Bas kedua datang ikut jadual. Selepas itu bas datang tidak menentu. Laluan yang dikhaskan untuk perjalanan bas jemaah dari Asia Tenggara dicerobohi oleh bas-bas yang membawa jemaah dari rantau lain. Hancur perancangan pihak berkenaan hendak memastikan satu keadaan perjalanan yang teratur. Sebahagian besar jemaah terpaksa berjalan 7 km dari Arafah ke Mina dengan mengheret beg. Bayangkan nasib warga tua?? Namun aku bersyukur kerana aku dan Ani masih dapat sampai di Mina dengan menaiki bas sejurus sebelum subuh. Maaf aku berkata, ketika ini petugas Tabung Haji hanya mementingkan diri sendiri. Mereka meninggalkan kami menghadapi masalah tersebut tanpa sebarang perhatian, mereka cabut lebih awal ke Mina menaiki motosikal atau kereta-kereta kecil. Ketika ada jemaah yang pengsan tiada seorangpun petugas Tabung Haji di situ untuk membantu. Mereka hanya menemui jemaah selepas Asar di Mina untuk bertanya jika ada jemaah yang masih tercicir di Arafah. Mulut laserku lantas menjawab mengapa cari di waktu asar, bukankah lebih baik dicari selepas isya atau subuh esok. Di mana petugas LUTH ketika khidmatnya amat diperlukan? Mereka berlalu tanpa bicara.

Agak hairan juga, di MIna khemah jemaah lelaki maktab kami bersebelahan dengan khemah jemaah Indonesia. Hanya dipisahkan dengan tirai. Masya Allah, jemaah mereka bercampur lelaki dan wanita dalam sebuah khemah. Jarak antara khemah kami dengan tempat melontar lebih kurang 3 km. Alhamdulillah, bunyinya agak jauh tetapi bila jalan ramai-ramai tak terasa tambahan pula ketika itu masih muda lagi (43 tahun).Walaupun kita sering mendabik dada bahawa TH sentiasa cekap tetapi petugasnya di maktab kami langsung tak dapat diharapkan untuk membantu jemaah. Sebaliknya jemaah Indonesia disebalik tirai lebih beruntung, sentiasa ada pelbagai maklumat penting yang disampaikan dengan pembesar suara. Aku dan Ani mengikut mereka jika hendak melakukan ibadat melontar, lebih selamat kerana mereka sentiasa menjaga keselamatan ahli kumpulan mereka. Mereka tidak pula meminggiri kami walaupun berlainan negara.

Ani meminta aku membawanya lebih hampir ke jamrah (jamrah yang mana aku tak ingat) kerana lontarannya tidak sampai. Kalau terlalu hampir nanti kena batu, kataku. Belumpun habis mulutku tertutup seketul batu hinggap betul-betul di dahiku. Berdarah. Padan muka aku, mulut tak reti diam! Ampunkan aku ya Allah.
Selepas selesai semua ibadat melontar di Mina, aku dan Ani kembali ke hotel di Makkah. Sampai di Makkah waktu Jumaat sudah hampir benar. Aku ke Masjidil Haram dan kudapati semua ruang telah penuh. Seorang petugas Masjid menunjukkan ke arah bumbung masjid. Duduklah aku di bumbung masjid itu bersama ribuan jemaah lain tanpa beratap. Di padang Masyar matahari sejengkal dari kepala, tetapi ini berpuluh juta batu dari kepala, takkan tak boleh tahan (orang Melayu tak tahan panas?), aku membisikkan kepada diri sendiri.

Sebelum di bawa ke Madinah, sempatlah kami melakukan ibadat umrah beberapa kali. Di Madinah semuanya berjalan lancar tanpa berlaku peristiwa-peristiwa yang tidak diingini. Cuma terjadi peristiwa yang agak menggelikan hati ketika dalam perjalanan. Pemandu memandu bas dengan kelajuan 40-60 kmj. Bila nak sampai ke Madinah? Sekejap-sekejap bas di brek, sekejap-sekejap menyengguk. Kami faham apa mahunya. Fulus... Kutip 2 rial seorang serah separuh, nanti sampai akan diserahseparuh lagi, tiba-tiba bas jadi laju, lancar dan pemandu menjadi begitu ramah mesra.

Begitulah. Cepat sungguh waktu berlalu dan hampir berlalu pula satu lagi musim haji. Kepada semua sahabat, pengikut, pembaca, dan anak-anak muridku Selamat Hari Raya Aidil Adha. Pengorbanan mesucikan jiwa.

III
Anakku yang sulung, Abdul Qayyum lahir pada 12.7.1989, yang merupakah hari wukuf bagi tahun tersebut. Nenek dan ibu saudaranya antara mereka yang menunaikan fardu haji pada tahun yang sama.

Sunday, November 22, 2009

Selamat Berjuang..

Esok 23.11.2009 peperiksaan STPM bagi kertas Pengajian Am akan dilalui oleh para pelajar Tingkatan Enam Atas. Aku merasai getarannya, kerana ia turut melibatkan anak-anak didikku di SMK Sungkai. Semoga anda sekalian tabah dan dapat menjawab dengan tenang. Cikgu mendoakan kejayaan kalian..

Friday, November 20, 2009

Orkid Berkembangan...

Huh seronok tengok orkid-orkid berbunga... Berbaja hanya sesekali, berjaga sangat pun tidak, sekadar tengok-tengok supaya jangan ada siput atau ulat, tetapi tetap juga berbunga..
Antaranya....





Berakhirnya Sesi Persekolahan 2009

Hari ini berakhirlah sesi persekolahan 2009. Kasihan juga melihatkan rakan-rakan sejawatan terutamanya yang lebih junior, seolah-olah "menggelupur" menyiapkan/membereskan semua urusan.. Hari ini mereka lebih kerani daripada kerani. Semuanya melibatkan urusan yang tidak langsung berkaitan dengan P&P di dalam kelas. Mereka terpaksa membereskan urusan yuran, fail panitia, fail stok, fail ko-kurikulum, pemarkahan, slip keputusan, kemas meja, kemas buku, kemas bilik, serah kunci dsbnya. Aku? He.. he.. agak santai juga di hujung sesi ini, masih boleh berblog. Jangan salah anggap. Mereka "menggelupur" pada hari ini, tapi aku akan merasainya kemudian apabila tiba masa penyusunan jadual untuk 2010. Jadual awal tahun mesti disiapkan sebelum hari pertama persekolahan sesi baru, seminggu kemudian apabila tingkatan empat 2010 menamatkan sesi orientasi, lagi jadual baru perlu dibuat, setiap kali tukar masuk guru, pindaan dibuat lagi. Apabila Pra-U mendaftar diri, tukar lagi... Tukar dan tukar, pinda dan pinda. Melibatkan kelesuan otak dan kesengalan tulang pinggang, dan kena kurang tidur untuk dua tiga hari. Mujurlah komputer banyak membantu.

Selain itu hal-ehwal pengurusan Tingkatan Enam/Pra-U setakat ini tidaklah begitu membebankan kerana sokongan dan bantuan rakan-rakan yang lain (terima kasih).

Tuesday, November 17, 2009

Hari Yang Bertuah?

I
Petang semalam aku menghadiri Taklimat Pengurusan Tingkatan 6 di SMK Seri Perak Teluk Intan. Setelah semuanya selesai aku terus pulang ke rumah. Menjelang tengah malam, baru aku sedari, aku tertinggal di dewan syarahan SMKSP sesuatu yang amat aku perlukan, iaitu laptop cap ayamku. Habislah.. habislah.. aku menggerutu sendiri sambil menyalahkan diri sendiri yang sering saja cuai (aku yang cemerkap?). Komputer bolehlah dibeli jika ada wang, tetapi data, gambar, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran Sejarah, Pengajian Am dan Kesusasteraan Melayu takkan dapat diganti walaupun sedikit sebanyaknya telahpun dibuat salinan. Aku serahkan segalanya kepada takdir Allah swt. Jika laptop itu jatuh ke tangan yang baik, pasti ia akan kuperoleh kembali, jika sebaliknya, aku pasrah.

Tepat 7.30 pagi tadi aku menelefon sekolah berkenaan. Panggilanku disambut oleh seorang wanita. Setelah masing-masing memperkenalkan diri, aku sampaikan apa yang terjadi. Syukur, itulah ucapan yang terpacul keluar dari mulutku apabila Penolong Kanan sekolah itu menyatakan bahawa laptop itu ada dalam simpanannya setelah diserahkan oleh seseorang kepadanya. Terima kasih tak terhingga kepada pemilik tangan yang baik yang telah menemui laptop cap ayam itu. Petang tadi aku mengambilnya di pejabat SMKSP Teluk Intan. Alhamdulillah.

II
Pagi tadi aku menghadiri majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Bidor. Azim (Tahun 3) telah mendapat tempat pertama dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2009. Di samping itu dia juga menerima penghargaan bagi Kehadiran Terbaik, B Melayu (Kefahaman) terbaik dan B Melayu (Penulisan) terbaik. Selain itu Azim juga turut menyertai acara Bahasa Bermadah / Choral Speaking Tahun 3.

Untuk tambah menceriakan hari ini yang bertuah, Ani yang turut hadir tak semena-mena menerima hamper setelah nombor pada buku aturcaranya terpilih sebagai nombor bertuah.




Monday, November 16, 2009

The Game Of Life

Aku memutar ingatanku kembali ke tahun 1969, ketika aku berusia 9 tahun. Aku cuba mengingati kembali jenis-jenis permainan yang sering kumainkan bersama rakan-rakan sebaya. Banyak sekali. Main perang senapang kayu, main pedang ala-Zorro (habis anak pokok getah yang ditanam oleh opah aku potong buat pedang), main perang tanah liat atau biji getah, meniup daun manggis sambil berlari supaya berpusing macam kipas, menangguk anak ikan, melastik burung (selalu terkena bumbung rumah orang),main layang-layang, congkak, gasing, guli dan lain-lain. Kecuali guli, semua bahan-bahan permainan adalah buatan sendiri.

Kini aku berusia 49 tahun dan anak bongsuku Azim berusia 9 tahun. Permainan Azim dan abang-abangnya ketika berusia 9 tahun sama sekali tidak sama dengan permainan ayah mereka ketika berusia 9 tahun. Permainan mereka tidak memerlukan pergerakan yang banyak, menjadikan mereka tidak tahan lasak.

Semalam aku ke Ipoh bersama Ani, Amira dan Azim untuk membeli set permainan Game Of Life sebagai memenuhi janji. Sebelum ini aku dan Ani berjanji akan membelikan permainan itu sebagai hadiah kepada Azim jika dia berjaya mendapat tempat pertama dalam Peperiksaan Akhir Tahun.

Friday, November 13, 2009

Mengimbau Kenangan di SMKDP Miri (1984-1986)

I
Saudara Jamil Bujang dari Miri Sarawak mungkin menemui namaku melalui ruangan Facebook. Lantas, semalam beliau menghantar mesej .. antara lain bertanya adakah aku pernah bertugas di SMK Dato Permaisuri Miri mungkin untuk kepastian. Dalam kepalaku namanya masih ada dalam senarai nama murid yang pernah kudengar atau kuajar ketika di Miri suku abad yang lalu. Saudara Jamil juga menyatakan bahawa isterinya Rafidah Morni adalah bekas anak muridku, dari kelas 5E pada tahun 1985. Aku masih ingat ketika itu aku guru kelas dan Rafidah merupakan ketua kelas. Untuk tatapan saudara Jamil dan isterinya, di bawah ini kuperturunkan gambar kelas 5E.. (Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Noriati Hipni, pelajar yang duduk di sebelah kananku dalam gambar kedua. Sejurus sebelum aku bersama pelajar kelas berkenaan melakukan kerja mingguan membersihkan kawasan sekolah, Noriati terlibat dalam kemalangan jalan raya).


II
Saudara Ramlan Parmin merupakan rakan setugasku di SMKDP pada tahun 1985. Setelah terputus hubungan sejak 1986, pada hari Isnin yang lalu aku menerima SMS daripadanya, menyatakan rindu akan kehidupan yang dilalui di SMKDP dahulu. Sehingga kini aku dapat berhubung kembali dengan beberapa orang rakan setugas dari Semenanjung ketika di Sarawak dahulu.

III
Sejak 1984,SMKDP Miri terasa amat bererti bagiku. Setiap kali melayari internet aku pasti akan mencari berita tentang sekolah itu untuk mengetahui perkembangan yang berlaku.. Mungkin ada lebih daripada sesuatu.. dan salah satunya isteriku pada mulanya kukenali di situ.. Selain itu semuanya hanya tersimpan menjadi kenangan.

Tuesday, November 10, 2009

Satu hari di bulan NOVEMBER..

Dialog I

A: Berapa haribulan hari ni?
B: 10 November. Mengapa tanya?
A: Saja.. Lambat lagi tibanya?
B: Apanye?
A: Gajilah...
B: Mmmm

(A kawan, B pun kawan.. aku hanya mengiyakan..)

Dialog II

I: Awal balik hari ini?
S: Nak ke Teluk Intan
I: Nak buat apa?
S: Nak renew insurance dan road tax
I: Duitnya?
S: Koreklah mana-mana..
I: Ada lagi ke?
S: Adalah sikit ...

(I isteriku, S suaminya, akulah tu..)

Dialog III

A: Apa pasal tayar kereta saya macam lompat-lompat
C: Oh.. itu kena bikin balancing
A: Ok bikin sekarang... Kasi alignment sekali.
C: Encik, kasi masuk gas aaa.. ringan, save minyak...
A: Masuk mana?
C: Tayarlah.. Sepuluh ringgit saja ampat tayar ma.. KL dia hantam 10 ringgit satu tayar ooo..
A: OK.. kasi masuk..

(A aku, C Cina kedai tayar)

... Gaji oh gaji.. segeralah kau berlalu wahai hari..

Monday, November 9, 2009

Kolam Ikanku Siap.. (Apa kurang pada belida?)





DIKEMASKINI DGN GAMBAR : Lama juga aku tak menulis di blog picisan ini. Tumpuanku kini sedikit berubah kepada kerja-kerja akhir menyiapkan kolam ikan hiasan di tepi rumahku.Kecuali melepa/memplaster(?), semua kerja membina kolam itu kulakukan berseorangan sejak akhir Julai lalu hingga kini. Aku cuba menyiapkan sebelum hari raya tempoh hari tetapi tak siap-siap juga. Ketika cuti Deepavali aku melakukan ujian kebocoran dengan memasukkan air, tetapi selepas dua hari hampir kering, bermakna ada kebocoran berlaku walaupun tak kelihatan jelas. Mungkin meresap ke tanah. Setelah melakukan pembaikan aku memasukkan air hujan sehingga separuh penuh pada hari Rabu dua minggu lepas. Selepas beberapa hari tahap air tetap sama kecuali sedikit penurunan biasa akibat sejatan. Maklumlah air hujan, banyak habuk yang turut masuk ke takungan kolam.Sepatutnya air itu alirkan keluar dan menggantikannya dengan air paip tetapi terasa sayang pula melihat air begitu banyak perlu dibuang. Akhirnya aku penuhkan lagi dengan air hujan, tapi kali ini aku menapisnya.

Lima ekor koi, lima ekor lampam ekor merah dan lima ekor lampam emas menjadi warga terawal kolam tersebut. Lekalah kami anak beranak melihat ikan yang berenang-renang riang di kolam.
(Apa kurang pada belida, tulang banyak sisik berlapis, bongkok ada kedik pun ada= Keinginan hendak menyamai apa yang orang lain ada, sedangkan diri kita tak mampu / tak layak..lebih kurang begitulah maksudnya.)

Wednesday, October 14, 2009

Makmal KDPku Keras?

I
Pukul 9.30 pagi tadi aku terima SMS.. Ada mesyuarat pentadbiran dgn boss pd pukul 11.00. Alamak aiii.. apa pulak nak dibebelkan oleh orang tua tu kali ni.. Aku teruskan sesi P&P dgn pelajar.. Tiba-tiba satu lagi SMS masuk.. Ada pelajar Pra-U histeria di Makmal Haji. Makmal Komputer Dalam Pendidikan di SMK Sungkai lebih dikenali secara tidak rasmi sebagai Makmal Hj Nazeri. Bergegas aku ke situ dan sudah ramai guru dan pelajar perempuan berkerumun. Pelajar lelaki tidak kelihatan kerana sudah diminta beredar lebih awal kerana yang terlibat adalah pelajar perempuan. Pelajar yang diserang histeria itu sedang meronta-ronta dan menjerit-jerit walaupun dipegang oleh beberapa orang guru. Puan Hasna Bee begitu tekun membaca ayat suci bagi memulihkan pelajar itu. Aku hanya memperhati sahaja. Kemudian seorang pelajar membisikkan sesuatu.. Cikgu.. ada seorang lagi tumbang di luar surau.. Bergegas pula aku ke surau. Puan Siti Mariam sudahpun ada di situ. Seorang pelajar perempuan sedang menangis sambil memeluk rakannya. Takut katanya. Aku meminta rakan-rakannya memimpinnya masuk ke surau namun pelajar itu sudah tidak lagi mampu melangkah. Tangisannya lebih kuat daripada tenaganya. Dia terjelepok di luar surau.. mahu tak mahu aku mencempungnya ke dalam surau.

Seorang Ustaz dari sekolah berhampiran dipanggil bagi memulihkan kedua-duanya. Alhamdulillah usahanya berjaya setelah bersusah-payah. Kemudian kedua-duanya dihantar pulang.

Setelah semuanya kembali seperti biasa, seorang pelajar datang kepadaku, makmal cikgu tu keraslah.. Hish.. kamu ni ni memanglah makmal tu keras, dibuat daripada konkrit, dipasang pula dua lapisan "gril" besi, mahu tak keras! Aku buat loyar buruk..

II
Mesyuarat dengan boss berjalan lancar dan ringkas sahaja.. Baik pulak angin dia hari ini, aku berbisik dengan Penolong Kanan 1. Lepas itu boss ajak kami melawat ke beberapa blok bangunan baru yang tak siap-siap itu, supaya perancangan awal bagi sesi P&P 2010 nanti dapat dibuat (jika bangunan itu dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihak sekolah). Kami terserempak dengan jurutera JKR yang menyelia kerja-kerja di situ. Soalan yang keluar, mengapa lambat siap agaknya ye??

Dari mulutnya sendiri dia menceritakan masalah-masalah yang dihadapi dan masalah -masalah yang ditimbulkan oleh pihak kontraktor dan masalah kontraktor itu sendiri yang tak dapat aku huraikan di sini. Tapi yang dapat aku katakan dia ditekan oleh orang-orang atasannya supaya berlembut dalam beberapa hal walaupun tidak menepati mutu dan spesikasi bangunan yang ditetapkan. Patutlah banyak bangunan roboh bisik hatiku
..

Friday, October 9, 2009

Alahai Lesung Batu dan sahabat-sahabatnya..

I
Apa pasal kucing ni tak mahu makan? Nampak macam berselera nak makan tapi makan sedikit, berhenti dan termenung... Aku pun buka mulutnya, kesian gusinya bengkak dan dah banyak giginya patah serta tercabut. Apa nak buat Kai (nama kucing itu).. bila dah tua gigi kita pasti jadi macam tu.. Gigi aku pun macam gigi engkau jugalah.. Jadi, ikan goreng kegemaran Kai terpaksa ditumbuk, pakai lesung batu yang dibeli seminggu selepas aku berkahwin dengan Ani 22 tahun dulu. Kalau dulu aku suka menggobek sirih untuk opah kini terpaksa menumbuk ikan goreng untuk Si Kai.

II
Lesung batu, gobek, batu giling, lesung, kacip dll sudah mula hilang pandangan di rumah-rumah rakyat negara ini. Dalam erti kata lain sudah tidak lagi digunakan secara meluas kerana peranan perkakas-perkakas itu telah digantikan oleh peralatan-peralatan moden. Namun sambal belacan yang ditumbuk menggunakan lesung batu jauh lebih enak daripada sambal belacan yang dihancurkan menggunakan mesin pencincang/pengisar.

Wednesday, October 7, 2009

Penjaja dari Pakistan

..Angkatlah bang..
..Tak mau.. saya sudah banyak ada..
..tolonglah bang,bukan mau bayar cash.. Sikit ada bayar sikit, banyak ada bayar banyak..angkatlah bang...
..Ada orang beli ka?
..Sepuluh hari kadang-kadang satu.

Itu antara dialog antara aku dengan penjual cadar dan tikar bangsa Pakistan tempoh hari. Sehelai tikar buluh dikepit di bawah ketiaknya dan sehelai cadar yang dilipat rapi dalam bungkusan dijinjingnya ke sana ke mari. Setiap petang dia pasti lalu. Kadang-kadang berbasikal, kadang-kadang bermotosikal, dan kadang-kadang berjalan kaki. Satu ketika dahulu mereka membawa jam dan perhiasan daripada kayu, bingkai gambar berukir,tilam nipis, rehal dan sebagainya. Kini tikar dan cadar pula.

Teringat pada tahun-tahun 1960-an. Kehidupan masyarakat di kampungku masih bergelumang dengan kemiskinan, pendapatan secukup hidup, jalan kampung berdebu. Namun penjaja bangsa Pakistan tetap datang. Dengan berserban, berpakaian labuh berwarna putih, berjanggut, dia berjalan sambil menggendong bungkusan besar berisi kain, minyak wangi, beberapa naskhah kitab termasuk Al-Quran. Dia turut membawa peti nipis berkaca di depan yang menampakkah susunan cincin berbatu akik. Aku masih dapat mengingati laungannya yang sengau untuk menarik perhatian pelanggan.... Kain...kain, kitab.. kitab..Al-Quran..minyak wangi.. batu akik.. berulang kali.

Tanpa dipanggil, dia akan singgah di setiap rumah dan membuka bungkusannya. Sama ada dibeli atau tidak tidak menjadi soal. Juga boleh berhutang..
Satu hal lagi.. walaupun berjalan menempuh jalan kampung yang berdebu dan dibakar terik matahari, badan dan pakaiannya sentiasa berbau harum! Mungkin penjual minyak wangi mesti memastikan dirinya sentiasa berbau wangi...

Monday, October 5, 2009

Darahmu dan Darahku

I
Masihkah ada lagi air mata yang tersisa, buat bekalan menangisi kesedihan-kesedihan yang bakal mendatang entah petang nanti, entah malam nanti, entah esok,entah lusa ?? Apakah itu soalan yang yang harus ditanya kepada saudara kita di Indonesia? Satu demi satu bencana yang menimpa. Bukanlah tiada bencana di negara kita, tetapi angka korban dan kerugian tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan apa yang berlaku di negara jiran itu.

Sebahagian daripada rakyat negara ini mempunyai pertalian darah dengan rakyat dari negara jiran itu dan tidak hairan jika kita turut bersedih jika saudara di sana mengalami bencana alam yang tak kunjung henti.

II
Kita di negara ini tidak henti-hentinya melaungkan tentang keserumpunan dan perkongsian budaya dengan mereka. Namun apakah mereka juga beranggapan begitu terhadap kita? Perkembangan-perkembangan yang berlaku kebelakangan ini menampakkan bagi mereka, (individu-individu yang bersimpati dengan Bendera)mereka lain dan kita lain hingga mengharuskan kita diganyang lumat?!

Dalam banyak hal kita seolah-olah hidung tak mancung pipi tersorong-sorong dalam pelbagai urusan dengan mereka. Terlalulah baiknya kita ini. Tak cukupkah lagi dengan pekerja mereka yang sah dan yang haram diberikan luang dan ruang, dan bantuan yang kita curahkan atas nama kemanusian dan keserumpunan? Apakah itu semua dihargai mereka dengan erti kata yang sebenar?

Apapun mungkin penilaian songsangku terhadap mereka jauh tersilap. Dan buat dua-dua pupuku di Medan,atas nama kemanusiaan aku turut bersedih atas bencana yang berlaku di negara kalian, tetapi sebagai rakyat Malaysia aku berhak untuk rasa terguris terhadap apa yang sebahagian daripada kalian lakukan.

Thursday, October 1, 2009

1 Oktober datang lagi...

I
Setelah blog ini hampir-hampir berkarat, akhirnya hari ini aku kembali semula. Sengaja "mengambil cuti" seketika. Terima kasih kepada beberapa orang sahabat yang menghantar SMS dan e-mail meminta aku meng"update" blog ini.
Rasa-rasanya aku masih belum terlambat untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL-FITRI, Maaf zahir dan batin kepada semua.
II
Apakah erti 1 Oktober setiap tahun? (Baru teringat hari ini 1 Oktober pada pukul 7.00pagi tadi). Bermakna sudah 49 kali 1 Oktober kulalui dalam perjalanan hidup ini. Melalui zaman kanak-kanak, remaja, muda, dan kini menuju ke alam dewasa/tua. Kehidupan yang bersimpang-siur dengan suka duka, pahit maung, hilai tangis dan sebagainya yang mematangkan diri yang kadang-kadang bertindak secara tidak matang. Dan berakhirnya detik ini diri harus menyedari bahawa ia juga sedang menghampiri selangkah demi selangkah ke garis penamat kelangsungan hidup ini.

Monday, September 7, 2009

Sepetang Kenangan

I
Dalam perjalanan balik dari pasar Ramadan lewat petang tadi aku singgah sebentar ke rumah emak. Rumah tua itu tinggal sepi. Emak hanya sesekali di bawa balik ke rumah itu memandangkan keadaan kesihatannya tidak membolehkannya dibiarkan berseorangan. Emak lebih selesa tinggal dengan adik perempuanku di Felda Besout. Kadang-kadang emak dijaga oleh emak saudaraku di Jalan Paku Bidor. Entah mengapa emak tidak mahu tinggal denganku. Sejak ayah tiada, walaupun emak nampak sihat kini, tetapi ingatannya sudah banyak berkurangan. Nama anak cucunya pun sering kali dia lupa; kadang-kadang keadaan jadi lucu kadang-kadang jadi keliru..
II
Berbalik tentang rumah tua yang terbiar. Rumah itu sebenar masih dihuni oleh tiga ekor kucing kesayangan ayah ketika hayatnya dan beberapa ekor ayam yang diketuai oleh ayam jantan tua yang amat manja dengan arwah ayah, diberi nama Si Kudung. Kedua-dua kaki Si Kudung tidak mempunyai jari tetapi ada taji yang agak panjang. Dialah menjadi "taiko" yang digeruni oleh ayam-ayam jantan yang lain. Seekor ayam betina yang ada jambul tambahan di kepalanya sudah lama tidak kelihatan, mungkin di baham anjing barangkali. Ayah mememberi nama Saloma kepada ayam itu.
Sudah menjadi tugasku setiap petang memberi kucing dan ayam itu makan. Seronok juga setiap kali aku tiba, kucing-kucing dan ayam-ayam itu datang menyambut.
III
Pokok rambutan, durian, dokong dan manggis sedang berbuah. Kalau ayah masih ada tentu dia gembira kerana penat lelahnya sedang mengeluarkan hasil. Buah kelapa bersepahan di tanah, maklumlah anak-anak ayah kini lebih selesa membeli santan di pasar daripada mengupas, mengukur(menggunakan kukur elektrik sekalipun) dan selepas itu terpaksa pula memerah santan. Pokok kurma yang ayah tinggalkan juga sedang tumbuh subur. Teras batangnya kini sudah sebesar betis. Tingginya sudah menjangkau paras bahu.
IV
Kira-kira 40 tahun dulu ketika emak dan ayah masih muda dan aku masih kanak-kanak ingusan, di bulan Ramadan begini emak mengambil upah membuat kuih putu kacang dan dodol. Selain mengambil upah emak juga menjual kuih tersebut. Lesung daripada teras pokok bungau itu sudah tiada tetapi antannya yang sudah patah masih ada. Pernah satu ketika ayah membuat lesung indik / lesung kaki. Oleh kerana itulah satu-satunya lesung indik yang ada di kampung, ia menjadi tarikan kepada kawan-kawanku. Apabila sahaja emak hendak menumbuk kacang hijau atau pulut, kawan-kawanku sudah sedia hendak membantu, maklumlah tiada hiburan lain yang ada ketika itu. Lesung indik buatan ayah, sering juga digunakan oleh oleh orang-orang kampung yang lain untuk menumbuk pulut dan sebagainya.
V
Dalam keadaan matahari sudah hampir sangat hendak terbenam, aku masih di rumah tua itu. Kali ini aku melangkah ke belakang rumah. Huh, sudah tidak terurus. Jika ayah ada, tentu semuanya bersih. Tapak telaga mandi masih ada tetapi sudah dipenuhi sampah sarap dan daun-daun kering. Rumpun buluh lemang yang ada di sisinyapun sudah menyembah bumi. Pokok keriang yang ayah tanam tanpa tujuan khusus sudah sebesar pemeluk tetapi daunnya jarang-jarang. 40 tahun dulu, di sinilah aku mandi di kedinginan pagi untuk ke sekolah... huh.. betapa dingin airnya. Tapak telaga minum pula sudah tiada kerana ditumbuhi pohon durian yang bercantum dengan pohon jering di pangkal, kerana ayah menanam kedua-duanya terlalu rapat. Walaupun seperti bercantum, jering tetap jering, durian-tetap durian.
VI
Menurut kata adikku, dia dan keluarganya akan menyambut hari raya di rumah tua ini. Baguslah. Sekurang-kurangnya sedikit sebanyak rumah tua ini tidak lagi sepi, walaupun untuk seketika.

Monday, August 24, 2009

Baru 3 hari berpuasa Ramadan

Ini malam ke-4 Ramadan. Tentang kemulian dan kelebihan Ramadan sudah boleh dikatakan semua orang yang sepatutnya tahu, tahu. Namun agak terkilan juga apabila radio dan TV termasuk yang dimiliki oleh kerajaan sudah menyiarkan iklan hari raya. Salahkah begitu? Entahlah, kerana kita sendiri sudah beransur-ansur menempah/membeli baju raya untuk anak-anak dan diri sendiri sejak bulan Syaaban lagi?

Thursday, August 20, 2009

Copthorne Orchid Hotel, Pulau Pinang dan Wanita Iran

Buat pertama kali aku menginap di hotel ini (18-20 Ogos 2009) untuk menghadiri Mesyuarat Pelaporan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Sejarah Penilaian Mengengah Rendah Negeri Perak 2009. Begitu panjang sekali nama mesyuarat itu, tetapi pengisiannya ringkas sekali. Bolehlah dikatakan datang untuk merehatkan badan dan fikiran sahaja.

Selepas makan, malam tadi, aku dan beberapa orang sahabat melepak di luar kawasan hotel, berborak hal-hal sekolah sambil mata memerhatikan wanita-wanita dan lelaki-lelaki berwajah Timur Tengah (mungkin Arab, mungkin Parsi). Ramai betul mereka di hotel ini.

Selepas Pak-pak Arab itu pergi entah ke mana, sahabat-sahabat pun balik ke bilik meninggalkan aku dan seorang sahabat lama yang telah bertukar dari SMK Sungkai sejak awal tahun ini. Perbualan kami begitu rancak sambil mengenang kembali kisah-kisah lama di SMK Sungkai. Sebaik sahabat yang itu beredar, seorang wanita asing menghampiriku sambil berkata sesuatu yang aku tak faham maknanya. Aku ingat bahasa Inggeris aku ni teruk, rupa-rupanya wanita asing yang cantik molek lagi peramah ni lagi teruk Englishnya. Aku memintanya bercakap perlahan-lahan menggunakan bahasa Inggeris yang mudah. Cakap sepatah dia berhenti, menyusun ayat dan mencari kata-kata yang sesuai agaknya. Nasib baik cantik kalau tak, dah lama aku belah.

Suasana seperti kerbau berbual dengan lembu. Yang pasti yang lembunya dia. Dengan Bahasa Inggeris aku yang berterabur dan bahasa Inggerisnya yang sampai tahap lebur, aku fahamlah sikit-sikit apa yang dia nak kata. Antaranya (terjemahan):
· Ada parti ke? (Sebab banyak meja makan)
· Anda Muslim ke?
· Apa kerja anda?
· Anda dari mana? – bila aku cakap aku dari Perak, ohh, France!!!? katanya. Yes! Yes! Aku mengiyakan..Lantak kaulah..

Apabila tiba giliran aku pula yang bertanya, kelihatan dia menumpukan sepenuh perhatian akan apa yang aku cakapkan. Aku bayangkan dia seperti pelajar kelas peralihan yang paling hujung. Terpaksa 4-5 kali diulang baru dia nampak faham. Tapi lain aku tanya lain dia jawab. Apa yang aku tahu namanya Anusha, dari Isfahan, Iran. Berusia 25 tahun, tidak bekerja. Datang untuk berbulan madu bersama suaminya. Bila ditanya di mana suaminya? Oh.. pub.. (ada dalam pub) katanya. Aku agak suaminya mengambil peluang minum minuman keras di situ. Dekat Iran dia tak merasa nak minum air kencing setan itu. Tak guna punya jantan, ditinggalkan bininya dekat orang yang tak dikenali, di negara orang pulak tu. Nasib baik aku ni baik….(?) My husband is asphalt, itulah jawapannya bila aku tanya apa pekerjaan suaminya – aku agak, kontraktor membina jalan raya. Ketika itu suaminya muncul, mengangkat tangan dan tersenyum padaku dengan muka yang merah padam (bukan marah tapi dah nak mabuk agaknya) lalu masuk semula ke dalam pub, mungkin merasakan bininya akan selamat berada dekat orang tua beruban yang seorang ni agaknya.

Mengapa tak pakai purdah? Oh.. itu di Iran sahaja katanya. Aku kata kebanyakan wanita Malaysia yang Islam bertudung walaupun tidak diwajibkan oleh undang-undang negara ini. Good..good katanya. In Iran, so many cannot, katanya. Bantailah, suka hati dia je nak bercakap…

Ketika itu datang lagi seorang perempuan, teman Anusha, langsung tak tahu berbahasa Inggeris, hanya senyum. Lakinya pun ada kat dalam pub. Sebelum aku berterusan menjadi pengawal peribadi tak bergaji wanita-wanita Iran itu, lebih baik aku angkat kaki ke bilik meninggalkan mereka berdua menunggu suami masing-masing di situ.

Wednesday, August 12, 2009

Antara Rotan dan Dedalu

Tiada rotan akar pun berguna. Namun jika kita hanya tahap dedalu yang tak pernah berakar , dapatkah kita menggantikan rotan yang tiada???

Sunday, August 9, 2009

Salam Satu Malaysia

Belum sempat dipenuhi sawang, aku kembali semula menjengah blog picisanku ini sambil meneroka ke blog-blog sahabat.
1Malaysia? Oh! Baru aku tahu selama ini kita ada banyak Malaysia sehingga memungkin gema 1Malaysia dipalu bertalu-talu. Menzahirkan kepala (tajuk) cerita yang hebat memang cukup mudah, tetapi nak menulis isinya payah le sikit... Lebih baik tulis cerita dulu baru kita beri tajuk yang bersesuaian. Nanti bila murid tanya, Cikgu, 1Malaysia tu apa?.. Entahlah, jawab cikgu.. Murid nanti mencebik, apalah guru Pengajian Am pun tak tahu... apa jenis cikgu ni??? Cikgu juga yang kena.. kan... kan....?
Tukang bodek pun satu hal... Ada ke sampai astaka Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa pun tertonjol lambang 1Malaysia. Agaknya berpinor-pinorle bijik mata peserta dari Mali, Senegal. Bangladesh, Tajikistan dan yang lain-lain nak memahami perkaitan lambang itu dengan acara tilawah yang dijalankan...
Dunia Malaysia ini terlalu banyak kekaburan..mungkin dek sering dilanda jerebu/jerubu (tak wujud dalam daftar kata Bahasa Melayu atau Bahasa Indonesia yang standard, dari mana mereka dapat tak tahulah, sepatutnya kabut). Dulu heboh Islam hadhari (pun berkabut jua), lepas tu 1Malaysia, lepas tu entah apa lagi agaknya!!!
Dan aku takkan lupa tentang Perak Nombor Satu, Perak Gemilang, dan sekarang ni Perak apa pulak, entah!!!

Saturday, August 1, 2009

Kerana terpaksa....

Itu sebahagian daripada lirik lagu Francisca Peter yang popular dalam tahun-tahun 1990-an. Dan kerana terpaksa jugalah, aku terpaksa "bercuti" beberapa ketika daripada terus berblog. InsyaAllah, mungkin aku akan kembali sehari dua lagi atau seminggu lagi atau sebulan lagi atau setahun lagi atau.. atau..

Sunday, July 19, 2009

Keciknya Ahmad Jais???

Melalui corong radio tadi telingaku menangkap dendangan lagu aku cukup tahu akan penyanyinya, senikata lagunya dan melodinya, iaitu Seniman Ahmad Jais yang mendendangkan lagu Gelisah. Lagu itu aku sudah dengar sejak umur aku belumpun mencapai 10 tahun. Apabila lagu tersebut didendangkan, segera aku teringat peristiwa yang berlaku semasa tinggal dengan opah.
Ketika itu, untuk memenuhi perasaan ingin tahu, aku mengintai ke dalam radio itu untuk mencari jawapan bagaimana manusia yang menjadi penyanyi dan juruhebah boleh masuk ke dalam radio yang kecil itu. Segera aku menyangka salah satu alat transistor yang sebesar jari kelingking bayi yang baru lahir itu sebagai Ahmad Jais yang sedang menyanyikan lagu Gelisah. Dalam kehairanan aku berkata kepada opah, kecik sungguh Ahmad Jais tu, ye pah (opah)!! Orang tua itu hanya diam, pasti dia pun tak tahu bagaimana dan waktu bila pula Ahmad Jais boleh menyelinap masuk ke dalam radio yang lebih kecil daripada bakul sirihnya.

Saturday, July 18, 2009

Ayah dan Ibu Tumpang Gembira

Ketika kedengaran suara azan subuh dialunkan di Masjid Zahir Alor Star, aku sudah berada di dalam kereta untuk segera bertolak meninggalkan Hotel Regency untuk sampai di Bidor sebelum jam 9.00 pagi. Aku keberatan hendak naik semula ke bilik untuk menunaikan solat subuh. Aku bercadang menunaikannya di kawasan R&R Gurun. Dalam keadaan hari masih gelap, dan sebiji kereta pun tak ada di jalan raya Alor Setar, setiap lampu isyarat merah aku redah sahaja. Polis masih tidur, kata hatiku. Aku harus segera sampai di Bidor, kali ini aku tak peduli sebanyak manapun denda jika saman. Enjin 1.5l Avanza akan kuperah habis-habisan, biar pun ia menjerit-jerit keletihan(?) atau ketidaklaratan(?).
Aku tidak pernah selama ini memandu selaju 160 kmj, tapi kali ini aku terpaksa demi anak-anak. Perasaan takut terjadi apa-apa sentiasa sahaja bermain dalam kepala. Maklumlah bukannya Mercedez atau BMW, ini Toyota ayam sahaja. Alhamdulillah, setelah 2 jam 50 minit memandu, termasuk berhenti solat subuh di R&R Gurun dan membeli dua biji pau di R&R Semanggol untuk dikunyah dalam kereta, aku sampai di pintu pagar rumah jam 8.45 pagi. Sementara isteriku Ani bersiap-siap, aku bersarapan, nasi lemak dengan kopi. Huh.. segar rasanya. 9.15 pagi kami pun sampai di SMK Sheikh Abdul Ghani, Bidor. Majlis Anugerah Kecemerlangan baru sahaja bermula.
Ramai juga ibu bapa yang hadir untuk menyaksikan anak-anak mereka menerima anugerah masing-masing berdasarkan Peperiksaan Pertengahan Tahun 2009, PMR 2008 dan SPM 2008 di samping anugerah-anugerah khas yang lain. Merungut para hadirin yang ada, terutama yang duduk di belakang-belakang (termasuk aku) apabila perasmi , berucap entah apa-apa, meleret, melalut, mengarut.. nampak tak bersedia, tanpa teks, dan lama pulak tu. Dewan dah jadi macam pasar ikan, yang di depan berucap, yang di belakang bercakap. Balik dari jauh-jauh hanya untuk menyaksikan hal seperti itu, berasap kepala aku.... Mahu sahaja aku menyuruhnya berhenti apabila berkali-kali ucapannya seolah-olah sudah sampai hendak tamat tiba-tiba bersambung semula, terlintas idea baru agaknya.
Akhirnya majlis anugerah dilangsungkan sebaik sahaja ucapan perasmi tamat. Bermula dari tingkatan peralihan, diikuti Tingkatan Satu, Tingkatan Dua, dan Tingkatan Tiga. Apabila diumumkan pelajar cemerlang keseluruhan Tingkatan Tiga tempat yang ketiga, Amira Nazirah Nazeri, leherku cuba menjadi leher angsa, maklum itu anak aku tu... Walaupun di tempat ketiga, dan hanya Tingkatan Tiga ayah dan ibu tetap berbangga, anakku. Keletihan dan ketakutan sewaktu memandu tadi hilang 25 peratus.

Apabila anugerah kecemerlangan untuk Tingkatan 5 hendak disampaikan, sekali lagi leherku kupanjangkan macam leher angsa. Tu dia, seorang lagi anak Nazeri naik ke pentas, Abdul Khaliq menerima anugerah tempat pertama keseluruhan Tingkatan 5. Ayah ibu ikut berbangga sekali lagi. Khaliq naik lagi untuk menerima anugerah khas sebagai Ketua Pelajar 2009. Kali ini keletihan memandu tadi terus berkurangan sehingga 75 %

Aku yakin Khaliq tidak akan terpilih sebagai Tokoh Pelajar 2009 kerana dia amat kurang terlibat dalam sukan (masalah lelah) walaupun agak baik dari segi akademik dan aktiviti ko-kurikulum yang bercorak akademik. Ketika membaca biodata pelajar yang dipilih, juruacara menyatakan, "..dilahirkan pada 21 November 1992... anak kepada pasangan guru.." Eh.. itu Abang Cik tu (panggilan kepada Khaliq).. Ketika namanya diumumkan, tepukan diberikan oleh para hadirin. Leherku memanjang macam leher zirafah pula ketika dia menerima angugerah Tokoh Pelajar itu. Terus keletihan memandu dari Alor Setar subuh-subuh "sepiee" (Syafie) tadi hilang 100 %.

(Walaupun hanya di peringkat sekolah, ayah dan ibu amat berbangga dengan kalian.. Jadilah anak yang baik-baik yang berjasa kepada agama, bangsa, ibu bapa, dan negara).


Thursday, July 16, 2009

Aduh ke Alor Setar lagi....

Petang semalam aku sampai ke rumah di Bidor pada pukul 4.30. Bertolak dari ibu negeri Kedah ini kira-kira pukul 1.00 petang. Letih belum hilang, aku sampai lagi ke A.S. ini petang ini. Wow..Hotel Regency sudah jauh berubah wajah berbanding ketika bernama Hotel Grand Continental dahulu. Kekemasan bilik boleh tahan, ruang makan pun nampak hebat juga. Kemudahan internet di bilik-bilik cukup memuaskan, free pulak tu. Taklah seperti Tanjong Bungah Beach Hotel di Pulau Pinang, kena bayar RM8.00 sejam untuk kemudahan internet. (cekik darah!!). Ketika di Hotel Seri Malaysia, Alor setar tempoh hari kemudahan internet pun percuma juga. Baguih Kedah ni..(negeri kelahiran arwah ayah aku..). Entah apa nak jadi aku asyik lupa membawa kamera apabila bergerak ke sana ke mari.
Oh... pak... sayang seribu kali sayang.. aku harus berhenti setakat ini daripada terus memuji The Regency ini.. tilam di katilku ini berbau masam dan hapak... Awat lagu ni? Depa tukak nama tapi tak tukak tilam no..! Dajei sungguh. Bodo piang!! Nasib baik dekat dengan Pekan Rabu, kuranglah sikit rasa terkilan...

Wednesday, July 15, 2009

Mengisi Masa Malam Yang Panjang

"Sesi mesyuarat malam ini dibatalkan. Kita jumpa esok pagi sahaja". Itulah yang disampaikan kepada kami petang tadi. Sebahagian daripada kami bertolak ke Kangar untuk menonton konsert orkestra murid-murid sekolah. Aku tidak mahu pergi. Selepas solat maghrib aku melelapkan mata seketika di bilik. Selepas itu aku dan empat orang sahabat lagi pekena capati dan roti Arab di gerai di tepi stadium.

Selepas itu aku menunjukkan cara menghasilkan blog kepada sahabat di bilik sebelah. Setelah mereka dapat menghasilkan blog sendiri, aku kembali ke bilik.. Namun malam masih muda.. Apa nak buat ni???

Tuesday, July 14, 2009

Ke Kedah

Aku berada di Alor Star semalam, hari ini dan esok untuk pemurnian akhir soalan-soalan kuiz sejarah negeri Perak. Kuiz peringkat Negeri Perak akan diadakan pada 13 Ogos nanti di Daerah Kerian. Memadai bagi kami guru-guru hanya bermesyuarat di Hotel Seri Malaysia atau yang setaraf dengannya, yang penting tugas yang diserah disiapkan dengan sebaik mungkin. Hotel ini terletak betul-betul di sebelah Stadium Darul Aman. Sayangnya tidak ada pula jadual Liga Malaysia dijlangsungkan sehari dua ini di sini.

Saturday, July 11, 2009

Ke Cameron Highland

Hari ini Karnival Sukan Pelajar-pelajar Tingkatan 6 Daerah Batang Padang diadakan di Pusat Sukan Stesen Janakuasa Elektrik TNB, Batu 19, Jalan Cameron Highland. Sukan yang melibatkan enam buah sekolah yang menyertai acara bola sepak, sepak takraw, bola jaring, dan bola tampar diadakan buat julung-julung kalinya. Kali ini SMK Sungkai dipilih sebagai urusetia. Para pelajar diangkut dengan beberapa buah bas dari sekolah masing-masing. Teruja aku dengan semangat kerjasama para guru dari semua sekolah. Para pelajar juga aku lihat bergembira dan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi. Terima kasih yang tak terhingga kepada pihak TNB yang memberikan kerjasama yang sepenuhnya.
Setelah solat zohor aku meninggalkan venue lalu terus ke Cameron Highland bersama isteriku Ani dan anak bongsu kami Azim. Azim tak pernah ke Cameron Highland dan Ani hanya pergi ke sana 30 tahun lalu (katanya). Aku pula sudah sering naik ke tempat yang dingin itu untuk tugas-tugas rasmi. Setelah pusing-pusing, dan kepala pun sama "pusing-pusing", kami balik ikut Simpang Pulai, supaya Ani dan Azim dapat menilai jalan yang mana lebih memeningkan, pening ikut Tapah atau pening ikut Simpang Pulai.

Wednesday, July 8, 2009

Hentam Sajalah Labu...

Khaliq (Tingkatan 5), Amira (Tingkatan 3) dan Azim (Tahun Tiga) begitu seronok bermain. Riuh sebuah rumah. Aku dan ibu mereka, Ani tidak masuk campur tetapi tumpang gembira apabila anak-anak bergembira. Sebenarnya mereka bersaing sama sendiri bagi memenuhi senarai nama negeri/negara, jenis kereta, jenis bunga, jenis binatang dan jenis buah-buahan mengikut abjad. Permainan ini biasa dimainkan di sekolah-sekolah, malah ketika di maktab pun aku bermain permainan yang sama.

Beberapa ketika selepas itu Khaliq dan Amira ketawa terbahak-bahak. Kelihatan Azim terpinga-pinga. Ibu dan ayah mereka tertanya-tanya mengapa. Rupa-rupanya hanya kerana nama buah-buahan yang bermula dengan huruf Z. Sedangkan abang dan kakaknya memilih nama buah zaitun, Azim memilih buah z***r, kerana tidak mengetahui apa sebenarnya buah pilihannya itu.

Azim terus menemuiku dengan untuk bertanya apa sebenarnya buah z***r tu sehingga semua orang tertawa. Setelah diterangkan, selamba dia berkata, bukan ke buah juga tu..? Sekali lagi seisi rumah tertawa.

Monday, July 6, 2009

Untuk Renungan...

(aku hanya memetik sahaja)

Seloka Emak Si Randang
Baik budi emak si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tiada berkayu rumah diruntuhkan,
Anak pulang kelaparan,
Anak dipangku diletakkan,
Kera di hutan disusui,
Dagang pergi awak berhutang,
Beras habis, padi tak jadi.


Seloka Pak Pandir
Anak dipijak dagang dijinjing,
Kucing dibunuh tikus dibela,
Harta habis badan tergadai,
Mendengar gelagak dagang,
Tak sedar bertelanjang,
Mendengar guruh dilangit,
Air ditempayan dicurahkan,
Mulut kena suap pisang,
Buntut kena cangkuk onak,
Gunting makan dihujung,
Pak Pandir juga yang menanggung,
Apa didengar gelagak dagang,
Gelagak rambutan jantan,
Orang berbunga dia berbunga,
Orang berbuah dia haram,
Kilat memancar hujan tak jadi,
Awak juga kecundangan

Thursday, July 2, 2009

Sekadar Catatan

I
30 Jun yang lalu guru-guru dan staf-staf sokongan dari seluruh Daerah Batang Padang yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008, menerima sijil masing-masing di Institut Tanah dan Ukur Negara, Behrang, Tanjung Malim yang disampaikan oleh Pengarah Pelajaran Perak. Di celah para guru besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, pengetua, penolong-penolong kanan (dan kiri?), guru-guru yang cemerlang dalam bertugas, terselit seorang aku.... aku yang sering saja cemerkap!
II
Di sekolah, Makmal Komputer Dalam Pendidikan (KDP) sudah berbulan aku biarkan tanpa diselenggara. Namun, hari ini seharian aku memformat sendirian 22 buah komputer di makmal itu dan melakukan semula instalasi software-software yang berkaitan. Terima kasih kepada Hantu (Ghost8) yang terlalu banyak membantu.

Friday, June 26, 2009

Durian Oh Durian

Kepanasan! Bukan banyak, hanya lima atau enam ulas sahaja yang aku makan. Tapi itu petang tadi. Sejam yang lalu, aku kupas sebiji lagi. Azim makan dua ulas, Amira seulas, selebihnya... aku juga yang habiskan... Huh.. panas betul ...

Sunday, June 21, 2009

SMK Sungkai: Reunion

Reunion bekas staf SMK Sungkai pada 20 Jun 2009 pukul 8.00 malam di Taman Aman Bidor. Begitulah SMS yang aku terima ketika masih berada di Summit, Bukit Mertajam dua tiga hari lalu. Aku menjangkakan majlis itu akan dihadiri oleh guru-guru sekitar daerah Batang Padang yang pernah berkhidmat di SMK Sungkai. Aku sudah dapat menduga majlis itu nanti untuk meraikan Tuan Haji Hanafi yang akan bersara dan isterinya. Tuan Haji Hanafi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi pernah bertugas di Sungkai dari awal tahun 1980-an hingga 1996. Isteri beliau Ustazah Ramlah pernah bertugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Sungkai beberapa tahun lalu.
Pukul 8.30 malam tadi aku pergi ke Taman Aman walaupun aku masih letih kerana baru sampai dari Bukit Mertajam pada petangnya. Dari jauh sudah kedengaran riuh rendah suara para jemputan. Wah! aku tak sangka begitu ramai bekas staf SMK Sungkai yang hadir. Sebahagian besarnya aku kenali tetapi ada juga yang aku tak kenal. Aku kenal mereka yang pernah bertugas di SMK Sungkai sejak tahun 1987 hingga kini. Sayang sekali aku tidak membawa kamera, dan tidak juga membawa isteriku.
Alangkah gembiranya bertemu rakan-rakan setugas yang datang dan pergi sejak lebih 22 tahun lalu. Antara yang masih berkhidmat di SMK Sungkai dari zaman muda hingga kini ini yang hadir ialah aku sendiri, Zakiah, Thayabari, dan Salmi. Selain itu yang turut hadir ialah Tuan Hj Nordin (bekas Pengetua hingga awal 1990-an; kini di Sepang), Awaludin (bekas PK 1, ), Razali Ismail (bekas Peny. Petang), Sirujuddin, Sazali, Manan (kini di Ampang, Selangor), Wazir, Lau, Hong, Kula, Salamah, Maliha, Siti Khatijah, Samy, Azmi, Osman, Fazli, Jaya, Jad, Santhi @ Muniamah ( kini di Subang), Loke, Fodziah, Ismail, Salim dan puluhan lagi nama-nama lain-lain. Masa yang terus berputaran menyaksikan sebahagian besar telah dimamah usia. Malahan tak kurang yang sudah pun menjadi datuk dan nenek
Ramli dan isterinya Munah yang kini bertugas di Kedah bergegas dari Kuala Nerang ke sini semata-mata untuk bertemu sahabat-sahabat lama. Sungguh mengharukan apabila Munah mengatakan bahawa telah banyak sekolah mereka mencurahkan khidmat tapi sama-sekali tidak sama dengan keseronokan ketika berkhidmat di SMK Sungkai.
Makanan yang lazat pelbagai jenis turut terhidang. Mulut terpaksa melakukan dua tugas serentak, mengunyah dan berbual. Begitu banyak, begitu luas, dan begitu panjang penceritaan semula kisah-kisah lama berlangsung malam tadi. Ada juga yang tidak dapat hadir, atau tidak hadir kerana tidak mendapat jemputan (sebenarnya tidak dapat dihubungi).
Terima kasih kepada penganjur yang terdiri daripada Fazli, Kula dan Ustaz Hanafi sendiri kerana berjaya menemukan semula sahabat-sahabat lama yang sudahpun terputus hubungan, dan berjaya menghidupkan kembali suasana hiruk-pikuk SMK Sungkai seperti di masa lalu, walaupun untuk satu malam sahaja.

Saturday, June 20, 2009

Summit, Bukit Mertajam

Aku berada di hotel ini mulai hari Khamis 18.06.09 hingga tengah hari Sabtu 20.06.09 untuk menyiapkan projek Gemilang Sejarah PMR / SPM anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Perak.
Sebenarnya aku tidak begitu sihat untuk ke sini tetapi memandangkan ramai antara kami yang menghadapi kekangan hingga terpaksa menangguhkan kedatangan atau tidak hadir langsung, maka terpaksa kugagahi juga untuk datang.
Untuk bersembahyang Jumaat siang tadi aku bersama enam orang lagi rakan setugas memilih untuk pergi ke masjid Kubang Semang. Masjid itu sedang dalam proses dibaik pulih.
Kira-kira jam 11.00 malam tadi aku dijemput oleh seorang sahabat lama ketika di sama-sama bertugas di Sarawak 25 tahun dahulu. Aku dibawa minum di sebuah restoran mamak di Bandar Perda, pekena roti canai dan teh tarik.
Sebelum tertidur sempat jugalah aku menulis posting ini dengan meminjam peralatan broadband mudah alih daripada sahabat sebilik. Sahabat itu dah berdengkur pun...

Thursday, June 11, 2009

Ikut Rupa... Manis, Ikut Rasa...Masam

Marile nyinggah , yoep. Begitulah bunyinya seorang pemuda di pasar malam, malam tadi. Ini barang baik, Siam punye, tak dapat kat sini yoep, katanya lagi. Tengokle ha.. lemun-lemun (montel), gerenti sedap yoep. Tengok rope pun dah tau, punya.. Begitulah dia memujuk.
Memang terliur, memang tergiur. Aku memang tergoda dan kubawa pulang.

Di rumah, aku pun mengadap sorang-sorang. Nanti anak-anak nak sama rugi le aku. Huh, bila ‘baju’nya dibuang, aduh mak... meleleh ayor lior kata orang Perak. Buat apa buang masa, balun sajalah..Tapi..

Pergh!!!! Rasanya tak seindah rupa. Kata orang Perak masam ketumpor. Aku tertipu, yoep. Tergenyit-genyit mata aku menahan rasanya yang masam. Sampai di pasar tadi pun mata aku masih nak tergenyit-genyit juga terutama apabila ada gadis manis yang lalu. Bukan apa masih terasa-rasa rasa kemasaman di mata.

Tuesday, June 9, 2009

Apa Yang Penting.....?????

Huahhhhhh... ada empat. lima hari lagi cuti.. Apa yang penting... rehat dan tidur. Sementelahan rumahpun di Bidor.. Bidor dan tidur bukan jauh pun... sejarak antara lidah dan bibir sahaja..
Lupakan ini..

Lupakan ini...

Lupakan ini...

Lupakan ini...

Apa yang penting tidur dan tidur
sambil mengharapkan kehadiran mimpi yang indah-indah

Sunday, June 7, 2009

Selamat Pengantin Baru


Selamat Pengantin Baru untuk Azmir dan Faezah. Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat.

Binalah rumahtangga yang bersendikan syarak dan akhlak.


Drp Paksu dan Maksu.


Thursday, June 4, 2009

Cuti dan Bercuti

Sudah enam hari bercuti. Tiada sehelai skrip jawapan pelajar pun yang sempat aku semak. Sebenar perkataan sempat mungkin tidak menepati situasi masa kini. Yang lebih tepat aku mahu menikmati cuti ini semaksimum mungkin. Ketepikan skrip jawapan pelajar, ketepikan tugas pembinaan jadual baru. Aku mahu cuti, cuti dan cuti.
Aku diberitahu oleh teman-teman seperjuangan terdapat empat orang guru yang bertukar masuk tetapi aku tidak pula diberitahu oleh pihak atasan hal tersebut dan di mana mereka akan ditempatkan, sebelah pagi atau di sebelah petang. Berdasarkan perkembangan-perkembangan semasa aku tidak mahu lagi memikirkan hal jadual seperti sebelum ini, nanti aku dikatakan mendahului keputusan orang-orang tertentu. Tak suruh aku takkan buat. Biar orang besar-besar memikirkannya pula. Jika jadual tak siap lantaklah.
Seronoknya bercuti...

Wednesday, June 3, 2009

Sekadar Ke Ipoh

Selepas solat zohor tadi aku membawa Ani dan anak-anak berserta seorang anak saudaraku ke Ipoh, sekadar untuk mengisi waktu. Mula-mula ke Jusco. Selepas merayau-rayau tanpa tujuan, Ani membeli sesuatu untuk dihadiahkan kepada anak saudaranya yang akan melangsungkan pernikahan pada hari Sabtu nanti. Hampir satu jam di situ aku membawa mereka ke Greentown Mall. Sempat juga membeli dua helai kain samping dewasa dan satu samping kanak-kanak (satu untuk Qayum, satu untuk Khaliq dan satu untuk Azim) untuk dipakai pada hari perkahwinan anak saudara Ani nanti.
Selepas solat asar di masjid berhampiran hospital, kami ke kedai kasut pula. Khaliq mengadu kasut hitamnya sudah koyak dan perlu diganti. Akhirnya aku juga menyambar sepasang kasut untuk dipakai sewaktu bertugas. Kasut yang sedia ada masih baik tetapi mungkin sudah terlalu letih dek dihenyak setiap hari. Tak lama di kedai kasut, perut minta diisi, tekak minta dibasahi. Tapi Azim menunjukkan reaksi seperti harimau luka, semata-mata mahu dibelikan CD permainan komputer di kedai komputer berdekatan. Terpaksalah juga dipenuhi.
Kembali semula Greentown Mall, masing-masing pekena nasi goreng ayam. Kemudian terus ke Masjid Kampung Rapat, solat maghrib. Selepas itu masih belum boleh balik, Ani mengajak ke Butik First Lady, mencari baju untuk Amira. Bila keluar aku tengok tangan Ani dan Amira kosong. Belum ditanya Ani dah memberitahu, cerewet sangat anak awak tu... huh!
Setengah jam selepas itu kami pun sampai ke Bidor. Aku memandu antara 130 ke 150km sejam. Meraung-raung enjin 1.5l Avanza kuperas dan kuperah ketika mendaki bukit dekat Gua Tempurung. Bukan apa, perutku minta supaya apa yang dimakan tadi atau sebelumnya segera dikeluarkan. Lagipun pada sebelah malam jarang ada perangkap had laju.

Friday, May 29, 2009

Susun Jadual Lagi...

Hari ini hari persekolahan terakhir untuk penggal ini. Hari ini juga tidak banyak yang aku lakukan di sekolah kecuali menyusun semula alokasi jadual guru-guru berikutan kemasukan pelajar-pelajar Tingkatan 6 Rendah/Pra-U dan pertukaran masuk guru-guru baru. Setakat ini tiada guru yang bertukar keluar.
Dengan penstrukturan semula Tingkatan 6/Pra-U, beberapa perubahan perlu dilakukan dalam perjawatan dan penjadualan. Ada yang gembira, ada yang duka, ada yang gembira dalam duka dan tak kurang ada yang duka dalam gembira berikutan kesan daripada penstrukturan tersebut. Yang berubah dari tangga DG41 ke DG 44 senyum riang. Lebih-lebih lagi riangnya yang dari DG 48 melompat ke DG 52. (sampai datang sekolah pun dah lewat semula). Yang berubah dari tangga DG 44 ke DG 44 juga tertanya-tanya untuk apa, dan ada yang tak berubah langsung.
Apa pun selamat bercuti bagi para sahabat dari kalangan guru.

Sunday, May 24, 2009

PANAS!!!

Panas! Itulah ungkapan ringkas yang menggambarkan keadaan cuaca kebelakangan ini. Sebelah siang cahaya matahari terasa amat terik. Mujurlah aku ini guru, berada di tempat beratap dan berdinding ketika bertugas. Di sini aku insaf betapa ramai lagi di luar sana terpaksa menahan terik matahari demi mencari rezeki halal.
Di rumah anak-anak menghidupkan setiap kipas dengan kelajuan maksimum. Silap-silap haribulan mahu terbang kipas itu menjadi helikopter mencari kepala! Penghawa dingin turut dihidupkan. Bil elektrik berganda bulan ni. Anak-anak tak kira itu semua, yang pening ibu dan ayah. Tak apalah asalkan mereka gembira dan dapat mengulang kaji pelajaran dengan selesa.
Setiap petang Rabu hujan berkemungkinan besar akan turun di Bidor. (Hairan juga). Namun hujan tidak dapat menghilangkan suhu panas. Kata mereka yang arif keadaan ini akan berlanjutan sehingga September nanti. Tambahan pula sekarang ini matahari berada sangat hampir dengan garisan khatulistiwa, kata mereka lagi.
Terkenang juga sesekali di musim panas ini akan keadaan di tahun-tahun 60-an dan 70-an. Ketika musim inilah telaga di kampung-kampung hampir kering. Maka dapatlah 'lesen' mandi di sungai sampai puas tahap maksimum. Dan ketika inilah ayah akan membersihkan telaga dengan menimba. Seronok kerana kadang-kadang dapat bermain-main dengan belut yang terperangkap di dalam timba.

Monday, May 18, 2009

Hari Guru

16 Mei setiap tahun Hari Guru (di Malaysia). Sekolah-sekolah di Perak akan menyambut Hari Guru pada 18 Mei kerana 16 Mei 2009 jatuh pada hari Sabtu.

Seperti biasa, para guru akan menerima ucapan Hari Guru daripada pelajar dan bekas pelajarnya. Dengan kecanggihan sistem komunikasi pada hari ini, ucapan Selamat Hari Guru dihantar melalui SMS. Maka akupun tak ketinggalan menerima SMS yang bertalu-talu daripada bekas pelajarku. Rupa-rupanya mereka masih ingat. Terima kasih.

Para pelajar akan menghadiahkan sesuatu kepada guru mereka. Ada guru yang dapat, ada guru yang tidak dapat. Tapi mana-mana guru tidak akan meminta apa-apapun daripada anak didiknya sebagai hadiah hari guru. Ada juga trend guru-guru akan bertukar-tukar hadiah sesama sendiri. Maaf wahai teman-teman seperjuangan, aku benar-benar tidak mahu ikut dalam hal bertukar-tukar hadiah itu. (Aku mengandaikannya sebagai seseorang yang menghantar surat kepada dirinya sendiri!).
UNTUK GURU-GURU, SELAMAT MENYAMBUT HARI KITA, HARI GURU....

Emak Semakin Segar

Setelah dua minggu, keadaan kesihatan emak semakin meyakinkan. Emak sudah boleh berjalan dengan dipapah. Kaki emak masih lemah, dan emak mengadu terasa ngilu ditapak kakinya. Pagi tadi aku membawa emak ke Klinik Yusuf kerana emak bberasa senak diperut. Setelah discan, kelihatan banyak kandungan air dan angin. Walau bagaimanapun menurut doktor keadaan tidaklah membimbangkan. Tambahan pula tekanan darah emak adalah normal.

Namun aku memesan kepada adikku yang menjaga emak, emak jangan ditinggalkan berseorangan. Dalam usia emak yang masih tersisa (kalau Tuhan hendak mengambil nyawa, tidak kira emak atau anak, akan pergi dahulu) aku akan cuba membahagiakan emak seadanya.

Sunday, May 10, 2009

Doa Buat Emak

Sudah dua minggu aku tidak mengunjungi blog aku sendiri. Terlalu banyak yang perlu diuruskan dan diselesaikan. Bila berlaku pertembungan antara kepentingan diri dengan kepentingan keluarga dan kepentingan tugas, keluarga dan tugas perlu diutamakan melebihi kepentingan diri
Emak semakin uzur sejak ayah meninggal setahun lalu dan kesihatan emak pula sejak seminggu dua ini amat tidak memuaskan. Emak perlukan penjagaan yang lebih daripada kami, anak-anaknya. Emak tidak boleh dibiarkan berseorangan. Emak dibawa ke rumah adik perempuanku di Besout kerana sebagai suri rumah sepenuh masa, hanya dia diharapkan dapat menjaga emak dengan sempurna.
Empat hari lepas semua adik beradik saudara mara telah kami hubungi kerana keadaan emak amat tenat. Emak diajar mengucap. Surah Yasin dibaca dengan doa jika Allah hendak mengambil emak, ambil dengan penuh kerahmatan daripada-Nya, dan jika belum hendak dipanggil pulang, doa dipohonkan agar emak dapat disembuhkan semula. Alhamdulillah, selepas beberapa ketika keadaan emak bertambah stabil.
Pagi tadi kakak dan adik bongsuku berserta suami dan anak masing-masing telah kembali semula ke Johor. Aku dan abangku kini kembali semula ke Bidor, ke rumah masing-masing. Sebelum pulang tadi aku lihat emak semakin segar walaupun belum dapat bergerak sendiri. Kini kami benar-benar meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada adikku yang tinggal di Besout bersama suaminya berhati mulia itu untuk menjaga emak.
Aku tidakpun mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada emak, kerana bagiku setiap hari yang berlalu dan setiap hari yang terjelma adalah hari ibu. Dan jikapun aku mengucapkannya, emak tidak akan faham untuk apa perkataan itu diucapkan.

Monday, April 27, 2009

Kisah di LHDN dan Berlumba dengan VVIP

I
Pukul 2.30 petang tadi aku ke LHDN Teluk Intan. E-filing?, terus ke tingkat dua, kata seorang petugas dengan senyuman. Wau!!! sebaik aku menguak pintu Tkt 2, berpuluh-puluh orang sedang mengadap komputer-komputer yang disediakan. Kebanyakannya sebaya dengan aku, ramai juga yang terangkak-rangkak menggunakan komputer. Suasana sama seperti ketika aku menjadi fasilitator mengajar guru-guru berkomputer 10 tahun dahulu, hiruk-pikuk dengan pertanyaan itu ini. Kasihan aku melihat dua orang petugas wanita yang melayani semua dengan tabah. Aku merapati seorang petugas, saya dan isteri terlupa password, kataku. Tanpa berlengah beliau membereskan urusan itu. Tak sampai pun lima minit urusan aku selesai di situ kerana aku akan menyelesaikan urusan itu melalui komputer di rumah.

II

Aku memandu dalam keadaan santai ketika pulang. Setiba di Cangkat Jong aku terpandang sebuah Brabus hendak memotong kereta Toyotaku yang paling ayam, Avanza. Aku memberinya peluang memotong. Huh! Melayu rupanya. Baguslah kata hatiku. Belumpun sempat Brabus tadi hilang dari pandangan, melalui cermin pandang belakang, ada kereta polis yang memasang lampu meminta aku memberinya laluan untuk memotong. Silakan. Rupa-rupanya di belakang kereta polis itu terdapat empat buah kereta 'berbintang tiga' bercermin gelap. Berdesup meluru ke depan. Kereta Pak Menteri persekutuan rupanya. Balik dari Lumutlah tu, nak ke lebuh raya melalui Bidor, aku meneka dalam kesamaran.

Di kawasan had laju 60km para VVIP boleh lari 3 kali ganda daripada itu. Siap diiringi lagi. Marhaenis-marhaenis seperti aku tak layak dapat pengecualian itu. Tak apalah, itu keistimewaan dia. Akupun sebenarnya boleh buat begitu jika aku mahu dan jika aku mampu untuk membayar saman.

Sampai di Batu 12, terlalu banyak lori yang perlu dipotong. Banyak pula kederaan di kedua-dua arah. Bila ada peluang, dengan kelajuan 90km/j aku memotong empat buah lori sekali gus. Maklumlah lori-lori itu hanya berkelajuan 50km/j sahaja, sarat dengan kelapa sawit. Tup-tup aku berada betul-betul di belakang kereta Pak Menteri itu. Padan muka engkau, kataku. Lori-lori itu tak dapat memberi laluan kepada mana-mana VVIP sekalipun kerana jalan di laluan itu sempit dan bahu jalan yang lembut. Jika ke tepi, tayar lori itu akan terperosok ke dalam tanah gambut. Hanya apabila tiba di laluan yang lebih besar, barulah kereta-kereta VVIP dan pengiringnya berjaya melepaskan diri dan terus "hilang" selepas melalui sebuah selekoh, hanya untuk membontoti deretan-deretan lori yang lain pula.

Sampai di persimpangan lampu isyarat Kampung Simpang Tiga Bidor, keretaku kembali berada di belakang kereta VVIP itu lagi. Kali ini tersekat dek lampu isyarat berwarna merah. Jika ketika lampu itu merah dia jalan juga, akupun akan ikut jalan sama. Mujur tidak.

Melepasi lampu isyarat, seperti yang aku duga, mereka menghala terus ke lebuh raya, sementara aku pula menghala ke laluan yang membawa aku pulang ke rumah.

Wednesday, April 22, 2009

6AAK, Sulaltus Salatin dan Burung Birit-birit

I
Pengajaranku di kelas 6 Atas Al-Khawarizmi hari ini berkisar pada tajuk unsur-unsur sindiran dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Aku membantu pelajar-pelajar itu menyenaraikan dan mengulas beberapa peristiwa dalam SSSM diselitkan oleh pengarang teks sastera sejarah itu untuk menyindir secara halus golongan atasan khususnya golongan istana.
Untuk mengelakkan diriku daripada dianggap oleh para pelajar menghina pihak istana, berkali-kali aku tegaskan setiap ulasan dan pandanganku tentang unsur-unsur sindiran ini tidak berkaitan dengan mana-mana institusi istana yang wujud hari ini di negara kita, sebaliknya ditujukan kepada Raja-raja/Sultan di Melaka pada zaman berkenaan sahaja, walaupun titisan darah diraja Melaka masih mengalir pada tubuh Sultan tertentu sehingga hari ini.

II
Sebelum memulakan sesi P&P di 6AAK tadi terpandanglah aku seekor burung birit-birit hinggap di talian telefon yang merintangi jalan berhampiran bilik kelas tersebut. Spontan aku bertanya kepada pelajar, sama ada mereka kenal akan burung birit-birit. Tiada seorang pun yang kenal. Sebelum sempat aku menunjukkan kepada mereka, burung birit-birit tadi sudahpun terbang entah ke mana. Tak apalah, aku faham generasi zaman sekarang bukan lagi generasi yang bergelumang dengan hutan belukar, sungai, hutan, unggas, serangga dan sebaginya. Akupun tidak kehairanan kerana ada di antara pelajar itu tidak kenal akan pokok pinang sekalipun!


Ketika aku masih kecil, apabila kumpulan burung birit-birit berterbangan pada waktu tengah malam, ibu bapaku akan segera mengarahkan kami yang sedang tidur terlentang supaya tidur mengiring. Perlakuan ini turut diamalkan oleh semua warga kampung. Ibu bapa amat mengenali bunyi burung ini. Bila ditanya mengapa? Jawapannya, ada "sesuatu" yang berpaut pada hujung ekor burung tersebut. Sebenarnya ada kisah di sebalik kepercayaan dan perlakuan itu. Aku pulangkan kepada pengunjung jika ada yang dapat memberi penjelasan.

Monday, April 20, 2009

Siap Jua Akhirnya

Setiap hari, cahaya matahari petang akan menyapa terus ke ruang keluarga rumahku. Ruangan itu tempat anak-anakku bermain perang-perang melalui komputer dan selalu juga mereka berperang sesama sendiri di situ. Menonton TV juga di situ. Mereka membuat kerja sekolah juga di situ. Sudah tentu bahang cahaya matahari yang menerjah masuk melalui kaca pintu gelongsor mengganggu penumpuan mereka.
Sebulan yang lalu aku mengambil keputusan membina sendiri (seorang diri) kawasan beratap di bahagian luar ruang keluarga itu. Setiap waktu terluang aku akan bertukang, secara beransur-ansur. Apabila kawasan itu ditimpa cahaya matahari aku akan berhenti. Aku takut kulit aku yang gelap ni bertambah gelap. Setiap hari aku hanya ada masa lebih kurang 1 jam, pukul enam petang sampai pukul tujuh. Jika hari cuti aku punyai masa yang lebih panjang.

Aku memasang atap pada sebelah malam. Memasang atap genting tidak banyak mengeluarkan bunyi. Oleh itu jiran-jiran tidak akan terganggu dan tentunya suhu pula lebih sejuk.
Dan hari ini semuanya telah siap 100 peratus. Matlamat untuk mengurangkan terjahan cahaya matahari ke ruang keluarga tercapai. Memanglah tidak kemas kerana aku bukan tukang profesional. Lagipun aku tak mahu memotong rezeki sahabat berblog aku, Kontraktor Wibawa tu. Mana tidaknya, nanti orang suruh aku bina rumah mereka, kesianlah En Nor Azuan Mustafar tu tak dapat projek pulak.
(Buat projek inilah urat lutut aku pecah, turun naik tangga. Tahun lepas ketika membuat atap di sebelah kanan rumah aku untuk menahan terjahan cahaya matahari pagi, aku terjatuh setelah atap yang aku pijak pecah dan patah, terjunlah aku ke tanah. Sakit beb..)


Thursday, April 16, 2009

Rombongan Che Kiah

Hari 16.04.2009. Aku bersama Cikgu Razali, Puan Hazyani, dan Puan Norida menjadi guru pengiring "Rombongan Cik Kiah" ke Menara Condong Teluk Intan, Kompleks Sejarah Pasir Salak, dan ke kawasan hutan bakau di Matang. Lawatan ini disertai 80 0rang pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 6.

Ini merupakan peluang bagi sebahagian pelajar SMK Sungkai melihat dunia luar, kerana ada di antara mereka tidak pernahpun sampai ke Teluk Intan! Teluk Intan dan Pasir Salak sudah tidak asing lagi bagiku, tetapi ini merupakan kali pertama aku melawat kawasan hutan bakau di Matang. Tentunya tidak sama dengan hutan getah tempat aku bermain sewaktu kecil dahulu.

Untuk tidak menghampakan para pelajar, mereka dibawa ke Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar untuk solat zuhur. Kami juga membenarkan mereka bersiar-siar di bandar Taiping selama dua jam sebelum bertolak pulang ke Sungkai.

Gambar atas: Pegawai Hutan yang mengiringi kami

merentasi hutan bakau.

Terima kasih atas kerjasama dan kemesraan



Gambar atas: Jaga-jaga, pucuk rotan bakau, bahaya



Gambar atas:

Sempat juga membeli jambu potong, cucuk-cucuk, suap


Gambar atas:Di tepi Sungai Perak, berhampiran kawasan Birch kena bunuh