Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Saturday, October 28, 2017

Bila nak sembuh ni? Sabar je la..

Tapak kakiku pecah-pecah semula menyebabkan pergerakanku terbatas. Sakit dan pedih. Tak apalah, kuanggap ujian menguji ketabahanku. Aku malas betul nak mengadap doktor semula. Selepas bercerminkan tapak kakiku, doktor beri ubat, cuba untuk satu atau dua minggu, lepas tu datang lagi.

Tanggung sajalah.. mungkin kubawa hingga ke mati.

Thursday, October 26, 2017

Rangkuman Untuk 3 hari..

Tiga hari aku tidak menulis apa-apa. Tak ada apa yang hendak disentuh. Pun tak ada apa-apa aktiviti penting dalam hidupku untuk dua tiga hari itu selain makan tidur dan menggodek kereta tua tu.

24.10.2017: Aku perhatikan di tanah entah siapa tuannya sebelah menyebelah rumahku lalang dah meninggi seperas pinggang. Rumput-rumput renek di belakang kawasan rumahku sendiri pun nampak menghijau. Aku pun membeli pam racun dan racun rumput sekali. Terhegeh-hegehlah aku memikul pam untuk menyembur racun. Berat. Tiba-tiba terserempaklah aku dengan seekor ular tedung selar sebesar batang penyapu di belakang rumahku. Aku menjerit terkejut, ular tu pun tentunya terkejut juga. Dia cabut ke arah kanan, aku cabut ke arah kiri.Dalam keletihan tu aku terus juga meracun. Terdengar pulak orang memberi salam di pintu pagar. Termengah-mengahlah aku ke bahagian depan halaman. Rupa-rupanya Pakistan penjual karpet. Walaupun aku berkali-kali mengatakan tidak mahu dia masih merayu-rayu memintaku membeli jualannya. Aku buat tidak tahu sahaja. Lantak engkaulah, gerutu hati kecilku. Dalam letih2 itu mahu saja aku  menghalau dengan kasar, tetapi biarlah. Akhirnya apabila tidak dilayan dia beredar juga sudahnya.


Petang semalam (25.10.2017) pergilah aku bersami isteri ke SMK Syeikh Abdul Ghani menghadiri Majlis Anugerah Kokurikulum dan Sahsiah. Dalam majlis itu Azim dapat 7 anugerah yang berkenaan aktiviti bahas, forum, koperasi dan ikon pelajar. Bila sentuh tentang sukan, Azim apa pun tak terlibat, tidak seperti ayahnya dulu-dulu.

Hari ini Khamis 25.10.2017 aku tidak ke mana-mana, hanya berada di rumah. Seperti sesetengah orang , sesekali aku ke masjid juga sembahyang berjemaah. Selepas solat isya tadi, Tuan Imam mengumumkan bahawa solat hajat akan diadakan untuk anak si fulan bin si fulan yang bernama Si fulanah dan Si fulanah agar terang hati mereka menjawab soalan peperiksaan yang tak lama lagi akan ditempuhi. Semoga juga anak-anak jemaah yang lain juga begitu, kata Imam. Aku  angkat kaki, balik, lapar.

Sunday, October 22, 2017

GPS.. Guna Pun Sesat ??

Global Positioning System.
Aku tak mahu menterjemahkannya kerana semua orang faham dan tahu apa ke jadahnya GPS itu.
Bacalah tentang GPS di sini

Garmin, Waze, Google Map .. dan entah apa lagi alat dan aplikasi penunjuk arah ini semakin meluas digunakan untuk mencari seuatu lokasi di bumi ini. Tersesat arah dalam perjalanan dapat dikurangkan. Dan biasanya kita terus "dibawa" ke depan pintu sesuatu lokasi itu walaupun kita tidak pernah sampai ke situ. Itulah kemajuan dunia.

Namun, ada kalanya kita di bawa ke tempat yang salah. Sebelum Google Map begitu meluas digunakan, aku ada alat navigasi Garmin. Banyak kali Garmin salah tunjuk arah ketika aku mencari sesuatu lokasi. Aku hanya membicarakan kesilapannya, sedangkan puluhan kali juga ia menunjukkan arah yang tepat kepadaku..

I
Ketika mencari arah ke rumah kawan Ani di Naka, Kedah; Garmin menunjukkan arah ke jalan kecil di tengah-tengah di sawah padi. Sampai tu sampai tapi takkan jalan seteruk itu ditunjukkan atas alasan "jalan paling hampir". Silap haribulan, terbenam tayar kereta.

II
Di Parit Buntar, nak cari Jalan Helang, Garmin tunjuk jalan Enggang, berpusing-pusinglah mencari. Akhirnya tanya kat orang, baru jumpa.

III
Nak cari sebuah rumah di Kampung Pantai Dalam, Garmin tunjuk arah ke kubur.

IV
Ketika mencari sebuah kilang di Sungai Besi, anak saudara nak temuduga, Garmin tunjukkan tanah penuh belukar.

V
Nak cari sebuah hotel di Shah Alam, Garmin tunjukkan kedai mamak.

Sekarang ni pakai Google Map, nampaknya memuaskan. Aku pakai juga aplikasi Waze tapi Google Map lebih aku gemari.





Ke Kelantan dan Terengganu (Besut saja)

Pada 19.10.2017 aku, Ani dan tiga daripada empat orang anak kami, menuju Kelantan seawal 8.30 pagi. Sebelum itu, pada jam 9.30 pagi kami singgah di Ipoh untuk membolehkan Qayyum menghadiri temuduga pegawai akaun di Hospital Al-Ridzuan. Sementara Qayyum menghadiri sesi temuduga, kami empat beranak berlegar-legarlah di Angsana Mall. Kami menjangkakan jam 11.30 pagi bolehlah meneruskan perjalanan ke Kota Bharu. Jangkaan kami meleset, sesi temuduga Qayyum hanya berakhir jam 1.00 petang. Setelah makan, dan solat, jam 2.00 barulah kami boleh bergerak ke Kota Bharu. Perjalanan lancar, kereta tidaklah banyak sangat. Jam 6.00 petang perjalanan melewati Jeli ditemani oleh curahan hujan yang agak lebat juga. Terpaksa bergerak perlahan dalam deretan kenderaan yang kehujanan. Jam 8.30 malam kami sampai di Hotel Ridel. Selepas makan malam lebih kurang jam 10.00 mataku tak terangkat lagi rasanya.


Wednesday, October 18, 2017

Deepavali

Orang India beragama Hindu yang raya, Melayu yang bekerja sendiri pula yang terlebih cuti. Orang Cina bekerja seperti biasa.

Kuih bom, bingka, keria..

Mengadaplah aku laki bini akan secawan seorang air kopi di pagi yang cerah tak cerah, mendung tak pula mendung ini. Kebetulan hari ini hari Deepavali.
"Saya tak masak apa-apa pagi ni", kata Ani, isteriku.
"Tak apa.. saya akan keluar sekejap cari apa yang patut", balasku.

Mencapaklah aku di atas motor yang baru berusia sebulan itu. Terus sahaja ke pekan. Kulihat gerai yang biasa itu beoperasi. Lima kuih bom (jangan pula aku ditangkap polis), lima kuih keria (budak-budak pangil kuih gelang), dan lima kuih bingka (bengkang kata orang Perak) kubawa pulang.

Maka sekali lagi kami laki bini minum secawan seorang kopi sambil mengunyap seketul dua kuih yang terhidang.

Amira dan Azim, hmmm .. matahari dah segalah karang barulah bangun.

Tuesday, October 17, 2017

Apabila Imam Putus Nafas.....

Apabila tiba waktu sembahyang fardu, maka bilal pun akan banglah. Adapun bang itu samalah jua erti maknanya dengan azan. Arakian bang itu dari bahasa Melayu, manakala azan itu dari bahasa Arab. Kendatipun begitu bang itu tetaplah jua dalam bahasa Arab. Maka pada suatu malam, sepertilah jua malam-malam yang lain,  maka bilal yang diberi tugas pun azanlah, menandakan masuknya fardu isya ketika itu.

Sesudah bilal mengazankan bang, atau mengebangkan azan, maka berdirilah para makmum untuk solat sunat qabliah isya begitulah bunyinya adanya. Sesudah memberi salam akan mereka itu, tertinjau-tinjaulah akan mereka itu mencari imam-imam yang dilantik oleh raja di negeri itu. Tiadalah kelihatan barang seorang pun daripada imam yang bertiga itu.

"Maghrib tadi pun tiadalah imam yang hadir," kata seorang makmum.
"Betullah kata tuan hamba, bukankah bilal yang azan isya yang mengimami maghrib kita tadi"? kata seorang lagi makmum yang berserban.

Tidaklah lama selepas itu, bilal yang mengalunkan bang isya pun iqamatlah. Lantaran tiadanya imam yang hadir, maka bilal yang seorang lagi pun ke hadapanlah untuk menjadi imam.
Tiadalah bersalahan adanya.. bacaannya pun sekadarnyalah sahaja. Apabila rukuk para makmum pun rukuk lah. Apabila imam sujud maka seadanya pun sujudlah. Untuk berdiri selepas sujud yang kedua, dalam pergerakanya untuk bangun,  imam pun menyebut Allllllllllllah....... ketika badannya masih membongkok terdiamlah ia dua tiga saat .. dan setelah  berdiri tegak, ia menyambung ... hu akbar!! Arakian makmum yang di belakang rata-rata sudah pun berdiri lebih awal dari imam itu kerana tiadalah mereka dapat melihat pergerakan imam itu adanya.

Côte d'Azur

Apa ada di Cote d'Azur.. ? Aku sebat dari Wikipedia:
(The Côte d'Azur (French pronunciation: ​[kot daˈzyʁ]; Occitan: Còsta d'Azur pronounced [ˈkɔstɔ daˈzyɾ]; literal translation "Coast of Azure"), often known in English as the French Riviera, is the Mediterranean coastline of the southeast corner of France, also including the state of Monaco. There is no official boundary, but it is usually considered to extend from the France-Italy border (Italian Riviera, east) to Saint-Tropez, Hyères, Toulon or Cassis (west), in the French Provence-Alpes-Côte d'Azur region..
 This coastline was one of the first modern resort areas. It began as a winter health resort for the British upper class at the end of the 18th century. With the arrival of the railway in the mid-19th century, it became the playground and vacation spot of British, Russian, and other aristocrats, such as Queen Victoria and King Edward VII, when he was Prince of Wales. In the summer, it also played home to many members of the Rothschild family. In the first half of the 20th century, it was frequented by artists and writers, including Pablo Picasso, Henri Matisse, Edith Wharton, Somerset Maugham, and Aldous Huxley, as well as wealthy Americans and Europeans. After World War II, it became a popular tourist destination and convention site. Many celebrities, such as Elton John and Brigitte Bardot, have homes in the region. )

Pendek kata ianya tempat untuk orang-orang super kaya dan hebat. Bukan untuk kita-kita ni. Dan di Cote d'Azur inilah Tony Fernandez melangsungkan perkahwinan dengan wanita Korea.

(Hmmmm jangan salah sebut .. takut tersebut Kote dah Uzur..)



Catatan Pagi 17.10.2017

 I
7.30 pagi tadi aku ke pekan Bidor bermotosikal untuk membeli makanan sarapan pagi. Di gerai yang biasa aku langgan, aku membeli 2 bungkus nasi lemak dan dua bungkus mihun, untuk dibawa pulang.
"Mana kakak"? tanya wanita yang menjual makanan itu.
"Tinggal di rumah, sesekali bagilah saya peluang mengorat", kataku bergurau.
"Ala cikgu, naik motor, mana orang hendak", katanya.
Tiba-tiba aku terlanggar kaki besi payung besar gerai itu. Wanita itu melatah. Bermacam-macam lah disebutnya. Ayat yang akhirnya disebutnya , " ...... duit engkau tinggal"..
"Tak... ada dibawak ni", aku membalas.
Semua pelanggan yang sedang membeli makanan tertawa.

II
9.30 pagi aku membawa kereta ke kedai ekzos. Kotak ekzos di belakang tu berketuk ketak apabila melalui jalan yang tidak rata.
"Aiya encik, dalam ini ekzos sudah rosak.. barang lama mesti ada rosak punya."
"Apa boleh you tolong"?, kataku.
"Ini model oliginal banyak susah cari ooo... saya punya kawan di Chemor saya ingat ada satu dia simpan", katanya. Dia pun mengangkat telefon.. chu cha..chu cha.. dia berbual dengan kawannya.
"Yau .. katanya pada ku. (Yau = ada).
"RM 300", sama pasang", katanya..
"Orait", kataku.
"Ini petang encik mari pukul tiga, dia hantar sini itu exhaust box".. tapi encik letak dulu RM150 ka, RM 200 ka.. "
"Saya tinggal kereta di si sinilah.. pukul 6.00 saya ambil", kataku.

III
9.40 pagi, kebetulan isteriku menghantar anakku ke kelas tambahan di SMK Syeikh Abdul Ghani dengan keretanya, aku meminta dia mengambilku di kedai ekzos. Kemudian kami ke kedai ikan membeli makanan ikan hiasan yang kupelihara di kolam yang tak sepertinya..

"Saya mahu beli ubat gatal juga", kataku kepada pekedai itu. Seorang lelaki India berusia dalam 60 tahun.
"Itu kena beli sana farmasi, encik", katanya.
"Wei... ikan punya gatallah, bukan saya. Saya punya gatal, saya punya bini boleh garu", kataku sambil ketawa. Pekedai itu juga turut ketawa.






Monday, October 16, 2017

Majlis Apresiasi Pelajar Tingkatan 6 Atas SMK Sungkai 2017

Pada 14.10.2017, aku mengikuti rombongan Pertinam (Persatuan Tingkatan Enam) SMK Sungkai ke Port Dickson. Pertinam SMK Sungkai menganjurkan Majlis Apresiasi Pelajar Tingkatan 6 di Bayu Beach Resort. Walau pun sudah bersara, sehingga 30 Jun 2017, mereka masih lagi anak-anak muridku secara rasminya.  Selain pelajar adalah juga beberapa orang guru yang turut serta, maklumlah sebagai murid sekolah mereka mesti ditemani oleh guru-guru agar semuanya dipastikan selamat. Dua tahun lepas, Pertinam mengadakan majlis yang sama di Glory Beach Resort, juga di Port Diskson, manakala pada tahun 2016 majlis diadakan di Pantai Merdeka Sungai Petani.

Dalam perjalanan, rombongan dua bas itu singgah di Muzeum Angkatan Tentera, Port Dickson. Pada tahun 2015 dulu pun rombongan singgah di muzeum tersebut. Kami tiba di Bayu Beach Resort pada jam 1.00 petang 14.10.2017. Petangnya para pelajar itu mengadakan sukaneka di pantai. Kami guru-guru memerhatikan saja gelagat mereka.

Majlis Apresiasi Pelajar Pelajar Tingkatan 6 Atas SMK Sungkai berlangsung secara sederhana tetapi meriah mulai 8.00 malam. Tentunya ada ucapan, makan-makan, persembahan dan penyampaian sijil serta cenderamata. Jam 11.30 majlis pun usai.

Jam 11.00 pagi esoknya (15.10.2017) rombongan bergerak balik ke Sungkai. Dalam perjalanan singgah pula di Nilai. Nak tak nak terbelilah juga akunya sebidang permaidani murah. 4 helai RM 300.00; 4 orang guru, RM 75.00 seorang. Dan tak semena-mena, di Nilai bertemu pulak aku  dengan seorang rakan sekelas ketika menuntut di Maktab Perguruan Bahasa (1981-1983) dahulu. Lebih kurang jam 6.00 petang aku sudah pun berada di rumah.



































Friday, October 13, 2017

Selaju Manakah Pos Laju?

Proses penghantaran untuk sampai ke Tapah dari Kelana Jaya mengambil masa +- 101 jam.
Biasanya Pos Laju masuk ke kawasan Kampung Cegar Tambahan antara jam 5.00 - 5.30 petang.
Tunggu dan lihat . Tak apalah .. buatlah andaian item akan diserahkan jam 12.00 tengah hari ini kepadaku, keseluruhan proses pengiriman dan penerimaan mengambil masa lebih kurang 107 jam, bersamaan 4.5 hari. Laju????

[Catatan tambahan ini ditulis jam 11.57 malam.. barang kiriman belum lagi sampai ke tanganku.. hampeh !!]

RM 71.00 ??

Aku ke pasar pagi ini bersama isteri. Mengikut arah yang berbeza di pasar itu, aku membeli ikan. Isteriku membeli ayam dan sayur-sayuran.

Kembung (kecil sahaja .. laut bergelora kata mereka) lapan ekor, sotong enam ekor, dan udang setengah kilo. Tidak lupa untuk Si Panda, AK, Tamteh, Hitam dan Legam - kubelikan ikan rebus; setiap seekor,  seekor..

"Semua RM 71.00", kata perempuan India pemilik gerai itu.
Aku memandang kekagetan.
"Awak jual ikan ke jual emas"? terpacul dari mulutku.
Menyedari agaknya ada yang tak betul, pemilik gerai itu mengira sekali lagi.
"41.00, encik", tadi (angka) 4 saya tengok macam (angka) 7", katanya.
"Nasib baik saya tak sakit jantung", aku menyindir.

Thursday, October 12, 2017

Catatan Khas Buat Pelajar-pelajar KMK SMK Sungkai 2016-2017

Kalian merupakan kesekian bilangannya pada setiap tahun yang membuat pilihan untuk mengambil mata pelajaran KMK (Kesusasteraan Melayu Komunikatif)  sebagai satu daripada empat subjek untuk peperiksaan STPM kalian. Dulunya subjek ini dikenali sebagai Kesusasteraan Melayu sahaja. Sejak diperkenalkan sebagai KMK pada tahun 2012, bilangan yang mendaftar untuk subjek ini tidak pernah bertambah. Pada 2012, 35 orang pelajar yang mendaftar. Tahun-tahun berikutnya bilangan pelajarnya semakin merosot. Pada tahun 2014 pelajarnya hanya ada 3 orang. Pada tahun 2015 meningkat kepada 11 orang dan 2016, bilangannya 7 orang. Adakah kalian generasi terakhir di SMK Sungkai yang mengambil subjek ini? Agak menyedihkan apabila pada tahun 2017, bilangan pelajar Tingkatan 6 Bawah yang mendaftar adalah sifar!

Setiap tahun, pelajar yang mengambil subjek sastera, biasanya kuanggap sebagai anak-anakku sendiri kerana bilangan kalian yang sedikit. Begitu juga dengan kalian. Bersama dengan Puan Hazyani kami berusaha untuk membolehkan kalian mencapai keputusan yang terbaik untuk subjek ini dan berharap kalian akan mencapai yang terbaik juga untuk subjek-subjek yang lain. Untuk sebulan  dua selepas bersara, aku masih menjenguk kalian untuk memberi panduan kepada kalian setakat yang aku terdaya.

Sesungguhnya kalian mempunyai ketahanan mental juga kiranya, kerana sering kali aku memarahi kalian, menegur, dan menyindir. Iya.. sebagai bapa, kalian harus dibentuk dan dipimpin menjadi anak-anak yang berjaya. Dalam lembut ada teguran, dalam marah ada gurauan, dalam santai ada hiburan.. begitulah biasanya. Apapun kenakalan kalian tidaklah berlebihan. Sangat biasa bagi remaja yang menuju usia dewasa.

Maafkan aku kerana aku terpaksa meninggalkan kalian di pertengahan jalan, tidak sampai ke hujungnya. Aku harus berundur. Ada guru lain sebagai pengganti. Berilah peluang kepada Puan Yumni untuk membantu dan mendidik kalian sehingga ke hujung. Dan Puan Hazyani masih setia dan masih sempat memberikan pandangan dan didikan kepada kalian untuk berjaya dalam subjek ini. Katanya, borang pertukaran 2018 telah pun diisi.

Untuk kalian, selamat maju jaya.. dalam STPM 2017 dan juga dalam kehidupan kalian di masa depan. Mudah-mudahan. Amin.