Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, April 30, 2012

Cerita Daripada Orang Yang Bahagia

29.4.2012: Pukul 2.00 petang tadi aku, isteri dan anak-anak ke Shah Alam. Selain menghantar anak keduaku kembali ke UITM selepas bercuti seminggu, kami turut  menziarahi anak saudara isteriku yang baru lepas bersalin anak keduanya.

Lebih kurang pukul 7.00 malam kami bertolak pulang. Kami singgah di R&R Rawang untuk solat maghrib. Suraunya terlalu kecil, tidak dapat menampung orang ramai yang hendak menunaikan rukun Islam kedua itu. Selepas solat aku duduk sebentar di tempat duduk yang disediakan di luar surau itu, menunggu isteri dan anak-anakku selesai solat.

Ada seorang hamba Allah berusia lingkungan awal 40-an, berpakaian agak kemas, sekejap dia duduk berhampiran dengan tempat aku duduk, sekejap dia duduk di atas lantai, menyandarkan tubuhnya ke tiang. Mulutnya tak berhenti mengomel sendirian. Entah apa yang diomelkan tidak dapat disusun dalam satu wacana karangan yang lengkap; melompat-lompat dari satu tajuk ke satu tajuk, sebelum kembali semula ke tajuk asal, berulang-ulang. Setiap orang yang lalu tersenyum sendirian.

Aku cuba menangkap apa yang diperkatakannya, hanya ini yang aku dapat tangkap dan catat :.. " Sembahyang ni wajib, jamak.. zohor dengan asar, maghrib dengan isya'. Kat Chow Kit ramai pelacur bang.. India mari. Bayar 40, 50, Cina(China?) pun ada... Binawe betul, hutang tak mahu bayar, 10 ribu tu. Beribu-ribu ribu, ribu, ribu, ribu, ribu tak ndak bayar.....

Ambik air sembahyang, basuh muka dulu, lepas tu tangan, kat Melaka ada Masjid al-Azim.... Tu orang kaya tu dia bayar 40 ribu kat artis mana ntah. Satu malam je, satu malam, bukan dapat apa pun.....Bapak dia orang kaya bolehlah.....Hutang kat aku, entah bila binawe tu nak bayar, Dia sapu habis.

Burung tiung boleh bercakap, bang. Dia cakap macam-macam, tentang betina pun dia cakap.....

Bila malam perut lapar, bang.. aku pun nak tengok apa yang aku boleh makan kat sana (sambil beredar ke arah gerai makanan)."

Ketika aku hendak menuju ke kereta, aku cuba meninjau-ninjau di gerai mana dia singgah makan, tapi gagal menemuinya. Mungkin dia dibawa keluarganya ke mana-mana. Aku mengagak, besar kemungkinan dia orang Melaka berdasarkan perkataan "binawe" dan "Masjid al-Azim" yang disebutnya itu. Mungkin dia menjadi orang "bahagia" kerana ditipu, sehingga kerugian beribu-ribu ringgit.

Wednesday, April 25, 2012

Hari Ini Hari Senyum Bagi Kaki Tangan Kerajaan

25 April 2012, Rabu.. Hari ini penjawat awam tersenyum lebar. Gaji baru boleh dituai mulai hari ini. Ada ''arrears" atau tunggakan kenaikan gaji 13 % sejak Januari lalu. Bukan dapat percuma macam BR1M, Baucar Buku, Netbook 1M.. tetapi sebagai upah kerja. Jika aku tukang sapu sekali pun, tugas yang kulakukan perlu dibayar.

Ada suara nakal.. gaji yang kerajaan bagi ambil tapi tak mahu sokong kerajaan.. Sebagai jawapan, setiap kerja perlu ganjaran, setiap ganjaran upah, mesti ada produktiviti.. Jadi adillah .. aku kerja kau bayar, kau bayar aku kerja.. Kakitangan awam wajib melaksanakan dasar kerajaan sama ada suka atau tidak. Ingat tu DASAR KERAJAAN , bukan DASAR PARTI POLITIK.. Orang politik boleh datang dan pergi, paling tidak lima tahun sekali; tetapi kakitangan awam kekal sbg penjawat awam sampai dia pencen; atau bila-bila masa dia boleh berhenti. Hmmm sensitif juga bab ni.. Lantaklah.

Petang ni... nak uruskan bayar kereta 2 biji, astro, bil elektrik, bil air, kad kredit, broadband MAXIS, bil telefon rumah/Streamyx, bil Celcom (dua .. laki bini), duit belanja anak kat UITM, duit belanja anak kat UniKL. Senang saja, duduk depan komputer bayar.. perbankan internet katakan.. akhir sekali.. akan timbul suara hati sendiri... alahai.. banyak ni saja yang tinggal!!!??? Mujurlah isteriku tak pernah mengasingkan pendapatannya dengan pendapatanku.. Terima kasih le, kalau tidak, kata orang Perak, tumporr aku !!!


Tuesday, April 24, 2012

Menjenguk Seketika

Berdebu dan berkulat. Jika blog ini umpama lantai tempat berpijak, demikianlah keadaannya kini. Perasaan malas sering menguasai diri, meskipun banyak yang hendak dituliskan. Namun aku agak terkesima jua kerana apabila aku membuka sesekali blog ini dan melihat stats pembaca hariannya sentiasa ada. Aku tak percaya dalam masa dua bulan ini hampir 500 kali blog aku disinggahi pembaca. Bagi itu sudah cukup banyak. Terima kasih kuucapkan kepada pihak yang membaca dan yang meminta  aku meng"update" blog picisan ini..

I  KAWAN TERIMA MENANTU

11 Mac 2012, aku ke Melaka bersama isteri dan dua orang anak. Tujuannya ke Serkam Darat kerana kawan semaktab Isa dan Naimah (suami isteri)  menerima menantu pada hari itu. Sebelum pergi aku dan beberapa orang kawan semaktab yang lain berpakat nak buat reunion kecil-kecilan di rumah Isa. Selesai di rumah Isa kami berpakat ke rumah Sdr Yusof Sipan di Muar, juga semaktab. Dengan kehadiranku suami isteri anak beranak, Halim dari Pulau Pinang sekeluarga, Shahidin dari Melaka, Salleh Harun sekeluarga juga dari Melaka, Muhammad Osman sekeluarga dari Batu Gajah di rumah Yusop, rasa-rasanya hampir runtuh bumbung rumah Yusop dek gelak ketawa kami bercerita kisah-kisah lama. Sayang sekali pertemuan itu tak berlangsung lama kerana masing-masing perlu pulang, esoknya hari persekolahan.

II  STPM BAHARU
Dalam kalangan guru-guru yang mengajar Tingkatan 6, kisah perbicaraan mereka kini berkisar kepada sukatan pelajaran dan pentaksiran STPM Baharu yang akan dilaksanakan apabila Tingkatan 6 Bawah melaporkan diri mulai 7 Mei 2012 nanti. (Sebenarnya panggilan Enam Bawah pun boleh dikira sebagai tidak sesuai lagi dengan terlaksananya STPM baharu ini).

Entah apa pertimbangan Majlis Peperiksaan Malaysia melantikku sebagai Jurulatih Utama (JU) STPM Baharu bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif (dulunya Kesusasteraan Melayu), aku tak tahu. Dan baru-baru ini aku menyampaikan apa yang aku tahu setakat yang terdaya kepada guru-guru KMK (Kesusasteraan Melayu Komunikatif) seluruh Perak di Hotel Heritage, Ipoh. Hmmm; bunyinya begitu gah - seluruh Perak Hakikatnya hanya beberapa buah sekolah sahaja yang menawarkan mata pelajaran ini di negeri Perak ini. Turut disampaikan ialah taklimat untuk mata pelajaran B. Melayu dan Sejarah yang melibatkan JU yang lain dan kumpulan guru yang lain.  Hujung minggu ini beberapa kumpulan guru lagi akan terlibat dalam taklimat bagi mata pelajaran yang lain pula.

III  JUMPA KAWAN
Bercakap tentang STPM Baharu, pastinya para JU ditaklimatkan terlebih dahulu. Maka pada pertengahan April, ketika guru-guru lain bercuti pertengahan penggal, aku menghadiri taklimat STPM Baharu di Hotel Pearl International, Kuala Lumpur. Bukan apa isi taklimat itu yang hendak aku kemukakan di sini tetapi, untuk menceritakan betapa bahagianya aku bertemu seorang sahabat lama yang sama sekelas dan sekursus ketika menjalani latihan guru di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur 28 tahun lalu. Saudara Nordin Ismail yang kutemui kini sudah terang rambutnya, namun ketawa riangnya tak pernah pudar, masih seperti dahulu. Sayang gambar yang kutangkap, tak menjadi pulak... mungkin terlalu terang dek cahaya kepalanya.. Beliau kini bertugas di Jabatan Pelajaran Perlis.

Selain itu kutemui juga rakan sekelas ketika berada di Tingkatan Enam 1979-1980 di SMK Buyung Adil, Tapah, iaitu Puan Rosnah Hj Salleh. Beliau kini guru cemerlang DG52 di Pahang. Petang itu kami minum cendol sambil bercerita tentang kawan-kawan ketika sekelas. Turut serta ketika itu isteri kepada seorang kawan sekelas ketika di Tingkatan Enam tersebut.

Pada 20 April 2012 lalu, sedang aku berehat di bilik Hotel Heritage, lebih kurang pukul 10.30 malam telefonku berdering. Seseorang ingin bertemu denganku di lobi. Siapa? Turun sahajalah, katanya.
Zainuddin Zakariar (pegawai perubatan Pasukan Bolasepak Perak) tersenyum sahaja memandangku ketika aku menuju ke arahnya di lobi. Lama sungguh tak bertemu. Isterinya telah kukenali semasa taklimat di Hotel Pearl International sebelum ini. Selain Din (panggilan mesra), ada seorang perempuan lagi di atas sofa berhampiran. Jika Din tak memberitahu siapa, aku memang tak cam.. Bila nama Zaidah di sebut... baru aku teringat, juga seorang rakan sekelas yang kini mengajar di Ipoh. Selepas 30 tahun tak bertemu banyak yang berubah, banyak yang hendak dicerita..