Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Monday, April 30, 2012

Cerita Daripada Orang Yang Bahagia

29.4.2012: Pukul 2.00 petang tadi aku, isteri dan anak-anak ke Shah Alam. Selain menghantar anak keduaku kembali ke UITM selepas bercuti seminggu, kami turut  menziarahi anak saudara isteriku yang baru lepas bersalin anak keduanya.

Lebih kurang pukul 7.00 malam kami bertolak pulang. Kami singgah di R&R Rawang untuk solat maghrib. Suraunya terlalu kecil, tidak dapat menampung orang ramai yang hendak menunaikan rukun Islam kedua itu. Selepas solat aku duduk sebentar di tempat duduk yang disediakan di luar surau itu, menunggu isteri dan anak-anakku selesai solat.

Ada seorang hamba Allah berusia lingkungan awal 40-an, berpakaian agak kemas, sekejap dia duduk berhampiran dengan tempat aku duduk, sekejap dia duduk di atas lantai, menyandarkan tubuhnya ke tiang. Mulutnya tak berhenti mengomel sendirian. Entah apa yang diomelkan tidak dapat disusun dalam satu wacana karangan yang lengkap; melompat-lompat dari satu tajuk ke satu tajuk, sebelum kembali semula ke tajuk asal, berulang-ulang. Setiap orang yang lalu tersenyum sendirian.

Aku cuba menangkap apa yang diperkatakannya, hanya ini yang aku dapat tangkap dan catat :.. " Sembahyang ni wajib, jamak.. zohor dengan asar, maghrib dengan isya'. Kat Chow Kit ramai pelacur bang.. India mari. Bayar 40, 50, Cina(China?) pun ada... Binawe betul, hutang tak mahu bayar, 10 ribu tu. Beribu-ribu ribu, ribu, ribu, ribu, ribu tak ndak bayar.....

Ambik air sembahyang, basuh muka dulu, lepas tu tangan, kat Melaka ada Masjid al-Azim.... Tu orang kaya tu dia bayar 40 ribu kat artis mana ntah. Satu malam je, satu malam, bukan dapat apa pun.....Bapak dia orang kaya bolehlah.....Hutang kat aku, entah bila binawe tu nak bayar, Dia sapu habis.

Burung tiung boleh bercakap, bang. Dia cakap macam-macam, tentang betina pun dia cakap.....

Bila malam perut lapar, bang.. aku pun nak tengok apa yang aku boleh makan kat sana (sambil beredar ke arah gerai makanan)."

Ketika aku hendak menuju ke kereta, aku cuba meninjau-ninjau di gerai mana dia singgah makan, tapi gagal menemuinya. Mungkin dia dibawa keluarganya ke mana-mana. Aku mengagak, besar kemungkinan dia orang Melaka berdasarkan perkataan "binawe" dan "Masjid al-Azim" yang disebutnya itu. Mungkin dia menjadi orang "bahagia" kerana ditipu, sehingga kerugian beribu-ribu ringgit.

No comments:

Post a Comment