Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Tuesday, August 9, 2011

Rumah Tua.

Kosong dan sepi. Memilukan. Itulah gambaran setiap kali aku singgah di perkarangan rumah tua ini. Ayah dan emak sudah tiada lagi; pergi yang takkan kembali lagi buat selama-lamanya. Tinggallah rumah tua yang telah menaungi kami sekeluarga berpuluh-puluh tahun; sehinggalah seorang demi seorang daripada kami berpindah ke tempat baru lantaran sudah berumahtangga.

Setelah ayah pergi tiga tahun lalu, kami membawa emak tinggal di rumah kami adik beradik, mengikut keselesaan dan pilihan ibu. Namun emak lebih selesa tinggal di rumah adinya di Jalan Paku. Emak sesekali akan kami ambil, kadang-kadang ke ke rumah adik perempuanku, kadang-kadang ke rumah abangku dan kadang-kadang ke rumahku sendiri. Pernah juga kakak dan adikku yang tinggal di Johor membawa emak ke Johor,tetapi emak tak mahu lama di sana, dua tiga hari sudah minta dihantarkan ke Bidor.

Kesihatan emak semakin merosot. Emak kemudiannya jatuh dan kakinya patah. Kedaan itu menyebabkan emak tidak dapat bergerak lagi sehinggalah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah adikku di Besout akhir Jun yang lalu.

Rumah tua kini hanya kukunjungi sekali dua dalam seminggu, sementelahan rumahku dan rumah tua ini tidaklah begitu jauh kedudukannya. Ada juga pihak yang hendak menyewanya tetapi kami lima beradik menolaknya. Lagipun kakakku jika sekali-sekali pulang dari Johor lebih suka menginap di rumah tua itu.

Untuk pertama kalinya rumah tua ini akan tinggal sepi pada Aidil Fitri tahun ini. Tahun-tahun sebelum ini, adikku akan menyambutnya di rumah ini bersama emak. Tetapi emak sudah tak ada, aku pasti dia menyambut Aidil Fitri ini di rumahnya sendiri.

Aku sendiri tak pasti apakah kesudahannya nasib rumah tua ini.

Sebuah rumah tua
semakin sepi dan menyendiri
dedaunan kering berkaparan
di tengah laman
Sebuah rumah tua
tinggalan ayah
kukunjungi
sekali-sekali
Sebuah rumah tua
kucari-cari keringat ayah yang pernah titik di lantai
Menguak kembali lembut kasih ibu
Dan di sebuah rumah tua
air mataku membasahi pipi
1 Mac 2009