Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Thursday, September 28, 2017

Cuci Kolam Ikan..

28.9.2017.. 9.00 pagi
"Ngapa air kolam tu gelap je"? tanya isteriku.
"Filter dah kotor sangatlah tu, dah tepu", jawabku.
Kolam ikan bersaiz 16 kaki panjang x 4 kaki lebar dan 1.5 kaki dalam tu memang dah nampak sangat kotor airnya. Aku pun mengepam keluar 75% airnya, selain untuk mengganti air, mudah dan ringan bagiku mengangkat keluar 3 set penapis di alam kolam itu. Selain itu aku meletakkan 2 set lagi penapis di luar kolam. Ada 5 penapis semuanya.. tapi airnya kadang2 jernih kadang2 keruhlah juga.

Membersihkan penapis2 inilah perkara paling malas nak aku aku lakukan.. sebab keladaknya agak meloyakan., maklumlah penapis itu menampung buangan dari perut 30 ekor kap/koi itu selama 2-4 bulan. Dan satu perkara lagi penapis dalam kolam itu selalunya didiami juga oleh cacing-cacing sebesar jarum. Banyak. Dari mana dia datang aku tak tahu.

Yang paling menggelikan ialah apabila mencuci penapis yang di luar kolam.. pasti ada cacing yang besar-besar melingkari penapis plastik yang "kerinting2" macam rambut orang Afrika itu. Biasanya penapis luar ini aku jemur sampai kering berhari-hari lamanya di tengah panas. Cacing2 akan mati atau mengengsot ke tanah.

Setelah pam dan penapis2 itu aku bersihkan, aku masukkan kembali ke kolam itu. Dan air baharu aku masukkan. Nampak seperti ikan2 tu mengucapkan terima kasih kepadaku, dapat berenang-renang dalam suasana yang lebih segar agaknya.

28.9.2017 3.00 petang
Minggu lepas anak-anak aku mengecat bahagian luar rumah. Aku tak ikut serta, biarlah mereka buat perkara yang mudah2 seperti ini, untuk mendapat pengalaman hidup. Tapi aku tahu takkan sudahnya kerja mereka tu.. akhirnya ayah juga yang akan menyudahkannya. Aku pun sebenarnya tidak suka kerja-kerja mengecat. Tiba-tiba adik iparku datang. Jadi, aku pun minta dia menyiapkan mana-mana yang tak siap lagi tu. Menjelang 6.00 petang semua bahagian dinding yang perlu dicat, siap dicat. Aku hulurlah sikit apa-apa yang patut..

Saturday, September 23, 2017

"Quid Pro Quo"

Quid pro quo is a Latin phrase that literally means "something for something." The phrase usually indicates an exchange of goods or services of roughly equivalent value.

Atau senang cakap aku tolong engkau, engkau tolong le aku...

Anak Saudara Berkahwin

Dalam seminggu ni aku agak sibuk sikit sebab adik aku yang tinggal di Besout akan mengadakan majlis pernikahan anakya di Besout. Nikahnya pada petang hari Jumaat 22/9/2017dan majlis sambutannya pada 23/3/9/2017. Jadi aku laki bini berulang alik dari Bidor k Besout setiap hari. Bukan buat apa pun, sekadar menunjukkan muka.

Hari ini 23/9/2017 ramailah tetamu mereka dalam kalangan warga Felda setempat. Namun para jemputan serta adik beraadik, saudara mara dari Bidor pun ramai juga yang datang. Dapatlah berjumpa semula yang dah berpuluh tahun tak jumpa.

Apapun semoga mereka yang melangsungkan perkahwinan itu berbahagia hingga ke akhir hayat.

Tuesday, September 19, 2017

Dah Nasib Kucing Kurap

Tiga hari lepas, selepas makan malam, seperti biasa aku akan memberi makan kepada kucing-kucing peliharaanku. Biasanya aku mengasingkan tiga tempat makanan untuk mereka. Yang jantan dewasa tempat dikhaskan untuknya sahaja, yang betina, juga khas untuknya sahaja, ada dua ekor yang sedang membesar berkongsi satu bekas makanan yang sama. Sebaiknya sahaja makanan diletakkan, tiba-tiba ada seekor kucing betina yang penuh kurap tebal di muka dan telinganya menerpa tempat kucing-kucing itu makan. Lapar sangat nampaknya. Apalah jenis tuannya, masa kecil ditimang dipeluk, apabila berkurap dicampak ke rumah orang. Sudahlah begitu, najisnya berceceran merata-rata. Adus.


Tak apalah, ku asingkan sedikit makanan untuknya.. Untuk kucing peliharaanku, makanan mereka aku pindahkan ke kawasan lain.

Kucing itu menetaplah di rumahku selama dua hari itu. Tak mahu bergerak apabila dihalau pun. Aku bercadang sehari dua lagi akanku hantar kucing itu pasar ikan. Di situ banyak makanan.

Pagi tadi tak kelihatan pulak dia. Tapi najisnya ada di tepi tangga. Busyukkk. Menjelang tengah hari, isteriku mengajakku ke Besout untuk menjengah adikku yang akan mengahwinkan anaknya di hujung minggu ini. Apabila kereta telah kuundurkan, alamak.. kucing tu ada di bawah keretaku rupanya. Aku tak melanggarnya tapi ia dah mati, mungkin sejak malam tadi fikirku.

Kubiarkan bangkainya di situ, nanti balik dari Besout baru ditanam. Dengan kematian kucing tu, aman damai semua kucing-kucingku di rumah ni.. Tak perlu marah-marah kepada "pendatang asing lagi".


Coup d'état

Coup d'état, also called Coup, the sudden, violent overthrow of an existing government by a small group. The chief prerequisite for a coup is control of all or part of the armed forces, the police, and other military elements..
(Saja-saja je nak  cari makna..) he, he..

Oh ye isteri aku orang Selangor. Dulu, menurut kata isteri aku, Muhammad Taib jadi cikgu bahasa orang putih dia masa bersekolah di SK Ulu Bernam Selangor.


Sunday, September 17, 2017

Ingatkan kot ada cerita gunung nak diruntuhkan, lautan nak dikeringkan..

Heboh dan tular berita PM adakan sidang media penting 4.45 petang ini.
Pelbagai spekulasi mula melanda di blog-blog politik..
  • Parlimen akan dibubar
  • TPM akan diganti
  • PM nak resign
  • dll
tup..tup... hanya umumkan bekas Menteri Besar Selangor yang berkelana dari UMNO ke PAS, dan dari PAS ke PKR , sudahnya balik ke UMNO - dari PKR ke UMNO. Itu je. Ngabihkan karan je..

Apo tang mamak? Meluncek-luncek ajo ?

Hujan Lebat..

17 September 2017 @ 6.29 petang.

Ketika ini hujan turun dengan lebatnya. Berangin walaupun tidaklah kencang. Qayyum dan Khaliq tentunya masih dalam perjalanan ke tempat penginapan masing-masing di Wangsa Maju dan Shah Alam setelah berada di rumah 2 malam. Mendoakan agar mereka selamat sampai ke destinasi.

Hujan-hujan ni kot dapat mi kari dengan teh tarik, sedap ni...

Anak Siapa Agaknya?

Kisah kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang berlaku hari  Khamis lepas meruntun hati banyak pihak. Manakan tidak, 21 pelajar dan dua orang warden terkorban. Kebakaran berpunca daripada perbuatan khianat tujuh remaja yang menyalakan api di satu-satunya pintu keluar dan masuk asrama pusat tahfiz itu ketika semua orang sedang tidur.
Apakah yang ada dalam kepala pelaku itu? Syaitan apakah apakah yang bersarang di hati mereka?
Agak menghairankan juga, remaja pelesit itu hanya berusia 12-18 tahun sahaja. Itu ketika masih muda, jika dewasa? Apakah tahap kekejaman yang akan mereka lakukan?

Persoalannya ibu bapa di rumah buat apa? Hanya tahu buat anak, selepas itu membiarkan mereka, hendak hidup, hiduplah, hendak mati, matilah layaknya. Tidak pula bersekolah dan terpengaruh pula dengan ganja dalam usia yang begitu muda.

Itu di Kuala Lumpur... yang di Kampung Cegar Tambahan Bidor ni pun hingga jam 3.00 pagi, masih boleh kelihatan remaja-remaja 13-16 tahun bermotosikal hu ha hu ha ke sana ke mari. Tidakkah sepatutnya mereka berada di rumah sahaja untuk ke sekolah keesokan paginya? Ibu bapa tidak sedar agaknya, "keletihan" ? Seminggu sekali apabila aku bertugas berjaga malam di pos kawalan kampung, hal bebudak ni pasti akan berlaku. Yang lebih menghairankan ialah, ada juga sekali-sekali budak perempuan turut serta membonceng di belakang. Anak siapa agaknya?

Sekarang Haram, Dulu-dulu?

Aku lahir dalam tahun 1960. Awal tahun 1967, aku masuk darjah 1 Sekolah Kebangsaan Bidor, lebih dikenali sebagai sekolah Melayu. Kakak aku, abang aku pun bersekolah di sekolah yang sama. Belanja harian ke sekolah sekupang (10 sen), lima sen nasi lemak, lima sen air. Atau 5 sen nasi lemak, lima sen kuih, air togok dari pili paip air sekolah.

Jika ada duit lebih, atau bertohor untuk hari itu tak payah beli nasi lemak, bolehlah singgah gerai Cina depan sekolah tu. Beli ais kepal ,air batu campur yang diletakkan di atas kertas surat khabar. Tengah-tengah panas alangkah enaknya. Kadang-kadang rojak buah, sengkuang potong berkuah kacang, tembikai potong, jambu potong (padahal kat rumah berlambak pokok jambu), nanas potong, hatta tebu potong pun jika ada duit lebih dibeli. Yang balik dari masjidpun pun kadang-kadang singgah beli ais limau. Tak ada siapa bercakap tentang halal haram makanan yang dijual di gerai Cina itu atau di kedai-kedai lain.

Sekitar tahun 1960-an hingga 1980-an, di Bidor selamba sahaja orang Melayu makan "mi hailam" di kedai "Cina Hailam". Cina Hailam dikatakan Cina yang tak makan babi. Entahlah. Siapa dapat mengesahkannya. Di beberapa restoran Cina, ada sudut tempat orang Melayu berkumpul minum kopi. Selamba sahaja mereka minum atau makan di situ. Halal? Tiada siapa mempertikaikan.

Masuk sekolah menengah, aku terpaksa bersekolah di SMJK Choong Hua Bidor kerana hanya sekolah itu sahaja menawarkan kelas peralihan. Mereka yang dari sekolah Melayu (Sekolah Kebangsaan) yang hendak mengambil pengantar bahasa Inggeris terpaksa ke kelas peralihan dahulu.
Di sekolah "Cina" itulah aku belajar selama 4 tahun bersama beberapa orang lagi pelajar-pelajar Melayu. Waktu rehat, mi kari kat kantin itulah yang paling enak. 20 sen sahaja. Kopi segelas besar 10 sen. Sedap. Halal? Entah. Cikgu-cikgu Melayu pun turut makan.

Apabila waktu remaja, menonton wayang juga satu keperluan. Depan panggung ada gerai ais kacang Cina. Tentunya ais kacang dan rojak buah pun turut disental. Halal? Hentam sajalah Labu..
Tambahan pula anak gadis pekedai itu menggedik dan menggoda. Untuk mengatasi persaingan daripada gerai bersebelahan agaknya.

Pada pertengahan 1980-an kesedaran terhadap kehalalan makanan yang diambil mula tumbuh dan berkembang. Banyaklah gerai milik Melayu/Muslim didirikan. Produk-produk Bumiputera/Muslim semakin mudah diperoleh berbanding keadaannya di tahun-tahun 60-an dan 70-an. Kicap, belacan, kopi dan sebagainya keluaran Bumiputera/Muslim  semakin mudah diperoleh. Kesedaran hidup yang mengikut kehendak Islam mula subur dalam kalangan orang Melayu sekaligus mereka mula menjauhi makanan yang diragui kehalalannya.

Apabila sijil halal Jakim diwajibkan bagi makanan atau produk yang didakwa halal, keinginan mencari produk yang halal itu sudah menjadi kemestian dalam kalangan masyarakat. Apabila itu terjadi, hatiku mula berdetik.. yang aku makan di gerai-gerai Cina dulu-dulu tu, apa statusnya?

Thursday, September 14, 2017

Motosikal Baru..

14 September 2017..

Jam 4.30 petang aku ke kedai motosikal Hock On di pekan Bidor. Aku bercadang nak beli motosikal baru untuk kegunaan ke pasar, ke masjid, meronda-ronda kampung dan lain-lain. Aku tak berani menunggang motosikal ke tempat-tempat yang lebih jauh daripada itu. Lebih selamat rasanya berkereta. Untuk itu aku bercadang hendak membeli motosikal Modenas atau SYM yang berkuasa 100 hingga 110 cc sahaja.

Masuk sahaja ke kedai, dua kerani Cina di kedai itu berkata sesuatu.. yang dapat aku tangkap daripada perbualan mereka ialah perkataan "cikgu"...
"Cikgu kan"? kata salah seorang daripadanya.
"Bukan", kataku. Mereka nampak kurang yakin.
"Dulu cikgu, sekarang bukan, sudah pencen", aku memberi penjelasan.
"Cikgu ha.. sampai mati pun olang panggi cikgu", Hock On mencelah.. "Mau cari apa motor, cikgu"? sambungnya lagi.
"Kriss 100 cc", jawabku.
"3750 on the load (road)", jelas Hock Onn.
Setelah membayar apa yang patut..
"Esok lepas sembahyang Jumaat cikgu mali ambik", kata Hock On..

Jadi esok sahajalah baru aku dapat menunggang motosikal baru tu. Dan untuk ke pasar pada pagi hari Sabtu nanti  aku akan menunggang motor itu; dan tentunya Ani akan membonceng di belakang..

Coretan Pukul Satu Petang dan Godang Ontak

Hari ini 14 September 2017..
I
Pagi-pagi lagi kita dikejutkan dengan berita kebakaran sebuah maahad tahfiz di Kuala Lumpur.. Mula-mula kata 20 terkorban, selepas tu 25 dan terbaharu 24 terkorban. Innalillah wainna ilaihi rojiun. Kebakaran bermula di pintu.. dan itulah satu-satunya pintu untuk keluar dan masuk ke asrama tahfiz tu. Perangkap maut!! Berita sekolah tahfiz dan sekolah pondok terbakar selalu juga kita dengar, dan kali ini yang kedua terburuk pernah terjadi. Pada tahun 1999 jika tak silap, 27 orang terkorban di sebuah sekolah tahfiz di Kedah.


II
Sebelum itu kita terkejut juga dengan berita yang bolehlah dibayangkan (hanya bayangkan) negara seperti Bangladesh hendak melabur berbilion-bilion dolar ke Malaysia untuk membantu ekonomi Malaysia. Itu hanya bandingan semacam dengan apa yang terjadi semalam..Menjelang tengah hari aku teringat kata-kata opah aku dulu dalam loghat Rawa/Rao, "kauwu jangan nak godang ontak". Godang ontak bermaksud tidak berkemampuan tapi bercakap tentang kehebatan sendiri. Sebagai guru Bahasa Melayu, Sejarah, Pengajian Am dan Sastera yang dah pencen, teringat juga aku dengan peribahasa kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan ; mencurah garam ke laut; dan ukur baju di badan sendiri. Kita takut nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Hal dalam rumah sendiri pun minta orang bantu, kita pulak dengan bangga kononnya hendak menolong orang yang jauh lebih kaya daripada kita. Ontahlah kata orang Rawa..

III
Dah pukul 1.18 petang, isteri dah memanggil untuk makan tengah hari (dah petang sayang oii). Kucing-kucing pun dah mengiau-ngiau kelaparan...
1.44 petang selesai makan. Hari ini orang rumah masak gulai lemak ayam dengan rebung madu, dan tumis ikan bilis dengan petai. Kucing-kucing pun dah diam semuanya, tanda kenyanglah tu. 

Nak solat zohor dulu dan selepas tu nak tidur sekejap.. Berapakah lamanya "sekejap" tu?  Hmmm berkemungkinan besar lama juga. Hmmmm..

Wednesday, September 13, 2017

Sepuluh Langkah Bagaikan Sebatu

"Gout ke, cikgu"?
Aku hanya sengih.

Begitulah biasanya. Malas nak bercakap banyak apabila terasa sakit dan tidak selesa. Puncanya tidaklah aku tahu. Pada awal tahun lepas (2016) ada ketikanya apabila aku memijak lantai di rumah, aku terasa tapak kaki aku panas, gatal dan rasa semut-semut (tetapi tidak kebas). Aku tidak begitu ambil berat kerana bukan berlaku sepanjang masa. Menjelang Julai 2016, tapak kaki aku mula pecah-pecah di satu dua tempat hingga menampakkan isi. Pedih apabila terkena air. Jika 5 kali berwuduk, 5 kali pedih apabila terkena air.. ketika mandi, dan qada hajat tentunya lebih memedihkan. Jumpa doktor, doktor kata alah dengan pencuci lantai. Sapu gel, krim dan saknekanya lah.. elok di satu tempat pecah2 lagi di satu dua tempat lain. Parut tempat yang sembuh kulit menebal. Menakutkan apabila aku lihat tapak kaki sendiri. Sewaktu ke sekolah aku terpaksa menahan sakit dan pedih.

Kawan-kawan mengesyorkan krim itu krim ini.. beli dan gunakan, tak berkesan.

Dengan kaki pecah2 itu pergerakan aku terhad di dalam rumah atau di luar rumah. Dengan terdengkot-dengkot, tentu orang menyangka aku diserang penyakit gout. Setahun lebih aku menanggungnya. Hingga satu malam tiga minggu yang lalu, aku berasa amat sakit dan amat pedih sekali di kedua-dua tapak kaki. Aku tak boleh berjalan , namun kugagahi juga menghabiskan solat isya. Selesai solat aku mengalir air mataku menahan kesakitan. Aku terpaksa merangkak keluar dai mencari isteriku yang ketika itu berada di dapur. Aku minta dia menghiris bawang putih untuk aku tekapkan di tempat yang pecah-pecah di tapak kaki. Terasa kurang sedikit sakit dan pedihnya.

Keesokan harinya aku ke sebuah klinik kulit di Tapah. Doktor yang merawat itu berkata, inilah kes ekzema yang paling teruk yang pernah dia lihat selama menjadi doktor. Doktor itu pun bersyarah panjang kepada aku dengan membuka buku yang mengandungi gambar ekzema.

Selepas itu dia menyapukan krim antibiotik dan sejenis ubat ke tapak kaki aku. Dibalutnya kemas-kemas, jangan buka selama 24 jam katanya. Selepas itu rendam dengan ubat ini, selepas itu sapu krim ini, selepas itu sapu krim ini pula, selepas itu telan tiga jenis pil ini. Aku angguk-angguk tanda faham.

Dah kaki berbalut, nak berwuduk?? Nak tayamum, di mana aku nak cekih pasir yang sesuai. Untuk itu aku berwuduk seperti biasa dan lalukan air ke kaki yang aku balut dengan kertas plastik. Nak buat macam mana kan....

Selepas dua tiga hari, tidak berlaku rekahan baru di tapak kaki aku yang terjadi sebelum ini sudah mula pulih. Satu perkembangan positif. Selepas seminggu parut-parut tebal mula menjadi lembut dan boleh ditarik keluar dari tapak kaki.. Mulalah aku menarik-nariknya dan akuu kumpulkan dalam penyodok sampah.. Banyak sekali.

Sehingga aku menulis kisah ini, tapak kaki aku masih belum kembali pulih seperti sedia kala.. dan aku harus bersabar berbulan-bulan lagi untuk ia pulih sepenuhnya.







Catatan Selepas 2 Bulan Bersara

1 Julai 2017 tarikh aku bersara, bersara pilihan pada usia 56 tahun 9 bulan. Ani, isteri aku pun turut bersara pilihan pada tarikh yang sama. Sambutan majlis persaraan untuk Ani diadakan pada 22 Jun 2017 bersamaan 27 Ramadan 1438 yang diadakan di Dewan SMJK Choong Hua Bidor. Sambutannya sederhana tetapi meriah. Di SMK Sungkai, majlis meraikan persaraan aku diadakan pada 6 Julai 2017 bersamaan 12 Syawal 1438; sederhana tetapi cukup meriah. Kami amat terharu dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan, guru-guru, kakitangan dan pelajar-pelajar di kedua-dua buah sekolah. Hadiah dan cenderamata daripada anda semua menjadi kenangan abadi kepada kami suami isteri. Dan yang terlebih utama kenangan indah pahit dan manis bersama-sama kalian sewaktu berkhidmat akan kami bawa hingga ke akhir hayat kami.

Tidak berakhir di situ, pada 8 Julai 2017 pula guru-guru Tingkatan 6 SMK Sungkai bersama para pelajar Tingkatan 6 dan bekas-bekas pelajar Tingkatan 6 tahun-tahun terdahalu mengadakan majlis sambutan persaraan buat kami di Hotel Casuarina Meru, Ipoh. Macam artis, macam raja pula kami diraikan.

Setelah tiada lagi berkhidmat, kami pun mula melaksanakan apa yang dirancang untuk mengisi hari-hari berlalu sebagai cikgu pencen. Perkara pertama mengubah suai rumah. Tambah satu bilik dan membesarkan dapur. Maklumlah anak-anak sudah dewasa, jika mereka berumah tangga nanti setiap satu anak ada bilik masing-masing. Sebulan lamanya kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan dan belanjanya agak besar juga.. maklumlah sekarang ni semuanya mahal.

Seterusnya hutang-hutang tertentu dilunaskan sepenuhnya supaya nanti tidak menekan perbelanjaan yang harus ditanggung berikutan pendapatan melalui pencen hanyalah tinggal 60 peratus sahaja. Malah lebih kecil lagi daripada 60 peratus kerana kehilangan pendapatan melalui elaun-elaun sewaktu masih berkhidmat.

Untuk mengisi masa lapang aku dan isteri melayani pokok-pokok bunga orkid; tetapi bila rajin dijagalah elok-elok; apabila malas terbiarlah. Sehari dua ni kami mula menyemai pokok bunga ros pula... Nak acu cuba pandu try (kata orang dulu-dulu) bermain dengan pokok ros atau mawar.

Melancong keluar negeri? Hah.. padanlah kami ni berlaki bini pun.. tak suka nak melancong ke sana sini. Memadailah destinasi dalam negeri sahaja, itu pun cakap saja, perginya tidak juga.

Dalam menempuh hari-hari yang mendatang aku berdoa agar kami suami isteri dikurniakan kesihatan yang baik. Jika ada duit 2.6 bilion pun, kesihatan tak dapat dibeli, langsung tak boleh..