Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Sunday, September 17, 2017

Sekarang Haram, Dulu-dulu?

Aku lahir dalam tahun 1960. Awal tahun 1967, aku masuk darjah 1 Sekolah Kebangsaan Bidor, lebih dikenali sebagai sekolah Melayu. Kakak aku, abang aku pun bersekolah di sekolah yang sama. Belanja harian ke sekolah sekupang (10 sen), lima sen nasi lemak, lima sen air. Atau 5 sen nasi lemak, lima sen kuih, air togok dari pili paip air sekolah.

Jika ada duit lebih, atau bertohor untuk hari itu tak payah beli nasi lemak, bolehlah singgah gerai Cina depan sekolah tu. Beli ais kepal ,air batu campur yang diletakkan di atas kertas surat khabar. Tengah-tengah panas alangkah enaknya. Kadang-kadang rojak buah, sengkuang potong berkuah kacang, tembikai potong, jambu potong (padahal kat rumah berlambak pokok jambu), nanas potong, hatta tebu potong pun jika ada duit lebih dibeli. Yang balik dari masjidpun pun kadang-kadang singgah beli ais limau. Tak ada siapa bercakap tentang halal haram makanan yang dijual di gerai Cina itu atau di kedai-kedai lain.

Sekitar tahun 1960-an hingga 1980-an, di Bidor selamba sahaja orang Melayu makan "mi hailam" di kedai "Cina Hailam". Cina Hailam dikatakan Cina yang tak makan babi. Entahlah. Siapa dapat mengesahkannya. Di beberapa restoran Cina, ada sudut tempat orang Melayu berkumpul minum kopi. Selamba sahaja mereka minum atau makan di situ. Halal? Tiada siapa mempertikaikan.

Masuk sekolah menengah, aku terpaksa bersekolah di SMJK Choong Hua Bidor kerana hanya sekolah itu sahaja menawarkan kelas peralihan. Mereka yang dari sekolah Melayu (Sekolah Kebangsaan) yang hendak mengambil pengantar bahasa Inggeris terpaksa ke kelas peralihan dahulu.
Di sekolah "Cina" itulah aku belajar selama 4 tahun bersama beberapa orang lagi pelajar-pelajar Melayu. Waktu rehat, mi kari kat kantin itulah yang paling enak. 20 sen sahaja. Kopi segelas besar 10 sen. Sedap. Halal? Entah. Cikgu-cikgu Melayu pun turut makan.

Apabila waktu remaja, menonton wayang juga satu keperluan. Depan panggung ada gerai ais kacang Cina. Tentunya ais kacang dan rojak buah pun turut disental. Halal? Hentam sajalah Labu..
Tambahan pula anak gadis pekedai itu menggedik dan menggoda. Untuk mengatasi persaingan daripada gerai bersebelahan agaknya.

Pada pertengahan 1980-an kesedaran terhadap kehalalan makanan yang diambil mula tumbuh dan berkembang. Banyaklah gerai milik Melayu/Muslim didirikan. Produk-produk Bumiputera/Muslim semakin mudah diperoleh berbanding keadaannya di tahun-tahun 60-an dan 70-an. Kicap, belacan, kopi dan sebagainya keluaran Bumiputera/Muslim  semakin mudah diperoleh. Kesedaran hidup yang mengikut kehendak Islam mula subur dalam kalangan orang Melayu sekaligus mereka mula menjauhi makanan yang diragui kehalalannya.

Apabila sijil halal Jakim diwajibkan bagi makanan atau produk yang didakwa halal, keinginan mencari produk yang halal itu sudah menjadi kemestian dalam kalangan masyarakat. Apabila itu terjadi, hatiku mula berdetik.. yang aku makan di gerai-gerai Cina dulu-dulu tu, apa statusnya?

No comments:

Post a Comment