Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Wednesday, September 13, 2017

Catatan Selepas 2 Bulan Bersara

1 Julai 2017 tarikh aku bersara, bersara pilihan pada usia 56 tahun 9 bulan. Ani, isteri aku pun turut bersara pilihan pada tarikh yang sama. Sambutan majlis persaraan untuk Ani diadakan pada 22 Jun 2017 bersamaan 27 Ramadan 1438 yang diadakan di Dewan SMJK Choong Hua Bidor. Sambutannya sederhana tetapi meriah. Di SMK Sungkai, majlis meraikan persaraan aku diadakan pada 6 Julai 2017 bersamaan 12 Syawal 1438; sederhana tetapi cukup meriah. Kami amat terharu dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan, guru-guru, kakitangan dan pelajar-pelajar di kedua-dua buah sekolah. Hadiah dan cenderamata daripada anda semua menjadi kenangan abadi kepada kami suami isteri. Dan yang terlebih utama kenangan indah pahit dan manis bersama-sama kalian sewaktu berkhidmat akan kami bawa hingga ke akhir hayat kami.

Tidak berakhir di situ, pada 8 Julai 2017 pula guru-guru Tingkatan 6 SMK Sungkai bersama para pelajar Tingkatan 6 dan bekas-bekas pelajar Tingkatan 6 tahun-tahun terdahalu mengadakan majlis sambutan persaraan buat kami di Hotel Casuarina Meru, Ipoh. Macam artis, macam raja pula kami diraikan.

Setelah tiada lagi berkhidmat, kami pun mula melaksanakan apa yang dirancang untuk mengisi hari-hari berlalu sebagai cikgu pencen. Perkara pertama mengubah suai rumah. Tambah satu bilik dan membesarkan dapur. Maklumlah anak-anak sudah dewasa, jika mereka berumah tangga nanti setiap satu anak ada bilik masing-masing. Sebulan lamanya kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan dan belanjanya agak besar juga.. maklumlah sekarang ni semuanya mahal.

Seterusnya hutang-hutang tertentu dilunaskan sepenuhnya supaya nanti tidak menekan perbelanjaan yang harus ditanggung berikutan pendapatan melalui pencen hanyalah tinggal 60 peratus sahaja. Malah lebih kecil lagi daripada 60 peratus kerana kehilangan pendapatan melalui elaun-elaun sewaktu masih berkhidmat.

Untuk mengisi masa lapang aku dan isteri melayani pokok-pokok bunga orkid; tetapi bila rajin dijagalah elok-elok; apabila malas terbiarlah. Sehari dua ni kami mula menyemai pokok bunga ros pula... Nak acu cuba pandu try (kata orang dulu-dulu) bermain dengan pokok ros atau mawar.

Melancong keluar negeri? Hah.. padanlah kami ni berlaki bini pun.. tak suka nak melancong ke sana sini. Memadailah destinasi dalam negeri sahaja, itu pun cakap saja, perginya tidak juga.

Dalam menempuh hari-hari yang mendatang aku berdoa agar kami suami isteri dikurniakan kesihatan yang baik. Jika ada duit 2.6 bilion pun, kesihatan tak dapat dibeli, langsung tak boleh..

No comments:

Post a Comment