Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Wednesday, September 13, 2017

Sepuluh Langkah Bagaikan Sebatu

"Gout ke, cikgu"?
Aku hanya sengih.

Begitulah biasanya. Malas nak bercakap banyak apabila terasa sakit dan tidak selesa. Puncanya tidaklah aku tahu. Pada awal tahun lepas (2016) ada ketikanya apabila aku memijak lantai di rumah, aku terasa tapak kaki aku panas, gatal dan rasa semut-semut (tetapi tidak kebas). Aku tidak begitu ambil berat kerana bukan berlaku sepanjang masa. Menjelang Julai 2016, tapak kaki aku mula pecah-pecah di satu dua tempat hingga menampakkan isi. Pedih apabila terkena air. Jika 5 kali berwuduk, 5 kali pedih apabila terkena air.. ketika mandi, dan qada hajat tentunya lebih memedihkan. Jumpa doktor, doktor kata alah dengan pencuci lantai. Sapu gel, krim dan saknekanya lah.. elok di satu tempat pecah2 lagi di satu dua tempat lain. Parut tempat yang sembuh kulit menebal. Menakutkan apabila aku lihat tapak kaki sendiri. Sewaktu ke sekolah aku terpaksa menahan sakit dan pedih.

Kawan-kawan mengesyorkan krim itu krim ini.. beli dan gunakan, tak berkesan.

Dengan kaki pecah2 itu pergerakan aku terhad di dalam rumah atau di luar rumah. Dengan terdengkot-dengkot, tentu orang menyangka aku diserang penyakit gout. Setahun lebih aku menanggungnya. Hingga satu malam tiga minggu yang lalu, aku berasa amat sakit dan amat pedih sekali di kedua-dua tapak kaki. Aku tak boleh berjalan , namun kugagahi juga menghabiskan solat isya. Selesai solat aku mengalir air mataku menahan kesakitan. Aku terpaksa merangkak keluar dai mencari isteriku yang ketika itu berada di dapur. Aku minta dia menghiris bawang putih untuk aku tekapkan di tempat yang pecah-pecah di tapak kaki. Terasa kurang sedikit sakit dan pedihnya.

Keesokan harinya aku ke sebuah klinik kulit di Tapah. Doktor yang merawat itu berkata, inilah kes ekzema yang paling teruk yang pernah dia lihat selama menjadi doktor. Doktor itu pun bersyarah panjang kepada aku dengan membuka buku yang mengandungi gambar ekzema.

Selepas itu dia menyapukan krim antibiotik dan sejenis ubat ke tapak kaki aku. Dibalutnya kemas-kemas, jangan buka selama 24 jam katanya. Selepas itu rendam dengan ubat ini, selepas itu sapu krim ini, selepas itu sapu krim ini pula, selepas itu telan tiga jenis pil ini. Aku angguk-angguk tanda faham.

Dah kaki berbalut, nak berwuduk?? Nak tayamum, di mana aku nak cekih pasir yang sesuai. Untuk itu aku berwuduk seperti biasa dan lalukan air ke kaki yang aku balut dengan kertas plastik. Nak buat macam mana kan....

Selepas dua tiga hari, tidak berlaku rekahan baru di tapak kaki aku yang terjadi sebelum ini sudah mula pulih. Satu perkembangan positif. Selepas seminggu parut-parut tebal mula menjadi lembut dan boleh ditarik keluar dari tapak kaki.. Mulalah aku menarik-nariknya dan akuu kumpulkan dalam penyodok sampah.. Banyak sekali.

Sehingga aku menulis kisah ini, tapak kaki aku masih belum kembali pulih seperti sedia kala.. dan aku harus bersabar berbulan-bulan lagi untuk ia pulih sepenuhnya.







No comments:

Post a Comment