Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Sunday, February 5, 2012

Catatan Sabtu 05022012

Untuk kesekian kalinya aku membiarkan blog ini tidak dikemaskini. Kesibukan tugas dan tanggungjawab lain menjadi kekangan untuk aku mencatat sesuatu di ruangan ini. Selepas bercuti Tahun baru Cina, kini bercuti lagi untuk sambutan Maulidur Rasul dan cuti hari Thaipusam pula.

Pada hari Jumaat 3 Februari aku, isteri dan dua orang anak kami mengikuti konvoi 4 buah kenderaan mengiringi pengantin ke Temerloh. Perjalanan petang itu tersekat agak lama di Batang Kali. Maklumlah ramai yang mengambil peluang bergerak ke sana ke mari berikutan cuti empat hari itu. Perjalanan melalui Genting terus ke Genting Sempah agak perlahan kerana hujan turun agak lebat. Pemandangan berkabus juga memperlahankan pergerakan kenderaan. Entah di mana terpisahnya lain-lain kenderaan yang mengikuiti konvoi
tidaklah aku ketahui. Apapun selepas tunggu menunggu di "exit" Temerloh, semuanya sampai selamat.

Malam itu kami dijamu makan di rumah pengantin lelaki. Mungkin perut pun lapar, apa yang terhidang di makan secukup kenyang. Malam itu, bapa pengantin lelaki menaja persembahan kugiran orang lama yang mendendangkan lagu-lagu 60-an. Terangkat habis hadirin yang tua-tua.Kemudian kami ditempatkan di sebuah homestay. Bila sudah beramai, badan letih pun hilang, bercerita sampai dua tiga pagi, baru tidur.

Besoknya, dari rumah pengantin, aku berpecah dari konvoi kerana aku hendak pusing-pusing pekan Temerloh. Maklumlah ini kali pertama aku ke bandar itu. Seterusnya aku meneruskan perjalanan kembali ke Perak mengikut laluan Karak-KL.

Hari ini pula aku ke rumah seorang kenalan di Lahat, Ipoh kerana beliau mengahwinkan anak lelakinya. Selesai di situ aku ke Tesco yang berhampiran.. tidak membeli apa-apa pun kerana aku harus segera ke masjid, bukan sahaja untuk solat zohor, tetapi juga untuk memenuhi "hajat yang mendesak". Barangkali dua mangkuk cendol yang kulahap tadi mempercepatkan proses penghadaman makanan yang kutelan dimajlis itu tadi.

Petang besok aku akan ke Ipoh semula. Kali ini untuk merisik anak dara orang untuk anak saudaraku.