Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Wednesday, November 30, 2011

Demam ..

Aku demam.. Muntah, kembung, sakit dada.. sakit sendi.. Durian? Rambutan? Adakah itu sebabnya??

Batang Buruk

Batang buruk diketengahkan macam mana pun nampak benar sudah buruknya. (Namun kuih batang buruk jika diketengahkan mau licin piring yang terhidang). Tetapi batang yang buruk yang diperkatakan ini bukan kuih. Bagi makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang masih mendokong, mendukung dan menyokong mereka tak nampak buruk pada batang yang satu ini, dan disangka masih utuh, dan itulah satu-satunya yang membahagia mereka. Dapatlah juga kain pelikat atau kain batik barang sehelai. Sesekali dapatlah juga pergi ke Langkawi atau ke Kelantan "free". Itulah balasan baik untuk mereka daripada batang buruk dari dulu sampai sekarang kerana keutuhan menyokong batang buruk yang dikatakan dah nak ghuyub itu.

Monday, November 28, 2011

Bolasepak Kita..

Aku penyokong setia pasukan bolesepak Malaysia, walau di peringkat manapun tahap pencapaian mereka, dan sama ada kalah atau menang. Jika kalah aku turut terasa pedihnya dan jika menang tentu aku berasa gembira, namun tak sampai tahap mencaci, mengeji dan sebagainya. Tentunya pemain negara sudah mencuba sedaya upaya memerah segala tenaga dan kudrat yang ada. Sesiapa yang pernah bermain bola walaupun hanya mewakili sekolah atau kampung sekalipun, pasti melakukan perkara yang sama; mencuba sedaya upaya untuk menang. Dan jika tertewas, kita terpaksa akur kalah kepada pasukan yang lebih baik.

Tidak perlulah kita membandingkan pencapaian pasukan bolesepak kita ketika zaman Mokhtar Dahari, James Wong, Hassan Sani, Aurumugam, Santokh Singh, Soh Chin Aun. Corak permainan sekarang sudah jauh berubah. Seperkara lagi kita terpaksa akur bahawa tahap pencapaian bolesepak negara-negara Asia Tenggara hanyalah untuk peringkat serantau sahaja, tak lebih daripada itu. Buktinya; Thailand, Singapura  dan Indonesia, sering melepasi pusingan pertama, dan kedua pusingan kelayakan Olimpik dan Piala Dunia, tetapi hanyalah sebagai pasukan belasahan sahaja apabila bertemu jagoan sebenar dari kawasan-kawasan luar Asia Tenggara.

Apabila kita memenangi Piala AFF Suzuki tempoh hari, terus sahaja pihak yang bertanggungjawab tentang perkembangan bolesepak negara mensasarkan sesuatu yang lebih tinggi. Itu biasa tetapi kita juga harus bersifat realistik dalam menetapkan sasaran kita. Apabila kita mempertahankan pingat emas Sukan Sea, pasukan muda kita menghadapi lawan yang jauh lebih tersusun dan mantap dalam pusingan kedua kelayakan Olimpik London. Kita tewas tetapi bukan dibelasah. Bermakna kita juga ada potensi untuk menang cuma belum mencapai tahap tertinggi.

Dn aku tak pernah berjaga sepanjang malam semata-mata menunggu pasukan bolesepak Eropah berentap sesama sendiri, kerana tiada gunanya bagiku menyanjung pasukan menang tetapi ia  pasukan milik orang.

Oh ya... sudahkan anda meninjau-ninjau padang bola yang ada berhampiran tempat anda.? Masih adakah lagi budak-budak yang berlari-lari mengejar bola; atau kosong menjadi tempat anjing jantan berlari-lari mengejar anjing betina?

Durian Seberang Dah Membuang Buruk ..

"Durian seberang dah "membuang buruk". Itu pesan abangku petang semalam sambil meletakkan 3 biji durian di depan pagar rumahku petang semalam. "Jika masa nanti saya akan menjenguk-jenguk," balasku.

Pagi tadi aku ke pasar menemani isteri. "Jom kita tengok durian," aku mengajak isteri, dan dia tak menolak. Sebenarnya kebun durian 2 1/2 ekar peninggalan ayah terletak hanya lebih kurang 400 meter dari rumah ayah (arwah), namun terpaksa mengharungi sungai kerana kebun itu berada di seberang. Itu yang malas nak menjenguknya walau di musim buah-buahan. Ada alternatif lain; melalui pekan Bidor, menuju ke pasar dan menyusuri kawasan perumahan kaum Cina, barulah sampai ke kebun durian itu.

Sejak musim durian 2009 yang lalu, baru kali ini aku menjenguk kembali. Rimbunan tepus dan  pokok-pokok menjalar serta memanjat menutupi bumi. Dan aku cukup takut akan sesuatu yang selalu bersembunyi atau berada di balik rimbunan itu, iaitu kawanan kerbau yang bertanduk tajam. Terlalu banyak denai yang bersimpur siur bekas laluan kerbau itu. Bau haring kencingnya sahaja aku tahu dia ada di sekitar kebun itu. Mujur aku dapati kawanan itu sudah berada di seberang sana sungai. Dulu ayah terpaksa masuk hospital selama lima hari setelah ditanduk kumpulan kerbau yang sama. Kerbau milik seorang Sikh itu sengaja dibiarkan berkeliaran di sepanjang tebing sungai itu.

Berbalik ke kebun itu.. aku dapati banyak buah durian yang sedang membuang buruk di pancung-pancung. Maklumlah kebun terbiar, ramailah yang menjenguk. Wah.. memang agak banyak buahnya kali ini. Semua pokok berbuah. Cempedak pun agak banyak juga. Sayang beberapa pokok rambutan gading mati. Daunnya berkulat.

Semasa hayatnya ayah akan memastikan kawasan di sekeliling pokok durian, cempedak dan rambutan sentiasa
bersih. Tetapi bila dia tak ada lagi, anak-anaknya menjenguk hanya apabila pokok-pokok itu berbuah. Dan tadi aku hanya berupaya membawa balik sebiji sahaja buah durian yang agak baik luarannya. Maklumlah masih peringkat membuang buruk..

* Membuang buruk merupakan istilah yang digunakan bagi menggambarkan peringkat awal buah  durian gugur. Biasanya pada peringkat ini buah yang gugur tidak berada dalam keadaan baik, sama ada busuk, mengkal, keras, lembik dan sebagainya.

Sunday, November 27, 2011

Catatan sepanjang 2 minggu

 I  Catatan di pagi 1 Muharram 1433 Hijri
Kelesuan melanda sepanjang dua minggu ini.. aku dihimpit kesibukan pada minggu akhir persekolahan. Dalam tempoh seminggu cuti persekolahan yang berlalu ini pula terlalu banyak pula yang perlu dibuat sehingga nak menjenguk ke blog picisan inipun terpaksa ditangguhkan sehinggalah ke pagi Awal Muharram 1433 hijrah ini.
Semasa singgah bersembahyang maghrib di sebuah masjid di Hulu Bernam Selangor, imam merangkak-rangkak membacakan doa akhir tahun.. yang tak dibacapun pada zaman Nabi dan sahabat masih ada dahulu. Nama tahun Hijrah pun digunakan selepas Nabi wafat. Tapi doa adalah permintaan.. mintalah apa sahaja (yang baik) kerana Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

II  Catatan tentang cuti dan hujan
Biasalah, bulan November-Disember bulan peperiksaan SPM-STPM, bulan hujan, bulan banjir dan bulan orang mengadakan kenduri kahwin. Aku ingin menikmati musim cuti bulan Disember ini sepenuhnya kerana sepanjang enam tujuh tahun ini, aku tak dapat melakukannya kerana terpaksa menanda kertas Sejarah SPM. Mulai tahun ini aku menarik diri daripada menjadi pemeriksa atas sebab-sebab kesihatan. Akupun sudah tidak mengajar mata pelajaran Sejarah lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

III Jagung oh Jagung
Dua tiga hari lepas aku makan jagung.. selepas itu aku mengalami sakit pinggang.. Lantas isteriku menyindir. "Itulah saya dah kata awak dah tak boleh makan benda-benda berangin lagi, tapi awak degil..., tak percaya. Saya tak makan pun jagung tu.." katanya.

Petang semalam, isteriku mengadu belakangnya pula sakit-sakit. "Hmmm awak makan jagung tadi", kataku. Isteriku menafikan dia ada makan jagung.
"He. he.. nasi kat rumah orang kahwin tadi nasi minyak campur jagunglah.. awak tak perasan kot..", kataku..
"Eh.. Iye ke"??? .


Sunday, November 13, 2011

Majlis Restu

Tanggal 10 November 2011 yang lalu diadakan Majlis Restu , majlis pelajar-pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 pohon maaf dan doa serta mohon keizinan daripada guru-guru atas ilmu yang dipelajari. Minggu hadapan merupakan minggu peperiksaan bermula. Mereka akan menghadapi dugaan sebenar mengatasi segala ujian rasmi, ujian penggal dan ujian percubaan. Sebagai guru, aku juga seperti guru-guru yang lain sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak didikku. Bukan sahaja berjaya dalam pelajaran, malah berjaya dalam kehidupan yang lebih menyeluruh. Berbalik kepada majlis restu itu, saban tahun diadakan, dan setiap kali itu juga aku berjaya merahsiakan kesedihan kerana melepaskan setiap yang mereka yang kudidik merenangi dunia kehidupan di luar lingkungan pagar sekolah yang tentunya lebih mencabar. Akhir kata, doaku, semoga kalian berjaya.
















 Apabila dah tak ada lagi yang nak mohon restu ...





Tuesday, November 8, 2011

Nafar Awal ke Nafar terlalu awal..

Ibadat haji hanya akan selesai pada 12 Zulhijjah (8.11.2011).. itupun jika orang yang menunaikan haji itu melakukan nafar awal. Orang yang melakukan nafar thani ibadat hajinya akan berakhir pada 13 Zulhijjah. Hairan juga apabila ada VVIP mengatakan dia telah selesai menunaikan haji kelmarin (10 Zulhijjah/ 6.10.2011)?? Mungkinkah dia "skip" bermalam di Mina serta ibadah melontar pada 11 dan 12 Zulhijjah, lalu membayar dam?? Haji ekspress kot...
Mana tuan penasihat ni???
Aku petik:
Bernama pada Ahad lalu, melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor selesai menunaikan ibadah pada 6 November.

Laporan itu berdasarkan twitter Najib yang menulis: "Alhamdulillah urusan haji kami sudah selesai."

Monday, November 7, 2011

Kenangan Lama: Mesin Getah




Sedang aku melihat-lihat kembali koleksi gambar yang ku simpan, terjumpalah gambar mesin getah ini. Gambar ini kurakamkan 8 tahun yang lalu berhampiran dengan Makam Mahsuri, Langkawi. Tentu saja gambar mesin getah ini mengembalikan kenangan masa kecilku di Kampung Jalan Paku, Bidor ketika tinggal dengan opah. Rumah opah di kelilingi oleh pokok-pokok getah. Opah tidak menoreh mungkin kerana telah agak uzur, tetapi aku kerap mengikut ibu saudaraku menoreh untuk menemani mereka.

Setelah hampir tengah hari, susu getah dikutip dari sepokok ke sepokok, hingga memenuhi timba. Kemudian getah yang terkumpul di tuangkan ke takungan. Asid formik dituangkan lebih kurang sesudu dua ke takungan. Getah pun memekat tetapi anjal. Itu yang seronok apabila getah berbentuk empat segi yang membeku tepi sangat anjal itu di keluarkan dari takung ke atas lantai. Getah itu dipijak menjadi leper setebal antara 1.5 cm ke 2.5 cm. Kelebarannya tidak boleh melebihi kelebaran mesin penipis. Panjangnya mungkin sekitar 1 meter. Getah keping itu dibawa ke rumah seorang jiran yang memiliki mesin getah yang sepasang itu.

Getah yang sudah menjadi kepingan leper itu dimasukkan ke mesin penipis untuk menipiskan lagi dan meratakan permukaannya. Getah itu akan digelek dua kali di mesin penipis itu. Selepas itu kepingan getah itu dimasukkan pula ke mesin bunga yang akan menimbulkan kesan berjalur serong ke permukaan getah. Proses ini memutar besi penggelek yang membentuk jalur memerlukan tenaga yang banyak. Mahu putus urat perut dibuatnya. Ketika ini ketebalan getah hanya tinggal lebih kurang 0.5 cm. Kemudian getah itu akan dijemur. Apabila kering dalam tempoh sehari dua akulah yang akan menggulung getah itu, ikat di belakang basikal, untuk dijual di kedai Ah San. Orang kampung menyebut Ah San sebagai Hasan, dia pun suka akan panggilan itu. Hasan pun memang suka bergurau. Kadang-kadang aku pun ditimbangnya.

Dalam perjalanan balik, aku akan singgah di gerai ais kepal Ah Lee, dan makan rojak buah. Itulah upah membawa getah ke pekan untuk dijual. Aku tak ingat bilakah kali terakhir aku menggendong getah keping atau getah sekerap milik opah ke kedai "Hasan".

Tapi itu kisah di sekitar tahun 70-an. Kini, pokok getah semakin tua dan sudah bertahun-tahun tiada siapa yang menorehnya. Mesin getah yang ada pun sudah tidak lagi kelihatan, mungkin sudah dijual sebagai besi buruk. Kedai "Hasan" pun sudah lama dirobohkan, dan dia pun sudah lama mati. Kedai ais Ah Lee pun sudah lesap, sama waktu lesapnya dengan kedai si Hasan. Yang tinggal hanya kenangan aku, getah dan mesin getah.

Sunday, November 6, 2011

Dari satu sudut nan bening..

Salam Aidil Adha buat saudara-mara, handai- taulan, adik, kakak, abang, anak-anak, anak-anak didik yang masih belajar atau yang sudah lepas, .. yang jauh dan yang dekat, di Semenanjung atau di Sarawak dan Sabah, yang di seberang jalan atau yang di seberang Laut China Selatan...

Maafkan aku jika aku pernah melukai hati kalian ...

Friday, November 4, 2011

Di Sekitar Majlis Graduasi Tingkatan 6 SMK Sungkai

Tempat : Hotel Hillcity Tarikh : 1 November 2011 Masa : 3.30 - 5.30 petang.


Lagi yang berkaitan: