Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Thursday, October 12, 2017

Catatan Khas Buat Pelajar-pelajar KMK SMK Sungkai 2016-2017

Kalian merupakan kesekian bilangannya pada setiap tahun yang membuat pilihan untuk mengambil mata pelajaran KMK (Kesusasteraan Melayu Komunikatif)  sebagai satu daripada empat subjek untuk peperiksaan STPM kalian. Dulunya subjek ini dikenali sebagai Kesusasteraan Melayu sahaja. Sejak diperkenalkan sebagai KMK pada tahun 2012, bilangan yang mendaftar untuk subjek ini tidak pernah bertambah. Pada 2012, 35 orang pelajar yang mendaftar. Tahun-tahun berikutnya bilangan pelajarnya semakin merosot. Pada tahun 2014 pelajarnya hanya ada 3 orang. Pada tahun 2015 meningkat kepada 11 orang dan 2016, bilangannya 7 orang. Adakah kalian generasi terakhir di SMK Sungkai yang mengambil subjek ini? Agak menyedihkan apabila pada tahun 2017, bilangan pelajar Tingkatan 6 Bawah yang mendaftar adalah sifar!

Setiap tahun, pelajar yang mengambil subjek sastera, biasanya kuanggap sebagai anak-anakku sendiri kerana bilangan kalian yang sedikit. Begitu juga dengan kalian. Bersama dengan Puan Hazyani kami berusaha untuk membolehkan kalian mencapai keputusan yang terbaik untuk subjek ini dan berharap kalian akan mencapai yang terbaik juga untuk subjek-subjek yang lain. Untuk sebulan  dua selepas bersara, aku masih menjenguk kalian untuk memberi panduan kepada kalian setakat yang aku terdaya.

Sesungguhnya kalian mempunyai ketahanan mental juga kiranya, kerana sering kali aku memarahi kalian, menegur, dan menyindir. Iya.. sebagai bapa, kalian harus dibentuk dan dipimpin menjadi anak-anak yang berjaya. Dalam lembut ada teguran, dalam marah ada gurauan, dalam santai ada hiburan.. begitulah biasanya. Apapun kenakalan kalian tidaklah berlebihan. Sangat biasa bagi remaja yang menuju usia dewasa.

Maafkan aku kerana aku terpaksa meninggalkan kalian di pertengahan jalan, tidak sampai ke hujungnya. Aku harus berundur. Ada guru lain sebagai pengganti. Berilah peluang kepada Puan Yumni untuk membantu dan mendidik kalian sehingga ke hujung. Dan Puan Hazyani masih setia dan masih sempat memberikan pandangan dan didikan kepada kalian untuk berjaya dalam subjek ini. Katanya, borang pertukaran 2018 telah pun diisi.

Untuk kalian, selamat maju jaya.. dalam STPM 2017 dan juga dalam kehidupan kalian di masa depan. Mudah-mudahan. Amin.












No comments:

Post a Comment