Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Sunday, October 22, 2017

Ke Kelantan dan Terengganu (Besut saja)

Pada 19.10.2017 aku, Ani dan tiga daripada empat orang anak kami, menuju Kelantan seawal 8.30 pagi. Sebelum itu, pada jam 9.30 pagi kami singgah di Ipoh untuk membolehkan Qayyum menghadiri temuduga pegawai akaun di Hospital Al-Ridzuan. Sementara Qayyum menghadiri sesi temuduga, kami empat beranak berlegar-legarlah di Angsana Mall. Kami menjangkakan jam 11.30 pagi bolehlah meneruskan perjalanan ke Kota Bharu. Jangkaan kami meleset, sesi temuduga Qayyum hanya berakhir jam 1.00 petang. Setelah makan, dan solat, jam 2.00 barulah kami boleh bergerak ke Kota Bharu. Perjalanan lancar, kereta tidaklah banyak sangat. Jam 6.00 petang perjalanan melewati Jeli ditemani oleh curahan hujan yang agak lebat juga. Terpaksa bergerak perlahan dalam deretan kenderaan yang kehujanan. Jam 8.30 malam kami sampai di Hotel Ridel. Selepas makan malam lebih kurang jam 10.00 mataku tak terangkat lagi rasanya.


Keesokannya Jumaat 20.10.2017, selepas sarapan di hotel, jam 9.00 pagi aku, Ani, Qayyum dan Amira dah terpacak di Pasar Besar Siti Khadijah. Azim yang enggan mengikut, tinggal di bilik hotel. Aku membeli sehelai samping untuk Qayyum. Ani dan Amira membeli sehelai dua kain dan tudung.

Setelah "check out" pada jam 12.00 tengah hari, kami ke Pantai Cahaya Bulan, sekadar untuk "pusing-pusing" sahaja. Tidak turun pun dari kereta. Setelah itu kami menuju ke Kampung Pasir Pekan di Wakaf Baru. Di kampung itu kami ke rumah ibu bapa Puan Hazyani, salah seorang guru akademik Tingkatan 6 di SMK Sungkai. Selesai solat Jumaat, kami dihidangkan dengan laksa dan laksam.. Laksam makanan kegemaran Ani. Cukup enak dan lazat. (Terima kasih Yani dan keluarga).

Lebih kurang jam 2.45 petang, kami mohon berundur untuk menuju ke Besut pula kerana Amir, anak saudara isteriku akan melangsungkan pernikahannya di sebuah kampung di Besut itu pada Sabtu 21.10.2017. Kami diiringi ke Besut oleh kawan Ani yang dikenali sebagai Pisah. Setelah meletakkan barang homestay MNI berhampiran pantai dan laut, kami ke sebuah gerai untuk minum bersama Napisah dan suaminya yang sungguh peramah. Di homestay yang agak besar itu akan menjadi tempat penginapan kami sekeluarga bersama abang ipar dan birasku, serta keluarga Noraedi yang pernah menjadi staf abang iparku.

Pada jam 6.20 petang, saudara Wan Omar Awang Kari, datang ke homestay itu. Beliau tinggal di Kelantan.. apa nama tempatnya aku lupa, 25 minit dari Besut katanya jika berkereta.
Beliau merupakan rakan semaktab denganku cuma berrlainan bidang. Aku PMS, Wan Omar PMG.
Di sebuah gerai, kami minum ABC sahaja memandangkan maghrib hampir masuk. Perbualan kami berkisar tentang kawang-kawan dan keluarga.

Pada 21.10.2017 jam 8.00 pagi kami bertolak ke rumah pengantin perempuan di sebuah kampung, sangat hampir dengan Jerteh. Setelah majlis akad nikah selesai, jam 10.00 pagi kami kembali ke homestay untuk datang semula ke rumah pengantin pada jam 12.00 tengah hari nanti. Di homestay, aku mengambil peluang melelapkan mata.

Pengantin  makan, kami pun makan. Selesai makan kami bermohon berundur diri. Lebih kurang jam 2.00 petang kami ke Masjid Jerteh. Selesai solat kami bertolak pulang ke Bidor. Ketika melalui Machang, Napisah dan suaminya menunggu kami. Mereka membekalkan kami kuih muih. Terima kasih, itu saja yang dapat diujarkan. Lebih kurang jam 10.00 malam kami sudah pun berada di rumah. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment