Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Thursday, October 26, 2017

Rangkuman Untuk 3 hari..

Tiga hari aku tidak menulis apa-apa. Tak ada apa yang hendak disentuh. Pun tak ada apa-apa aktiviti penting dalam hidupku untuk dua tiga hari itu selain makan tidur dan menggodek kereta tua tu.

24.10.2017: Aku perhatikan di tanah entah siapa tuannya sebelah menyebelah rumahku lalang dah meninggi seperas pinggang. Rumput-rumput renek di belakang kawasan rumahku sendiri pun nampak menghijau. Aku pun membeli pam racun dan racun rumput sekali. Terhegeh-hegehlah aku memikul pam untuk menyembur racun. Berat. Tiba-tiba terserempaklah aku dengan seekor ular tedung selar sebesar batang penyapu di belakang rumahku. Aku menjerit terkejut, ular tu pun tentunya terkejut juga. Dia cabut ke arah kanan, aku cabut ke arah kiri.Dalam keletihan tu aku terus juga meracun. Terdengar pulak orang memberi salam di pintu pagar. Termengah-mengahlah aku ke bahagian depan halaman. Rupa-rupanya Pakistan penjual karpet. Walaupun aku berkali-kali mengatakan tidak mahu dia masih merayu-rayu memintaku membeli jualannya. Aku buat tidak tahu sahaja. Lantak engkaulah, gerutu hati kecilku. Dalam letih2 itu mahu saja aku  menghalau dengan kasar, tetapi biarlah. Akhirnya apabila tidak dilayan dia beredar juga sudahnya.


Petang semalam (25.10.2017) pergilah aku bersami isteri ke SMK Syeikh Abdul Ghani menghadiri Majlis Anugerah Kokurikulum dan Sahsiah. Dalam majlis itu Azim dapat 7 anugerah yang berkenaan aktiviti bahas, forum, koperasi dan ikon pelajar. Bila sentuh tentang sukan, Azim apa pun tak terlibat, tidak seperti ayahnya dulu-dulu.

Hari ini Khamis 25.10.2017 aku tidak ke mana-mana, hanya berada di rumah. Seperti sesetengah orang , sesekali aku ke masjid juga sembahyang berjemaah. Selepas solat isya tadi, Tuan Imam mengumumkan bahawa solat hajat akan diadakan untuk anak si fulan bin si fulan yang bernama Si fulanah dan Si fulanah agar terang hati mereka menjawab soalan peperiksaan yang tak lama lagi akan ditempuhi. Semoga juga anak-anak jemaah yang lain juga begitu, kata Imam. Aku  angkat kaki, balik, lapar.

No comments:

Post a Comment