Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Tuesday, January 9, 2018

Sebuah Kenangan X-File Di SMK Sungkai



Pada tahun 1996, Bilik Guru sekolah ini diubahsuai untuk dijadikan Makmal Komputer Dalam Pendidikan (KDP) atau di kenali juga sebagai Makmal Literasi Komputer. Aku diarahkan oleh pihak pentadbir sekolah untuk menguruskan makmal KDP itu. Dengan sedikit pengetahuan asas perisian komputer dan sedikit pengetahuan penyelenggaraan serta networking aku menganggap makmal itulah rumah keduaku. Aku selalu berseorangan di makmal itu untuk menyelenggara komputer-komputer yang mengalami kerosakan. Maklumlah budak-budak yang meggunakannya. Pengalaman pelik ketika berada di bilik yang sedikit terasing itu adalah juga tetapi tidaklah menghalang aku untuk terus berada di situ sehingga aku bersara pada Julai 2017.

Pada tahun-tahun 1990-an aku mengajar di sebelah petang. Aku jadikan bilik itu sebagai kelas aku mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Alangkah seronoknya anak-anak murid belajar melalui komputer.. seronok belajar sambil ada yang belajar memunahkan komputer itu. Namun apabila tiada kelas, pintu masuk ke makmal itu di bahagian belakang selalu terbuka dan tertutup sendiri. Pintu itu boleh tertutup sendiri kerana ada sendi hidraulik dipasang, namun tidak akan terbuka sendiri jika tidak ditolak atau ditarik. Pada satu ketika pintu itu terbuka dan tertutup berulangkali. Lantas aku mengherdik, “kalau nak masuk, masuk sahaja, kalau nak keluar, keluar sahaja”! Peristiwa itu terhenti di situ sejak itu. Sesekali apabila aku berasa seram sejuk aku akan keluar dari makmal itu seketika.

Pada suatu hari Ahad aku menukar tikar getah alas lantai makmal KDP itu. Sudah tengah hari tapi  aku meneruskan kerja memasang tikar getah yang baharu itu. Tiba-tiba gunting yang aku gunakan hilang entah ke mana. Puas aku mencari, tetapi tak jumpa. Tak dapatlah aku meneruskan kerja memasang tikar getah itu tanpa gunting.
Aku pun berkata, “pulangkan semula gunting tu, aku nak pakai ni,”. Tak semena-mena gunting itu muncul di sisiku.

Berikutan pertambahan barang-barang yang rosak, aku mendapat persetujuan pengetua untuk membina stor kecil di hujung kaki lima makmal KDP itu. Aku membuatnya sendiri. Setelah semua pekerja pulang tinggallah aku seorang mengetuk, menggergaji dan memaku kayu. Apabila aku menggergaji kayu, di hujung blok bangunan ada juga bunyi orang menggergaji kayu. Lega hatiku, masih ada kawan untuk menguatkan semangat. Apabila aku mengetuk, di sana juga mengetuk. Apabila aku memaku bunyi yang sama muncul di hujung itu. Isyy ini dah lain ni, bisik hatiku. Aku pun mengemaskan barang-barang beredar pulang. Sampai di hujung blok itu aku berkata, aku nak balik dah, teruskanlah bertukang.

Empat tahun lalu blok ini diubahsuai untuk menggantikan atap dan kayu-kayu yang lama. Semua peralatan dibongkar. Apabila siap, aku menyimpan semua peralatan komputer yang ada di dalam stor yang kubuat sendiri di dalam makmal itu kerana komputer-komputer itu sudah jauh ketinggalan zaman dan kebanyakannya sudah rosak. Makmal itu kujadikan bilik kuliah untuk Tingkatan 6 (sehingga aku pencen pada 1 Julai 2017). Dan selepas penyelanggaran itu berlaku, tiada lagi kejadian yang pelik-pelik berlaku.

No comments:

Post a Comment