Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Friday, December 22, 2017

Catatan Sepuluh Hari

Hari ini 22 Disember 2017. Sudah sepuluh hari aku tidak mengupdate blog picisan ini kerana sedikit sibuk, (mengalahkan menteri pula). Dan hari ini aku tak ke mana-mana. Hanya berada di rumah dan keluar untuk mengambil sebiji dua rambutan di kampung lama dan ke masjid.. (bila rajin).

Ke Kuantan
Pada 15 Disember lalu aku, Ani, Amira dan Azim bergerak ke Kuantan, Pahang. Kami bertolak dari Bidor sekitar jam 8.00 pagi kerana aku menjangkakan akan tiba di Kuantan sekitar jam 1.00 petang untuk solat Jumaat. Tepat seperti yang aku rancang, kami berada di kawasan Masjid Sultan Ahmad Shah pada jam 1.00 petang. Selesai solat Jumaat kami bergerak pula ke Hotel Classic, yang berlatarkan Sungai Kuantan.

Ani mengajakku ke rumah sepupunya, Mariam di Pekan. Sebelum ke Pekan kami ke Teluk Cempedak dahulu, makan apa yang patut. Sekitar jam 4.00 petang kami bertolak ke Pekan. Hairi suami Mariam mengiringi kami ke rumah mereka. Lewat senja kami bertolak kembali ke hotel di Kuantan.

Selepas maghrib, sekali lagi kami ke Teluk Cempedak untuk makan malam. Banyak pilihan makanan di situ. Selesai makan kami kembali ke hotel, tidur.

Pagi esoknya (16 Disember 2017) selepas bersarapan di hotel, kami pusing-pusing bandar Kuantan, dan sekali lagi ke Teluk Cempedak. Seketika sahaja di situ kami kembali hotel. Selepas meninggalkan hotel sekitar 11.45 pagi kami menuju ke rumah sahabat lama ketika aku di Sarawak dahulu, saudara Roslan Mansor. Lan mengadakan majlis perkahwinan anaknya hari itu. Di situ aku disapa oleh seseorang, Pn. Zaimah, rakan sekelasku ketika di Maktab dahulu. Di rumah Lan itu juga aku bertemu Saidon, juga rakan sekerja ketika mengajar di SMK Dato Permaisuri Miri, Sarawak.

Selesai makan, aku tidak terus pulang kerana aku menunggu kedatangan Pn Norhayati Rasul. Yati merupakan rakan sekelasku di SM Buyong Adil pada tahun 1979-1980. Dia menetap di Kuantan sekarang. Setelah Yati tiba kami berbual pendek seketika kerana aku terpaksa bergegas Tanjong Malim pula, memandangkan seorang lagi sepupu Ani mengadakan kenduri kesyukuran cucunya pada sebelah malam nanti. Sebelum maghrib hari itu kami selamat tiba di rumah Tanjong Malim. Selesai menghadiri kenduri, tepat tengah malam, kami selamat tiba di Bidor. Aku terus terbungkang.

Ke Bukit Mertajam
Pada hari Ahad 17 Disember 2017, aku dan Ani ke Dewan Institut Perguruan Tuanku Bainun di Bukit Mertajam untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sahabat semaktabku dulu Sdr Mohamad Chat.
Selain aku, ada ramai lagi rakan-rakan semaktab yang hadir. Dapatlah kami berbual-bual tak berpenghujung tentang kisah-kisah dulu dan semasa. Antara lain yang hadir ialah Halim, Mad Osman, Abu Hasan, Hairizan, Noraini, Roslan Muhamad, dan Shahrudin.

Ke Rawang
Pagi semalam (21 Disember 2017), aku dan Ani ke Rawang untuk mengambil Uwo, kakak iparku yang pulang ke Rawang setelah mengikuti pelayaran bersama seorang lagi iparku. Menjelang tengah hari kami telah pun sampai dari Rawang ke rumah Uwo di Tanjong Malim. Dari situ aku bergegas pulang ke Bidor kerana sahabatku bersama anak dan isterinya yang pulang bercuti dari Sarawak hendak bertandang ke rumahku.

No comments:

Post a Comment