Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Saturday, September 24, 2011

Kasih Si Ibu Ruak-ruak


Lewat petang tadi aku dan isteriku pergi ke pekan untuk menggantikan bateri jam tangan isteriku. Maklumlah, dah sampai di pekan, banyaklah pula yang hendak dibeli. Hampir jam tujuh barulah kami sampai ke rumah. Keluar sahaja dari kereta, anak bongsuku, Azim mengkhabarkan bahawa Bani, iaitu salah seekor kucingnya menangkap katak. Aku terus mendapatkan Si Bani yang sedang bermain-main dengan sesuatu; bukan katak tetapi anak burung ruak-ruak. Anak burung itu tidak cedera, lalu kuselamatkan. Dalam belukar kecil di sebelah rumahku memang menjadi tempat burung ruak-ruak bersarang,  dan tentunya Bani menangkap anak burung yang malang itu di situ fikirku.

Anak burung itu mencicip-cicip dalam peganganku.. mahu kuapakan anak burung yang tak berdaya ini, aku menyoal diriku sendiri. Tiba-tiba seekor ruak-ruak dewasa ku lihat berlegar-legar tidak jauh dari tempat isteriku berdiri. Fahamlah aku yang ditanganku adalah anaknya. Burung itu kemudian bergerak ke arah longkang di sisi rumahku. Oh.. kasihan, aku mengikutinya .. dan di dalam longkang itu ada tiga ekor lagi anaknya yang terperangkap. Aku meminta Azim menghalau jauh-jauh kucing-kucingnya supaya tidak membahayakan anak-anak burung itu. Fahamlah aku bahawa ibu burung itu mengajar anak-anaknya nya mencari makanan tetapi semuanya terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir setengah meter itu dan tak berupaya untuk keluar sendiri.

Ketika aku mengeluarkan anak-anaknya, ibu burung itu menunggu berdekatanku. Demi anaknya ia rela jika tertangkap sekalipun. Mungkin ia menyedari manusia ini ingin membantu anak-anaknya. Aku meletakkan anak-anaknya betul-betul di hadapannya. Ruak-ruak itu terpaksa menjadi jinak demi anak-anaknya. Tentunya ia gembira agaknya. Anak-anak burung yang kebasahan dek air longkang itu terkial-kial mengikuti ibu mereka ke arah belukar itu.

Ketika anak-anak dan isteriku beredar ke dalam rumah, azan maghrib kedengaran. Tetapi aku masih di tempat ruak-ruak itu. Bimbang kucing-kucing si Azim akan mengganggu anak-anak burung itu, kuambil keempat-empat anak burung itu. Aku menyusup-nyusup ke belukar itu dan meletakkan di tempat yang sesuai. Ibu burung itu hanya mengekori saja aku dari belakang. Sebelum beredar , aku sempat melihat dalam samar-samar senja itu, ruak-ruak itu memerap anak-anaknya itu di bawah badannya. Binatang pun tahu sayangkan anak...kata hati kecilku. Selebihnya kuserahkan pada takdir Allah akan nasib lima beranak itu.

Dalam laungan isteriku mengingatkan aku untuk solat maghrib, aku sempat mencapai  sekeping papan sebesar tapak tangan lalu meletakkannya merentangi longkang itu, dengan harapan akan menjadi titi untuk anak-anak burung itu menyeberangi longkang itu esok hari.



No comments:

Post a Comment