Mengapa Awan? Mengapa Angin?

- di situ kurakamkan hari-hari semalamku.

Friday, September 23, 2011

E Tanda / E Pepet

Cubalah sebut perkataan-perkataan yang di bawah ini: peka, bela, sepak, selak, perang, sentak, seremban, tekat, tekad, pelak, pelat, telor, telur, perak ... (sekadar menurunkan beberapa contoh perkataan).

Kita boleh sahaja menyebut perkataan-perkataan itu mengikut ejaan yang tertera, tetapi dalam masa yang sama kita terpaksa memilih hendak membunyikan huruf "e" ikut "e taling" atau "e pepet". Setiap bunyi "e taling" atau "e pepet" pada perkatan-perkataan tersebut , akan membezakan makna. ( Agak lucu juga bila membicarakan "e taling" itu bagaimana hendak dibunyikan dan bagaimana pula bunyi "e pepet" itu. Lantas "pepet" sendiri itu hendak dibunyikan apa.? Mungkin saja, lain macam saja bunyinya)!

Makna perkataan-perkataan itu hanya dapat dibezakan melalui konteks ayat. Walaupun begitu sesetengah perkataan yang ada huruf 'e' dapat diketahui bunyi dan maknanya dengan hanya melihat variasi huruf vokalnya, misalnya 'telur' (telur ayam) dan 'telor' (loghat); atau pun variasi huruf konsonan akhir sesuatu pekataan itu, misalnya 'tekat' dan 'tekad'. Namun begitu disebabkan ejaan bahasa Melayu diujarkan berdasarkan bunyi fon sesuatu huruf konsonan dan huruf vokal, maka tidak didapat dinafikan ejaan "telur" dan "telor" dibunyikan tanpa apa-apa perbezaan.

Ketika Sistem Ejaan Baharu (baru) Malaysia dan Indonesia dilancarkan pada tahun 1972, banyak keselarasan ejaan telah dibuat antara kedua--dua negara. Antaranya membuang tanda huruf "è" (ketika itu dikenali sebagai e tanda) menjadi "e" sahaja dengan alasan mesin taip yang digunakan di kedua-dua negara tidak terdapat huruf "è". Dari situlah bermulanya masalah penyebutan bunyi yang betul bagi perkataan-perkataan yang mengandung huruf "e".


Dalam satu sesi di kelas, hal ini dikemukakan kepada pelajar-pelajar. Dan aku mengharapkan jika suatu hari nanti mereka menjadi orang yang mempunyai kuasa dalam bidang pemerintahan negara ini, kembalikanlah semula penggunaan huruf " è " ini, supaya bahasa yang kita cintai ini bertambah mantap dari segi sebutan dan penggunaannya. Tambahan pula zaman ini tugas mesin taip telah diambil alih oleh komputer.. dan apa yang tak ada dalam komputer????

No comments:

Post a Comment